Showing posts with label Thaipusam. Show all posts
Showing posts with label Thaipusam. Show all posts

Friday, February 7, 2025

Perak haramkan arak di tempat sambutan Thaipusam

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 7, 2025 8:25 AM
Perak melarang penjualan dan penggunaan minuman keras di semua lokasi perarakan pedati semasa sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh di Ipoh, dari 10 hingga 12 Feb ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A. Sivanesan berkata larangan itu julung kali dilaksanakan susulan aduan dalam kalangan penganut dan pengunjung semasa sambutan di lokasi berkenaan.

“Sebelum ini, ada aduan berlaku aktiviti jualan dan minum arak ketika perarakan pedati terutama waktu malam, cuma tiada tindakan tegas diambil.

“Jadi kali ini, jika berlaku (penjualan dan minum), polis tidak akan tolak ansur, mereka akan ditangkap terus dan dibawa ke mahkamah,” katanya pada sidang media Sambutan Hari Thaipusam 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh semalam.

Sivanesan berkata 350,000 orang dijangka menghadiri sambutan perayaan di kuil berkenaan yang merupakan antara lokasi tumpuan para penganut agama Hindu di negara ini.

“Bagi memastikan kelancaran sambutan perayaan itu, 400 anggota polis akan berada di sekitar lokasi sambil dibantu beberapa agensi lain yang terlibat secara langsung sepanjang tiga hari perayaan berlangsung,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan mengelak melalui Jalan Raja Muda Aziz, Jalan Sultan Idris, Jalan Sultan Yusof, Jalan Lahat, Jalan Tun Perak dan Jalan Sungai Pari yang menjadi laluan pedati ke kuil berkenaan.

“Kita tak tutup jalan, cuma kita nasihatkan orang ramai tidak melalui jalan-jalan yang dinyatakan bagi mengelak berlaku kesesakan semasa perarakan pedati di laluan-laluan ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut meminta mana-mana individu yang berminat membuka gerai jualan berdekatan kuil berkenaan supaya membuat permohonan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selewat-lewatnya 8 Feb ini.

“Individu yang berminat boleh datang secara terus ke MBI untuk mengisi borang bagi permohonan permit sementara, dan saya juga ingatkan mana-mana individu yang menjaja tanpa permit, maka tindakan sewajarnya akan dikenakan,” katanya.

- Bernama

Sunday, February 5, 2023

Anwar terpaksa ke hospital, tak dapat hadir Thaipusam - Sivakumar

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 5, 2023 4:26 PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak dapat menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves hari ini kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, menurut Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

Menteri itu memberitahu pemberita bahawa Anwar terpaksa mendapatkan rawatan doktor di sebuah hospital awal hari ini kerana isu kesihatan.

“Saya dimaklumkan perdana menteri tidak dapat datang kerana kurang sihat dan pergi ke hospital untuk pemeriksaan,” katanya ketika ditemui di Batu Caves, seperti dilaporkan The Star.

Sivakumar menjelaskan kepada pemberita mengapa Anwar tidak dapat menghadiri sambutan itu, dengan perdana menteri pada mulanya dijadualkan akan membuat penampilan.
Bagaimanapun, menteri itu tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai isu kesihatan Anwar, tetapi berkata perdana menteri mahu bertemu wakil jawatankuasa kuil yang terlibat dengan sambutan Thaipusam di seluruh negara.

“Mesyuarat itu akan diadakan dalam tempoh seminggu atau dua minggu depan,” katanya seperti dilaporkan.

Seorang pembantu kepada Anwar ketika dihubungi mengesahkan perdana menteri tidak sihat.

Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut kecuali memberi jaminan bahawa keadaan Anwar "tidak serius".

Wednesday, January 19, 2022

AJK Fatwa Perlis tegur amalan sertai perayaan bukan Islam

malaysiakini.com

Diterbitkan: Jan 19, 2022 6:09 PM

Seorang daripada anggota Jawatankuasa Fatwa Perlis hari ini mengingatkan orang ramai mengenai perlunya seseorang Muslim mengehadkan dirinya dalam pembabitan sambutan agama lain.

Menurut Kamilin Jamilin seseorang Muslim tidak seharusnya menyambut perayaan agama bukan Islam atau melakukan sebarang upacara yang kelihatan seperti meraikan hari simbolik agama lain.

"Allah SWT melarang umat Islam berkompromi dan terlibat dengan sebarang bentuk peribadatan dan ritual agama lain berdasarkan surah al-Kafirun yang kebanyakan kita menghafalnya," katanya.

Dia yang juga penasihat akademik Akademi al-Khayr memuat naik kenyataan tersebut ketika sesetengah pihak mempertikaikan kehadiran Ahli Parlimen Pekan Najib Razak ke Batu Caves sempena sambutan Thaipusam semalam.

Rakaman kunjungan bekas perdana menteri itu turut tular di media sosial.

Kata Kamilin Islam melarang seseorang Muslim berkunjung ke rumah ibadat agama lain pada hari perayaan mereka walaupun atas alasan untuk perpaduan.

"Begitu juga tidak seharusnya seorang Muslim menggayakan diri atau berkelakuan dengan sesuatu yang menyerupai agama lain dalam hal yang menjadi syiar atau pengkhususan atau tradisi keagamaan mereka," katanya.

Agar tak keliru

Tambah Kamilin ada banyak cara atau aktiviti lain yang boleh dilakukan seseorang Muslim untuk memupuk perpaduan atau mempamerkan keharmonian sesama rakyat.

Sebagai contoh, katanya, ia boleh dibuat melalui sifat ihsan, pelaksanaan keadilan dan tidak menzalimi antara satu sama lain.

"Pemimpin Muslim dan umat Islam perlu peka dengan hal ini," katanya.

Sementara itu anggota Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah, Faiz Fadzil, meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad menjelaskan hukum Najib berkunjung ke Kuil Sri Subramaniar semalam.
Katanya Thaipusam dianggap perayaan keagamaan untuk agama Hindu, bukannya sambutan kebudayaan kaum India.

"Bagi umat Islam, kita memang menghormati amalan setiap agama, tetapi adakah kehadiran Najib sebagai seorang Muslim ke perayaan Thaipusam tersebut menyalahi hukum syarak?" katanya.

Sebagai menteri agama, kata Faiz, naib presiden PAS itu mempunyai autoriti untuk menjelaskan tanda tanya itu kerana sebelum ini Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah menegah kunjungan ke rumah ibadat bukan Islam semasa perayaan agama.

"Perkara ini penting untuk dijelaskan oleh menteri agama supaya masyarakat Islam di negara ini tidak keliru," katanya.

Wednesday, January 27, 2021

MKN tak beri kelulusan, Kerajaan Negeri Larang, Bagaimana Pedati Thaipusam Boleh Berarak? – P Ramasamy

mykmu.net
January 27, 2021


Perarakan pedati Thaipusam di Pulau Pinang awal pagi ini tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri atau Majlis Keselamatan Negara, kata Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy.

Dia juga mendakwa bahawa kuil Chettiar berani untuk meneruskan perarakan tersebut susulan “campur tangan persekutuan” oleh Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Pulau Pinang sebelum ini membatalkan perarakan perayaan Thaipusam berikutan penularan wabak Covid-19, dan memohon para penganut agama Hindu supaya bersembahyang di rumah.

Namun, Ramasamy berkata, Kuil Nattukotai Chettiar mengemukakan rayuan untuk mengadakan perarakan setelah kelulusan yang sama diberikan kepada sebuah kuil di Batu Caves.

Ramasamy berkata, kerajaan negeri belum pun membincangkan rayuan kuil itu apabila mereka meminta campur tangan Saravanan.
“Saya difahamkan bahawa kuil Chettiar bertindak berani susulan campur tangan Saravanan.

“Sehingga hari ini, kerajaan negeri dan MKN belum memberikan kelulusan untuk perarakan pedati di Pulau Pinang.

“Apa yang dilakukan kuil Chettiar itu sekarang tidak dapat diterima,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa tindakan harus diambil terhadap mereka kerana melanggar arahan dari kerajaan negeri mahupun MKN.

Ramasamy juga membidas Saravanan atas tuduhan campur tangan dalam urusan kerajaan negeri.

Ketika dihubungi, menteri sumber manusia itu berkata, dia akan menelefon dan menjelaskan perkara itu kepada timbalan ketua menteri Pulau Pinang berkenaan.

Malaysiakini juga telah menghubungi jawatankuasa kuil Chettiar dan MKN untuk mendapatkan ulasan mereka.

Jalan Gombak ditutup sempena perarakan Thaipusam

malaysiakini.com
Diterbitkan 27 Jan 2021, 11:08 am

Beberapa jalan di daerah Gombak akan ditutup, sempena perarakan sambutan Thaipusam mulai hari ini sehingga awal pagi 29 Jan.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata, penutupan jalan ini susulan kebenaran pergerakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membawa Arca Dewa Murugan bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun HS Lee ke Kuil Seri Subramaniam, Batu Caves esok.

“Laluan terbabit adalah susur ke Kuil Batu Caves dari arah Bulatan Batu Caves, susur MRR2 ke Jalan Perusahaan Batu Caves, simpang Jalan Perusahaan ke Bulatan Batu Caves, jalan ke tempat mandian utama, Sungai Batu Caves,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya jalan akan dibuka semula pada 29 Jan jam 6 pagi.

Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak perlu hadir, kerana upacara sembahyang di kuil sempena Thaipusam kali ini tidak dibenarkan, dan semua pihak juga hendaklah mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.

Katanya polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar SOP PKP (Thaipusam) yang telah ditetapkan MKN.

- Bernama

Wednesday, January 31, 2018

Sokongan komuniti India pastikan BN menang PRU14

Oleh LYN NASIR RABBANI JAMIAN

31 JAN: Sokongan masyarakat India penting bagi bagi memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

Menegaskan perkara itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia juga membolehkan kerajaan hari ini dapat menyalurkan peruntukan dan bantuan secara terus kepada komuniti tersebut.
“Kita tutup cerita lama, tutup buku lama bagi mana-mana yang tidak bersetuju. Dalam hari besar kita nanti, kena sokong BN kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah banyak melakukan perubahan lebih baik kepada rakyat.

“Untuk mendapatkan sokongan yang besar maka kena dapat dokongan lebih besar.Kalau ini dapat dilakukan, saya akan bisik kepada Najib untuk salur bantuan lagi kepada masyarakat India dengan jumlahnya lebih besar lagi,” katanya ketika berucap semasa membuat kunjungan ke Batu Caves bersempena sambutan Thaipusam, Rabu.

Zahid dalam masa yang sama turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta bagi membangunkan semula dan menaiktaraf Pusat Kebudayaan India di Batu Caves, yang akan disalurkan dalam tempoh seminggu ini.
Peruntukan khas kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan turut juga akan disalurkan bagi meningkatkan usaha promosi Batu Caves sebagai destinasi yang mesti dilawati pelancong.

“Saya akan menyalurkan sedikit lagi kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi lakukan promosi kepada Batu Caves untuk menjadi tapak pelancongan dunia. Lokasi ini sudah terbukti menjadi tapak ikonik pelancong,” katanya.

“Kita harap pada 3 Jun akan datang ini lebih ramai akan hadir ke Batu Caves, saya minta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan lipatkan usaha untuk bawa lebih ramai pelancong ke sini,” katanya.
Turut hadir, Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan, Tun S Samy Vellu, Timbalan Presiden MIC, Datuk SK Devamany serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-