Showing posts with label KWAP. Show all posts
Showing posts with label KWAP. Show all posts

Monday, February 10, 2025

Kerajaan fail permohonan gantung keputusan pelarasan pencen pesara

bharian.com.my
Oleh BERNAMA
Februari 10, 2025 @ 7:43pm
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. - Foto fail NSTP/Hairul Anuar Rahim

KUALA LUMPUR: Kerajaan memfailkan permohonan untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan semakan kehakiman seorang pesara berhubung pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir kepada pesara mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016 berkuat kuasa mulai Januari 2022.

Kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam memfailkan permohonan itu hari ini di Mahkamah Tinggi di sini, atas alasan wujud keadaan khas yang mewajarkan perintah itu digantung sehingga rayuan mereka di Mahkamah Rayuan diputuskan.

Berdasarkan afidavit sokongan diperoleh media, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata perintah itu yang melibatkan pembayaran tunggakan pencen dianggarkan RM1.7 bilion mulai Januari 2022, bukan sahaja perlu dibayar kepada pemohon-pemohon (Aminah Ahmad dan 56 pesara perkhidmatan awam), malah kepada 531,976 pesara.

Wan Ahmad Dahlan berkata pembayaran tunggakan pencen itu melibatkan implikasi kewangan yang besar dan kerajaan perlu menyusun semula perancangan dana yang telah diperuntukkan bagi pembangunan infrastruktur negara, sosial serta ekonomi mengikut nasihat Kementerian Kewangan bagi membolehkan dana disalurkan kepada Kumpulan Wang Persaraan demi memenuhi perbelanjaan luar jangka yang berbangkit daripada perintah mahkamah itu.

"Tambahan pula, proses penyelarasan pencen yang melibatkan sebanyak 531,976 pesara ini perlu diuruskan oleh 18 pegawai di Bahagian Pencen serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan bantuan pegawai operasi di Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

"Proses penyelarasan pencen ini akan memberi kesan kepada pelaksanaan tugas hakiki iaitu urusan persaraan bagi bakal pesara dan isu-isu berkaitan hal ehwal persaraan oleh pihak JPA," katanya dalam afidavit itu.

Wan Ahmad Dahlan berkata pengiraan tunggakan penyelarasan pencen adalah proses yang panjang serta rumit memandangkan pengiraannya memerlukan pihak JPA menyemak semula secara manual rekod perkhidmatan pesara terdiri daripada pelbagai gred jawatan dan skim perkhidmatan yang telah bersara pada atau sebelum 1 Julai 2016 dan masih menerima pencen pada Januari 2022.

"Pihak JPA juga perlu menentukan pesara yang layak menerima pencen yang diselaraskan pada Januari 2022," katanya.

Selain itu, Wan Ahmad Dahlan berkata pihak JPA juga perlu membuat pengiraan semula bagi menyelaraskan pencen selepas 2024 lanjutan daripada semakan gaji yang telah diumumkan oleh kerajaan untuk 2024 bagi pesara yang telah bersara pada atau sebelum 1 Julai 2016.

"Ia memandangkan jumlah pencen yang akan diterima selepas 2024 akan berubah berdasarkan penyelarasan pencen yang perlu dilakukan lanjutan daripada keputusan Mahkamah Tinggi ini," katanya.

Selain itu, Wan Ahmad Dahlan berkata sekiranya rayuan memihak kepada kerajaan, tindakan kutipan balik tunggakan pencen yang telah dibayar akan memakan masa, kos dan tenaga memandangkan semua proses yang telah dilakukan untuk menyelaraskan pencen sebagaimana arahan mahkamah harus diubah termasuk penyelarasan pencen bagi 2024.

"Sekiranya pesara enggan mengembalikan tunggakan pencen yang telah dibayar, responden-responden (kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) perlu memfailkan tindakan di mahkamah bagi tujuan mengutip semula tunggakan pencen yang telah dibayar dah tindakan ini secara tidak langsung akan memakan masa dan mewujudkan kos tambahan kepada kerajaan," katanya.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly ketika dihubungi pemberita mengesahkan mengenai permohonan penggantungan itu.

Pada 16 Januari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh yang membenarkan permohonan semakan kehakiman itu turut mengarahkan kerajaan dan JPA membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan, bermula tarikh penghakiman itu (16 Januari).

Aminah, yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar, memohon perintah mandamus bagi memaksa responden menyegerakan pelarasan pencen kepada jumlah yang layak mengikut formula yang terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Pelarasan Pencen 1980 (PAA 1980) sebelum pindaan dibuat di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA 2013).

Beliau yang memfailkan permohonan itu atas kapasiti sendiri dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam turut memohon perintah untuk responden membayar tunggakan pencen dalam tempoh 14 hari selain perintah deklarasi yang menyatakan kegagalan membayar melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang berkenaan, bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenalkan berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan.

- BERNAMA

Friday, September 27, 2024

Boleh kita bincang nanti - Najib jawab RM27juta masuk akaunnya

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdu Rashid
Diterbitkan: Sep 27, 2024 1:00 PM
Boleh kita bincang kemudian? Itu jawapan Najib Razak ketika perbicaraan kes saman AS$1.18 bilion yang difailkan SRC International terhadap bekas perdana menteri.

Jawapan itu terpacul apabila Najib disoal balas oleh peguam plaintif, Lim Chee Wee mengenai RM27 juta yang masuk ke dalam akaun AmBank miliknya yang berakhir dengan nombor 880.

Peguam itu merujuk kepada penyata bank yang menunjukkan kemasukan dana pada 26 Disember 2014, yang berasal dari Ihsan Perdana Sdn Bhd dengan tujuan yang dinyatakan sebagai 'program CSR'.

Lim: RM27 juta yang dikreditkan ke dalam akaun 880 anda, anda tiada bukti dokumentasi untuk menunjukkan RM27 juta ini bukan wang SRC atau KWAP (Kumpulan Wang Persaraan)?

Najib: Can we deal with that later? (Boleh kita bincang kemudian?)

Difahamkan bekas menteri kewangan itu ingin merujuk perkara berkenaan dengan pasukan peguamnya daripada firma guaman Shafee & Co terlebih dahulu.

Saman sivil SRC di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini mengenai dakwaan penyelewengan pinjaman AS$1.18 bilion yang diterima SRC daripada KWAP antara tahun 2011 dan 2012.

Kebetulan, Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak Ogos 2022 berhubung kes jenayah berasingan yang melibatkan dana RM42 juta dari SRC, yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Dalam kes mahkamah jenayah tersebut, dia disabitkan atas tuduhan menerima RM42 juta sebagai ganjaran kerana memastikan dua jaminan kerajaan untuk dua pinjaman KWAP berjumlah RM4 bilion kepada SRC.

KWAP berada di bawah Kementerian Kewangan manakala Najib juga pernah menjadi penasihat emeritus kepada SRC.

Perbicaraan di hadapan hakim mahkamah sivil, Ahmad Fairuz Zainol Abidin akan bersambung pada 9 Oktober.

Sepanjang perbicaraan saman ini, antara lain Najib menyatakan rasa hairan mengapa ahli lembaga pengarah SRC tidak mengesahkan kepadanya mengenai transaksi tersebut dan salah satu akaun banknya untuk "tanggungjawab sosial korporat" (CSR).
Di bawah pengurusan baru, SRC memfailkan saman ini pada Mei 2021, mendakwa Najib melakukan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa, mendapat manfaat peribadi daripada dana syarikat dan menyelewengkan berbilion ringgit.

SRC juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa defendan bertanggungjawab terhadap kerugiannya kerana didakwa melanggar tugas dan amanah, serta untuk Najib membayar balik RM42 juta.

Plaintif juga memohon perintah mahkamah agar Najib bertanggungjawab terhadap kerugian AS$1.18 bilion yang dialami oleh syarikat itu dan membayar balik AS$120 juta yang didakwa mengalir ke akaun banknya.

Tindakan sivil terhadap Najib ini berkaitan dakwaan penyelewengan sebahagian daripada RM4 bilion - RM3.6 bilion atau AS$1.18 bilion mengikut kadar tukaran asing antara 2011 dan 2012 - dalam bentuk pinjaman yang diterima oleh syarikat itu dari KWAP antara 2011 dan 2012.

[Baca berita asal]

Friday, July 7, 2023

Anwar pembohong, gagal kemuka bukti seperti dijanji - Mahathir

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Jul 7, 2023 11:03 AM
Dr Mahathir Mohamad menganggap Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai seorang pembohong demi kepentingan peribadi dan sejak 25 tahun lalu tidak pernah memberikan bukti kukuh menunjukkan bekas perdana menteri itu pernah menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan.

Dalam sanggahan 60 halaman terhadap pernyataan pembelaan Anwar terhadap saman fitnahnya, bekas ahli parlimen Langkawi itu menegaskan, bahawa defendan merujuk kepada apa yang dipanggil dokumen sebagai bukti tetapi akan memberi alasan apabila enggan mendedahkan bukti tersebut.

Ahli politik veteran berusia 97 tahun itu menegaskan pembelaan Anwar tidak mengandungi sebarang bukti walaupun pengerusi PH itu - pada 7 April lalu - dilaporkan media sebagai berkata, dia sedia untuk mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaannya terhadap plaintif.

Mahathir mendakwa ia bertentangan dengan pendapat Anwar tentang kerajaan menyelamatkan KPB (kini dikenali sebagai Pos Logistics Bhd), sebuah syarikat yang anak plaintif, Mirzan, adalah pemegang saham majoriti dan pengarah.

Defendan sendiri sebagai timbalan perdana menteri ketika itu (Mac 1998) memberitahu media bahawa ia bukan langkah penyelamatan tetapi sekadar "keputusan perniagaan".

Mahathir berkata Anwar - yang merupakan sebahagian daripada jemaah menteri pada awal dan pertengahan 1990-an - berada di parlimen pada 1997 untk memberitahu Ahli Parlimen Lim Guan Eng bahawa penjualan saham Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dalam MISC Bhd kepada Petronas bukanlah satu tindakan bailout.

Bekas orang kuat Umno itu menegaskan Anwar ketika itu memberitahu Dewan Rakyat perjanjian tersebut menunjukkan ketelusan pentadbiran ketika itu yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana perniagaan milik keluarga yang meminta bantuan kerajaan.

"Ini jelas menunjukkan defendan mempunyai ciri-ciri pembohong. Ini kerana defendan mempunyai pendirian yang berbeza (pada 1990-an) daripada apa yang dinyatakan dalam pembelaannya hari ini.

"Begitu juga dengan keengganan defendan sehingga hari ini untuk mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya.

"Ini menunjukkan defendan akan berkata sesuatu dan kemudian mengubah pendiriannya sambil memfitnah asalkan ia memenuhi faedah peribadi defendan," kata Mahathir.

[Baca berita penuh]

Thursday, July 1, 2021

SRC serah writ saman kes pecah amanah

Bernama
Julai 1, 2021 @ 11:02pm

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
- Foto fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: SRC International Sdn Bhd menyerahkan writ saman kepada semua enam defendan kecuali bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil, yang tidak berada di Malaysia.

SRC International di bawah pengurusan baharu, memfailkan saman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan enam lagi atas dakwaan pecah amanah dan pelanggaran kewajipan statutori berkaitan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC.

Menurut seorang peguam daripada Rosli Dahlan Saravana Partnership yang bertindak bagi pihak SRC, writ saman itu diserahkan kepada Najib dan lima bekas pengarah SRC iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

"Writ terbabit diserahkan kepada semua defendan kecuali defendan ketiga (Nik Faisal) kerana beliau tidak ada di Malaysia," kata peguam itu selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin yang diadakan secara maya, hari ini.
DISYORKAN UNTUK ANDA

Kes SRC: RM2 bilion masuk dalam akaun 'misteri' - Saksi

Lembaga Pengarah SRC tidak tahu RM2 bilion masuk akaun 'misteri' SRC

Najib pinda Artikel Persatuan SRC

Letak jawatan, tidak setuju pengurusan SRC - Ismee

Peguam itu berkata, writ saman akan diserahkan kepada Nik Faisal menerusi perkhidmatan gantian dan mahkamah menetapkan 3 Ogos ini untuk pengurusan kes seterusnya bagi plaintif membentangkan perkembangan kes kepada mahkamah.

Menurut Aturan 60 Kaedah 5 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, perkhidmatan gantian adalah kaedah secara tidak langsung untuk menyerahkan dokumen kepada individu yang didakwa sengaja mengelak, atau jika tidak praktikal untuk menyerahkan dokumen secara langsung kepada individu berkenaan.

SRC, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaku plaintif, memfailkan writ saman pada 7 Mei lalu, mendakwa semua defendan berkomplot dan melakukan pecah amanah selain mendakwa bekas perdana menteri itu menyalahgunakan kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan.

Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), menuntut perisytiharan supaya semua defendan bertanggungjawab membayar kerugian dana pelaburan akibat penggunaan jumlah pinjaman itu selain ganti rugi am, teladan, tambahan dan faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

SRC dalam writ samannya berkata, pada Januari 2019, syarikat itu diletakkan di bawah jagaan pegawai daripada Kementerian Kewangan (pengurusan baharu).

Selepas meneliti serta menyemak rekod SRC, didapati pengarah terdahulu tidak mengambil sebarang langkah munasabah bagi memastikan pinjaman KWAP berjumlah RM4 bilion kepada SRC pada 2011 dan 2012 digunakan dengan betul bagi membiayai aktiviti pelaburan am syarikat itu dan keperluan modal kerja am.

SRC mendakwa, pengarah terdahulu tidak memantau pelupusan RM3.6 bilion kepada SRC BVI (dana pelaburan dicadangkan) kononnya bagi SRC melaksanakan aktiviti pelaburan dalam sektor sumber tenaga di luar negara.

Mereka juga gagal memantau keterdedahan kerajaan Malaysia berhubung jaminan yang diberikan kepada SRC selain gagal menyiasat tentang penyelewengan dana SRC.

"Pengurusan baharu itu mendapati sejumlah besar pengeluaran, pemindahan dan penggunaan pinjaman KWAP adalah secara penipuan atau salah," menurut syarikat itu dalam writ samannya. 

– BERNAMA

Thursday, June 20, 2019

Muhyiddin enggan ulas mesyuarat kabinet mengenai SRC

Annabelle Lee 
Diterbitkan Hari ini 7:03 malam


Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin enggan mengulas mengenai pendedahan bahawa mesyuarat kabinet yang dipengerusikan olehnya ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri telah meluluskan memorandum Kementerian Kewangan mengenai SRC International tanpa perbincangan.

"Saya tidak mahu memberi mengulas di sini," katanya ketika ditanya selepas majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Serdang hari ini.

Menjawab soalan selanjutnya sekiranya kabinet pada masa itu turut bertanggung jawab terhadap urusan itu, Muhyiddin sekali lagi enggan memberikan maklum balasnya.

"Saya tidak mahu mengulas di sini kerana hal ini adalah kes di mahkamah. (Pertanyaan) ini di luar mahkamah.

"Jadi, tunggulah apa-apa pun hasil (perbicaraan)," katanya.

Ketika perbicaraan ke SRC International minggu ini, bekas timbalan ketua setiausaha kabinet Mazidah Abdul Majid memberi keterangan bahawa jemaah menteri pada 2011 dan 2012 memberikan kuasa kepada menteri kewangan semasa itu Najib Razak untuk menentukan terma dan syarat dua pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) terhadap SRC International, berjumlah RM4 bilion.

Berdasarkan minit mesyuaratnya, Mazidah berkata Muhyiddin telah mempengerusikan mesyuarat kabinet pada 16 Mei 2012 semasa ketiadaan Najib - yang menyaksikan satu memorandum mengenai SRC diterima tanpa sebarang perbincangan.

[Baca berita penuh]

Monday, May 14, 2018

Bekas pegawai tinggi SPRM buat laporan terhadap Najib

Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@nstp.com.my
MyMetro
Utama

Bekas Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Abdul Razak Idris membuat laporan kepada SPRM terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung beberapa salah laku. FOTO BERNAMA

BEKAS pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan kepada SPRM terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung beberapa salah laku.

Bekas Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Abdul Razak Idris berkata, Najib dengan bantuan penjawat awam lain didakwa membuat halangan terhadap beberapa siasatan kes.

"Berdasarkan maklumat yang saya terima, Datuk Seri Najib menggunakan jawatan dan kedudukannya menghentikan siasatan terhadap kes Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP dan 1MDB.

"Saya membuat laporan supaya siasatan ke atas kes-kes rasuah, penggubahan wang haram dan sebagainya yang membabitkan wang KWAP dan 1MDB disiasat semula atau disambung siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Razak membuat laporan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur, dekat Jalan Cochrane, di sini, 9.30 pagi tadi.

Turut dibangkitkan dalam laporan berkenaan berhubung aset milik Najib dan keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 12:48 PM

Wednesday, April 6, 2016

PM: 1MDB tak boleh dedah butiran pinjaman RM4 bilion

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, 1MDB tidak dapat mendedahkan butiran pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP yang diberikan kepada SRC International kerana maklumat berkenaan masih belum diaudit.

"Pihak 1MDB mempunyai amalan standard di mana hanya maklumat terperinci yang telah diaudit akan dikongsi kepada umum bagi memastikan maklumat tersebut tepat dan sahih,” katanya dalam jawapan bertulis parlimen.

Beliau mengulas soalan Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (DAP-Raub) yang meminta menteri kewangan untuk menyatakan ke mana baki pinjaman RM4 bilion itu gunakan dan jika baki wang itu telah dikembalikan kepada KWAP.

Ini adalah kali kedua Mohd Ariff menyoal Najib berhubung wang KWAP yang digunakan oleh SRC International, bekas anak syarikat 1MDB mengenai pelaburan ke atas lombong arang batu di Mongolia.

"Dalam jawapan kepada soalan saya dalam sesi Parlimen dahulu (hanya) sebanyak RM10 juta dari RM4 bilion (pinjaman dari KWAP) digunakan untuk pelaburan ke atas 9projek) lombong arang batu di Mongolia.

"(Saya kini tanya) ke manakah baki dari RM4 bilion ini digunakan dan berapakah baki yang ada dalam dana ini dan sudahkah ia dikembalikan kepada KWAP," soal Mohd Ariff.

[Baca berita penuh]

Thursday, September 10, 2015

APA YANG DIJUAL, DIGADAI, DILELONG?

by admin in Newsletter, Newsletter, Press Statement

SELESAI MASALAH 1MDB DALAM 6 BULAN:
APA YANG DIJUAL, DIGADAI, DILELONG?

Saya merujuk kepada kenyataan Dato’ Seri Najib Tun Razak semalam bahawa masalah kewangan 1MDB akan diselesaikan dalam tempoh 5 bulan dari sekarang. Kenyataan beliau itu adalah konsisten dengan pengumuman kononnya proses rasionalisasi kewangan 1MDB akan mengambil masa 6 bulan sejak bulan lepas.

Sejak membawa isu 1MDB bersama-sama dengan YB Tony Pua dan Ahli Parlimen yang lain, saya tidak pernah mempersoalkan mengenai kemungkinan hutang-hutang 1MDB (yang setakat 31 Disember 2014 berjumlah RM42 bilion) itu boleh dibayar. Ada banyak cara bagaimana hutang korporat boleh dibayar dan bukanlah sukar untuk mencari jalan menyelesaikan hutang RM42 bilion itu.

Kebimbangan utama saya dan sebahagian besar rakyat yang lain ialah apakah harga yang perlu dibayar oleh rakyat demi menyelamatkan 1MDB yang bermasalah itu?

Rekod pentadbiran Barisan Nasional dalam menyelamatkan syarikat-syarikat yang berkait dengan kepentingan elit pemerintah (“ruling elite”) sejak tahun 1980an lagi telah menunjukkan bagaimana mudahnya Barisan Nasional menggunakan dana awam untuk menyelamatkan kepentingan mereka. Dahulunya, dana PETRONAS sering menjadi mangsa setiap kali ada syarikat lain yang bermasalah.

Setakat ini, rakyat telah mengetahui bahawa badan-badan pelaburan awam seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT, melalui anak syarikat) semuanya telah terdedah kepada risiko kewangan 1MDB apabila mereka ada urusniaga kewangan dengan 1MDB (sama ada dalam bentuk pinjaman yang diberikan, bon yang dipegang dan lain-lain).

Jika sebelum ini pun pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan mudahnya mengheret tabung-tabung awam ini membantu 1MDB, apakah jaminan Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa tabung-tabung ini tidak digunakan secara senyap-senyap untuk menyelamatkan 1MDB?

Saya juga sedia maklum bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak sedang berusaha untuk merundingkan urusniaga kewangan dengan bank-bank dan pihak berkuasa Negara-negara Teluk bagi tujuan membantu 1MDB. Ini mungkin sebahagian kecil dari pelbagai jalan yang diusahakan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menyuntik dana ke dalam 1MDB.

Tidak ada negara, bank atau institusi kewangan di dalam dunia ini yang akan memberikan bantuan kewangan secara percuma kepada 1MDB dalam keadaan kewangannya yang tenat seperti sekarang. Sebarang bantuan atau suntikan kewangan sudah tentu akan diberikan dengan syarat-syarat yang begitu ketat dan menguntungkan mereka sebagai timbal balik kepada risiko kewangan besar yang mereka tanggung.

Oleh yang demikian, saya bimbang apabila Dato’ Seri Najib Tun Razak menyatakan masalah kewangan 1MDB akan diselesaikan dalam tempoh 5 bulan, ini bermakna sudah ada persetujuan-persetujuan mengenai urusniaga kewangan dengan pihak ketiga yang besar kemungkinan akan merugikan rakyat.

Saya menyeru supaya sebelum sebarang urusniaga kewangan yang melibatkan suntikan dana kepada 1MDB dipersetujui, butiran setiap urusniaga kewangan itu (baik yang melibatkan Kerajaan Persekutuan, badan pelaburan milik rakyat, agensi kerajaan atau pun pihak swasta/pihak ketiga) perlulah dibentangkan secara terperinci di Parlimen dan dibahaskan terlebih dahulu.

Soalan-soalan berikut perlu dijawab secara terperinci oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak bagi setiap urusniaga kewangan itu:

Apa terma terperinci yang melibatkan tanggungan kerajaan dan rakyat?

Berapa jumlah kos keseluruhan yang melibatkan dana awam?

Adakah urusniaga itu melibatkan apa-apa harta atau tanah milik awam?

Adakah pihak yang menyuntik dana akan mendapat apa-apa kontrak atau balasan kewangan lain yang tidak berkaitan dengan 1MDB tetapi ditanggung/dianugerahkan oleh Kerajaan Malaysia atau mana-mana agensi milik Kerajaan Malaysia?

Adakah Kerajaan Malaysia memberikan sebarang jaminan untuk menanggung hutang/suntikan dana baru ini?

Siapakah individu-individu terbabit (di depan dan di belakang) yang merundingkan dan akan mendapat keuntungan dari urusniaga itu?

Proses membentangkan secara terperinci sebarang urusniaga kewangan baru melibatkan 1MDB adalah penting untuk mengelakkan berulangnya skandal-skandal yang mana harta-harta kerajaan dan jaminan kerajaan diberikan kepada 1MDB sehingga merugikan rakyat. Kita juga tidak mahu walau satu sen pun lagi dana awam diberikan kepada 1MDB selepas ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-