Tuesday, November 1, 2022

Langkah Zahid untuk jadi PM?

agendaily.com
1/11/2022
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum senarai penuh calon Barisan Nasional (BN) diumumkan malam ini, kekecohan sudah timbul dalam media sosial dan pelayar aplikasi perbualan Whatsapp apabila nama-nama besar di sebelah kem Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Menurut surat jemputan yang dilihat Agenda Daily, BN dijadualkan mengadakan majlis pengumuman malam ini di WTC, Kuala Lumpur dan semua calon yang terdapat nama mereka dalam senarai dijemput hadir.

Bagaimanapun, berdasarkan senarai nama calon yang dijemput tersebut, beberapa pemimpin UMNO-BN nampaknya nama mereka tercicir dan majoritinya datang daripada kem Perdana Menteri (PM).

Difahamkan hampir semua Menteri Kabinet dalam pentadbiran Ismail Sabri digugurkan daripada senarai calon, perkara itu ternyata mencemaskan Naib Presiden UMNO tersebut.

Beberapa nama tersebut yang tular dalam media sosial digugurkan daripada senarai calon adalah Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (Jempol) dan Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran).

Lebih mengejutkan, Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar juga namanya dikatakan terkeluar daripada senarai calon.

Menurut sumber, isyarat jelas sedang diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi menunjukkan kuasa yang dipegangnya sebagai ketua parti tersebut kepada pengkritiknya.

Sebagai ketua parti, Zahid mempunyai kuasa lebih tinggi jika dibandingkan dengan Ismail Sabri kerana kuasa menandatangani watikah calon yang dipegangnya.

Tanpa watikah ditandatangani, mana-mana individu dalam UMNO-BN tidak boleh menjadi calon mewakili gabungan tersebut.

“Akhirnya, kita dapat lihat siapa sebenarnya berkuasa selepas Parlimen dibubarkan dan yang berkuasa pastinya Presiden.

“Ismail Sabri tidak mempunyai kuasa menandatangani watikah seperti Zahid, sudah pastinya Zahid akan meletak orangnya untuk menjadi calon pada PRU-15 kali ini,” kata sumber parti.

Namun, persoalan timbul pula adakah segala keputusan yang dibuat Zahid tersebut sebenarnya mempunyai matlamat yang lebih besar iaitu bagi melantik dirinya menjadi PM selepas PRU-15 nanti.

“Tidak mustahil jika Presiden juga menyusun strategi untuk menjadi PM… mana pernah sebelum ini Presiden tidak menjadi PM dalam sejarah parti,” kata sumber itu lagi.

Untuk rekod, Ismail Sabri sebelum ini sudah menerima tekanan hebat daripada parti itu dan Zahid yang mahu PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.

Akhirnya, Ismail Sabri terpaksa akur dan membubarkan Parlimen pada 10 Oktober.

Pada mesyuarat khas UMNO dua bulan lalu, Ismail Sabri menjadi sasaran akar umbi khususnya daripada kem penyokong Zahid kerana enggan membubarkan Parlimen.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-