Showing posts with label Mohd Amar Nik Abdullah. Show all posts
Showing posts with label Mohd Amar Nik Abdullah. Show all posts

Thursday, November 2, 2017

Pas percaya jangka hayat PAN berakhir selepas PRU-14

Mohd. Hafiz Abd. Mutalib
02 November 2017 1:02 AM
MOHD. AMAR NIK ABDULLAH

KOTA BHARU 2 Nov. - Pas percaya jangka hayat PAN bakal berakhir selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berikutan parti serpihan itu tidak mendapat sokongan rakyat khususnya di Kelantan.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, PAN yang mensasarkan untuk bertanding 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini perlu sedar bahawa mereka bukan sahaja kekurangan calon malah sehingga kini masih tidak berupaya membentuk cawangan di kawasan-kawasan tertentu.

Malah beliau juga percaya, Pakatan Harapan khususnya DAP dan PKR tidak akan memberi kerusi mereka kepada parti kecil seperti PAN dalam pilihan raya akan datang.

“Kita yakin Pakatan Harapan tidak akan beri kerusi pada PAN. Dia (PAN) hendak bertanding kerusi siapa, dan tidak mustahil bakal berlaku perebutan kerusi sesama sendiri selepas ini.

“Jadi PAN perlu sedar dan melupakan niat untuk menggantikan Pas mentadbir Kelantan. PAN hanya menjadi pekakas DAP, ikut apa DAP buat, hendak ganti Pas bagaimana?,” katanya ketika menyampaikan ceramah berkaitan isu-isu semasa di Kampung Hujung Tanjung di sini malam tadi.

Sementara itu, Mohd. Amar turut membidas Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa berikutan tindakan beliau yang berterusan menyerang parti itu khususnya berkaitan isu Wisma Tok Guru dan Pasar Besar Pasir Puteh.

Katanya yang juga Timbalan Menteri Besar, serangan demi serangan oleh Husam itu dilihat sebagai langkah terdesak untuk meneruskan kesinambungan politiknya yang semakin suram.

“Pas yakin habis PRU-14 ini, kita boleh tengok karier politiknya (Husam) juga bakal berakhir. Apabila sudah terdesak, dia sanggup buat apa sahaja,” katanya.

Sunday, October 22, 2017

Lunaknya Umno untuk kelirukan penyokong PAS, kata Nik Amar

N Faizal Ghazali

Bagi Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, kelunakan yang cuba ditunjukkan Umno melalui ketua penerangannya Tan Sri Annuar Musa terhadap parti itu hanyalah 'perang saraf'.

Mohd Amar berkata, ia tidak lebih sekadar untuk merosakkan imej PAS dan menimbulkan persepsi wujudnya perbincangan antara dua parti itu di kalangan anggota dan penyokong PAS.

"Itu strategi, (perang) saraf dia. Tujuannya untuk menjauhkan orang PAS daripada parti.

"Dia nak timbulkan keraguan agar orang PAS fikir adanya perbincangan dengan Umno," katanya kepada Malaysiakini selepas program ceramah '27 tahun Membangun Bersama Islam' di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, malam tadi.

Terdahulu, Annuar menyifatkan Umno dan PAS mempunyai "DNA yang sama" malah mengesyorkan agar kedua-dua parti untuk duduk semeja demi kepentingan orang Melayu dan Islam.

Katanya, pertelagahan yang berterusan tidak membawa sebarang keuntungan kepada rakyat termasuk di Kelantan.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata di peringkat negeri itu, Umno dan PAS sudah jelas tidak akan bekerjasama seperti yang dinyatakan sendiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pada 15 Oktober lalu, Mustapa berkata matlamat Umno Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 tetap untuk merampas semula negeri itu selepas 27 tahun di bawah pentadbiran PAS.

"(Strategi Annuar) tak berjaya sebab Tok Pa sendiri buat kenyataan jelas, tiada kerjasama dengan PAS.

"Kita kena dengar Tok Pa sebab dialah pengerusi (dan bukannya Annuar)," katanya lagi.

Setiausaha Agung PAS dan anggota parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan juga sebelum ini menafikan kerjasama itu, dan berkata tidak akan ada rundingan dengan Umno berhubung kerjasama dalam PRU akan datang.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-