Showing posts with label ISA. Show all posts
Showing posts with label ISA. Show all posts

Saturday, July 13, 2019

Abdul Hadi: PAS dulu sokong ISA, kini gesa kekal Akta Hasutan

News | Diterbitkan Hari ini 11:13 malam


Presiden PAS Abdul Hadi Awang menggesa kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948, tetapi sebaliknya perlu membincangkan takrifnya dengan lebih jelas agar tidak disalahgunakan.

"Kini kita mendengar desakan menghapuskan Akta Hasutan, maka janganlah sampai ke tahap semua hasutan dibenarkan.

"Tidakkah sepatutnya dibincangkan takrif hasutan dan apakah perkara-perkara yang dinamakan hasutan itu, bukan menghapuskan undang-undangnya," katanya dalam suatu kenyataan malam ini.

Anggota parlimen Marang juga mengimbas gerakan mansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam mempersoalkan jika pemansuhan Akta Hasutan akan membawa "sehingga ke peringkat boleh menghasut apa-apa sahaja?"

"Kita pernah mengalami perjuangan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga seolah-olah ke tahap tidak perlu adanya undang-undang menyelamatkan negeri dan negara.

"Adakah kita boleh hanyut berfikir sampai ke tahap itu?

"Adakah seruan dan janji menghapuskan Akta Hasutan yang kedengaran terkini sehingga ke peringkat boleh menghasut apa-apa sahaja? Kadang-kadang suaranya nampak sebegitu," katanya.

Abdul Hadi menegaskan PAS menyokong penggubalan ISA pada 1960 walau pun kemudiannya pernah menjadi mangsa penyalahgunaan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara itu.
"PAS dahulu pernah menyokong ISA demi negara menghadapi ancaman komunis, walaupun PAS pernah menjadi mangsa penyalahgunaannya, ia adalah satu perkara yang lain," jelasnya lagi.

Pendirian Abdul Hadi selari dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang meminta kerajaan tidak gopoh dalam mengambil ketetapan untuk menghapuskan Akta Hasutan hanya kerana beberapa kes yang berlaku muktahir ini.

Malah, Tuan Ibrahim berkata dengan keadaan semasa hari ini kerajaan masih memerlukan satu akta untuk mencegah perilaku yang boleh menggugat keselamatan negara.

"Langkah untuk menghapuskan Akta Hasutan harus diteliti secara mendalam. Isu yang lebih kritikal ialah penyalahgunaan akta oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 11 Julai lalu mengesahkan kerajaan akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan undang-undang baru.

Mengenai akta baru yang akan menggantikan Akta Hasutan, perdana menteri berkata, kerajaan kini dalam proses menyiapkannya.
"Kerajaan dalam status menyusun semula ayat-ayat dalam undang-undang tersebut," katanya yang berkata proses itu akan selesai "secepat mungkin."

Menghapuskan akta tertentu yang dianggap menekan rakyat adalah satu daripada janji diikrarkan PH dalam manifesto mereka menjelang pilihan raya umum tahun lalu.

Satu daripada akta yang dianggap menyekat kebebasan bersuara ialah Akta Hasutan.

Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin pada 9 Julai lalu menjadi tahanan terbaru yang dikenakan hukuman penjara mengikut Akta Hasutan.

Dia dihukum penjara selama setahun dan hukumannya berjalan serta-merta. Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Julai lalu membenarkan hukuman Wan Ji ditangguhkan sehingga selesai proses rayuan.

Sunday, November 25, 2018

Anwar: Demo anti-Icerd gimik nakal

Diterbitkan 25 Nov 2018, 1:28 pagi 


Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata perhimpunan bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak perlu diteruskan kerana kerajaan telah memuktamadkan untuk tidak meratifikasinya.

"Sebelum ini, kita pernah berhimpun menolak ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), berhimpun untuk meminta pilihan raya yang bersih serta berhimpun untuk menolak kezaliman.

"Kalau nak berhimpun pun, biarlah di atas sebab yang munasabah sebab ini (perhimpunan) merupakan satu gimik politik nakal pihak pembangkang walaupun keputusan kerajaan telah menolak perkara berkenaan," katanya seperti dipetik Bernama.

Sebelum ini NGO dikenali sebagai Ummah yang disokong oleh Umno dan PAS, pada asalnya merancang untuk mengadakan perhimpunan itu pada 8 Disember bagi membantah Icerd.

Bagaimanapun, selepas kerajaan mengumumkan Icerd tidak akan dimeterai, kumpulan itu berkata ia akan meneruskan perhimpunan itu bagi menyatakan kesyukuran mereka.

Icerd menjadi isu yang hangat di Malaysia apabila parti politik pembangkang terutama PAS dan Umno serta NGO Melayu Islam menentangnya kerana didakwa bercanggah perlembagaan persekutuan, yang memperuntukkan keistimewaan kepada kaum Melayu dan bumiputera.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-