Showing posts with label Nik Omar Nik Abdul Aziz. Show all posts
Showing posts with label Nik Omar Nik Abdul Aziz. Show all posts

Saturday, June 29, 2019

Perangai pemimpin Pas macam Abu Jahal, kata Nik Omar

Posted by admin 
June 29, 2019


YANG Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz menyifatkan perbuatan menjatuhkan hukum tanpa sebab munasabah, adalah perangai Abu Jahal dan Abu Lahab.

Ahad lalu, ketika ucapan penggulungan Muktamar Pas ke-65 di Kuantan, Ketua Dewan Ulama Pas, Nik Zawawi Salleh secara terbuka menyuarakan pendirian parti itu bahawa ‘wajib’ menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Susulan kenyataan kontroversi itu, Ustaz Nik Omar berkata, penerangan mendalam perlu dilakukan jika mahu menyebut ‘wajib’ dari sudut politik supaya tidak menimbulkan keresahan kepada rakyat di negara ini.

“Kalau mereka keluarkan kenyataan seperti itu, kita juga boleh sebut bahawa ‘wajib’ juga untuk kita mempertahankan kerajaan yang ada sekarang ini.

“Apabila sesuatu perkara itu disebut ‘wajib’, itu bermakna perkara yang lain akan jatuh hukum sebagai ‘haram’.

“Jadi, jangan hanya sebut wajib dan terhenti setakat itu. Penjelasan secara terperinci perlu dilakukan dan kita juga kena faham maksud Fastabiqul Khairat (berlumba-lumba membuat kebaikan).

“Apabila kita hendak melakukan sebarang kebaikan, kita juga kena mengiktiraf peranan individu dan organisasi lain yang mempunyai tanggungjawab sama untuk membangunkan sesebuah negara termasuk Malaysia,” katanya ketika ditanya media berhubung isu itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Yadim, di pejabatnya, hari ini yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yadim.

Mengulas lanjut, Ustaz Nik Omar berkata, kenyataan berkenaan keluar daripada pihak parti politik dan kebiasaanya mereka mahu mendapatkan sokongan rakyat.

“Walau apa pun, kita kena berkerja keras menjalankan tanggungjawab kita sebagaimana tuntutan Allah.

“Pada masa sama, kita juga harus menonjolkan kedudukan masing-masing termasuk di Yadim untuk menjelaskan kepada rakyat bahawa kerajaan sekarang sememangnya memberi perhatian serius kepada pembangunan negara termasuk pembangunan Islam itu sendiri.

“Contoh paling jelas adalah, kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan pembangunan Islam daripada RM1.1 bilion kepada RM1.2 bilion iaitu pertambahan sebanyak RM100 juta.

“Itu salah satu gambaran jelas dan kami lihat Kementerian (Hal Ehwal Agama) begitu bersungguh-sungguh memastikan cita-cita ini berjaya dengan mewujudkan beberapa kluster utama dan Yadim juga diberi mandat menjayakan kluster dakwah,” tambahnya lagi.

Wednesday, May 2, 2018

Nik Omar jumpa ibu mohon doakan anak-anak

N Faizal Ghazali
Diterbitkan 2 Mei 2018, 3:23 petang 


Selepas terpalit dengan pelbagai spekulasi, anak kedua bekas mursyidul am PAS, Allahyarhan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar membuktikan beliau tetap pulang berjumpa dengan ibunya.

Malah, calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi DUN Chempaka itu juga turut menjalankan tugasnya sebagai pengetua di Maahad Darul Anuar, yang terletak di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, hari ini.

Sebagai rekod, rumah kediamannya juga terletak tidak jauh daripada rumah ibunya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak di kawasan pusat pengajian berkenaan.

Beberapa media berkesempatan menjejaki rutin Nik Omar pagi tadi yang menunikan tanggunggjawapnya sebagai pengetua selepas berada di pentas politik sejak hari penamaan calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Sabtu lalu.

Sebelum ini beliau ditohmah, antaranya tidak pulang ke rumah, disorok dan tidak mendapat restu ibu sejak berkecimpung dalam politik.

Awal pagi tadi beliau mengadakan pertemuan dengan pelajar dan guru-guru sekolah milik persendirian keluarganya itu.

Ketika ditemui, Nik Omar berkata, persekitaran dan situasi sekolah termasuk pelajar dan guru dalam keadaan baik dan tiada perkara janggal berlaku selepas beliau menjadi calon PRU14.

"Sebenarnya tidak ada apa-apa cuma sibuk sikit berbanding kebiasaannya dan sebenarnya sekolah ini bukan sekolah kerajaan pusat atau kerajaan negeri, tetapi milik keluarga secara swasta.

"Kita datang ke sini untuk beri nasihat kepada pelajar-pelajar, begitu juga kepada guru-guru supaya mereka terus menjalankan tugas sebagai pendidik.

"Secara peribadi saya nak maklum, kita tidak campur, bidang politik lain, ini bidang pendidikan jadi kita fokus kepada pendidikan," katanya yang mempunyai sekitar 200 pelajar dan 40 orang guru di sekolah tersebut.

Malaysiakini difahamkan, sepanjang tempoh berkempen ini, walaupun Nik Omar tidak pulang di kediaman rasminya sebelum ini, beliau tetap mengambil kesempatan menemui ibunya.

Tidak ada masalah apa-apa

Selepas mengadakan pertemun dengan pelajar dan guru-guru Maahad Darul Anuar, Nik Omar dilihat menuju ke rumah ibunya dan mengambil masa sekitar 10 hingga 15 minit di rumah tersebut.

Bagaimanapun Nik Omar memilih untuk tidak mendedahkan secara mendalam pengisian pada pertemuan yang berlangsung itu.

Paling penting katanya, beliau meminta ibunya mendoakan kesejahteraan untuk anak-anaknya.

"Apa yang kita minta daripada bonda tidak banyak, yang penting minta bonda doa kepada semua anak-anaknya, apa yang berlaku ini hanya silap faham sahaja, sebenarnya tidak ada masalah apa.

"Sebab kita nak buat ini hal kebaikan, cuma orang nampak macam ini orang itu nampak macam itu, jadi kita hormat tidak ada masalah. Kita hidup atas dunia ini bukan untuk bergaduh, kita hidup berlumba buat kebaikan," katanya.

Sebelum ini, keluarga Allahyarham Nik Aziz menjadi perhatian umum selepas Nik Mohamad Abduh mendakwa ibu mereka tidak memberi restu kepada abangnya untuk menjadi calon HARAPAN.

Malah adiknya itu, dalam satu kenyataan berkata, Tuan Sabariah sangat terguris dengan keputusan Nik Omar itu.

“Ini adalah 'tembakan' kedua yang terpaksa ditanggung bonda selepas ‘tembakan’ pertama yang meranapkan jiwanya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad lebih 15 tahun lalu apabila seorang anaknya ditangkap di bawah ISA.

"Bonda kini memilih untuk berehat beberapa hari bagi merawat luka hatinya yang dalam akibat ‘tembakan’ yang dilepaskan semenjak lebih 30 tahun lalu dan dua hari lalu, ‘tembakan’ itu tepat singgah ke jantung bonda," kata Nik Abduh yang juga adalah calon PAS parlimen Bachok dalam satu kenyataan terbukabdi Facebook, kelmarin

Sementara itu Nik Omar menegaskan, dalam tempoh begitu singkat tiada sebarang faedah untuk bergaduh dan masing-masing perlu hormati-menghormati.

"Kita perlu hormat-menghormati, kalau kita sesama Islam Allah sebut semua kita bersaudara, tiada kaitan lansung masalah keturunan bangsa tidak ada nilai, yang bernilai keimanan itu persaudaraan yang perlu kita jaga.

"Tak semestinya persaudaraan itu kita kena jaga bila ada kopiah atas kepala, tak ada kopiah pun bukan masalah.

"Kita duduk dalam hutan mana pun kalau kita jaga hubungan, kita tetap mulia di sisi Allah, tapi kalau kita pakai kopiah kita punca kepada perbalahan, apa untung? Tak ada untung," katanya.

Monday, April 30, 2018

Pensyarah: Nik Omar runtuhkan doktrin PAS

N Faizal Ghazali


PRU14 |  Penyertaan Nik Omar Nik Abdul Aziz dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) dilihat bakal memecahkam doktrin Islam yang sebelum ini sinonim dengan parti PAS, kata penganalisis politik.

Menurut Dr Mazlan Ali, di kalangan orang Melayu yang proislam atau mempunyai cita-cita Islam, kini mereka mula berfikir sama ada cara bagi menjayakan apa yang diingini hanya boleh dicapai melalui PAS semata-mata, atau ada pilihan lain.

Katanya, orang mula melihat Parti Amanah Negara (AMANAH) juga sebenarnya sebuah wadah yang membawa cita-cita Islam. Cuma kata Mazlan, keyakinan mereka AMANAH belum cukup setanding dengan PAS.

"Tak kurang juga ada yang masih terikat dengan dokrin bahawa hanya PAS bawa Islam, yang lain - temasuk AMANAH - tidak membawa agenda Islam.

"Apabila Nik Omar, seorang anak yang rapat dengan arwah Tok Guru memilih HARAPAN, bermakna doktrin kononnya hanya PAS membawa Islam, sudah pecah," katanya ketika berkongsi pendapat dengan Malaysiakini berhubung kemunculan anak kedua bekas menteri besar Kelantan itu.

Wujud gelombang kedua

Mazlan yang juga pensyarah kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, tindakan Nik Omar menjadi calon di DUN Chempaka mewujudkan gelombang kedua pengundi Melayu untuk HARAPAN.

"Nik Omar telah menghapuskan keraguan yang lama bersarang, yang menakutkan mereka memilih parti selain PAS.

"Jika orang sealim Nik Omar boleh masuk AMANAH, maka siapa yang lain-lain?

"Gelombang Nik Omar itulah akan bergabung dengan gelombang dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad yang memecahkan tembok Melayu luar bandar selama ini menghalang pakatan pembangkang," jelasnya.

Tambah Mazlan, pola penggabungan ini mula dilihat dimanfaatkan HARAPAN apabila beberapa himpunan sudah mula dirancang bagi menggabungkan Dr Mahathir dan Nik Omar.

"Saya percaya tindakan Nik Omar ini memberi impak besar seluruh negara terhadap orang yang proislam tetapi waswas sama ada boleh atau tidak mengundi AMANAH selain PAS atau tidak," katanya.

Sunday, April 29, 2018

Mohd Amar kata Hadi mimpi Nik Aziz berkaki sebelah


PRU14 | Selepas Nik Omar Nik Abdul Aziz disahkan menjadi calon Pakatan Harapan (HARAPAN) seorang Naib Presiden PAS membuat pendedahan sangat menarik semalam.

Menurut Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, sebelum hari penamaan calon pada 28 April laluDatuk Seri Abdul Hadi Awang ada menghubunginya.

Kata Mohd Amar, presiden PAS itu bercerita bahawa dia bermimpi melihat bapa Nik Omar, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, hadir dalam keadaan tempang.

Justeru, Mohd Amar yang juga calon untuk kerusi dewan undangan negeri Panchor membayangkan gambaran yang muncul dalam tidur Abdul Hadi itu ada kaitan dengan keputusan Nik Omar, 53, meninggalkan PAS untuk bersama HARAPAN.

Berdasarkan klip video yang dimuat naik Mohd Amar di Facebook, beliau pada awalnya kelihatan teragak-agak untuk mengkisahkan butiran perbincangannya dengan Abdul Hadi.

Namun kedengaran suara orang lain yang berpendapat tidak ada salahnya Mohd Amar bercerita mengenai mimpi Abdul Hadi berkenaan.

Jangan rasa waswas

"Sewaktu saya berbincang dengan tuan guru (Abdul Hadi) tentang calon di Pengkalan Chepa, secara khusus tuan guru sebut (bahawa) dia bermimpi bertemu dengan arwah Tok Guru Nik Aziz.

"Tok Guru Nik Aziz datang berjumpa dia dengan kaki sebelah. Kaki sebelah sahaja Tok Guru, lepas tu orang tolak, orang lontar, orang buat macam-macam. Hampir nak rebah.

"Jadi, hari ini makna mimpi tu nampaklah pada kita (bahawa) orang yang berlawan dengan kita ni (Nik Omar), datang dari kaki sebelah (yang tiada pada Nik Aziz).

"Jadi, sebab itulah kena jaga. Jagalah Pengkalan Chepa ini macam mana sekali pun, walaupun yang bertanding melawan kita ini (daripada ahli) keluarga tok guru, (tapi) kita letak sokongan kita kepada perjuangan Islam.

"Itu yang paling besar. Kita tidak hirau siapa dia. Jangan fikir kerana dia anak tok guru, keluarga tok guru menyebabkan kita jadi was-was," katanya.

Nik Omar adalah anak kedua daripada 10 zuriat Nik Abdul Aziz bersama Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Asalnya mudir sekolah agama itu tidak pernah menonjol dalam politik sehinggalah selepas kumpulan aliran sederhana dalam PAS disingkirkan perwakilan parti itu semasa muktamar 2015.

Walaupun berada di sebalik tabir, Nik Omar akhirnya menyertai PRU ke-14 sebagai calon HARAPAN bagi kerusi yang sebelum ini disandang arwah bapanya, Chempaka.

Mimpi jumpa nabi pun ada

Chempaka terletak di dalam parlimen Pengkalan Chepa. Kawasan itu memang menjadi satu daripada kubu paling kuat PAS.

Selain Chempaka, DUN yang ada di bawah Pengkalan Chepa ialah Panchor dan Kijang.

Seorang lagi anak Nik Abdul Aziz yang menyertai PRU ke-14 ialah adik Nik Abduh yang diutus PAS bertanding di Bachok.

Turut kelihatan hadir semasa Mohd Amar bercerita mengenai mimpi Abdul Hadi itu ialahpelakon terkenal, Mustapha Kamal.
Kata Mohd Amar sesiapa saja yang mengambil pendirian bercanggah dengan perjuangan diyakini PAS, maka mereka adalah lawan mereka.

"Jadi yang tu kena kunci kemas (faham betul-betul) terutama kita yang berada di Chempaka.

"Jangan kita duduk fikir, balik tidak lena - macam mana ni, ni Nik ni?

"Nik tak Nik pun, kali ini kalau tidak PAS, kita tolak belaka insya-Allah," katanya.

Untuk rekod insiden mimpi dan PAS bukan sesuatu yang sangat luar biasa.

Pada 2009 orang ramai dikejutkan dengan kisah Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pahang yang dikenali sebagai Balakirsnan bermimpi bertemu Nabi Muhammad SAW.

Pandangan mufti Perlis

Pengalaman mimpi itu disampaikan kepada Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara itu seorang lagi anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik turut mendakwa pernah bermimpi bertemu Rasulullah.

Beliau juga pernah dilaporkan mendakwa bermimpi bertemu Sayidina Umar al-Khattab banyak kali ketika dia ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting, Perak sebelum ini.
Sementara itu Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menyentuh mengenai isu mimpi di Facebooknya hari ini.

"Ali bin Abi Talib bertempur tanpa jangkaan dengan pasukan Aishah RA dalam Perang Jamal. Demikian juga Ali bertempur dengan Muawiyah dan 'Amr al-'As dalam Perang Siffin.

"Namun, tidak pernah siapa pun dalam kalangan mereka - sekali pun mereka sahabat nabi yang rapat - menggunakan nama Nabi SAW untuk menghukum kufur atau sesat ataupun musuh Islam kepada pihak yang berlawanan dengan mereka dalam isu-isu yang terbabit.

"Tidaklah pula pernah mereka menggunakan alasan mimpi berjumpa nabi bagi berhujah menentang pihak yang berbeza. Padahal orang seperti Aishah yang merupakan isteri nabi jika dia berkata dia bermimpi berjumpa Nabi dan baginda menyatakan siapakah antara mereka di pihak yang benar, pasti tiada siapa yang boleh mempertikaikannya.

"Hal itu tidak pernah mereka lakukan. Tidak Aishah, tidak Ali, tidak Talhah dan tidak Al-Zubair," katanya.

Saturday, April 28, 2018

Nik Omar bertanding tiket PKR

Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my
NIK Omar (tengah) membuat kejutan apabila tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan Kelantan, Pengkalan Chepa. FOTO Muhamaad Razis Ismail

ANAK bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Aziz membuat kejutan apabila bertanding di bawah tiket PKR di kerusi DUN Chempaka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Sebelum ini, anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berusia 53 tahun itu dilaporkan mengesahkan tidak akan bertanding sebagai calon Parti Amanah Negara (PAN) selepas tidak mendapat restu ibunya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Bagaimanapun, kejutan berlaku pada hari penamaan calon hari ini apabila beliau dilihat hadir di Pusat Penamaan Calon di Dewan BTPN Bahagian Teknologi Pendidikan Kelantan dengan berbaju Melayu putih 8.50 pagi ditemani kira-kira 100 penyokong.

Beliau kemudian dilihat masuk ke dalam dewan untuk menyerahkan borang pencalonan sebagai calon PKR.

Pengetua Madrasah Darul Anuar di Pulau Melaka itu akan berdepan dengan calon Barisan Nasional, Mohamad Fareez Noor Amran dan calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood.

Khabar angin bertiup kencang sejak kebelakangan ini bahawa kemungkinan ada persaingan politik di antara Nik Omar dan adiknya Nik Abduh selepas Pengerusi PAN negeri Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengatakan Nik Omar berkemungkinan bertanding di bawah tiket PAN.

Difahamkan Tuan Sabariah enggan memberi restu kepada Nik Omar untuk menjadi calon pakatan pembangkang untuk menentang PAS, kerana Nik Abduh yang juga anak keempatnya adalah Ahli Parlimen Pasir Mas.

Saturday, January 2, 2016

'Ambo tidak terlibat,' kata Nik Omar

MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
2 JANUARI 2016

Nik Omar Nik Abdul Aziz
KOTA BHARU - Nik Omar Nik Abdul Aziz menafikan penyertaan beliau dalam‎ Parti Amanah Negara (Amanah) seperti mana yang dilaporkan portal berita.

Anak kedua bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, namun tidak‎ menolak kewujudan kepelbagaian parti, termasuk kehadiran parti Amanah dalam sistem politik tanah air.

Menurutnya, beliau lebih suka kepada gagasan penyatuan ummah dengan masing-masing membawa pendekatan meraikan satu sama lain.

“Ambo (saya) tidak terlibat, ambo bawa pandangan masing-masing, kena terima kewujudan dan menghormati satu sama lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam majlis makan malam Amanah Kelantan di Petaling Jaya semalam, Pengarah Komunikasi Amanah Kelantan Nordin Hussin‎ mengumumkan Nik Omar dilantik sebagai Pengerusi Panel Syariah Amanah Kelantan.

Ditanya kenyataan itu bermaksud beliau menolak perlantikkan itu, Nik Omar yang juga Pengetua Mahaad Tahfiz Darul Annuar di Pulau Melaka‎ berkata, beliau sama sekali tidak terlibat.

Dalam masa yang sama, Nik Omar turut enggan mengulas ketika ditanya dakwaan mengatakan beliau telah menyertai parti itu dengan menggunakan nama samaran.

Nik Omar sebelum ini seringkali dikaitkan dengan Amanah setelah beberapa kali hadir dalam majlis anjuran parti serpihan Pas itu‎ beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-