Showing posts with label Makkah. Show all posts
Showing posts with label Makkah. Show all posts

Saturday, July 30, 2022

Majlis bacaan doa buka tirai tahun 1444H

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Jul 30, 2022

Majlis bacaan doa membuka tirai tahun baru Islam 1444 Hijrah sebagai tanda kesyukuran serta menghayati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah yang menjadi titik sejarah penting tamadun Islam.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1444H/2011M dan majlis bacaan Yasin sempena Hari Pahlawan di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur yang turut dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Majlis itu dimulakan dengan bacaan Yasin dan doa selamat diikuti bacaan doa akhir dan awal tahun dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Majlis diteruskan dengan solat fardhu maghrib dan solat hajat.

Di Kelantan, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan berangkat ke majlis sambutan Hijratul Rasul peringkat negeri Kelantan di Masjid Al-Sultan Ismail Petra dekat Kubang Kerian.

Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menganugerahkan Tokoh Hijratul Rasul kepada bekas pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) Kelantan Dr Mohd Zain Mahmood.

Di Negeri Sembilan, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir berkenan merasmikan sambutan Ma’al Hijrah peringkat negeri di Masjid Negeri yang turut dihadiri Menteri Besar Aminuddin Harun.

Di Selangor, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi Facebook rasmi Selangor Royal Office bertitah supaya umat Islam memperbaharui azam untuk menjadi lebih kreatif dan berinovasi dalam menghadapi dunia yang kian mencabar.

“Mengambil semangat dari pertukaran tahun baru ini merupakan peluang yang terbaik menanamkan semangat untuk berubah serta memperbaiki diri atau keadaan kita kepada yang lebih baik, sama ada sebagai individu, keluarga, jabatan, masyarakat mahupun negara,” titah baginda.

Di Johor, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda menyeru umat Islam menyambut tahun baru Hijrah dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

“Marilah kita menyambut tahun baru ini dengan penuh keimanan dan ketakwaan agar seluruh masyarakat Islam di negeri Johor ini terus diberkati Allah SWT dan hidup dalam keadaan harmoni dan sihat sejahtera,” titah baginda.

-Bernama

Saturday, October 31, 2020

Masjidil Haram diserang, dirempuh dengan kereta [Video]

mykmu.net
October 31, 2020


JEDDAH – Sebuah kereta merempuh pagar Masjidil Haram di Makkah awal hari ini, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Haramainfo dalam ciapannya di Twitter memaklumkan, insiden itu berlaku pada jam 10 pagi (waktu tempatan) di Pintu 89.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan kereta tersebut dipandu laju sebelum merempuh pagar di lokasi kejadian.

Anggota keselamatan bergegas ke lokasi kejadian dan menutup kawasan tersebut.

Semua jemaah yang berada di kawasan tersebut dilaporkan selamat.

Pemandu kereta terbabit telah ditahan dan aktiviti di Masjidil Haram berjalan seperti biasa.

Setakat ini, pihak berkuasa Arab Saudi belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan. – Agensi

Saturday, July 4, 2020

Kes positif COVID-19 di Arab Saudi lepasi angka 200,000

Kes COVID-19 di Arab Saudi melepasi angka 200,000. 
- Foto AFP

RIYADH: Kes jangkitan COVID-19 di Arab Saudi melepasi angka 200,000, menurut Kementerian Kesihatan negara itu pada Jumaat.

Peningkatan kes itu berlaku beberapa minggu menjelang musim haji tahun ini.

Negara yang paling teruk terjejas di Teluk itu merekodkan 201,801 kes jangkitan termasuk 4,193 kes baharu pada Jumaat dan 1,802 kematian.

Lebih 140,000 yang dijangkiti disahkan sembuh.

Ketika pelbagai sekatan dikuatasakan bagi mengekang penularan pandemik, kerajaan negara itu hanya membenarkan sekitar 1,000 jemaah menunaikan ibadat haji tahun ini.

Jumlah itu jauh daripada angka yang direkodkan musim lalu apabila lebih 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia menunaikan ibadat berkenaan.

Ibadat haji tahun ini akan dilaksanakan di bawah protokol kebersihan yang ketat, dengan akses terhad kepada jemaah haji di bawah usia 65 tahun dan tanpa penyakit kronik.

Jemaah haji akan menjalani ujian saringan sebaik ketibaan mereka di kota suci Makkah dan setelah melakukan ibadat itu, mereka akan menjalani kuarantin di rumah.

Arab Saudi merekodkan peningkatan bagi kes jangkitan dan kematian akibat pandemik itu sejak melonggarkan sekatan pergerakan pada akhir Mei.

 - AFP

Tuesday, June 16, 2020

Covid-19: Lebih 1,000 orang maut di Arab Saudi

MyMetro
Global

FOTO fail pada 3 April menunjukkan keadaan di Masjidilharam. FOTO AFP
AFP

Riyadh: Jumlah kematian akibat Covid-19 di Arab Saudi melebihi 1,000 kes semalam, ketika beberapa minggu lagi menjelang musim haji.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan negara itu, angka kematian meningkat kepada 1,011 orang selepas jumlah jangkitan meningkat menjadi 132,048 kes.

Jumlah jangkitan meningkat selepas pihak berkuasa melonggarkan sekatan, dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 untuk hari kedua berturut-turut bermula Isnin.

Unit Rawatan Intensif di hospital Riyadh dan Jeddah penuh dengan pesakit koronavirus, yang memberi tekanan kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara itu.

Awal bulan ini, kerajaan mengumumkan penutupan semula Jeddah, pintu masuk khas untuk umat Islam menunaikan ibadah umrah dan haji ke Makkah.

Langkah itu termasuk larangan pergerakan bermula 3 petang hingga 6 pagi, penangguhan solat di masjid dan perintah tinggal di rumah untuk pekerja sektor awam dan swasta.

Selepas melonggarkan beberapa sekatan, kerajaan pada akhir Mei lalu mengatakan sekatan akan dibuat semula selepas peningkatan kes secara mendadak.

Kerajaan mengatakan ziarah "umrah" sepanjang tahun ke Makkah dan Madinah akan ditangguhkan kerana bimbang wabak koronavirus merebak di kota suci umat Islam.

Pihak berkuasa belum mengumumkan apakah mereka akan menangguhkan haji tahun ini yang dijadualkan pada akhir Julai.

Tetapi, Arab Saudi menggesa umat Islam untuk sementara waktu menangguhkan persiapan untuk menunaikan haji tahunan.

Tahun lalu, kira-kira 2.5 juta orang menunaikan haji dari seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 11:54 AM

Thursday, February 27, 2020

Arab Saudi gantung kemasukan jemaah umrah

MyMetro
Utama
AFP
MAKKAH. FOTO AFP

Riyadh: Arab Saudi menggantung kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi, Madinah, untuk sementara waktu.

Kementerian Luarnya dalam satu kenyataan berkata, langkah itu susulan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) ke Timur Tengah.

“Kerajaan menggantung kemasukan ke negara untuk jemaah mengerjakan umrah dan melawat Masjid Nabi untuk sementara waktu,” katanya.

Kerajaannya turut menggantung kemasukan ke Arab Saudi bagi pemegang visa pelancongan dari negara yang berdepan ancaman Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 8:26 AM

Sunday, May 19, 2019

Kepanasan ekstrem di Makkah

admin 
19/05/2019

41 darjah Celsius dicatat di kota suci berbanding bandar lain

 
Orang ramai dinasihat mengelak daripada terdedah kepada cuaca panas ekstrem ketika berada di Makkah.

MAKKAH, 14 Ramadan 1440H, Ahad – Suhu di seluruh Arab Saudi mula melonjak dan dijangka kekal tinggi untuk beberapa bulan akan datang.

Agensi Meteorologi dan Perlindungan Alam Sekitar negara itu berkata, suhu yang dicatatkan semalam mencecah 36 darjah Celsius di Jeddah; Riyadh (38 darjah); Dammam (39 darjah); dan Hafr Al-Batin (40 darjah).

“Kota terpanas di Arab Saudi hari ini ialah Makkah di mana ia mencatatkan 41 darjah Celsius,” kata agensi itu, hari ini.

Suhu melebihi 40 darjah Celsius dianggap panas yang ekstrem.

Agensi itu juga meramalkan hujan dan guruh serta angin kencang di Najran; Jazan; Asir; Baha; Riyadh; Qassim; Al-Jouf; dan wilayah di sempadan utara negara itu.

Angin kencang itu akan menyebabkan ‘ribut debu’, yang mengurangkan jarak penglihatan.

“Angin di Laut Merah dijangka mencatatkan kelajuan antara 18 hingga 40 kilometer sejam,” kata agensi itu.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya jemaah umrah yang mula memenuhi kota ini dinasihatkan mengelak daripada terdedah kepada panas matahari kerana ia akan menyebabkan dehidrasi.

Orang ramai juga dinasihatkan mengambil banyak cecair selepas berbuka puasa untuk mengimbangi kehilangan air pada siang hari. 

Agensi

Friday, April 19, 2019

Tak wajar cadang tutup Tabung Haji

Sinar Harian
April 19, 2019 07:14 MYT

TH merupakan institusi contoh kepada negara Islam lain dari sudut pengurusan jemaah haji dan kewangan.

SHAH ALAM: Cadangan supaya Tabung Haji (TH) ditutup disebabkan kelemahan pengurusan adalah tidak wajar kerana pertimbangan tersebut hanyalah berdasarkan kepada kebimbangan terhadap kualiti manusia yang menjalankan tugas.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, mengambil contoh permulaan Transit Aliran Ringan (LRT), ia berdepan masalah dan kerajaan membantu dengan memberikan suntikan dana kerana wujud kelemahan penilaian dalam soal penjualan tiket serta jumlah kos projek.

"Namun, projek tersebut pada hari ini memberikan pulangan selain menyediakan perkhidmatan awam yang dinikmati rakyat," katanya dalam Wacana Sinar Harian bersama Profesor Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali; Profesor dan mantan Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Nazari Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Arba Foundation, Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator.

Berikut ulasan penuh beliau dalam siri wacana yang berlangsung semalam:-

"Ini isu yang berlaku dalam semua industri termasuklah TH. Ia juga adalah perkara pada pandangan saya mempunyai hubungan dengan pasaran yang mengancam. Selain itu mungkin timbul kecuaian dalam isu pengurusan TH yang sepatutnya boleh dibaiki. Sepatutnya, apabila berlaku sesuatu masalah kita tidak boleh ketepikan TH. Sebagai manusia, Nabi Adam turut diberikan peluang kedua.

Dalam konteks TH, pimpinan baharu telah merangka pelan pemulihan dengan salah satu caranya adalah akan melaksanakan kaedah pelaburan sama seperti syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Saham Malaysia.

Mereka akan sediakan laporan bagi setiap bulan untuk melihat liabiliti aset TH dengan kata lain kita sebagai manusia boleh menjangkakan apakah hibah yang diperoleh lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga setahun.

Ada langkah-langkah pemulihan yang dijalankan oleh TH bagi menutup lompong-lompong yang dilakukan oleh manusia lepas.

Kalau TH selama ini telah lakukan satu kesilapan teknikal iaitu banyak melabur dalam pasaran saham seperti 70 peratus dalam aset berisiko tinggi dan 30 peratus dalam pelaburan simpanan tetap.

Kalau kita lihat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mereka lakukan sebaliknya, di mana pelaburan dalam simpanan tetap adalah 70 peratus.

TH bukan sama seperti syarikat-syarikat yang tersenarai dalam pasaran saham yang perlu tingkatkan nilai saham mereka.

Pada saya selaku penganalisis ekonomi, TH yang lepas tidak menghormati satu mantera pengurusan aset yang baik dan berhemah tinggi.

Kalau selama ini mereka letakkan 70 peratus pelaburan dalam simpanan tetap dan jika pasaran saham teruk, TH tidak akan berdepan dengan situasi seteruk ini. Berdasarkan laporan yang saya baca tiga hari lepas, pulangan saham di Malaysia pada 2018 hanya dua peratus sahaja.

Malah banyak tabung-tabung berasaskan ekuiti pulangan mereka lebih rendah berbanding dengan simpanan tetap di bank.

Hari ini pasaran saham di negara kita, pulangannya adalah negatif berbanding negara-negara Indonesia, Thailand dan sebagainya.

Cadangan saya, kalau boleh kerajaan kena bantu lagi dengan beri kupon bernilai satu atau dua peratus untuk simpanan.

Suntikan dalam bentuk sukuk itu tidak mampu membantu TH untuk masa hadapan bagi membina keuntungan untuk memberi hibah paling kurang tiga hingga empat peratus supaya pendeposit rasa selesa dengan pulangan simpanan mereka," katanya.

Mengulas mengenai peranan TH bermula 1969, Mohd Daud mengakui ia adalah institusi contoh kepada negara-negara Islam lain dari sudut pengurusan jemaah haji dan kewangan.

"Kalau kita lihat apa yang berlaku sebelum itu, datuk dan nenek kita terpaksa mengerjakan haji secara sendiri kerana tidak ada satu organisasi cekap menguruskan penempatan, pengangkutan, insuran, makan, minum dan sebagainya di Makkah.

"Selain itu, ia menjadi satu keperluan menabung kepada bakal-bakal jemaah haji untuk mereka menyiapkan simpanan mereka.

"TH datang tepat pada masanya untuk menguruskan dua perkara iaitu pengurusan urusan haji di Tanah Arab dan penabungan yang ada konsep hibah.

"Hibah adalah subsidi haji di mana pelaburan yang dibuat oleh TH ada keuntungan dan dapat diberikan kepada mereka yang tidak mampu.

"Dari segi kontrak syariahnya, pada pandangan saya pada 1969 mungkin tidak ada konsep yang jelas mengenai penabung dengan TH. Konsep ketika itu adalah menerima wang sebagai amanah untuk dilaburkan secara patuh syariah.

"Ia boleh disebutkan bahawa TH pada tahun tersebut seperti Bank Islam cuma mereka tidak boleh beri pinjaman sahaja. TH terkeluar daripada Akta Bank iaitu Akta Institusi Kewangan Islam.

"Apa yang menarik tentang TH adalah tidak terikat dengan Akta Syarikat tetapi boleh mengambil wang dan Akta Pasaran Modal 2007.

"Ia ada akta tersendiri seperti badan berkanun sama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi melaburkan wang pendeposit dengan tidak ada syarat untuk beri hibah tetapi mengikut budi bicara TH," katanya.

Thursday, December 8, 2016

1MDB hantar penghulu bertuah ke Makkah

Shakira Buang
Berita gembira untuk penghulu di seluruh negara yang belum mengerjakan haji.

Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan - melalui Yayasan 1MDB - akan menaja ketua-ketua kampung menunaikan rukun kelima Islam di Makkah.

Katanya penghulu terpilih juga akan diberi sumbangan berbentuk wang tunai untuk perbelanjaan mereka di Tanah Suci.

"Saya nak umumkan, penghulu yang belum naik haji saya nak tawarkan beberapa tempat melalui urusetia program haji 1MDB.

"Kita akan biaya sepenuhnya mereka menunaikan haji dan dapat lagi wang tunai sebagai sumbangan," kata Najib di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Najib berucap di majlis ucaptama dan perasmian penutup Seminar Jati Diri dan Memperkasakan Institusi Penghulu di bangunan Ibu Pejabat Umno itu.

Tuesday, September 13, 2016

5 jemaah haji Malaysia tidak dapat laksana wukuf

Lima jemaah haji Malaysia tidak dapat melaksanakan ibadat wukuf berikutan masalah kesihatan yang serius.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata semua mereka berusia antara 39 tahun dan 87 tahun, membabitkan empat lelaki dan seorang wanita.

"Mereka mengalami masalah pernafasan dan pendarahan otak. Mereka kini menerima rawatan rapi di hospital Arab Saudi," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) Syisyah, di Makkah, hari ini.

Jamil Khir berkata, TH memberi jaminan semua pesakit itu akan diberikan keutamaan untuk mengerjakan ibadat haji sekali lagi pada masa hadapan.

Selain itu, Jamil Khir berkata, jumlah kematian jemaah haji negara yang direkodkan sehingga hari ini adalah 10 orang.

Daripada jumlah itu tujuh kematian itu berlaku di Makkah, dua ketika di Madinah, manakala seorang ketika di tanah air.

Katanya, kematian terbaharu dilapaorkan semalam membabitkan seorang lelaki yang meninggal dunia ketika mabit di Muzdalifah.

Penerbangan pulang haji bermula Sabtu ini

Pada sidang media itu, beliau juga memberitahu wartawan bahawa penerbangan pertama yang membawa pulang jemaah haji Malaysia dijadualkan, Sabtu ini.

Jamil Khir, berkata mereka terdiri daripada 450 jemaah haji melalui penerbangan KT02.

"Semua jemaah haji pertama itu akan berlepas dengan penerbangan Saudi Arabia SV5644.

"Mereka akan berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah ke Kuala Lumpur pada jam 10 malam waktu tempatan (3 pagi, Ahad waktu Malaysia)," katanya.

Seramai 22,320 jemaah haji negara menunaikan haji pada musim haji kali ini.

- Bernama

Thursday, September 24, 2015

220 jemaah dikhuathiri mati, 450 lagi cedera dalam rempuhan

Pasukan penyelamat Arab Saudi sedang menyelamatkan jemaah di Mina, di luar bandaraya suci Mekah. – Gambar Reuters, September 24, 2015.

Lebih kurang 220 orang jemaah dikhuatiri terbunuh dan 450 lagi cedera apabila jemaah haji berempuh-rempuhan semasa mengerjakan ibadah haji di Arab Saudi, hari ini.

Kejadian rempuh-rempuhan itu berlaku apabila bilangan besar jemaah berasak-asak di Mina, di luar bandaraya suci Mekah.

Lebih kurang dua juta orang kini mengerjakan ibadah haji di Arab Saudi, kata pihak berkuasa pertahanan awam Arab Saudi.

Kejadian itu berlaku di Street 204 di pusat perkhemahan Mina, beberapa kilometer ke timur Makkah, di mana jemaah lazimnya menginap beberapa hari sebelum cara kemuncak musim haji bermula. – Bernama, 24 September, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/220-jemaah-dikhuathiri-mati-450-lagi-cedera-dalam-rempuhan#sthash.RAfwAfTb.dpuf

Sunday, September 13, 2015

Rusiah jemaah haji Malaysia pertama sah terkorban

Bernama
Lembaga Tabung Haji mengesahkan Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak adalah mangsa pertama yang dikenal pasti terkorban dalam kejadian kren tumbang di Makkah, Jumaat lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pengesahan itu dibuat oleh pasukan Lembaga Tabung Haji yang berada di sana.

"Pasukan Tabung Haji dibenar buat pengecaman jenzah melalui 108 gambar yang dipaparkan oleh pihak berkuasa," katanya dalam satu sidang media di Kelana Jaya hari ini.

Rusiah antara lapan jemaah Haji Malaysia yang sebelum ini dilaporkan hilang susulan insiden kren tumbang itu.

Tujuh lagi jemaah yang gagal dikesan sehingga kini ialah Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah; Shahidan Saad, 52, (Kodiang, Kedah); Zainun Taha, 69, (Ampang, Selangor); Rohana Ismail, 54, (Kuala Krai, Kelantan); Munah Jusoh, 73, (Cherang Ruku, Kelantan); Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, (Tanah Merah, Kelantan) dan Abdul Muluk Ishak, 71, (Pantai Remis, Perak).

- Bernama

Saturday, September 12, 2015

Kren tumbang di Mekah: Dua lagi turut hilang, jadikan lapan jemaah gagal dikesan

Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan di sini berkata jumlah terkini itu diperoleh selepas pemeriksaan dilakukan dari bilik ke bilik di semua sembilan bangunan penempatan jemaah haji Malaysia sejak semalam.

KUALA LUMPUR, 12 September:

Dua lagi dilaporkan hilang sejak kejadian kren tumbang di Masjidil Haram semalam, menjadikan jumlah jemaah haji yang gagal dikesan kepada lapan orang.

Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan di sini berkata jumlah terkini itu diperoleh selepas pemeriksaan dilakukan dari bilik ke bilik di semua sembilan bangunan penempatan jemaah haji Malaysia sejak semalam.

Sebelum ini, enam nama disenaraikan hilang selepas kejadian itu yang turut mencederakan enam jemaah haji Malaysia itu, selain mengorbankan lebih 100 jemaah lain.

“Dua lagi jemaah yang dilaporkan hilang itu ialah Abdul Muluk Ishak, 71, berasal dari Pantai Remis, Perak, dan Susiah Suar, 56, berasal dari Gunung Besout 2, Sungkai, Perak,” kata kenyataan TH di sini.

Dalam kenyataan sebelum ini, enam jemaah yang hilang itu ialah Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, berasal dari Tanah Merah, Kelantan; Shahidan Saad, 52, (Kodiang, Kedah); Rohana Ismail, 54, (Kuala Krai, Kelantan), Abdul Habib Lahman, 68, (Sik, Kedah), Zainun Taha, 69, (Ampang, Selangor) dan Munah Jusoh, 73, (Cherang Ruku, Kelantan).

Pasukan mencari dan menyelamat TH menggiatkan usaha untuk mencari dan mengesan kesemua jemaah terbabit di lokasi persekitaran Masjidil Haram serta klinik dan hospital sekitar Makkah.

Pusat Maklumat TH di Makkah juga akan memaklumkan perkembangan terkini kepada waris secara terus. TH akan memaklumkan perkembangan terkini dari masa ke semasa.

Orang ramai serta waris boleh menghubungi THCC di talian 03-62071919 dan 03-62071919 untuk mendapatkan maklumat.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/12/kren-tumbang-di-mekah-dua-lagi-turut-hilang-jadikan-lapan-jemaah-gagal-dikesan/#ixzz3lWYrdDDs

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-