Showing posts with label parlimen Sungai Buloh. Show all posts
Showing posts with label parlimen Sungai Buloh. Show all posts

Thursday, November 10, 2022

Selepas pemimpin UMNO tak peduli, KJ terpaksa jumpa MIC minta kerusi

agendaily.com
10/11/2022
Menteri Kesihatan kerajaan sementara Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan kerajaan sementara Khairy Jamaluddin hari ini (10 November 2022) mengaku meminta sendiri bertanding di Sungai Buloh sebagaimana dikatakan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Bagaimanapun, penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal itu berkata beliau tidak meminta kepada kepimpinan tertinggi UMNO, sebaliknya menemui Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran, untuk berbuat demikian.

Menurutnya beliau terpaksa mengambil langkah sedemikian kerana tidak dipedulikan oleh kepimpinan tertinggi UMNO dan Barisan Nasional (BN), setelah menyerahkan kerusi Parlimen Rembau untuk ditandingi Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Saya tahu kena keluar dari kawasan Rembau. Ketika itu, saya tiada pilihan. Saya perlu melakukan sesuatu untuk diri saya. Jadi, saya mengambil inisiatif untuk (berjumpa) dengan Tan Sri Noh Omar (Pengerusi BN Selangor) dan Vicky (Vigneswaran).

“Tiada banyak kerusi (Parlimen), hanya dua tiga yang tinggal ketika itu. Jadi saya kata, tak apalah saya pilih Sungai Buloh. Bukannya dari awal saya pilih (untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh).

“Saya memang menunggu isyarat daripada pucuk pimpinan tetapi tidak ada apa-apa. Selepas satu per satu kerusi tidak lagi ‘available’, maka akhirnya saya ke sini (Parlimen Sungai Buloh).

“Saya tak nak panjangkan polemik dengan Presiden UMNO, sebab tidak elok bercakap melalui media… tetapi hakikatnya, saya tiada pilihan sebab pucuk pimpinan parti pun tidak memberi sebarang isyarat kepada saya untuk pergi ke mana-mana kawasan.

“Saya ditinggalkan begitu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di SME Aerospace, di Sungai Buloh hari ini, menurut BH.

Semalam Zahid yang juga Pengerusi BN, mendedahkan Khairy yang meminta untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Zahid yberkata, tiada siapa yang memaksa atau mendesak Menteri Kesihatan itu untuk bertanding di kawasan berkenaan.

Friday, November 4, 2022

Rafizi digesa henti buat kenyataan perbincangan dalaman PKR

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Nov 4, 2022 11:27 AM
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menggesa Timbalan Presidennya Rafizi Ramli supaya menghentikan membuat kenyataan terbuka mengenai proses pemilihan parti bagi PRU15.

"Parti telah buat keputusan. Hormat dan patuh. Elak buat kenyataan tentang hujah, alasan atau siapa di sebalik sesuatu keputusan itu dibuat.

"Calon telah dimuktamad. Itu keputusan bersama. Ini keputusan parti. Tidak semua perbincangan dalaman parti perlu di hebah. Proses parti perlu dihormati," katanya kepada Malaysiakini.

Saifuddin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Rafizi mengenai perbezaan pandangan antara dirinya dan Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam pemilihan calon parlimen Sungai Buloh.
Rafizi semalam berkata bahawa dia dan jawatankuasa pemilihan calon parti itu pada mulanya mencadangkan agar penyandang kerusi parlimen itu, R Sivarasa (gambar, atas) mempertahankan Sungai Buloh pada PRU15 ini.

Bagaimanapun, katanya Anwar mempunyai pendapat berbeza dan dia menghormati budi bicara tersebut kerana memang kuasa letak calon ialah bidang kuasa presiden.

PKR sebelum ini mengumumkan akan meletakkan timbalan ketua penerangannya, R Ramanan di kerusi parlimen Sungai Buloh.

Pengumuman Ramanan sebagai calon PKR di Sungai Buloh menimbulkan rasa kurang senang di kalangan ahlinya yang mendesak supaya Sivarasa dikekalkan atau calon lain dipilih.
Khairy dan Ramanan.
Ini terutama selepas BN mengumumkan Khairy Jamaluddin sebagai calon mereka di kawasan itu.

Rafizi berkata selepas mempertimbangkan maklum balas yang diterima, PKR membuat keputusan untuk mengekalkan Ramanan sebagai calon di Sungai Buloh.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini dilaporkan media tempatan mendedahkan bahawa "isu kesihatan" menjadi sebab R Sivarasa tidak dinamakan semula bagi mempertahankan kerusinya pada pilihan raya umum akan datang.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan dipetik Utusan Online berkata penampilan Sivarasa yang dilihat dengan keuzuran semasa berkempen boleh memberi kesan kepada peluang PH untuk mengekalkan kerusi itu.
Sementara itu, Saifuddin berkata langkah terbaik buat masa ini adalah memberi fokus kepada strategi untuk menang pada PRU ini.

"Meneruskan ke depan dan fokus kepada jentera. Mobilisasi dan menghubungi seramai mungkin pengundi dan memberi mesej yang betul.

"Masa sudah tidak banyak," katanya.

Penamaan calon PRU15 diadakan pada 5 Nov esok manakala hari mengundi pada 19 Nov.

Sungai Buloh mempunyai 158,090 jumlah pengundi dengan kaum Melayu terdiri daripada 99,278 pengundi diikuti Cina (32,560) dan India (16,361).

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-