Showing posts with label Wisma Tok Guru. Show all posts
Showing posts with label Wisma Tok Guru. Show all posts

Thursday, November 16, 2017

Adik Nik Aziz imamkan solat hajat di Wisma Tok Guru

N Faizal Ghazali

Adik kepada bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diberi penghormatan memimpin solat hajat PAS Kelantan di Wisma Tok Guru di Salor, Kota Bharu malam ini.

Nik Razi Nik Mat, 72 mengimamkan solat berkenaan selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolak permohonan injunksi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa terhadap pemilik tanah yang menempatkan wisma berkenaan.

Bangunan itu turut menempatkan pusat khidmat ADUN Salor.

Dianggarkan sekitar 2,000 penyokong PAS menghadiri majlis kesyukuran malam ini dan mula membanjiri pekarangan Wisma Tok Guru seawal jam 6.30 petang.
Bagaimanapun tiada kelibat penyokong AMANAH kelihatan meskipun Husam sebelum ini menegaskan pihaknya tidak akan keluar dari bangunan berkenaan selagi tiada keputusan mahkamah dibuat.

Majlis malam ini juga berlangsung dengan aman bermula dengan solat magrib dan isyak berjemaah sebelum disusuli solat sunat hajat.

Walaupun ruang pekarangan Wisma Tok Guru terhad, penganjur turut menempatkan orang ramai untuk bersolat di atas jalan raya berhampiran.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah serta barisan exco negeri dan pemimpin parti peringkat negeri Kelantan.

Sementara itu, PAS juga menaikkan sebuah bendera parti bersaiz gergasi di hadapan bangunan berkenaan sebagai tanda meraikan kejayaan menduduki semula tanah tersebut sebelum program ceramah diteruskan.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak permohonan injunksi Husam terhadap pemilik tanah itu, Mohd Yasin Yusoff bagi menghalang daripada menggunakan tanah dan bangunan tersebut.

Keputusan itu sekali gus membenarkan PAS meneruskan rancangan untuk mengadakan majlis kesyukuran dan solat hajat yang berlangsung malam ini.

Sebelum ini, PAS menegaskan notis supaya Husam keluar daripada premis berkenaan berakhir pada 12 November lalu dan parti itu akan mengadakan satu majlis kesyukuran serta solat hajat malam ini sebagai meraikan kejayaan mendapatkan semula tanah terbabit.

Isu perebutan tanah itu bermula susulan tanah yang asalnya milik bekas ADUN Salor, Allahyarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim yang dinamakan isterinya sebagai pemilik dijual kepada Mohd Yasin dengan harga RM700,000.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/402259#lEAZgx5r8Q7GGmk6.99

Thursday, November 2, 2017

Pas percaya jangka hayat PAN berakhir selepas PRU-14

Mohd. Hafiz Abd. Mutalib
02 November 2017 1:02 AM
MOHD. AMAR NIK ABDULLAH

KOTA BHARU 2 Nov. - Pas percaya jangka hayat PAN bakal berakhir selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berikutan parti serpihan itu tidak mendapat sokongan rakyat khususnya di Kelantan.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, PAN yang mensasarkan untuk bertanding 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini perlu sedar bahawa mereka bukan sahaja kekurangan calon malah sehingga kini masih tidak berupaya membentuk cawangan di kawasan-kawasan tertentu.

Malah beliau juga percaya, Pakatan Harapan khususnya DAP dan PKR tidak akan memberi kerusi mereka kepada parti kecil seperti PAN dalam pilihan raya akan datang.

“Kita yakin Pakatan Harapan tidak akan beri kerusi pada PAN. Dia (PAN) hendak bertanding kerusi siapa, dan tidak mustahil bakal berlaku perebutan kerusi sesama sendiri selepas ini.

“Jadi PAN perlu sedar dan melupakan niat untuk menggantikan Pas mentadbir Kelantan. PAN hanya menjadi pekakas DAP, ikut apa DAP buat, hendak ganti Pas bagaimana?,” katanya ketika menyampaikan ceramah berkaitan isu-isu semasa di Kampung Hujung Tanjung di sini malam tadi.

Sementara itu, Mohd. Amar turut membidas Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa berikutan tindakan beliau yang berterusan menyerang parti itu khususnya berkaitan isu Wisma Tok Guru dan Pasar Besar Pasir Puteh.

Katanya yang juga Timbalan Menteri Besar, serangan demi serangan oleh Husam itu dilihat sebagai langkah terdesak untuk meneruskan kesinambungan politiknya yang semakin suram.

“Pas yakin habis PRU-14 ini, kita boleh tengok karier politiknya (Husam) juga bakal berakhir. Apabila sudah terdesak, dia sanggup buat apa sahaja,” katanya.

Tuesday, October 31, 2017

AMANAH Kubang Kerian lapor polis provokasi PAS

ZIKRI ABDULLAH
Tindakan Pas Kelantan berhasrat memasuki Wisma Tok Guru pada 16 November seperti yang disiarkan dalam sebuah akhbar kelmarin dianggap satu provokasi.

Ketua AMANAH kawasan Kubang Kerian, Fauzi Mohamad petang semalam membuat laporan polis berkaitan perkara tersebut.

Menurutnya, kenyataan yang telah dibuat oleh Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang mengerah ahli-ahli Pas supaya berhimpun beramai-ramai pada tarikh tersebut tidak harus dipandang ringan.

“Perbuatan ini adalah satu tindakan provokasi yang boleh menyebabkan pecah keamanan dan mencetuskan huru-hara.

“Tindakan Pas ini adalah tindakan pramatang serta mendahului proses perundangan kerana hartanah tersebut masih lagi terlibat dengan pertikaian mahkamah di mana kesnya masih lagi dalam perbicaraan di kedua-dua mahkamah syariah dan sivil,” katanya dalam laporan polis yang diserahkan di balai polis Kubang Kerian itu.

Tanah tapak Wisma Tok Guru katanya, masih dalam prosiding Mahkamah Tinggi Syariah di Kota Bharu, kes mal bil. 03100-099-0269-2017.

“Manakala berkenaan tuntutan sivil pula pihak peguam cara dalam proses memulakan tindakan di Makamah Tinggi Kota Bharu bagi mendapatkan satu perintah injunksi dan mengekalkan status quo berkait dengan kedudukan hartanah tersebut sehingga proses undang-undang berakhir diputuskan oleh pihak mahkamah,” katanya.
.
Menurutnya, adalah tidak wajar pihak Pas mengambil apa-apa tindakan yang boleh mengganggu proses keadilan di Mahkamah Syariah mahupun di Mahkamah Sivil.

“Secara perundangannya tiada kaitan antara Pas dan hartanah terbabit kerana tanah tersebut adalah atas penama pihak ketiga.

“Pas tidak pernah dinamakan sebagai benefisiari dalam pendaftaran hartanah tersebut.

“Tindakan tersebut jelas membelakangi undang-undang Malaysia dan merupakan satu provokasi yang boleh mencetuskan pecah keamanan, huru-hara dan pergaduhan,” katanya.

Fauzi berharap laporan polis itu diambil perhatian dan tindakan supaya satu penyiasatan dimulakan bagi mencegah sebarang kejadian buruk daripada berlaku.

Turut bersama Fauzi membuat laporan itu adalah Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Yusuf serta sekumpulan ahli AMANAH kawasan Kubang Kerian.

Tuesday, October 24, 2017

Pemuda PAS Kelantan: Kami tak langgar undang-undang, akhlak

Shakira Buang

Pemuda PAS Kelantan berkata tindakannya memasang bendera di Wisma Tok Guru 22 Oktober lalu tidak melanggar undang-undang mahupun prinsip akhlak atas sebab bangunan tersebut sememangnya milik mereka.

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata, Parti Amanah Negara (AMANAH) yang tidak mematuhi undang-undang mahupun akhlak kerana terus menduduki bangunan itu.

Beliau membangkitkan kenyataan Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa yang pihaknya akan membawa kes itu ke mahkamah untuk terus menggunakan bangunan itu.

"Ertinya ia belum difailkan. Justeru sehingga hari ini, jual beli dan pemilikan adalah sah.

"Jadi undang-undang mana yang menghalang kami memacakkan bendera di luar bangunan yang sudah sah menjadi hak milik Badan Perhubungan PAS Kelantan, melalui setiausaha kerja sebagai pemegang amanah?" soalnya dalam kenyataan yang dikongsikan kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam, Husam juga menyifatkan tindakan Pemuda PAS itu sebagai "rendah akhlak" dan "kebudak-budakan".

Setakat hari ini, polis sudah menerima 3 laporan polis berhubung insiden 'serbu'itu, dengan dua laporan dibuat penyokong AMANAH dan satu lagi penyokong PAS.

Fadhli juga membidas tanggapan tindakan itu sebagai tidak berakhlak kerana tiada provokasi dilakukan, sebaliknya AMANAH yang menduduki bangunan tersebut yang melanggar prinsip akhlak.

"Berakhlakkah pihak yang jelas mengambilalih bangunan yang dibina atas titik peluh penderma kepada PAS? Kemudian mengecatnya dan memasang bendera parti mereka.

"Ia telah menghiris hati ramai di kalangan PAS, khususnya di Salor yang berusaha membangunkannya sebagai markas PAS," katanya lagi.

Kemelut tanah dan bangunan di Salor, Kota Bharu itu bermula pertengahan bulan ini, apabila AMANAH Kelantan menerima notis mengosongkan bangunan yang dikeluarkan melalui nama pemilik asal tanah yang menempatkan bangunan itu.

Difahamkan, tanah itu milik balu kepada bekas ADUN Salor, allayarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim. Namun ia dikatakan sudah dibeli oleh Setiausaha Kerja PAS Kelantan Mohamad Yasin Yusof.

Husam sebelum ini berkata akan mencabar notis itu di Mahkamah, dan mendakwa Rosli memberi kebenaran bertulis kepadanya untuk menggunakan "bangunan dan tanah itu sampai bila-bila".

Monday, October 23, 2017

Wisma Tok Guru: Penyokong PAS, PAN bertembung

By watan 
October 23, 2017

Perebutan Wisma Tok Guru di Kampung Pendek, Salor Kota Bharu antara PAS dan PAN makin panas apabila kedua-dua penyokong parti tersebut bertembung dan berlaku ketegangan pada Ahad.

Ketegangan kira-kira pukul 9 malam itu bermula ketika Ketua Pemuda PAN negeri, Hazmi Hassan meminta izin daripada Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fazdli Shari untuk menggunakan pembesar suara bagi menyuraikan penyokong parti berkenaan yang berada di kawasan itu.

Pada masa itu, Ahmad Fadzli baru selesai memberikan ucapan dihadapan lebih 150 penyokongnya yang berkumpul di wisma tersebut untuk memasang bendera.

Bagaimanapun, salah seorang wakil PAS ketika itu tidak mengizinkan permintaan tersebut sekali gus mencetuskan sedikit ketegangan antara penyokong kedua-kedua pihak.

Ketegangan dan perang mulut antara penyokong kedua-dua parti itu berlaku kira-kira lima minit sebelum ditenangkan oleh pihak polis.

Terdahulu ketika berucap, Ahmad Fadzli berkata, tindakan memasang bendera itu diadakan sebagai permulaan dan petanda awal bahawa tanah serta bangunan ini adalah hak milik PAS.

“PAS telah memberikan notis sebulan kepada pihak yang menduduki bangunan ini untuk mengosongkannya selewat-lewatnya pada 14 November depan.
“Walaupun sudah menjadi hak kita, tetapi bagi mengelakkan perkara berlanjutan kita mengambil keputusan untuk tidak mengakses bangunan ini.

“Kita sekadar meletakkan bendera di bahagian luar sahaja sebagai penghargaan kepada penyokong yang menyumbang untuk kita mencipta sejarah melihat bangunan ini kembali menjadi milik PAS” katanya.

Sebelum ini media melaporkan PAN mungkin terpaksa mencari bangunan baru untuk menempatkan pejabat mereka apabila menerima notis mengosongkan wisma tersebut.

Difahamkan, notis tersebut dikeluarkan melalui nama pemilik asal tanah yang menempatkan bangunan berkenaan.

Selain menempatkan pejabat PAN Kelantan ia juga menjadi pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Salor, Datuk Husam Musa Husam.

Ekoran daripda itu, PAN memberi peringatan akan mencabar arahan mengosongkan bangunan tersebut.

Wartawan Watan-Online

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-