Showing posts with label pencen. Show all posts
Showing posts with label pencen. Show all posts

Thursday, March 14, 2024

Bayaran pencen naik lebih RM1 bilion setiap tahun – Menteri

malaysia dateline.com
Oleh MAISARAH AISYA
14/03/2024
Setiap tahun bayaran pencen buat pesara perkhidmatan awam, ahli Parlimen dan anggota pentadbiran, setiausaha politik dan hakim meningkat lebih RM1 bilion.

Nampak tak banyak tapi itulah yang ditanggung kerajaan saban tahun, tambah mereka menjadi ahli politik sepenggal sahaja dah layak terima pencen.

Sedangkan pekerja di sektor perkhidmatan awam perlu menghabiskan sisa tua sebelum mendapat pencen.

Menurut Harian Metro, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, kerajaan membayar RM32.01 bilion kepada 931,707 pesara tahun lalu.

Naik 1 bilion setiap tahun

Tahun ini ia meningkat sebanyak RM1.75 bilion berbanding tahun sebelumnya yang dibayar kepada 902,999 pesara.

“Untuk 2020, kerajaan membayar RM26.39 bilion kepada 859,422 pesara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Jawapan tersebut diberikan kepada hairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang bertanyakan jumlah sebenar pembayaran pencen kepada pesara penjawat awam yang terbabit pada 2020 sehingga 2023.

Pada masa sama Dr Zaliha memaklumkan bayaran pencen pada tahun 2030 dijangka mencecah RM46.36 bilion jika skim pencen diteruskan buat penjawat awam baru.

Tambah beliau, skim pesara sedia ada tetap diteruskan dan implikasi kewangan terhadap tanggungan faedah persaraan akan tetap meningkat setiap tahun.

Skim diperkenal untuk kelangsungan fisikal negara

Disebabkan itu, kerajaan akan meneliti kaedah baharu lantikan tetap dan akan membentangkan hasil kajian kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu untuk pertimbangan dan kelulusan pelaksanaannya.

Kaedah lantikan tetap terbaru ini diperkenalkan untuk penyelesaian jangka panjang terhadap isu peningkatan tanggungan pencen perkhidmatan awam.

Di samping itu, ia bagi memastikan kelangsungan serta kemampanan fiskal negara dalam membiayai perbelanjaan yang berkaitan dengan emolumen dan faedah persaraan yang dinikmati oleh penjawat awam.

“Pegawai baharu yang dilantik menerusi kaedah baharu akan menerima gaji, elaun dan kemudahan sama seperti yang dinikmati oleh pegawai lantikan tetap dan berpencen sedia ada.

“Ini termasuklah apa-apa elaun tetap seperti Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), serta elaun lain yang layak kepada skim perkhidmatan dan tugasan tertentu.

“Menerusi inisiatif di bawah Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kerajaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan boleh guna penjawat awam seiring dengan peningkatan kos sara hidup semasa,” katanya.

Thursday, December 14, 2023

Anwar jamin pencen pesara tak kurang

freemalaysiatoday.com
Bernama - 14 Dec 2023

Perdana menteri berkata kerajaan akan menokok jumlah yang kurang itu supaya pesara menerima amaun pencen yang sepatutnya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga komited meneliti Sistem Saraan Perkhidmatan Awam untuk menyemak semula gaji penjawat awam. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan menokok jumlah pencen pesara penjawat awam bagi memastikan jumlah pencen mereka tidak berkurangan daripada apa yang telah diterima ketika ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Walaupun ada keputusan mahkamah, kerajaan khususnya Perbendaharaan membuat keputusan untuk menokok jumlah yang dianggap kurang itu supaya tidak kurang daripada gaji (pencen) yang sepatutnya (diterima),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Sumbangan Kasih Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) dan Yayasan Alumni PTD di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi.

Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen menjadikan pindaan kepada Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA) itu tidak lagi terpakai kepada pesara kerajaan.

Pada Julai lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dalam satu kenyataan bahawa kerajaan telah memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai 2023 hingga Dis 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal.

Ini menyaksikan bayaran pencen bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013 dikembalikan kepada amaun Dis 2012, manakala pegawai awam yang bersara mulai 2013 bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara.

Bagaimanapun, Anwar berkata: “Perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara sama seperti amaun pencen semasa iaitu amaun pencen pada Jun 2023.

Terdahulu, Presiden Alumni PTD Abdul Halim Ali ketika berucap pada majlis itu menyuarakan kebimbangan bahawa pencen pesara akan berkurangan pada tahun depan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan pindaan undang-undang pencen berkenaan.

Sementara itu, menyentuh mengenai kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Anwar berkata kerajaan komited meneliti perkara itu secara mendalam, namun ia memerlukan sedikit masa.

“Dalam penyelarasan gaji ini, tentu isunya akan diteliti dan dikaji dan saya percaya SSPA ini sudah cecah 11 tahun belum ada (kajian semula). Bukan masalahnya saya hendak memenangi atau memujuk penjawat awam, tetapi ini kenyataannya.

“Sepatutnya ia disemak setiap 10 tahun, namun kerana politik itu tidak berkesudahan jadi tidak sempat fikir masalah penjawat awam. Tetapi sekarang wujudnya Jawatankuasa Semakan Semula Sistem Saraan Perkhidmatan Awam, Insya-Allah, ia akan dapat diatasi,” katanya.

Pada majlis itu juga, perdana menteri turut meluluskan peruntukan RM500,000 kepada Alumni PTD bagi meneruskan aktiviti persatuan itu dalam membantu memperkukuh pentadbiran dan perkhidmatan awam.

Friday, September 22, 2023

Mansuh pencen ahli politik: Ada MP anggap pakar ekonomi hipokrit

malaysiakini.com
Isabelle Leong & Yasmin Ramlan
Diterbitkan: Sep 22, 2023 9:30 AM
Cadangan memansuhkan pencen untuk semua menteri dan ahli parlimen tidak disambut baik oleh sesetengah ahli parlimen dengan menganggap langkah tersebut tidak adil.

Malaysiakini cuba mendapatkan maklum balas dari 26 daripada 222 ahli parlimen dari blok pembangkang dan kerajaan, namun hanya dua daripada mereka - Teresa Kok (Seputeh) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) rela untuk mendedahkan identiti masing-masing.

Kok yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut berpendapat ahli parlimen juga berkhidmat sama seperti penjawat awam yang lain dan wajar mendapat pencen seperti mereka.

Dia memberi contoh pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang pernah berkhidmat sebagai ahli parlimen sejak 1969 - sebelum bersara pada 2022 - walaupun bukan secara berterusan.

Selain Lim, satu lagi contoh diberikan Kok ialah veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang memulakan khidmatnya sebagai wakil rakyat di Kelantan pada 1969.

“Kami (ahli parlimen) juga penjawat awam. Saya telah berkhidmat sebagai MP selama 23 tahun, sepenuh masa.

"Jika dibandingkan dengan kebanyakan penjawat awam, kami juga bekerja keras seperti mereka dan kebanyakan MP berkhidmat siang dan malam - termasuk pada hujung minggu.

"Ini semua adalah satu khidmat awam.

“Lainlah kalau kamu nak cadangkan supaya hapuskan skim pencen kepada semua (termasuk penjawat awam). Kalau tak kenapa nak sasarkan kepada ahli politik sahaja?” soalnya.
Teresa Kok
Bagaimanapun, bekas menteri itu memberi pengecualian buat ahli parlimen yang mempunyai lebih daripada satu skim pencen selepas menyandang beberapa jawatan.

“Saya tak setuju bagi mereka yang dapat banyak sangat pencen,” katanya.

Pada 20 Sept, bekas penasihat ekonomi perdana menteri, Muhammed Abdul Khalid menyarankan agar semua menteri dan ahli parlimen 'diajar' untuk merasai kesempitan hidup seperti dilalui orang kebanyakan dengan membatalkan pencen mereka.

Selepas pencen dimansuhkan, Muhammed berpendapat mereka wajar dimasukkan ke skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti orang lain.

Dia menjadikan langkah kerajaan sebelum ini membenarkan pencarum mengeluarkan wang masing-masing dari KWSP sebagai kesilapan terbesar dalam sejarah negara kerana menjerumuskan ramai orang ke kancah kemiskinan.

Anggap Muhammed tak adil

Pakar ekonomi itu berkata, walaupun begitu kesempitan hidup dihadapi rakyat tidak dirasai oleh menteri dan ahli parlimen kerana mereka mendapat banyak kelebihan.

Bahkan Muhammed menyarankan agar menteri kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Abdul Aziz, dihukum kerana membenarkan pengeluaran tersebut.

Sementara itu seorang ahli parlimen yang enggan didedahkan identitinya berkata dia tidak menyokong idea Muhammed memandangkan jawatan ahli parlimen bukanlah pekerjaan tetap dan berterusan.

“Jawatan MP bukan kerja tetap, tanpa jaminan pekerjaan (akan berterusan). Dan pencen bukannya akan dapat selepas seseorang itu tidak lagi menjadi MP, tetapi dia perlu menunggu sehingga berusia 55 tahun.

“Saya rasa dia (Muhammed) seorang yang hipokrit apabila mencadangkan idea sebegitu.

"Tanya dia berapa banyak yang negara dapat jimat dengan menggantikan KWSP dengan skim pencen?” soal ahli parlimen yang kini berkhidmat untuk penggal kedua itu.
Muhammed Abdul Khalid
Menurutnya, beban terbesar ditanggung kerajaan adalah pencen untuk penjawat awam tetapi Muhammed enggan menyentuh manfaat yang dinikmati oleh mereka kerana mendakwa ia hanya akan memakan diri sendiri.

“Habis tu kenapa dia (Muhammed) tak berikan nasihat sedemikian kepada perdana menteri terdahulu (Dr Mahathir Mohamad) ketika dia jadi penasihat ekonomi perdana menteri?” katanya.

Seorang lagi ahli parlimen dari blok kerajaan yang meminta untuk tidak dinamakan berkata perkara yang dihadapi ketika ini adalah jauh lebih kompleks berbanding membangkitkan isu pencen ahli politik.

Ahli parlimen penggal pertama itu juga menekankan tentang kepentingan kajian mengenai selok-belok dan kerumitan jawatan awam yang akan dijalankan.

“Ia bukan satu isu yang boleh ditangani dengan penyelesaian yang sama untuk semua,” katanya kepada Malaysiakini.

Pencen bertingkat-tingkat

Wan Ahmad Fayhsal pula secara peribadi bersetuju dengan cadangan Muhammed dan berpendapat ia wajar dibahaskan di parlimen untuk mendapatkan persetujuan semua pihak.

“Sebabnya, saya tak nafikan Dr Muhammed tu bagus tapi bukan semua ahli parlimen kaya.

"Ramai antara mereka datang daripada golongan guru, jadi mereka tinggalkan banyak pekerjaan asal mereka.

“Saya bukan kata tak setuju, saya secara peribadi setuju, tapi saya tak pasti macam mana rakan-rakan yang lain.

"Ia (keputusan ni) perlukan (persetujuan) kolektif - persetujuan daripada ahli parlimen lain. Kalau perlu, bawak untuk dibincang dan dibahaskan,” kata ketua Pemuda Bersatu itu lagi.

Cadangan Muhammed bagaimanapun disambut baik oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang memberitahu jumlah pencen yang diperolehi ahli politik jauh lebih banyak daripada penjawat awam yang telah berkhidmat berpuluh-puluh tahun.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
“Saya setuju 100 peratus dengan cadangan tiada pencen untuk ahli politik... termasuk (ke atas) saya.

“Sekarang ini pencen ahli politik lagi berganda (lebih besar) daripada penjawat awam yang berkhidmat puluhan tahun. Ahli politik masuk pejabat, terus dapat pencen seumur hidup.

“Pencen yang (dapat) bertingkat-tingkat pula. Menteri, MP, Adun... macam-macam jawatan. Wajar cadangan letak (ahli politik) di bawah KWSP sama seperti rakyat biasa,” tulisnya di media sosial.

Thursday, January 6, 2022

Kemiskinan lepas pencen tak boleh dipandang remeh - SPCAAM


malaysiakini.com

Diterbitkan: Jan 6, 2022 1:48 PM

Kerajaan tidak boleh membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Wang Pekerja (KWSP) secara berterusan atas nama rangsangan ekonomi.

Setiausaha Agung Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), A Karuna, berkata KWSP penting untuk persaraan yang kondusif.

"Kemerosotan simpanan dalam KWSP bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang tidak mampu untuk bersara dengan kondusif, semata-mata kerana persaraan mereka akan menyebabkan mereka terdedah kepada kemiskinan, iaitu kemiskinan selepas bersara, tidak boleh dipandang remeh.

"Kerajaan Malaysia tidak boleh menganggap KWSP sebagai hab wang tunai dan membenarkan pengeluaran secara berterusan atas nama rangsangan ekonomi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini pemimpin Umno menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran i-Citra RM10,000 secara "one off" (sekali).

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa tuntutan itu merupakan garis panduan kepada naib presidennya Ismail Sabri Yaakob yang menjadi perdana menteri pada Ogos lalu.

Ini jelas Asyraf sudah tertakluk dalam ketetapan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Ogos.

Menurutnya, ketetapan mengenai pengeluaran KWSP itu wajar dilaksanakan Ismail Sabri selagi mana MKT tidak menarik balik ketetapan itu.

Dalam pada itu, Karuna berkata kerajaan mesti menyedari bahawa untuk membasmi Kemiskinan dan mencapai masa depan yang lebih mampan, ia mesti memastikan bahawa perlindungan sosial menjadi keutamaan sosial, ekonomi dan politik.

"Ini adalah faktor yang berkait rapat dengan maruah manusia, keadilan sosial dan pembangunan mampan. Menghormati hak buruh, menggalakkan gaji yang adil (gaji

hidup) dan keadaan kerja, serta strategi perlindungan sosial yang berkesan tidak boleh dikompromi lagi.

"Di samping itu, terlalu kerap, kerajaan membentangkan rancangan bercita-cita tinggi yang gagal mencapai matlamat yang disasarkan disebabkan oleh pelaksanaan dan pemantauan yang lemah," katanya lagi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-