Showing posts with label khemah besar. Show all posts
Showing posts with label khemah besar. Show all posts

Thursday, April 21, 2022

PH harus buka pintu rundingan untuk Bersatu, Pas – Salahuddin Ayub

satuberita.my
By Wan Aizzat Jailani
-April 21, 2022
PEMIMPIN pembangkang diminta berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan ‘Khemah Besar’ sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub menyarankan PH membuka pintu rundingan dan perbincangan termasuk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas bagi memastikan pembangkang ampuh dalam menghadapi Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, kesepakatan barisan pembangkang amat penting bagi menghadapi PRU-15, sekali gus memberi keyakinan kepada pengundi.

Katanya, pembangkang harus duduk semeja selain berani buat satu keputusan besar dalam menghadapi BN.

“Kalau kita berjaya satukan pembangkang dengan satu persefahaman, ini akan menyebabkan kita akan mampu menang pada PRU-15 nanti.

“Kalau kita tak capai kesepakatan kita akan hancur berkecai. Jadi saya harap kita dapat buat sesuatu dan AMANAH sendiri sentiasa akan ambil sikap proaktif dan progresif untuk melakar satu politik baharu yang kita akan lakukan secepat mungkin sebelum PRU-15.

“Kalau kita dapat adakan satu persefahaman untuk memaafkan dan melupakan, tidak lagi mengungkit masa lalu untuk kita melakari masa depan. Ini yang penting ketika ini untuk kita jadikan realiti.

“Jadi kita perlu duduk semeja fikirkan mengenai kesepakatan satu lawan satu daripada berpecah-belah,” katanya memetik laporan BH Online.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, perbincangan antara PH, Bersatu dan Pas perlu dilakukan lebih awal untuk menghadapi musuh.

“Kita boleh berbincang sekarang, untuk bertemu kita buka pintu kita seluas-luasnya dan keputusan tidak perlu dibuat ketika ini.

“Kita berjumpa berbincang dulu. Tak bolehlah dulu kita tak berkawan, sekarang pun nak teruskan permusuhan,” katanya. 

SB

Monday, April 18, 2022

Mat Sabu: 'Khemah besar' tak merangkumi Umno, Bersatu dan PAS

malaysiakini.com

Diterbitkan: Apr 18, 2022 3:25 PM
Amanah menghormati perbezaan pandangan mengenai pendekatan 'khemah besar' dalam parti-parti pembangang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata presidennya Mohamad Sabu.

Bagaimanapun Mohamad menegaskan pendekatan itu tidak akan merangkumi parti-parti dalam kerajaan iaitu Umno, Bersatu dan PAS.

"Amanah ingin mengulangi penegasan bahawa 'khemah besar' yang dimaksudkan adalah penyatuan dan kerjasama parti-parti pembangkang bagi menghadapi PRU15,"

"Pendekatan 'khemah besar' tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada dalam kerajaan sama ada Umno, Bersatu atau PAS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lepas Mohamad menegaskan Amanah boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja bagi membincangkan kerjasama dalam PRU15 termasuk parti Bersatu.

Bagaimanapun kata Mohamad, Bersatu ketika ini dilihat masih lagi bersama kerajaan berbanding Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dilihat ‘senada’ dengan PH di dalam Parlimen.

Pada 1 April lalu, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim memaklumkan tiada sebarang usaha dilakukan oleh pimpinan tertinggi daripada Bersatu dan PAS untuk menjalinkan kerjasama dengan PH.

“Tidak ada berbangkit isu itu. Ada bincang, tapi tidak berbangkit (usaha kerjasama daripada Bersatu dan PAS),” katanya.

Anwar dilapor berkata demikian menjawab soalan wartawan berkaitan kewujudan sebarang usaha daripada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang untuk menjalinkan kerjasama bersama PH.

Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan tidak mungkin PH akan bekerjasama dengan pengkhianat yang telah mengkhianati amanah dan mandat rakyat.

"Perlu ditegaskan bahawa golongan pengkhianat adalah mereka yang telah melompat untuk bersama Bersama dan PN atas sebab tawaran-tawaran yang dibuat pada ketika itu.

"Tidak wajar kita menyamakan kumpulan yang telah melompat dengan kumpulan yang tidak melompat.

"Seperti mana tidak wajar kita anggap PKR sebagai parti pengkhianat atas sebab timbalan presidennya dan belasan ahli partimennya melompat, begitu juga adalah

tidak wajar kita namakan Pejuang, Warisan dan Muda sebagai pengkhianat atas sebab pengkhianatan Muhyiddin (Yassin) dan Bersatu," katanya.

Tambah anggota Parlimen Kota Raja itu, sebagai parti politik yang ingin menunaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat dengan mengusahakan kemenangan dalam PRU15, persoalan menyatukan pembangkang adalah amat perlu.

Ke arah itu katanya, Amanah akan berusaha memperbanyakkan kawan demi menghadapi lawan yang sama iaitu BN dan juga PN.

"Bagi yang membuat keputusan bahawa PRU15 tidak akan dimenangi, usaha sebegini sememangnya tidak perlu.

"Usaha untuk kalah adalah jauh lebih mudah daripada berjuang untuk menang," kata Mohamad lagi.

Monday, March 7, 2022

PRN Johor: ‘Khemah besar’ PH tidak begitu menjadi, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Zeanaaima Mohd Yusof
-March 7, 2022 9:00 AM

Penganalisis politik berpandangan ‘khemah besar’ PH gagal diserlahkan kesatuannya pada PRN Johor kali ini.

PETALING JAYA: ‘Khemah besar’ yang diharapkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk menyerlahkan ‘kesatuan’ blok pembangkang gagal ditonjolkan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata penganalisis politik Azmi Hassan.

Azmi yang juga Felo Kanan Penyelidikan Strategik Akademi Nusantara berkata, petanda paling jelas adalah PKR nekad mahu menggunakan logo sendiri sementara DAP dan Amanah sepakat untuk menggunakan logo PH.

“Di Johor memang terserlah sangat, idea ‘khemah besar’ itu tidak mendapat sambutan. Tapi masalahnya, dalam Pakatan Harapan sendiri, di Johor terutamanya, mereka berpecah. Menggunakan logo berlainan, menggunakan strategi Amanah (dan) DAP konsep lain, PKR dikatakan tak nak terima MUDA.

“Jadi kalau dalam Pakatan Harapan sendiri berpecah, macamana mereka nak menarik parti-parti lain supaya berada di bawah ‘khemah besar’ itu”, katanya kepada FMT.
Azmi Hassan.
PRN Johor yang dijadualkan berlangsung 12 Mac depan memperlihatkan PKR tidak berpuas hati dengan DAP serta Amanah, yang bertindak menyerahkan enam kerusi boleh menang kepada parti baharu, MUDA.

Enam kerusi tersebut adalah Puteri Wangsa, Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap and Bukit Permai.

Malah, PKR dan MUDA bertembung sesama sendiri di DUN Larkin, selepas gagal mencapai kata sepakat.

Pejuang dan Warisan turut ‘menguji’ PH apabila menggunakan PRN Johor untuk bertapak dalam politik tanah air, dan enggan bekerjasama dengan PH yang dipimpin Anwar Ibrahim itu.


“Apa yang berlaku di Johor ini akan jadi ‘mirror’ atau cermin semasa PRU nanti jika Pakatan Harapan adalah Pakatan Harapan seperti yang sekarang,” katanya lagi.
Mohd Azizuddin Mohd Sani.
Seorang lagi penganalisis, Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, jangan terkejut jika khemah besar yang diimpikan PH akan berhasil dengan gabungan parti pembangkang dengan Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN).

“Jangan terkejut tiba-tiba PN bekerjasama dengan Pejuang, ataupun PH bekerjasama dengan BN…atas erti kata nak wujudkan kerajaan yang lebih stabil.

“Khemah besar ini, macam-macam bentuk boleh dibuat. Orang akan melihat kestabilan. Kalau ada perebutan begini orang akan kata nak selesaikan hal ini pun tak boleh, bagaimana hal negara?,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, PRN Johor yang menyaksikan saingan sehingga tujuh penjuru membabitkan 56 kerusi DUN, petanda betapa berpecahnya pembangkang di negara ini.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-