Showing posts with label Ketua Menteri Sabah. Show all posts
Showing posts with label Ketua Menteri Sabah. Show all posts

Monday, September 28, 2020

Hajiji pilihan tepat sebagai Ketua Menteri

MyMetro
Izwan Abdullah
am@hmetro.com.my

HAJIJI NOOR
Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan keputusan memilih Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-16 adalah paling tepat.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, keputusan itu selari dengan cadangan dan pendirian PBS ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16.

Beliau berkata, PBS yakin dengan sokongan ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji dapat melaksanakan tugasnya dengan baik berdasarkan pengalaman sebagai bekas anggota Kabinet negeri dan wakil rakyat selama tujuh penggal.

"PBS juga percaya Hajiji dapat menunaikan mandat yang diberi rakyat dan memimpin Sabah sebagai Ketua Menteri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), berkata PBS akan bekerjasama rapat dengan Hajiji dan memberikan sepenuh sokongan kepada beliau untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

"Kita yakin menerusi pembentukan kerajaan baharu di bawah GRS, kita dapat mencipta pencapaian dan rekod baharu yang boleh dibanggakan," katanya.

Pada sidang media tengah hari tadi, Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah mengumumkan beliau disokong sebulat suara oleh wakil rakyat GRS untuk memegang jawatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 4:31 PM

Sunday, September 27, 2020

Umno, Bersatu berebut mahu jadi Ketua Menteri Sabah?

Oleh FAZLI RADZI
malaysiadateline.com
September 27, 2020 8:24 pm

Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin meminta tempoh dalam masa terdekat untuk memutuskan Ketua Menteri baharu Sabah.

Pelantikan tersebut dilihat menemui jalan buntu walaupun empat pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah memasuki pekarangan Istana Negeri petang tadi.

Mereka ialah Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor; Setiausaha Agung Bersatu Sabah, Datuk Jahid Jahim dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Kehadiran pimpinan terbabit dipercayai untuk mengemukakan nama calon penyandang jawatan Ketua Menteri Sabah baharu kepada Tun Juhar.

Terdahulu, pemimpin GRS yang membabitkan kerjasama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu bertemu kira-kira dua jam membincangkan Ketua Menteri baharu.

Difahamkan Umno dan Bersatu sedang berebut mahu menjadi Ketua Menteri Sabah.

Ekoran itu, sehingga malam ini, masih belum ada pengumuman siapa Ketua Menteri Sabah yang baharu selepas GRS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan majoriti mudah.

Difahamkan selain 38 kerusi yang dimenangi GRS, tiga Adun bebas turut menyokong penubuhan kerajaan baharu.

Hal itu menjadikan gabungan tersebut mempunyai kelebihan sembilan kerusi berbanding Warisan Plus yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Tiga Adun tersebut ialah Rubin Balang (Kemabong), Ruddy Awah (Pitas) dan Masiung Banah (Kuamut).

Selain nama Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah dan Pengerusi PN Sabah, Hajiji, nama bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak juga antara yang disebut bakal memimpin negeri itu.

Salleh memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Usukan menewaskan pencabarnya, Cikgu Abdul Bahkrin Mohd Yusof daripada Warisan dengan majoriti 4,298 undi.

Salleh sebelum ini pernah dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah kesembilan dari 27 Disember 1994 hingga 28 Mei 1996.

PN, BN, sekutu ada 41 kerusi, mahu angkat sumpah KM hari ini - Sumber

Kow Gah Chie
malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 12:53 pm

Mesyuarat para pemimpin Gabungan Rakyat Sabah di Hotel Magellan Sutre di Kota Kinabalu mendedahkan PN, BN dan sekutunya sekarang memiliki 41 kerusi DUN dan mahu calon mereka mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah yang baru hari ini.

Bagaimanapun, sumber parti memberitahu Malaysiakini setakat tengah hari ini, gabungan itu masih belum dapat mengesahkan calon ketua menteri mereka.

Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin dilihat di hotel itu dan hanya berjalan ke bilik mesyuarat diiringi Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Terdahulu, parti itu diwakili Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Bersatu Sabah Hajiji Mohd Noor dan pemipin Umno Bung Moktar Radin antara yang disebut-sebut sebagai calon ketua menteri dan apabila telah diputuskan kemudian, para pemimpin GRS bercadang untuk ke istana negeri bagi mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Sementara itu, sumber juga memberitahu Malaysiakini sebagai tambahan kepada 38 kerusi yang dimenangi GRS semalam, tiga lagi calon bebas yang menang juga akan menyokong kerajaan baru.

Ini memberikan majoriti 41 berbanding 32 kerusi milik Warisan Plus yang diterajui Mohd Shafie Apdal.

Tiga Adun bebas itu ialah Rubin Balang (Kemabong), Ruddy Awah (Pitas) dan Masiung Banah (Kuamut).

Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menang tujuh kerusi DUN dikatakan tidak hadir mesyuarat tengah hari ini tetapi telah mengeluarkan kenyataan menafikan parti itu bekerjasama dengan gabungan Warisan Plus.

Para pemimpin yang bermesyuarat berehat sebentar untuk makan tengah hari pada jam 1 tadi.

Pemimpin PN diketuai Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin keluar meninggalkan pemimpin BN di dalam bilik mesyuarat.

Hamzah dilaporkan kelihatan serius dan kumpulannya sedang menikmati hidangan makan tengahari di bilik bersebelahan bilik mesyuarat tadi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Annuar Musa berkata di Twitter bahawa semua 41 Adun GRS plus bertemu untuk pertama kali pada hari ini.

Wednesday, November 7, 2018

Mahkamah tolak saman Musa, Shafie kekal ketua menteri

Diterbitkan 7 Nov 2018, 4:34 petang


Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini memutuskan Datuk Seri Mohamad Shafie Apdal kekal sebagai ketua menteri Sabah.

Menurut The Borneo Post, mahkamah menolak saman pemula yang difailkan Tan Sri Musa Aman terhadap Shafie dan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Musa sebelum ini memfailkan saman antaranya bagi memohon mahkamah mengeluarkan perintah mengisytiharkan beliau sebagai ketua menteri yang sah.

Musa yang juga bekas ketua menteri negeri itu diarahkan membayar kos RM15,000 kepada Tun Juhar dan Shafie, kata laporan itu lagi.

Pada 10 Mei lalu, iaitu sehari selepas PRU ke-14, Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri selepas mendapat majoriti mudah di DUN.

Bagaimanapun beliau hilang majoriti selepas beberapa ADUN dari Umno dan satu lagi komponen BN, Upko, menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang dipimpin Shafie.

Shafie kemudian mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 12 Mei.

Pada Jun lalu,Musa memfailkan saman pemula bagi mendapatkan perintah mahkamah mengisytiharkannya sebagai ketua menteri yang sah.

Selain itu, beliau juga memohon pengisytiharan bahawa tiada penarikan balik atau pembatalan dalam pelantikannya, serta pengisytiharan bahawa Juhar bertindak tidak mengikut perlembagaan dalam melantik Shafie.

Musa sebelum ini mencuri perhatian apabila 'menghilangkan diri' sejak 14 Mei lalu.

Kira-kira sebulan kemudian, Musa muncul dengan mengatakan beliau ke United Kingdom pada 16 Mei bagi mendapatkan rawatan, dan pulang ke negara pada 21 Ogos.

Pada 5 November lalu, Musa dihadapkan dengan 35 pertuduhan rasuah berkaitan kontrak pembalakan membabitkan RM263 juta.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Tuesday, January 23, 2018

Musa: RM1 bilion peruntukan terbesar untuk sekkolah di Sabah

Tracy Patrick
January 22, 2018

Ketua menteri Sabah berkata dana kerajaan persekutuan menyokong usaha kerajaan memperkasa pendidikan di negeri itu.

KOTA KINABALU:
Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata RM1 bilion dari Putrajaya untuk baik pulih sekolah di negeri itu merupakan dana terbesar yang pernah diterima setakat ini bagi tujuan itu.

Beliau berkata peruntukan itu menyokong usaha kerajaan negeri memperkasa pendidikan.

“Saya menghargai peruntukan itu kerana iniah dana yang kita nanti-nantikan, terutamanya jabatan pendidikan,” katanya selepas program bicara profesionalisme pendidikan peringkat negeri dan penyerahan bantuan awal persekolahan di Libaran, Sandakan hari ini.

Tuduhan pembangkang baru-baru ini, terutamanya Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Shafie Apdal, seolah mendakwa kerajaan negeri tidak berusaha sebaik mungkin untuk pendidikan.

Shafie dilaporkan berkata beberapa sekolah di Sabah kekurangan dana sehingga terpaksa memohon bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Bekas naib presiden Umno itu turut mencemuh sumbangan beg sekolah dari Barisan Nasional untuk kanak-kanak, dan berkata ketika komunikasi moden tersedia di bandar-bandar, sekolah-sekolah luar bandar dalam keadaan daif sehinggakan para ibu bapa tidak mampu menyediakan barangan asas untuk anak-anak mereka.

Musa tidak mahu melayan kritikan itu dan cuma menjelaskan RM1 bilion itu akan dibelanjakan untuk baik pulih sekolah melalui kaedah sistem binaan berindustri (IBS) menggantikan struktur kayu sedia ada.

Program itu, yang akan dijalankan dalam 2 fasa, bakal menyaksikan RM500 juta dibelanjakan tahun ini di 4 daerah iaitu Sandakan, Beluran, Telupid dan Kinabatangan, sementara RM500 juga lagi akan dibelanjakan tahun depan.

Musa berkata peruntukan besar itu menunjukkan kerajaan negeri dan persekutuan komited pada pendidikan.

“Di pihak kerajaan negeri, kita akan minta semua sumber untuk bantu bangunkan Saah supaya anak-anak kita boleh berkembang maju,” katanya.

Kerajaan bukan sahaja prihatin dengan keadaan bangunan, tetapi juga tidak melupakan kebajikan para pelajar, kata Musa, yang juga Adun Sungai Sibuga.

Beliau berkata kerajaan negeri menyediakan banyak program seperti bantuan awal persekolahan yang memberikan RM100 kepada para pelajar yang layak untuk membantu mereka memulakan tahun persekolahan dan pemberian beg sekolah percuma oleh kerajaan negeri.

“Menyediakan beg sekolah kepada pelajar bertujuan meringankan beban ibu bapa. Ini cara kita membantu rakyat kerana kerajaan BN mahu anak-anak kita berjaya,” katanya.

Beliau menambah hab pendidikan di daerah itu akan memudahkan akses kepada pendidikan tertiari untuk penduduk tanpa perlu berhijrah ke daerah lain yang memerlukan belanja yang besar.

Di samping itu, lebih banyak pusat pendidikan dan latihan tidak lama lagi akan membuka pintu kepada belia Sabah dengan lebih banyak lagi tawaran kemahiran dan latihan.

Kunjungan Najib

Bercakap tentang kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke kawasan pedalaman minggu lepas, Musa berasa bangga mendengar pencapaian di daerah-dearah itu.

“Semasa saya menjadi pengarah Yayasan Sabah, kami bina banyak asrama di kampung-kampung untuk manfaat para pelajar kita.

“Sekarang, asrama-asrama itu diambil alih oleh jabatan pendidikan dan saya gembira kerana inilah tanggungjawab bersama, iaitu menyediakan kemudahan untuk anak-anak kita di sekolah,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada kerajaan persekutuan dan Kementerian Pendidikan untuk program bantuan awal persekolahan itu.

“Ia sangat bermakna buat anak-anak kita. Di Sabah, kita diberi RM38 juta untuk perkara itu dan membuktikan kesungguhan kerajaan persekutuan menyokong pendidikan di negara ini,” katanya.

Musa menambah prestasi sekolah-sekolah di Sabah di kawasan bandar dan luar bandar bertambah baik dengan mendadak sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Maimunah Suhaibul berkata jabatan itu bekerja keras mencapai sasaran pengambilan 90% guru tempatan, dan percaya ia boleh dicapai pada 2019.

Beliau berkata, rakyat Sabah membentuk 84.1% guru di sekolah rendah manakala di sekolah menengah, 77.7% guru adalah anak tempatan.

Tahun lepas, jabatan melantik 557 guru interim termasuk 334 individu dengan pilihan untuk mengajar pendidikan Islam.

Jabatan itu akan melantik 199 guru interim untuk sekolah-sekolah menengah dan 145 guru interim untuk sekolah-sekolah rendah tidak lama lagi.

Tuesday, November 7, 2017

Tak perlu taktik alih perhatian, Musa Aman beritahu Shafie Apdal

FMT Reporters
November 7, 2017

Ketua menteri Sabah berkata beliau sendiri tidak boleh menghalang mana-mana orang yang mesra dengan pembangkang menerima projek.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hari ini membidas Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal kerana menggunakan taktik untuk mengalihkan perhatian daripada penglibatan dalam siasatan rasuah.

Menjawab sindiran Shafie di Dewan Rakyat hari ini mengaitkan beliau dengan kronisme, Musa mencabar ahli Parlimen Semporna itu berdepan siasatan seperti orang yang budiman jika tidak melakukan kesalahan.

“Shafie perlu membiarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan tugas menyiasat dakwaan rasuah melibatkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah semasa beliau berkhidmat sebagai menteri,” kata Musa dalam kenyataan.

Musa menasihatkan Shafie agar lebih bertenang menangani siasatan itu daripada melempar tuduhan dan cuba membabitkan orang lain.

“Tidak perlu panik,” katanya.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan kalau kamu tidak salah seperti peribahasa Melayu, ‘berani kerana benar, takut kerana salah’.”

Musa berkata sehingga hari ini beliau tidak mengulas kes itu walaupun diserang secara terbuka dalam wacana politik dan media sosial.

Beliau juga memulangkan tuduhan itu kepada Shafie.

“Bagaimanapun, hari ini saya terpanggil untuk berkata sesuatu kerana di Parlimen dia cuba membabitkan saya dengan mengatakan seseorang yang mempunyai hubungan dengan saya mendapat projek,” kata Musa.

“Saya tidak tahu menahu mengenai projek itu. Saya ada keluarga yang besar. Saya tiidak boleh halang mereka yang mesra dengan Shafie daripada mendapat projek.”

Musa berkata Shafie harus lebih berkelakuan seperti seorang budiman dan tidak menggunakan kekebalan Parlimen dan taktik untuk mengalihkan perhatian daripada dirinya.

SPRM menahan individu daripada pihak parti pemerintah dan pembangkang dalam siasatan ke atas kes rasuah di negara ini, kata Musa.

“Isu kononnya kes ini bermotifkan politik tidak timbul kerana SPRM menahan orang daripada parti pemerintah dalam banyak kes lain.”

Beliau berkata SPRM harus dibiarkan menjalankan siasatan rasmi tanpa gentar atau pilih kasih dan tentu sekali tanpa drama daripada orang yang terlibat dalam kes itu.

“Mungkin sesetengah orang ada masa untuk merungut atau gembar-gembur tetapi bukan saya kerana saya ada sebuah negeri untuk dijaga,” katanya.

Awal hari ini, di Dewan Rakyat, Shafie mendakwa loji rawatan air (LRA) RM48 juta di Semporna yang sedang disiasat SPRM diberi kepada ahli keluarga Musa.

Presiden Warisan itu berkata demikian bagi menafikan dakwaan projek itu dikaitkan dengan syarikat proksi beliau.

“Tender dibuka. Yang dapat projek anak buah Musa Aman. Syarikat dia. Antara lain, perunding yang melakukan projek itu ialah setiausaha perhubungan Pemuda Umno Sabah sekarang,” katanya semasa membahaskan Bajet 2018.

Menurut Shafie, LRA itu dinaik taraf dan siap tahun lalu, namun projek RM48 juta itu tidak mencapai kualiti sepatutnya dan gagal berfungsi ekoran kekurangan air.

Projek LRA Sungai Intan dikatakan antara 70 projek yang disiasat SPRM dalam siasatan ke atas dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion daripada dana yang diperuntukkan kementerian untuk projek luar bandar di Sabah.

Projek yang dilaksanakan dari 2009 hingga 2015 itu ketika Shafie memegang portfolio itu.

Shafie berkata projek LRA tidak mungkin diteruskan tanpa persetujuan kerajaan negeri dan persekutuan.

“Macam mana ia diselesaikan? Datang tohmahan kononnya ia merupakan syarikat proksi kepada Shafie dan saya memegang 20% syer,” katanya.

Shafie turut melafazkan sumpah taklik di dalam Dewan Rakyat.

“Wallahi Wabillahi Watallahi dengan nama Allah yang Maha Kuasa saya tidak tuduh sesuatu perkara. Ini adalah realiti. Saya berharap agar perubahan kerajaan berlaku dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Saturday, June 17, 2017

Hanya BN akan terus khidmat selepas PRU

Musa Aman
NABAWAN - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman optimis bahawa selepas pilihan raya akan datang hanya Barisan Nasional (BN) yang mampu bertahan meneruskan perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, parti-parti politik pembangkang sama ada yang lama atau baharu ditubuhkan akan senyap dan menyepi apabila selesai sahaja pilihan raya.

"Percayalah bahawa dengan kehadiran parti-parti pembangkang yang muncul seperti cendawan di waktu hujan, akan lenyap selepas hujan berhenti," katanya ketika berucap pada Majlis Program Iftar Umno Zon 4 dan Perasmian Masjid Al-Hidayah, Pekan Nabawan, di sini malam ini.

Justeru, Musa mengingatkan rakyat di Pensiangan, Keningau, Tenom dan Ranau agar sentiasa berwaspada dan tidak terpengaruh serta terkeliru dengan dakyah-dakyah yang dimainkan oleh parti pembangkang.

Katanya, BN tidak gentar dengan kemunculan parti-parti pembangkang di Sabah kerana yakin dengan sokongan rakyat terhadap BN, termasuk penduduk Pensiangan, di mana masyarakatnya adalah bersatu.

"Apa juga perayaan di sini (Pensiangan), apa juga perjumpaan di sini saya dapati kehadiran yang begitu ramai... saya sangat kagum dengan rakyat di sini," katanya.

Musa juga mengingatkan rakyat di daerah ini supaya menghindarkan diri daripada dihinggapi sikap negatif seperti iri hati dan dengki kerana matlamat kepimpinan BN ialah untuk memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid serta Ketua Bahagian Umno Zon 4 iaitu Datuk Sairin Karno (Keningau), Datuk Ghani Yassin (Pensiangan), Datuk Seri Masidi Manjun (Ranau) dan Datuk Rubin Balang (Tenom).

Pada majlis itu, Musa turut merasmikan Masjid Al-Hidaya Pekan Nabawan yang berharga RM2 juta, selain meluluskan peruntukan pembinaan bilik jenazah serta perparitan masjid baharu itu.

Musa turut menyampaikan sumbangan kepada 13 cawangan kelas bimbingan saudara baharu di daerah Sook dan sembilan cawangan daerah Nabawan.

- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-