Showing posts with label jemaah haji. Show all posts
Showing posts with label jemaah haji. Show all posts

Thursday, June 11, 2020

Ibadah Haji tahun ini ditangguh, kata menteri agama

Adam Abu Bakar
-June 11, 2020 4:46 PM

Negara lain yang turut menangguhkan penghantaran jemaah haji masing-masing tahun ini ialah Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini mengumumkan penangguhan pelaksanaan ibadah haji bagi seluruh umat Islam di negara ini pada tahun ini sehingga tahun depan.

Zulkifli berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan berdasarkan taklimat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tabung Haji serta Jawatankuasa Muzakarah Khas bagi hal ehwal agama Islam.

“Selain Malaysia, antara negara lain yang turut menangguhkan penghantaran jemaah haji mereka ialah Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei.

“Saya amat harapkan semua bakal haji bersabar dan redha. Tabung Haji akan keluarkan kenyataan rasmi selepas ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, beliau sendiri sudah menjemput duta kerajaan Arab Saudi ke Malaysia untuk bertemu dan menyerahkan surat rasmi penangguhan ibadah Haji bagi negara iniuntuk disampaikan kepada Mohammed Saleh Taher Banten selaku menteri haji dan umrah kerajaan Arab Saudi.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi di bawah kepimpinan Khadim al-Haramain al- Syarifain Raja Salman Abdulaziz atas usaha gigih membendung penularan jangkitan Covid-19 di Tanah Suci.

“Kami amat menghargai segala pengorbanan kerajaan Arab Saudi dan wira barisan hadapan mereka yang masih bertungkus-lumus dan berterusan memerangi wabak ini, khususnya di 2 buah Kota Suci yang dicintai seluruh umat Islam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif TH Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, semua bakal haji yang giliran haji diperuntukkan pada musim haji tahun 2020 akan diberi keutamaan untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2021.

“Bagi bakal haji yang gilirannya adalah pada tahun 2021, mereka akan turut diberikan peluang tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa.

“Bahkan, semua bayaran haji yang didebit akan dipulangkan semula mengikut kadar penuh ke dalam akaun TH bakal haji masing-masing dalam masa terdekat,” katanya.

Menerusi soalan lazim yang dikeluarkan TH turut memaklumkan bahawa kuota jemaah haji bagi rakyat Malaysia pada tahun ini adalah seramai 31,600. Semua jemaah tidak dibenarkan menunaikan ibadah haji walaupun dengan menggunakan visa furada.

Manakala itu, bagi mereka yang membuat rayuan haji dan sudah diluluskan oleh TH untuk menunaikan haji pada tahun ini, maka kelulusan rayuan haji mereka adalah terbatal dan perlu membuat rayuan semula untuk tahun 2021.

Sementara itu, setiap syarikat pengelola jemaah haji yang dilesenkan oleh TH hendaklah memulangkan semula bayaran pakej haji kepada bakal haji yang sudah membuat bayaran, tertakluk kepada syarat yang sudah dipersetujui di antara bakal haji dan syarikat pengelola.

Friday, April 19, 2019

Tak wajar cadang tutup Tabung Haji

Sinar Harian
April 19, 2019 07:14 MYT

TH merupakan institusi contoh kepada negara Islam lain dari sudut pengurusan jemaah haji dan kewangan.

SHAH ALAM: Cadangan supaya Tabung Haji (TH) ditutup disebabkan kelemahan pengurusan adalah tidak wajar kerana pertimbangan tersebut hanyalah berdasarkan kepada kebimbangan terhadap kualiti manusia yang menjalankan tugas.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, mengambil contoh permulaan Transit Aliran Ringan (LRT), ia berdepan masalah dan kerajaan membantu dengan memberikan suntikan dana kerana wujud kelemahan penilaian dalam soal penjualan tiket serta jumlah kos projek.

"Namun, projek tersebut pada hari ini memberikan pulangan selain menyediakan perkhidmatan awam yang dinikmati rakyat," katanya dalam Wacana Sinar Harian bersama Profesor Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali; Profesor dan mantan Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Nazari Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Arba Foundation, Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator.

Berikut ulasan penuh beliau dalam siri wacana yang berlangsung semalam:-

"Ini isu yang berlaku dalam semua industri termasuklah TH. Ia juga adalah perkara pada pandangan saya mempunyai hubungan dengan pasaran yang mengancam. Selain itu mungkin timbul kecuaian dalam isu pengurusan TH yang sepatutnya boleh dibaiki. Sepatutnya, apabila berlaku sesuatu masalah kita tidak boleh ketepikan TH. Sebagai manusia, Nabi Adam turut diberikan peluang kedua.

Dalam konteks TH, pimpinan baharu telah merangka pelan pemulihan dengan salah satu caranya adalah akan melaksanakan kaedah pelaburan sama seperti syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Saham Malaysia.

Mereka akan sediakan laporan bagi setiap bulan untuk melihat liabiliti aset TH dengan kata lain kita sebagai manusia boleh menjangkakan apakah hibah yang diperoleh lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga setahun.

Ada langkah-langkah pemulihan yang dijalankan oleh TH bagi menutup lompong-lompong yang dilakukan oleh manusia lepas.

Kalau TH selama ini telah lakukan satu kesilapan teknikal iaitu banyak melabur dalam pasaran saham seperti 70 peratus dalam aset berisiko tinggi dan 30 peratus dalam pelaburan simpanan tetap.

Kalau kita lihat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mereka lakukan sebaliknya, di mana pelaburan dalam simpanan tetap adalah 70 peratus.

TH bukan sama seperti syarikat-syarikat yang tersenarai dalam pasaran saham yang perlu tingkatkan nilai saham mereka.

Pada saya selaku penganalisis ekonomi, TH yang lepas tidak menghormati satu mantera pengurusan aset yang baik dan berhemah tinggi.

Kalau selama ini mereka letakkan 70 peratus pelaburan dalam simpanan tetap dan jika pasaran saham teruk, TH tidak akan berdepan dengan situasi seteruk ini. Berdasarkan laporan yang saya baca tiga hari lepas, pulangan saham di Malaysia pada 2018 hanya dua peratus sahaja.

Malah banyak tabung-tabung berasaskan ekuiti pulangan mereka lebih rendah berbanding dengan simpanan tetap di bank.

Hari ini pasaran saham di negara kita, pulangannya adalah negatif berbanding negara-negara Indonesia, Thailand dan sebagainya.

Cadangan saya, kalau boleh kerajaan kena bantu lagi dengan beri kupon bernilai satu atau dua peratus untuk simpanan.

Suntikan dalam bentuk sukuk itu tidak mampu membantu TH untuk masa hadapan bagi membina keuntungan untuk memberi hibah paling kurang tiga hingga empat peratus supaya pendeposit rasa selesa dengan pulangan simpanan mereka," katanya.

Mengulas mengenai peranan TH bermula 1969, Mohd Daud mengakui ia adalah institusi contoh kepada negara-negara Islam lain dari sudut pengurusan jemaah haji dan kewangan.

"Kalau kita lihat apa yang berlaku sebelum itu, datuk dan nenek kita terpaksa mengerjakan haji secara sendiri kerana tidak ada satu organisasi cekap menguruskan penempatan, pengangkutan, insuran, makan, minum dan sebagainya di Makkah.

"Selain itu, ia menjadi satu keperluan menabung kepada bakal-bakal jemaah haji untuk mereka menyiapkan simpanan mereka.

"TH datang tepat pada masanya untuk menguruskan dua perkara iaitu pengurusan urusan haji di Tanah Arab dan penabungan yang ada konsep hibah.

"Hibah adalah subsidi haji di mana pelaburan yang dibuat oleh TH ada keuntungan dan dapat diberikan kepada mereka yang tidak mampu.

"Dari segi kontrak syariahnya, pada pandangan saya pada 1969 mungkin tidak ada konsep yang jelas mengenai penabung dengan TH. Konsep ketika itu adalah menerima wang sebagai amanah untuk dilaburkan secara patuh syariah.

"Ia boleh disebutkan bahawa TH pada tahun tersebut seperti Bank Islam cuma mereka tidak boleh beri pinjaman sahaja. TH terkeluar daripada Akta Bank iaitu Akta Institusi Kewangan Islam.

"Apa yang menarik tentang TH adalah tidak terikat dengan Akta Syarikat tetapi boleh mengambil wang dan Akta Pasaran Modal 2007.

"Ia ada akta tersendiri seperti badan berkanun sama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi melaburkan wang pendeposit dengan tidak ada syarat untuk beri hibah tetapi mengikut budi bicara TH," katanya.

Tuesday, July 24, 2018

'Kembalikan penginapan percuma jemaah haji'

MyMetro
Mutakhir

Nur Lela Zulkipli
nurlela@nstp.com.my
KOMPLEKS TH, Sepang dan Movenpick Hotel yang akan digunakan buat pertama kali bagi mengendalikan operasi haji tahun ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah

WANITA UMNO menggesa Tabung Haji (TH) supaya mengembalikan perkhidmatan penginapan percuma kepada bakal jemaah haji yang transit musim ini.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, bakal jemaah haji yang juga pendeposit, wajar mendapat layanan terutamanya dalam pemberian penginapan percuma sebelum berlepas ke Tanah Suci.

"Buat pertama kalinya dalam sejarah, penginapan percuma kepada jemaah haji dihapuskan dan dikenakan bayaran yang dianggap mahal kepada jemaah.

"Akibatnya, bakal jemaah haji transit terpaksa mengeluarkan kos sendiri bagi penginapan mereka sedangkan tidak semua jemaah haji tergolong daripada orang yang berkemampuan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pada 13 Julai lalu, Pengarah Operasi TH, Datuk Syed Salleh Syed Abd Rahman memberi penjelasan bahawa keputusan berkenaan dibuat sebulat suara oleh jawatankuasa yang bertanggungjawab di TH.

Syed Salleh berkata, untuk mengubah keputusan yang telah dibuat, ia memerlukan persetujuan daripada jawatankuasa yang sama.

Dalam masa sama, Noraini turut berpandangan semua bakal jemaah haji layak dan berhak mendapat penginapan percuma seperti mana yang dilaksanakan oleh TH lebih 33 tahun lalu.

"Tidak semua jemaah haji mampu membayar kos penginapan yang mahal itu. TH tidak wajar mengambil keuntungan dari situasi jemaah haji yang memerlukan penginapan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

"TH sebagai agensi utama yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan untuk mengelola urusan haji di Malaysia sepatutnya menjaga kebajikan jemaah haji terutamanya yang datang jauh dari ibu negara," katanya.

Difahamkan, bakal jemaah dan waris yang mahu menginap, TH menyediakan bilik di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC) di Sepang tetapi kos penginapan ditanggung sepenuhnya oleh jemaah.

Penerbangan pertama haji akan berlepas pada Ahad ini sementara penerbangan terakhir ke Tanah Suci dijangka pada 14 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 8:46 PM

Monday, June 11, 2018

'Saya tanggung dosa jika haji ditaja 1MDB dari wang tak halal'


Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata jemaah haji yang dibiayai 1MDB tidak perlu bimbang terhadap tajaan diterima mereka untuk menunaikan rukun Islam itu.

“Jemaah haji yang dibiayai 1MDB tidak perlu bimbang kerana dana yang digunakan untuk membantu mereka menunaikan Rukun Islam ke-5 ini adalah dari sumber halal kerana saya akan menanggung dosa yang besar jika ia adalah sebaliknya,” katanya.

Najib juga sedih kerana ramai rakyat beragama Islam berpendapatan rendah tidak lagi menerima bantuan haji daripada kerajaan.

"Selain itu, saya juga sedih apabila ramai rakyat beragama Islam berpendapatan rendah di negara ini yang memerlukan bantuan bagi memenuhi tuntutan agama menunaikan Haji, kini tidak lagi menerima bantuan dari kerajaan.

"Tun Mahathir adalah silap untuk mendakwa wang yang digunakan 1MDB bagi membiayai beribu jemaah haji, adalah hasil curi," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Najib turut mengulangi penafiannya terlibat dalam sebarang salah laku atau mengambil dana awam untuk keuntungan peribadi dan menyarankan jika beliau didakwa di mahkamah, maka ianya kerana alasan politik.

"Saya ingin ulangi, bahawa saya tidak menerima faedah mahupun mencuri wang dari 1MDB atau mana-mana pihak.

"Jika saya didakwa atas alasan politik, saya yakin mahkamah akan membuktikan saya tidak bersalah," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di suatu majlis di Tokyo berkata kerajaan tidak lagi akan menghantar jemaah untuk menunaikan haji dengan menggunakan wang yang dicuri.

Beliau jelas menyindir "program amal" Yayasan 1MDB yang menaja perjalanan haji percuma.

"Ramai orang tidak akan dapat melaksanakan haji kali ini kerana kerajaan tidak akan membayar haji mereka dengan wang yang dicuri.

"Jika anda mahu, kita boleh mencuri dan bayar, tetapi kita tidak percaya pada cara mencuri wang," kata beliau di hadapan warga Malaysia yang menetap di Jepun.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan orang-orang yang dekat dengannya dituduh memperalatkan 1MDB untuk menyelewengkan dana daripada syarikat milik negara itu.

Saturday, September 26, 2015

Arab Saudi Hukum Pancung 28 Orang Terkait Tragedi Mina....

SUARAKAMI
RIYADH – Pengadilan Syariat Arab Saudi menjatuhkan hukuman pancung kepada 28 petugas yang dianggap bertanggung jawab atas terjadinya Tragedi Mina yang menewaskan sedikitnya 717 jamaah Haji. Demikian laporan dari kantor berita Lebanon, Al Diyar.

“Raja Salman memberikan perintah untuk memberikan daftar nama orang yang bertanggung jawab mengatur kunjungan dan jamaah serta bertanggung jawab atas kematian sekira 1,000 jamaah. Dan, memerintahkan memancung 28 orang hari ini,” demikian laporan tersebut, sebagaimana dilansir Al Diyar, Jumaat (25/9/2015).

“Mahkamah Syariat memutuskan demikian, dan hukuman akan dilaksanakan di depan jamaah.”

Beberapa pihak berspekulasi hukuman tersebut berkaitan dengan tudingan kepada Pangeran Mohammad bin Salman al Saud yang dituduh sebagai penyebab tragedi yang juga meragut nyawa tiga jamaah asal Indonesia tersebut. Keluarga kerajaan dianggap menjadikan para petugas haji sebagai kambing hitam atas salah satu insiden haji terburuk dalam dua dekade terakhir itu.

Thursday, September 24, 2015

220 jemaah dikhuathiri mati, 450 lagi cedera dalam rempuhan

Pasukan penyelamat Arab Saudi sedang menyelamatkan jemaah di Mina, di luar bandaraya suci Mekah. – Gambar Reuters, September 24, 2015.

Lebih kurang 220 orang jemaah dikhuatiri terbunuh dan 450 lagi cedera apabila jemaah haji berempuh-rempuhan semasa mengerjakan ibadah haji di Arab Saudi, hari ini.

Kejadian rempuh-rempuhan itu berlaku apabila bilangan besar jemaah berasak-asak di Mina, di luar bandaraya suci Mekah.

Lebih kurang dua juta orang kini mengerjakan ibadah haji di Arab Saudi, kata pihak berkuasa pertahanan awam Arab Saudi.

Kejadian itu berlaku di Street 204 di pusat perkhemahan Mina, beberapa kilometer ke timur Makkah, di mana jemaah lazimnya menginap beberapa hari sebelum cara kemuncak musim haji bermula. – Bernama, 24 September, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/220-jemaah-dikhuathiri-mati-450-lagi-cedera-dalam-rempuhan#sthash.RAfwAfTb.dpuf

Sunday, September 6, 2015

Lebih setengah juta jemaah tiba di tanah suci pertengahan September


JEDDAH, Ahad – Bermula pertengahan September ini dijangka lebih setengah juta jemaah haji dari seluruh dunia akan tiba di tanah suci.

Setakat ini sekurang-kurangnya 40,000 jemaah haji dilaporkan tiba di tanah suci setiap hari dan jumlah itu bertambah dari masa ke semasa.

Menurut satu kenyataan daripada Ketua Direktori Passport (Jawazat), sebanyak 473,329 jemaah telah tiba di Makkah dan Madinah sejak bermulanya musim haji sehingga Rabu lepas.

Seramai 470,592 jemaah tiba melalui penerbangan manakala jemaah yang tiba melalui jalan laut berjumlah 2,737 dan ia merupakan peningkatan sebanyak 20.244 peratus berbanding jumlah ketibaan dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

Pengarah Media dan Perhubungan Awam Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Turki Al-Theeb berkata sebanyak 172,000 jemaah telah tiba melalui 861 penerbangan di lapangan terbang tersebut.

“Jumlah pernerbangan haji dijangkakan meningkat pada awal Zulhijjah kepada purata enam penerbangan sejam atau 144 penerbangan setiap hari,” katanya.

Sebelum ini, pada Khamis Menteri Haji, Bandar Hajjar dilaporkan bertemu dengan ahli Lembaga Persatuan Mutawif untuk membincangkan rancangan, persediaan dan perkhidmatan kepada 280,000 jemaah haji dari 19 negara Arab.

Persatuan ini juga telah membuat persiapan rapi untuk membantu jemaah haji dari seluruh negara.

Jelas Hajar, tiada sebarang pengecualian terhadap negara-negara yang menghadapi konflik kerana semua jemaah akan disambut dan dilayan sama rata.

Dalam perkembangan yang sama, Jurutera yang juga Mutaweif, Abbas Abdulghani Qattan berkata arahan yang jelas telah diberikan bagi menyambut jemaah dan sebanyak 121 kumpulan daripada 1,500 mutawwif telah disediakan bagi membantu jemaah.

Perkara yang sama diutarakan Timbalan Menteri Haji di Makkah, Abdurrahman Al-Nafeie yang mana kementeriannya telah bekerjasama dengan persatuan Mutawwif dan kumpulan perkhidmatan awam untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada para jemaah.

Jelas beliau, kementeriannya akan menerbitkan senarai peraturan untuk pejabat pengurusan haji bagi memastikan tugas dan tanggungjawab mereka berjalan seperti yang dikehendaki.

Selain itu kepentingan kerjasama di kalangan semua pihak bagi menangani sebarang permasalahan akan turut ditekankan.

Al-Nafeie sebelum ini dilaporkan telah bertemu dengan ketua-ketua Persatuan Mutawif bagi jemaah yang bukan dari negara Arab termasuk Afrika bagi menyemak dan memuktamadkan penyelarasan rancangan kerja bagi pemantauan dan tindakan susulan terhadap semua aktiviti semasa musim haji.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-