Showing posts with label Ismail Sabri.. Show all posts
Showing posts with label Ismail Sabri.. Show all posts

Tuesday, November 1, 2022

Langkah Zahid untuk jadi PM?

agendaily.com
1/11/2022
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum senarai penuh calon Barisan Nasional (BN) diumumkan malam ini, kekecohan sudah timbul dalam media sosial dan pelayar aplikasi perbualan Whatsapp apabila nama-nama besar di sebelah kem Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Menurut surat jemputan yang dilihat Agenda Daily, BN dijadualkan mengadakan majlis pengumuman malam ini di WTC, Kuala Lumpur dan semua calon yang terdapat nama mereka dalam senarai dijemput hadir.

Bagaimanapun, berdasarkan senarai nama calon yang dijemput tersebut, beberapa pemimpin UMNO-BN nampaknya nama mereka tercicir dan majoritinya datang daripada kem Perdana Menteri (PM).

Difahamkan hampir semua Menteri Kabinet dalam pentadbiran Ismail Sabri digugurkan daripada senarai calon, perkara itu ternyata mencemaskan Naib Presiden UMNO tersebut.

Beberapa nama tersebut yang tular dalam media sosial digugurkan daripada senarai calon adalah Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (Jempol) dan Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran).

Lebih mengejutkan, Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar juga namanya dikatakan terkeluar daripada senarai calon.

Menurut sumber, isyarat jelas sedang diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi menunjukkan kuasa yang dipegangnya sebagai ketua parti tersebut kepada pengkritiknya.

Sebagai ketua parti, Zahid mempunyai kuasa lebih tinggi jika dibandingkan dengan Ismail Sabri kerana kuasa menandatangani watikah calon yang dipegangnya.

Tanpa watikah ditandatangani, mana-mana individu dalam UMNO-BN tidak boleh menjadi calon mewakili gabungan tersebut.

“Akhirnya, kita dapat lihat siapa sebenarnya berkuasa selepas Parlimen dibubarkan dan yang berkuasa pastinya Presiden.

“Ismail Sabri tidak mempunyai kuasa menandatangani watikah seperti Zahid, sudah pastinya Zahid akan meletak orangnya untuk menjadi calon pada PRU-15 kali ini,” kata sumber parti.

Namun, persoalan timbul pula adakah segala keputusan yang dibuat Zahid tersebut sebenarnya mempunyai matlamat yang lebih besar iaitu bagi melantik dirinya menjadi PM selepas PRU-15 nanti.

“Tidak mustahil jika Presiden juga menyusun strategi untuk menjadi PM… mana pernah sebelum ini Presiden tidak menjadi PM dalam sejarah parti,” kata sumber itu lagi.

Untuk rekod, Ismail Sabri sebelum ini sudah menerima tekanan hebat daripada parti itu dan Zahid yang mahu PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.

Akhirnya, Ismail Sabri terpaksa akur dan membubarkan Parlimen pada 10 Oktober.

Pada mesyuarat khas UMNO dua bulan lalu, Ismail Sabri menjadi sasaran akar umbi khususnya daripada kem penyokong Zahid kerana enggan membubarkan Parlimen.

Monday, June 27, 2022

Zahid, Najib pada mulanya tak sokong Ismail Sabri jadi calon PM

agendaily.com
27/06/2022
Sidang media Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menyokong pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri (PM) semasa krisis sebelum ini selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun lalu.

Ahli Parlimen (MP) Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan Zahid bersama rakannya, Datuk Seri Najib Razak pada awalnya enggan menyokong Ismail Sabri sebagai calon PM bersama-sama dengan 13 MP UMNO lain tahun lalu sehingga terpaksa dipujuk.

“Jadi kita cadangkan nama Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri… kalau tahu cerita sebenar, geleng kepala. Tan Sri Muhyiddin Yassin setuju Ismail Sabri jadi PM, PAS pun bersetuju dan mereka sanggup tandatangan SD (Akuan Bersumpah) sokong jadi PM.

“UMNO berpecah, ada yang setuju dan ada yang tidak setuju… 15 orang, Zahid dan Najib pegang jangan tandatangan sampai minit akhir.

“Jangan mereka nak nafikan ya, kita nak kumpulkan semua sokongan MP UMNO tidak boleh dapat kerana 15 ini kena pegang,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tajuddin juga mengesahkan UMNO ketika itu menghantar tiga nama kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai calon PM iaitu Zahid dan seorang lagi calon iaitu Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Setiap malam kita cari jalan nak pujuk, sampai akhir (baharu menyokong). Mereka tidak mahu tandatangan, Tuanku dah minta nama calon Perdana Menteri.

“Zahid bawa tiga nama, nama dia sendiri, termasuk Tengku Razaleigh,” katanya semasa sidang media hari ini.

Krisis politik tahun lalu berpunca daripada Zahid bersama 15 MP UMNO lain menarik sokongan terhadap Muhyiddin sehingga terpaksa meletak jawatan pada 16 Ogos.

Susulan kekosongan jawatan PM yang dilepaskan Muhyiddin, Istana Negara meminta semua parti politik sebelah kerajaan dan pembangkang untuk memilih calon PM masing-masing.

Nama Ismail Sabri dicalonkan Bersatu dan PAS sebagai pengganti Muhyiddin, bagaimanapun UMNO ketika itu masih belum memuktamadkan calon utama mereka.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berjaya memperoleh majoriti untuk dilantik menjadi PM menggantikan Muhyiddin.

Tajuddin baru-baru ini disingkir sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan tempatnya digantikan dengan pengikut Najib, Isham Jalil.

Zahid berkata pengguguran Tajuddin disebabkan tindak-tanduk beliau ketika mengkritik parti.

Saturday, August 21, 2021

Anwar gesa semua terima keputusan Agong lantik Ismail Sabri

tuncarlos.com
August 21, 2021


Kenyataan Media
21 Ogos 2021


Dengan penuh takzimnya saya mewakili Pembangkang keseluruhannya menjunjung kasih ke atas titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas pelantikan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Kami mengambil maklum bahawa keputusan ini dibuat menurut lunas-lunas Perlembagaan, demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang kita amalkan.

Bagi pihak Pembangkang, ini adalah cabaran untuk kita bekerja lebih gigih lagi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak COVID-19 dan ekonomi segera diatasi dan ditangani demi rakyat.

Buat semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan kecekalan yang jitu untuk bekerja lebih gigih menuju PRU-15, agar kita dapat memenangi semula mandat rakyat yang telah kita terima pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

ANWAR IBRAHIM

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-