Showing posts with label import. Show all posts
Showing posts with label import. Show all posts

Thursday, October 24, 2024

Aduan: Pagi hantar padi ke kilang, petang jual beras import

harakahdaily.net
October 24, 2024
Mohd Misbahul Munir Masduki

KUALA LUMPUR: Kebimbangan rakyat berkenaan isu beras tempatan yang didakwa hilang sebaik sahaja dihantar ke kilang dibangkitkan oleh Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar).

Beliau mendakwa, ada pesawah mengadu bahawa selepas menghantar padi ke kilang pada waktu pagi, apabila mereka ingin membeli beras pada petang, hanya beras import yang dijual.

“Mengapa ini berlaku? Adakah kerajaan memantau kilang-kilang pengeluar padi seluruh negara bagi mengesan ke mana hilangnya padi-padi tempatan yang hari ini di hantar petang sudah jadi beras import, kalau ini berlaku apa tindakan yang kerajaan mesti buat keatas kilang-kilang padi tersebut.

“Kalau tak berlaku ke mana perginya beras tempatan,” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, siasatan terperinci akan dijalankan dengan pemantauan ke kilang padi di seluruh negara.

“Yang pertama kita kena siasat dahulu minta kawal selia padi beras melawat ke kilang-kilang, adakah betul bahawa tuduhan itu ada campuran di atas beras tempatan dan import.

“Sekiranya berlaku kita perlu wujudkan peraturan baru untuk memastikan bahawa beras putih tempatan itu mesti ada bekalan akses untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia,” katanya.

Misbahul dalam soalan asal meminta kementerian menyatakan sebab-sebab beras tempatan masih sukar untuk diperoleh di kedal-kedai runcit mahupun pasar raya dan apakah usaha bagi mengatasi permasalahan ini.

 – HARAKAHDAILY 24/10/2024

Wednesday, September 20, 2023

Beras tempatan di Kelantan tak terjejas, beras Siam pilihan utama

malaysiakini.com
N Faizal Ghazali
Diterbitkan: Sep 20, 2023 
Ketika isu kekurangan bekalan beras tempatan di negeri-negeri lain, situasi sedemikian didapati tidak berlaku di Kelantan.

Ia susulan permintaan terhadap bekalan beras tempatan di negeri Cik Siti Wan Kembang kurang memberangsangkan kerana kebanyakan penduduk lebih sinonim menggunakan beras Siam.

Malah bekalan beras yang di seludup dari negara jiran mudah didapati di kedai-kedai runcit termasuk di kawasan kampung.

Tinjauan Malaysiakini mendapati di beberapa pasar raya utama, bekalan beras tempatan mencukupi dan kurang mendapat sambutan.

Walaupun harga ditawarkan sekampit beras Siam lima kilogram lebih mahal berbanding harga beras putih tempatan, boleh dikatakan majoriti pengguna di Kelantan lebih memilih beras Siam.

“Beras tempatan orang beli juga tapi jualannya tak laju sangat, jadi bekalan sentiasa cukup setakat ini.

“Mungkin sebab orang Kelantan lebih suka beli beras Siam,” kata seorang pekerja pasar raya yang enggan disiarkan namanya.
Harga beras putih tempatan dijual dengan harga RM13 bagi kampit lima kilogram (kg) hingga RM26 bagi kampit 10kg.

Harga bagi lima beras Siam pula antara RM20 hingga RM30 sekampit berbanding harga beras tempatan sekitar RM13 hingga RM15 bagi sukatan sama.

Beras Siam kampit 10kg pula jarang dijual lebih kurang RM40 tetapi penawarannya amat kurang berbanding kampit 5kg.

Seorang peniaga kedai runcit mahu dikenali sebagai Helmi, 35, berkata dia memilih untuk menjual beras Siam sepenuhnya kerana permintaan tinggi daripada pengguna.

“Kalau di kawasan kampung ini orang tak beli beras Malaysia (tempatan), orang cari beras Siam belaka. Kalau saya jual beras Malaysia pun payah laku.

“Orang di sini beli beras Malaysia kalau tak ada pilihan, apabila beras Siam tiada stok jadi terpaksa beli yang mana ada.

“Harga beras Siam lebih mahal tetapi mungkin jadi pilihan sebab kualiti lebih bagus,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Kota Bharu.

‘Nasi lambat basi’

Sementara itu seorang peniaga restoran Suraini Mustapha, 48, berkata dia juga menggunakan beras Siam untuk menyediakan nasi yang dijual di kedainya.

Katanya, sebagai peniaga mereka mengutamakan kualiti nasi yang baik untuk dihidang kepada pelanggan.

“Beras Siam ini lebih berkualiti misalnya nasi susah basi, lebih kembang, lembut dan rasa lebih sedap.

“Kebanyakan peniaga nasi di Kelantan memang akan guna beras Siam. Ia lebih mudahkan kita untuk memasak,” katanya yang juga pemilik restoran Su Tomyam di Kubang Kerian.
Rosli Zakaria
Seorang pengguna Rosli Zakaria, 42, berkata dia sekeluarga menggunakan beras Siam sejak sekian lama kerana kualiti yang lebih baik.

“Saya memang guna beras Siam sebab lebih berkualiti, jadi isu bekalan beras tempatan berkurang kita tak ambil kisah sangat.

“Kita di sini tak terasa sangatlah (beras tempatan kurang),” katanya yang juga seorang tukang jahit.

Thursday, December 22, 2022

Harga telur import Gred C 50 sen sebiji, lebih mahal daripada Gred A tempatan

satuberita.my
By SatuBerita
-December 22, 2022
TELUR ayam yang diimport daripada India untuk memenuhi keperluan pengguna negara ini, dijual pada harga 50 sen sebiji, lebih mahal daripada telur Gred A, walaupun saiznya lebih kecil daripada Gred C tempatan.

Ketika ini, telur Gred C tempatan dijual pada harga 41 sen sebiji, manakala Gred A pula adalah 45 sen sebiji.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin, mengakui harga telur import itu lebih mahal, namun ia masih mendapat permintaan daripada pengguna.

“Walaupun saiz telur import itu lebih kecil daripada Gred C, manakala harganya lebih mahal daripada Gred A, namun sekurang-kurangnya kita ada bekalan itu terutamanya ia adalah sumber protein yang paling murah boleh didapati.

“Kebanyakan makanan di negara ini memerlukan telur, disebabkan itu ia tetap ada pembeli walaupun harganya sebegitu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian Online.

Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan mengimport sekurang-kurangnya dua hingga 10 juta biji telur sehari untuk menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan selain bagi tujuan mengawal harganya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, import telur itu sudah bermula sejak 15 Disember lalu dengan permulaan kemasukan sebanyak 100,000 biji telur.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai telur ayam import yang diterima oleh pasar raya Mydin, Ameer berkata, ketika ini bekalan yang diperoleh mereka hanya cukup untuk dijual menerusi cawangan Subang Jaya.

“Telur ayam import itu sudah diterima dan setakat ini dianggarkan jumlah itu cukup untuk menampung bekalan antara dua hingga tiga hari di cawangan Subang Jaya.

“Minggu depan akan masuk lagi bekalannya dan akan diagihkan kepada semua cawangan Mydin di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ameer berharap selepas telur ayam kembali stabil, kerajaan membiarkan ia dijual pada harga pasaran, tidak meletakkannya di bawah harga kawalan.

Katanya, kerajaan tidak perlu takut dengan kenaikan harga telur ayam kerana mengikut perkiraan ia hanya akan meningkat sekitar lima hingga tujuh sen sahaja.

Malah katanya, tindakan itu juga dapat mengelakkan pembekal ‘main harga’ dengan mengenakan caj tambahan kepada perkara lain.

“Kalau bekalan telur ayam pada pembekal tempatan ini sudah mencukupi, kita tidak perlu lagi import dari luar. Kita mahukan situasi menang-menang. Diharapkan selepas perayaan Krismas ini kerajaan tidak buat harga kawalan kepada telur.

“Setiap kali adanya kawalan harga sudah tentu terdapat ‘underground economy’ di sebaliknya. Mungkin kerajaan kini tidak tahu, walaupun ada harga kawalan ia akan disekalikan dengan ‘underground economy’.

“Ini bermakna harga barangan itu dijual lebih mahal, kalau harga kawalan menetapkan sebiji telur itu dijual dengan harga 45 sen sebiji, tetapi peniaga ini tidak akan mendapat bekalan dengan harga berkenaan,” katanya.

Ameer mendedahkan, hanya mereka yang sanggup bayar lebih sahaja akan menerima bekalan daripada pembekal.

“Walaupun dalam invois harga telur ayam ini akan kekal sama, namun pembekal bertindak ‘main harga’ dengan mengenakan caj tambahan pada pengangkutan atau caj pengendalian.

“Ini tidak betul, ia babitkan harga yang mahal namun dengan cara yang tidak telus, disebabkan kerajaan nak semua dibuat secara telus jadi kita cadangkan untuk tidak membuat harga kawalan selepas perayaan Krismas ini,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-