Sunday, January 18, 2015

Kata kepada Najib, pihak Mahathir semuanya benar

HARAKAHDAILY | 18 Januari 2015.

KUALA LUMPUR: Umno kini bergaduh sesama sendiri. Puak bekas Perdana Menteri bergaduh dengan puak Perdana Menteri sekarang, Najib Tun Razak.

Demikian ulasan Aspan Alias dalam blognya, hari ini.

Menuutnya, setelah menerima kritikan yang kuat dari pihak Tun Mahathir, maka pihak Najib pula telah mendapat nasihat dari seorang yang hanya dikenali sebagai HR dalam usaha memberikan tentangan terhadap kritikan pihak Dr Mahathir.

Katanya, seorang yang bernama HR sebagai mana yang disebut oleh A Kadir Jasin dikatakan begitu berpengaruh dan segala arahannya terhadap media-media massa perdana untuk mengkritik Dr Mahathir, Daim Zainuddin dan Kadir sendiri.

"Sekarang di antara pemimpin dan mereka yang rapat dengan kuasa dalam Umno dan BN itu sedang bergaduh sesama sendiri dan masing-masing mengeluarkan kelemahan pihak yang berlawanan itu," ujarnya.

Beliau menambah, pertembungan di antara puak Dr Mahathir/Daim dan Najib dikatakan oleh setengah pihak sebagai ‘bontot kuali mengatakan bontot belanga hitam’.

Justeru katanya, masing-masing mendiami rumah kaca dan elok jika tidak melontar batu ke rumah kaca lawan.

Bagi Aspan, semuanya sudah terburai dan ingatlah, perlakuan buruk kita tidak akan dapat dipengapkan selama-lamanya kerana tiba masanya ia akan terbongkar dan akan diketahui umum juga.

"Yang paling mengelirukan kita, kedua-dua belah pihak bercakap tentang kesejahteraan rakyat dan menentang semua bentuk kezaliman dalam kerajaan dan negara.

"Kita lihat seterusnya apa yang berlaku di antara kedua-dua belah pihak ini dalam sehari dua ini," ulasnya lagi.

Menurutnya, kedua-dua belah pihak semakin hari semakin terbawa-bawa dengan amarah masing-masing dan mereka ini jugalah yang mengaku diri mereka sebagai pejuang kepada rakyat dan negara sedangkan sebenarnya mereka sedang mempertahankan 'lopak dan laba' masing-masing itu.

Beliau mengambil ini sebagai isu hari ini kerana sudah lama menulis tentangnya.

"Selalu saya perkatakan akhirnya masing-masing tidak akan mampu bertahan dengan ego masing-masing kerana masing-masing mempunyai saham dalam menjadikan negara kita dalam keadaan sekarang ini," katanya.

Bagi beliau, jika ada walaupun sebelah pihak sahaja yang benar-benar jujur terhadap rakyat yang dipimpin mereka tidak akan berlaku bergaduh sambil ‘menyingsing kain’ seperti sekarang ini, tentulah pihak yang benar tidak akan memberikan respons yang sama seperti pihak yang lagi satu.

Pendeknya, kata beliau apa yang dikatakan oleh puak Kadir Jasin terhadap Najib itu semuanya benar, dan apa yang diperkatakan oleh Najib terhadap pihak Dr Mahathir, terutamanya Daim itu semuanya benar.

"Dalam pergaduhan ini Najib nampaknya keseorangan kerana tidak ada seorang menteri pun yang tampil secara terangan mempertahankan Najib, kerana mereka tahu jika Najib berundur akhirnya mereka secara ‘collective’ mesti berundur sedangkan banyak laba yang akan hilang jika Najib berundur," tambahnya.

Menurutnya, mereka bukan mahu berkorban untuk rakyat walaupun itulah yang mereka laungkan dalam politik ini.

Tambah beliau lagi, tidak ada juga pihak yang mengiyakan apa yang disebut oleh Dr Mahathir terhadap Najib kerana rakyat yang berfikir akan mengakui, ‘there must be a cause for a cause’.

Katanya lagi, kalau tidak kerana berlindung di bawah kuasa Mahathir dahulu masakan Najib akan wujud dan timbul sebagai pemimpin besar negara.

Kalau tidak ada lonjakan oleh Mahathir, ujarnya masakan Pak Lah dan Najib muncul di pesada kepimpinan negara dan melakukan kerja yang sangat tidak selari dengan kehendak Dr Mahathir sendiri.

"Inilah padah yang di perolehi oleh Dr Mahathir kerana terlalu kuat memelihara orang yang lemah untuk menggantikan beliau," katanya.

Sekarang, kata beliau oleh kerana Najib dan Pak Lah dahulu lemah maka mereka ini tidak mampu untuk menunjukkan kepimpinan mereka untuk mempertahankan atau untuk menutupi tindakan dan salah laku Dr Mahathir sendiri. - HARAKAHDAILY 18/1/2015

Tak bolehkah Rosmah contohi perwatakan Siti Hasmah?

HARAKAHDAILY | 18 Januari 2015.

KUALA LUMPUR: Bagi pemimpin Umno, sejak dahulu lagi, isteri-isteri Perdana Menteri tidak pernah menimbulkan masalah dan karenah, malah kehadirannya lebih banyak membantu daripada menyusahkan Perdana Menteri.

"Tetapi kini, semua sudah menjadi sebaliknya," tulis Shahbudin Husin dalam blognya, semalam.

Menurutnya, yang agak berani dan terbuka mula bertanya, "sejak bila membela isteri Perdana Menteri sudah menjadi sebahagian perjuangan ahli dan pemimpin Umno?"

Yang lain pula bertanya, "tidak bolehkah Rosmah berperanan seperti isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini atau sekurang-kurangnya mencontohi perwatakan Siti Hasmah yang bukan saja tidak pernah menyusahkan parti dan kerajaan, bahkan amat menyenangkan semua orang?"

Berikut tulisan penuh beliau yang bertajuk 'Ingatan Untuk Najib - Pemimpin UMNO Kian Bersungut Tentang Rosmah'.

Jika ditanya ahli UMNO dan pemimpinnya di pelbagai peringkat sekarang ini tentang apakah yang membimbangkan mereka dalam menghadapi PRU14 akan datang, jawapan yang paling banyak didengari tidak lain ialah karenah-karenah berkaitan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor.

Bagi mereka inilah antara beban terbesar yang bakal menyukarkan lagi peluang UMNO menambah sokongan serta untuk menang dalam pilihan raya nanti.

Sejak 2009, sebaik Najib Razak mengambil alih teraju kelimpinan negara, topik perbualan mengenai Rosmah muncul satu demi satu tanpa hentinya, daripada kegemaran berbelanja barang mewah, membeli perhiasan, pembaziran, penggunaan jet hinggalah berpeluk, semuanya merupakan isu-isu yang kian merimaskan UMNO.

Jika di era pentadbiran sebelum ini isu berkaitan isteri Perdana Menteri tidak pernah berbangkit dan menjadi topik perbualan sama-sekali, sebaliknya ketika ini ia sudah menjadi sebahagian tugas ahli dan pemimpin UMNO pula untuk menanganinya.

Lantaran itu, apabila isu Rosmah ini timbul secara berterusan, ramai yang mulai bersungut dah merasakan ia membebankan mereka.

Bagi mereka, jika Perdana Menteri, Najib Razak yang dibebani dengan pelbagai masalah seperti 1MDB, hutang yang meningkat, ekonomi yang perlahan atau kepimpinannya yang lemah yang menjadi isu, ia tidaklah menjadi masalah bagi mereka untuk mempertahan dan membelanya kerana ia memang peranan yang sewajarnya mereka pikul.

Tetapi apabila turut membela dan mempertahankan Rosmah juga, ia seperti menambahkan lagi tugas dan bebanan sedia ada, tambahan pula apa yang dilakukan oleh isteri Perdana Menteri yang menjadi bualan seperti penggunaan jet kerajaan dan berpelukan, adalah sesuatu yang jelas salahnya dan sukar dipertahankan.

Lantaran itu, ramai yang memilih berdiam diri daripada tampil mempertahankan Rosmah sejak kebelakangan ini kerana mereka mula merasakan ia sebagai beban dan bukannya tugas hakiki sebagai ahli atau pemimpin parti.

Yang agak berani dan terbuka mula bertanya, "sejak bila membela isteri Perdana Menteri sudah menjadi sebahagian perjuangan ahli dan pemimpin UMNO?"

Yang lain pula bertanya, "tidak bolehkah Rosmah berperanan seperti isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini atau sekurang-kurangnya mencontohi perwatakan Siti Hasmah yang bukan saja tidak pernah menyusahkan parti dan kerajaan, bahkan amat menyenangkan semua orang?"

Bagi mereka, sejak dahulu lagi, isteri-isteri Perdana Menteri tidak pernah menimbulkan masalah dan karenah, malah kehadirannya lebih banyak membantu daripada menyusahkan Perdana Menteri. Tetapi kini, semua sudah menjadi sebaliknya.

Dalam masa yang sama juga, sudahlah Najib, UMNO dan kerajaan turut dibebani dengan masalah yang kian bertambah, munculnya isu berkaitan Rosmah secara berterusan dan tanpa henti-henti hanya akan menipiskan lagi peluang mempertahankan kuasa dalam pilihan raya akan datang ini.

Seharusnya, kata mereka, Najib menyedari bahawa keputusan pilihan raya lalu yang lebih buruk prestasinya berbanding 2008, sebahagiannya adalah disebabkan timbul isu-isu yang tidak berkesudahan berkaitan Rosmah yang tidak menyenangkan rakyat itu.

Najib juga digesa menyedari luahan-luahan di media sosial serta respon negatif terhadap isterinya sebagaimana yang ditunjukkan oleh penonton dalam perlawanan akhir bolasepak Piala Suzuki baru-baru adalah gambaran perasaan oleh pengundi muda yang menjadi penentu dalam pilihan raya nanti.

Untuk menghadapi pilihan raya akan datang, ramai yang mencadangkan agar Najib segera memulakan langkah menjadikan isterinya tidak lagi menjadi perhatian atau topik perbualan atau berhadapan dengan kehilangan lebih banyak sokongan daripada rakyat.

Selain mengimbas perwatakan isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini yang cukup sederhana dan tidak berlebih-lebihan, ada juga yang mahukan Rosmah kembali kepada watak dan peranannya sebagai isteri seperti ketika Najib menjadi menteri dahulu.

Secara umumnya, kian ramai yang berpandangan bahawa UMNO dan BN hanya mempunyai peluang mengekalkan kuasanya jika isu berkaitan Rosmah dapat diketepikan terus daripada menjadi mainan. Yang lain pula berpendapat, jika bukan Najib mengemudi parti dan kerajaan, harapan menang jauh lebih cerah.

Pendeknya, tanpa Najib dan Rosmah, lebih selamatlah negara ini.

Sambutan Maulidur Rasul bukan bidaah

Mohamed Azmin Ali (tengah) bersama-sama mengambil bahagian dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Gombak. - Foto TRP/Zalikha Ameera

KUALA LUMPUR, 18 Januari:

Sambutan Maulidur Rasul bukan bidaah seperti dakwaan sesetengah pihak kerana ia dilakukan bagi memperingati perjuangan Rasulullah SAW.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Gombak dengan tema: “Kesedarhanaan Dikekalkan, Ekstremisme Dilawan”, semalam.

Beliau menyifatkan pihak yang melabel sambutan maulud nabi sebagai bidaah adalah orang yang cetek pengetahuan Islam.

“Memang zaman Rasulullah SAW dahulu tiada sambutan Maulidur Rasul tetapi selepas tahun 70 Hijrah, ia mula disambut bagi memperingati Rasulullah SAW dan mempamerkan kehebatan Islam.

“Sambutan Maulidur Rasul juga disifatkan ulama sebagai tidak bercanggah dengan Islam dan bukannya bidaah,” katanya.

Menurutnya, jangan sewenang-wenangnya melabel sesuatu perkara sebagai bidaah kerana ia boleh mengelirukan masyarakat.

Berteraskan tema Maulidur Rasul, beliau mahu Selangor menjadi negeri kosmopolitan, maju, aman dan menolak sebarang bentuk eksterisme agama dan kaum kerana ia boleh menghancurkan negara.

Dalam pada itu, Azmin meminta kejadian serangan akhbar mingguan Satira di Paris, Charlie Hebdo dijadikan sebagai tauladan kerana Islam tidak menyuruh berjuang secara keganasan.

“Dari zaman Rasulullah SAW lagi, kita tidak diajar mengenai keganasan maka jangan bertindak ganas kerana ia hanya memburukkan nama Islam di mata dunia.

“Saya juga menggesa Barat untuk lebih menghormati sensitiviti Islam supaya tidak membangkitkan kemarahan umatnya. Berhati-hatilah dalam menulis,”ujarnya.

Sejurus perasmian, Azmin menyampaikan sumbangan dana daripada Lembaga Zakat Selangor kepada mangsa kebakaran rumah di Taman Permata.

Sumbangan disampaikan kepada enam keluarga dan sebanyak RM1,000 hingga RM3,000 bergantung kepada tahap kemusnahan.

Keseluruhan sumbangan yang disampaikan berjumlah RM12,500.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/18/sambutan-maulidur-rasul-bukan-bidaah/#ixzz3P6IVY0K4

Tengku Adnan selar PERKASA pertikai bina kuil

Khairil Ashraf

Pembinaan sebuah kuil tidak akan menjadikan Putrajaya kawasan Hindu.


SERDANG : Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyelar PERKASA yang mempertikai keputusan memberikan kebenaran membina kuil di Putrajaya.

Katanya, pembinaan sebuah kuil di Putarajaya tidak akan menjadikan semua orang di kawasan itu Hindu.

“Kenapa buat bising? Kita negara majmuk, negara yang berbilang bangsa, kaum dan negara,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran projek dan galeri jualan Parkhill Residence di One South, Seri Kembangan.

Tengku Adnan yang juga merupakan Ahli Parlimen Putrajaya berkata, kuil yang dibina itu berbeza dengan kuil yang lain.

“Ia merupakan tempat untuk menarik pelancong. Di dalam kuil itu ada dewan, perpustakaan dan semua orang boleh pakai..bukan sahaja orang Hindu. Kalau orang Islam dan Kristian nak menggunakan dewan kuil itu pun boleh,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-