Showing posts with label Pejabat Peguam Negara (AGC). Show all posts
Showing posts with label Pejabat Peguam Negara (AGC). Show all posts

Thursday, September 6, 2018

'Info baru' sahkan Najib bayar Shafee RM9.5 juta


Pejabat Peguam Negara (AGC) telah menyerahkan "maklumat baru" kepada Mahkamah Rayuan yang menunjukkan perdana menteri pada ketika itu Datuk Seri Najib Razak membayar RM9.5 juta kepada peguam Tan Sri Shafee Abdullah antara tahun 2013 dan 2014.

Bukti baru itu diserahkan kepada pegawai petugas khas peguam negara dalam suatu afidavit yang turut memperincikan urus niaga transaksi bank antara akaun milik Najib dan Shafee.

Ia turut menyertakan dua salinan cek oleh Najib bertarikh 11 September 2013 dan 14 Februari 2014 kepada Shafee masing-masing sebanyak RM4.3 juta dan RM5.2 juta.

Afidavit itu dibuat sebagai maklum balas kepada rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan mengenai kes liwatnya yang telah mendapat pengampunan diraja.

Anwar ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhujah beliau dinafikan perbicaraan yang adil kerana pihak pendakwaan menerima bayaran daripada Najib, yang juga pencabar politiknya.

Anwar dalam suatu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya berkata beliau menerima afidavit tersebut yang menyertakan keterangan mengenai bayaran RM9.5 juta itu.

"Pelantikan seorang pendakwa raya bukanlah amalan biasa bagi peguam negara, dan lebih ganjil lagi bila yang dilantik itu seorang kenalan rapat Datuk Seri Najib, yang terlibat secara material di dalam kes tersebut.

"Tan Sri Shafee juga menjadi saksi kejadian konspirasi terhadap saya yang berlaku di dalam kehadiran Datuk Seri Najib, yang membuatkan kedua-dua pihak ini berkemungkinan menjadi saksi.

"...Tan Sri Shafee telah menerima RM 9.5 juta dari akaun peribadi Datuk Seri Najib sewaktu beliau bertugas sebagai pendakwa raya dalam rayuan kes saya menghancurkan kredibiliti beliau sebagai seorang agen Jabatan Peguam Negara yang tidak berat sebelah," kata Anwar.

Anwar pada tahun 2010 dituduh dan dibicarakan atas dakwaan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Saiful, sebelum menuduh Anwar meliwatnya, telah secara peribadi bertemu dengan Najib. Bekas perdana menteri pada waktu itu berkata Saiful bertemu dengannya untuk membincangkan biasiswa.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar daripada salah laku tetapi pihak pendakwaan merayu kes itu di Mahkamah Rayuan, kali ini dengan Shafee ditugaskan sebagai pendakwa raya luar.

Mahkamah Rayuan telah menolak keputusan pembebasan Anwar pada tahun 2014 dan Mahkamah Persekutuan menegaskan keputusan itu sekali lagi pada Februari 2015.

Anwar kemudiannya dipenjarakan dan dibebaskan pada Mei tahun ini, berikutan pengampunan diraja selepas perubahan kerajaan persekutuan.

Anwar berkata perlu ada iltizam teguh terhadap kedaulatan undang-undang dalam "Malaysia baru" dan kewibawaan badan kehakiman serta badan perundangan mesti dikembalikan semula.

"Saya gesa pihak yang bertanggungjawab untuk menjaga institusi-institusi kita untuk mempertimbang langkah-langkah memperbetul keadaan agar rakyat Malaysia malah juga dunia yakin terhadap integriti sistem perundangan kita," katanya.

AGC berkata maklumat baru itu muncul selepas SPRM membekukan akaun bank Shafee dan memulakan siasatan kes pengubahan wang haram.

Monday, September 3, 2018

SPRM tak pernah bincang gugur tuduhan Guan Eng, kata sumber

Hariz Mohd | Diterbitkan 3 Sep 2018, 9:19 malam


EKSKLUSIF | Keputusan untuk menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak pernah dibincangkan dengan pengurusan tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dakwa beberapa sumber.

Sumber berkenaan yang termasuk pegawai penyiasat kanan suruhanjaya itu turut memberitahu Malaysiakini, peguam Lim tersilap dalam mendakwa pegawai SPRM yang memberitahu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini untuk menggugurkan pertuduhan tersebut.

"Arahan untuk menarik diri daripada kes ini tidak datang daripada SPRM. Jika ada, sudah pasti (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Datuk Seri Shukri (Abdul) tidak akan mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan suruhanjaya itu terkejut dengan keputusan itu.

"(Mohd) Masri (Daud) juga bukan pegawai SPRM. Beliau ialah timbalan pendakwa raya yang mewakili Pejabat Peguam Negara (AGC).

"Beliau (Masri) tidak berbincang dengan SPRM mengenai menggugurkan pertuduhan," kata salah seorang pegawai suruhanjaya itu.

Sumber berkata pegawai SPRM cuma berperanan sebagai penyiasat dan pihaknya tidak boleh membuat sebarang pertuduhan di mahkamah tanpa persetujuan pendakwa raya awam.

Mahkamah yang patut putuskan

Menurut pegawai itu, hal ini kerana prinsip pemisahan kuasa antara pihak eksekutif, perundangan dan kehakiman yang termaktub dalam perlembagaan.

Seorang lagi pegawai berkata mahkamah yang patut memutuskan kes terhadap Guan Eng dan bukan menggugurkan semua pertuduhan terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

"Orang ramai perlu diberitahu hal (menggugurkan kes) ini tidak ada kena-mengena dengan SPRM.

Terdahulu hari ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Guan Eng daripada dua tuduhan rasuah berhubung dakwaan penukaran status tanah negeri dan pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Mahkamah itu juga membebaskan ahli perniagaan Phang Li Koon, yang merupakan bekas pemilik rumah sewa Lim, daripada pertuduhan bersubahat dengan Lim untuk mendapatkan banglo pada kos bawah nilai pasaran.

Berikutan itu, SPRM segera mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengatakan bahawa mereka "amat terkejut" dengan keputusan itu, manakala peguam bela Guan Eng, Ramkarpal Singh mengeluarkan kenyataan yang menegur SPRM.

Ramkarpal dalam kenyataannya berkata SPRM tidak sepatutnya berbuat tidak tahu-menahu dengan pembebasan Lim daripada pertuduhan itu "apabila pengarah bahagian undang-undang dan pendakwaan (SPRM) sendiri, Mohd Masri Daud" menjadi orang yang memaklumkan kepada mahkamah untuk menarik balik pertuduhan itu.

Sementara itu, Masri ketika dihubungi Malaysiakini enggan memberikan sebarang ulasan mengenai dakwaan beliau tidak membincangkan dengan SPRM keputusan menarik balik pertuduhan terhadap Guan Eng.

"Saya tidak mempunyai sebarang komen (pada masa ini). Saya akan meminta pandangan pihak atasan saya terlebih dahulu, kerana saya tidak boleh mengatakan apa-apa mengenai perkara ini.

"Sama ada terdapat perbincangan atau tidak, saya tidak tahu," katanya.

[Baca berita penuh]

NGO: AGC kena jelaskan kenapa lepas Guan Eng


Pejabat Peguam Negara (AGC) dan SPRM perlu menjelaskan kepada umum mengenai pembebasan Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada pertuduhan rasuah, kata Pengarah Eksekutif, NGO antirasuah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel.

Dalam kenyataan hari ini, Gabriel berkata pembebasan Lim itu bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai kebebasan institusi kerajaan daripada kepentingan parti politik tetapi juga berkenaan keperluan untuk menjelaskan pertuduhan yang dikenakan terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

"(Tan Sri) Mohamed Apandi Ali cukup yakin dengan mengetuai sendiri pasukan pendakwaan terhadap Lim. Tetapi, jika peguam negara pada waktu itu begitu yakin dengan kes tersebut, bagaimana ia boleh dengan mudah digugurkan oleh Mahkamah Tinggi hari ini?

Sama ada peguam negara yang dulu dipaksa untuk membuat pendakwaan di mahkamah, atau sistem ini sentiasa menyebelahi kerajaan yang memerintah," kata Gabriel.

Kenyataan C4 susulan pembebasan Limd an ahli perniagaan Phang Li Koon daripada dua pertuduhan rasuah mengenai dakwaan menukar status tanah negeri dan pembelian rumah banglo pada harga diskaun oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang awal hari ini.

Pembebasan itu selepas AGC menerima representasi daripada peguam kedua-dua tertuduh itu.

Faekah: Drama apakah ini?

SPRM dalam kenyataan ringkasnya berkata, "amat terkejut" dengan pengguguran pertuduhan itu dan menjelaskan keputusan tersebut datangnya daripada AGC dan bukan daripada suruhanjaya itu.

"Perkembangan dalam kes Lim memerlukan penjelasan telus dari SPRM dan AGC," katanya, sambil menjelaskan bahawa SPRM tidak boleh menolak tanggungjawab semata-mata kepada AGC dengan menyatakan rasa terkejutnya, tetapi (SPRM) perlu jelaskan kepada orang ramai, sebab-sebab pada peringkat awal pertuduhan itu dikenakan terhadap Lim.

Kedua-dua SPRM dan AGC mesti bertindak tanpa rasa takut atau memihak kepada orang politik dan bertindak bukan berdasarkan niat untuk mendapatkan sokongan politik, kata Gabriel.

Orang ramai memerlukan jaminan bahawa motif dan bukti dalam tuduhan rasuah itu sah, dan jika tuduhan itu didedahkan sebagai memiliki motif politik, maka terdapat keperluan mendesak untuk memisahkan institusi Malaysia daripada sebarang campur tangan politik, jelasnya lagi.

Sementara itu, Faekah Husin yang juga Pegawai Khas kepada bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga mempersoalkan kenyataan SPRM mengenai kes Guan Eng ini.

"Drama apakah ini?

"Mengapa perlu keluar kenyataan sedangkan kita maklum selepas kertas siasatan dihantar ke Pejabat Peguam Negara maka kes secara automatik di luar bidangk uasa SPRM.

"Adakah kenyataan rasmi ini kerana nak cuci punggung?" Katanya dalam suatu ciapan Twitter.


Faekah Husin@faekah_qkn5
· 8h

Kalau dulu saya katakan pertama kali dlm sejarah Malaysia mempunyai Menteri Kewangan yg terpalit kes rasuah di mahkamah. Alhamdulillah hari ini Kem Kewangan sudahpun disucikan apabila Menterinya LGE telah dibebaskan tanpa dilepaskan oleh Mah Tinggi PPinang. Sayangi Malaysiaku !!! https://twitter.com/UMonline/status/1036450425115832320 …


Faekah Husin@faekah_qkn5

Drama apakah ini... ??? Mengapa perlu keluar kenyataan sedangkan kita maklum selepas kertas siasatan dihantar ke Pej Peguam Negara maka kes secara automatik di luar bidangkuasa SPRM. Adakah kenyataan rasmi ini kerana nak cuci punggung? pic.twitter.com/Lcg2GpH8xi
12:17 PM - Sep 3, 2018


15
See Faekah Husin's other Tweets

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-