Friday, January 23, 2015

DAP ulangi kesilapan 13 Mei, kata Hadi

NIZAM ZAIN
23 Januari 2015

Hadi Awang
SHAH ALAM - Sikap berdegil DAP yang terus mempertahankan tindakannya menjalankan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pulau Pinang dikhuatiri akan mengundang ketegangan kaum sekali gus mengulangi kesilapan sama dalam peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan DAP perlu mengambil kira pandangan politik sekutunya sebelum membuat keputusan sendiri dalam menguruskan pentadbiran sesuatu bandar.

"Pilihan raya Majlis Perbandaran seperti yang diperjuangkan oleh DAP adalah kembali kepada kesilapan, kerana hanya melihat kepada aspek penduduk bandar sahaja untuk menang pilihan raya dalam jangka yang sangat pendek.

"Kita tidak seharusnya mengusulkan sesuatu yang boleh menjadi cetusan ke arah ketidakstabilan, melebarkan jurang masyarakat desa dan bandar. Paling menakutkan kita ialah ketegangan seperti ini boleh menjadi “api dalam sekam” untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang wajib dianggap titik hitam dalam sejarah negara," katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan DAP kerana membuat keputusan untuk melaksanakan pilihan raya PBTdi Pulau Pinang walaupun tidak dipersetujui rakan komponen dalam PR.

Malah sebelum ini juga Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengecam tindakan DAP dan mendakwa mereka tidak pernah membentangkan cadangan pelaksanaan pilihan raya PBT dalam Majlis Pimpinan PR sekali gus bantahan parti itu terhadap pelaksanaan hukum hudud boleh dianggap sebagai cakap tidak serupa bikin.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi menegaskan DAP wajib menerima hakikat masyarakat majmuk dan perlu mengambil kira aspek tersebut jika mahu melakukan pilihan raya PBT.

"Kita perlu melihat semua termasuk Melayu di kampung, India di estet, orang asal dalam kawasan paling pendalaman dan kaum yang paling kecil, haram dipinggirkan daripada peranan memakmurkan bandar.

"Wajib disatukan dalam titik persamaan, saling mengerti dalam bertolak ansur dan bermaaf-maafan dalam perkara yang berbeza, berlaku adil terhadap semua.

"Bandar wajib diurus bukan sahaja pembangunannya, bahkan penduduknya, begitu juga penduduk keliling yang terlibat memakmurkannya," katanya lagi.

Najib mangsa keenam Mahathir, atau seseorang bakal ke penjara kerana rasuah?

23 Januari 2015 oleh LIM KIT SIANG
Adakah Najib bakal menjadi mangsa keenam Mahathir, atau adakah Malaysia bakal mengheret ‘harimau’ atau ‘buaya’ pertamanya ke mahkamah dan ke penjara dalam kempen anti rasuah negara?

Politik Malaysia negara menggelegak dengan berita tergempar baru-baru ini, lantas membangkitkan persoalan sama ada Perdana Menteri Malaysia keenam bakal menjadi mangsa keenam Mahathir, atau adakah Malaysia bakal mengheret ‘harimau’ atau ‘buaya’ pertamanya ke mahkamah dan ke penjara dalam kempen anti rasuah negara?

Sepanjang 45 tahun yang lalu, Perdana Menteri keempat Malaysa Tun Dr Mahathir Mohamad telah memangsakan lima pemimpin politik utama negara, bermula dengan Bapa Malaysia yang juga Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman, dua Timbalan Perdana Menteri yang hampir sahaja menjadi Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan juga Tengku Razaleigh Hamzah, calon perdana menteri sepanjang zaman.

Persoalannya sekarang ialah sama ada Mahathir akan menambah Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak, ke koleksi mangsa-mangsa politiknya di Malaysia.

Namun Najib nampaknya tidak akan berdiam diri, dan timbul persoalan sama ada ‘harimau’ atau ‘buaya’ pertama akan diheret ke mahkamah dan kemudian ke penjara dalam sejarah hambar pembanterasan rasuah di Malaysia.

Baru-baru ini, pentadbiran Najib dan jentera publisitinya telah menguar-uarkan pencapaian anti-rasuah negara, malah mendakwa bahawa kedudukan Malaysia dalam tangga Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International bagi tahun 2014 adalah kedudukan terbaik negara dalam tempoh sepuluh tahun.

Ini tentunya tidak benar.

CPI 2014 adalah yang terbaik dalam tempoh enam tahun Najib menjadi PM, tetapi yang paling buruk jika dibandingkan dengan zaman Tun Abdullah di mana CPI antara tahun 2004 ke 2008 berada antara tangga ke 39 hingga 47; dan lebih buruk dibandingkan dengan sembilan tahun di zaman Mahathir antara 1995 hingga 2003, ketika negara berada di tangga ke 23 pada tahun 1995, dan tempat ke 37 pada tahun 2003.

Jika kita mengkaji tangga dan skor CPI 2014 bagi kesemua 175 negara dan tempoh 20 tahun siri CPI TI sejak 1995 ke 2014, tidak ada sebab untuk sesiapa mempercayai bahawa sasaran Malaysia untuk menduduki tangga 30 teratas dalam CPI 2020 sebagai realistik atau boleh dicapai.

Malah, menjelang 2020, Malaysia berhadapan kemungkinan dipintas China, mahupun Indonesia di kedua-dua skor dan kedudukan CPI, apabila dalam CPI TI pertama pada tahun 1995, Malaysia menduduki tangga ke-23 daripada 41 negara dengan skor 5.28 daripada 10, manakala China dan Indonesia menduduki dua anak tangga paling rendah dengan skor CPI 2.16 dan 1.94 daripada 10, masing-masing. (i.e. berada di kedudukan 90 peratus terendah daripada skor CPI).

Namun dalam masa 20 tahun yang lalu, Malaysia telah mencapai kedudukan sebagai salah satu negara yang telah direndahtarafkan di kedua-dua kedudukan dan skor CPI, dan tewas kepada negara-negara yang dahulunya mempunyai kedudukan dan skor CPI lebih rendah pada tahun 1995, dan kini berpotensi dipintas oleh negara-negara termasuk China dan Indonesia yang dahulunya berada di kedudukan paling bawah CPI TI tahun 1995.

Di Indonesia, Presiden barunya Joko Widodo sedang mengetuai sendiri kempen membanteras korupsi manakala di Cina, meski ia jatuh empat mata dalam skor CPI tahun lalu, kempen membanteras rasuah ‘harimau dan lalat’nya telah menyaksikan penambahbaikan yang cemerlang dalam skor CPI China dalam tempoh dua dekad yang lalu.

Tangkapan dan pendakwaan atas kesalahan rasuah terhadap para ‘harimau’ dan ‘buaya’, tidak kiralah yang berpangkat menteri atau yang setara dengannya, kini menjadi perkara biasa dalam kempen anti-korupsi di Indonesia dan China, tetapi belum pernah ada satu pun ‘harimau’ dan ‘buaya’ yang diheret ke mahkamah dan didakwa dengan jayanya atas kesalahan rasuah di Malaysia dalam tempoh lebih tiga dekad.

Kesemua rakyat Malaysia seharusnya bimbang bahawa melalui trend ini, Malaysia berisiko dipintas Indonesia dan China sebelum CPI tahunan pada tahun 2020, dari segi kedudukan dan skor; kecuali jika Malaysia benar-benar berusaha keras dan memperlihatkan kesungguhannya membanteras rasuah.

Secara tiba-tiba, terlihat kemungkinan bahawa kempen anti rasuah di Malaysia bakal memasuki sebuah era baru.

Adakah kempen pembanterasan rasuah negara di ambang senario baru, dengan para ‘harimau’ dan ‘buaya’ turut diheret ke mahkamah dan penjara, sepertimana China dan Indonesia? – Roketkini.com

Azan Subuh: Pembohong, sengaja fitnah

MOHD SABRI SAID | 23 Januari 2015.
PULAU PINANG: "Pembohong, ada pihak sengaja membuat fitnah dan pihak masjid tidak tahu menahu," tegas Pengerusi Masjid At-Taqwa Taman Brown/Taman Tun Sardon, Glugor, Abdul Aziz Sharif ketika diaju soalan tentang laporan yang mengatakan terdapat bantahan sebagai menghalang melaungkan azan daripada penduduk sekitar baru-baru ini.
Beliau berkata, berita tersebut hanya rekaan yang dimuatkan dalam laman sosial dengan tujuan memburukkan keadaan kononnya masyarakat Cina terutamanya membuat laporan yang tidak relevan.

"Masjid kami pasang pembesar suara bukan lekeh tapi mahal. Bunyinya pun amat kuat kedengaran nyata di sekitar sini. Tiada bantahan pun sejak masjid yang dirasmikan oleh Tun Yang Terutama, Datuk Seri Utama Dr Haji Abdul Rahman Abas. Macam mana boleh tiba-tiba berlaku pula," terangnya kesal.

Menurutnya, ringkas jawapan yang diberikan kepada semua termasuk pihak polis ialah pergi mencari orang yang mengeluarkan surat dan ambil bukti dari mana ia diperolehi.

"Jangan sekali-kali tanya jawatankuasa masjid sebab semuanya tidak tahu menahu cuma diketahui apabila tersiar dalam Facebook," katanya.

Pihak masjid ujar beliau, telah menafikan desas desus itu dalam laman web masjid dan ia jelas satu pembohongan.

Justeru, kata beliau jangan percaya isu perkauman seperti itu kerana ia tidak mendapat tempat pada era kini. - HARAKAHDAILY 23/1/2015

Cukai minyak secara senyap punca harga barang tidak turun

KUALA LUMPUR 23 JAN- Tindakan tidak bertanggungjawab kerajaan mengenakan cukai secara senyap ke atas jualan petrol dan diesel bagi sektor komersil menyebabkan harga barang tidak dapat diturunkan, kata Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.

Menurut Rafizi, berdasarkan Pekeliling Perbendaharaan yang dibocorkan kepadanya, beliau mendapati syarikat- syarikat minyak diwajibkan mengikut beberapa peraturan.
Antaranya, kerajaan mengenakan cukai jualan kepada industri dan sektor komersil berkuatkuasa 1 Januari lalu di antara 40 sen hingga 58.62 sen seliter mengikut jenis bahan api.

Oleh sebab itu katanya, pengilang dan industri terpaksa membayar harga RM2.269 seliter (RON95) dan RM2.236 seliter (diesel) berbanding harga biasa RM1.91 seliter (RON95) dan RM1.93 seliter (diesel).

“Ini bermakna pengilang dan industri membayar dua bentuk cukai kepada kerajaan sekarang ini iaitu cukai jualan yang diumumkan melalui pekeliling setiap bulan dan cukai petrol/diesel tersembunyi akibat perbezaan ketara di antara harga pasaran dan harga yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Katanya, sistem penetapan harga tersebut termasuk syarat AP makanan yang mewujudkan monopoli telah menjadi penghalang kepada peniaga untuk menurunkan harga barangan.

“Pentadbiran Datuk Seri Najib mengambil tindakan tidak bertanggungjawab mengenakan cukai senyap-senyap kepada industri untuk menambah pendapatan dengan harapan rakyat mengalihkan kemarahan kepada industri dan peniaga, bukannya kerajaan.

“Sedangkan kerajaan mengutip ratusan juta cukai dari rakyat dan peniaga setiap bulan sejak kejatuhan harga minyak berlaku,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Rafizi berkata, kempen senyap yang dibuat di laman sosial bahawa kononnya peniaga berbangsa Cina enggan menurunkan harga barangan adalah tidak benar.

“Rakyat harus sedar bahawa salah satu sebab harga barang tidak turun secepat harga minyak adalah kerana pengilang dan industri tidak menikmati kejatuhan harga minyak akibat cukai jualan yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Tun Razak,” jelasnya.

Jesteru, Rafizi mendesak segala bentuk cukai yang dikenakan baik kepada rakyat, peniaga atau pengilang perlu dihentikan serta merta bagi memastikan penurunan kos di setiap rantaian iaitu dari pengilang hingga kepada pengguna.

Hapus AP, turun tarif elektrik baru ada makna untuk rakyat

KHAIRIL ABDUL RAHIM | 23 Januari 2015.

TEMERLOH: Kerajaan sepatutnya menghapuskan permit import (AP) kereta dan memberikan diskaun kepada caj tarif elektrik selaras dengan penurunan harga minyak global supaya faedahnya dapat dinikmati rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, dengan tindakan sedemikian menyebabkan rakyat boleh berbelanja dan sekali gus dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara ini.

“Harga minyak yang turun pada masa ini sepatutnya memberi banyak faedah kepada rakyat tetapi nampak berkurangan kerana tidak disertai dengan penghapusan AP dan penurunan cukai kereta supaya harganya menjadi lebih murah.

“Bila harga kereta lebih rendah barulah aktiviti ekonomi akan berjalan rancak kerana orang boleh jual kereta lama dan beli kereta baru. Jadi barulah ada makna kepada penurunan harga minyak. Sekarang ini orang tidak boleh tukar kereta baru kerana cukai masih tinggi.

“Jadi kerajaan seharusnya mengkaji balik untuk memastikan aktiviti ekonomi ini dapat bergerak dalam suasana ringgit Malaysia jatuh dan harga minyak turun, duit mesti berputar jadi mesti pastikan harga kereta murah baru ada makna,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata demikian selepas mewakili PAS kawasan berkenaan menyerahkan sumbangan wang tunai dan beras kepada mangsa-mangsa yang terjejas banjir di Pahang terutamanya di daerah ini.

Sumbangan diterima oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh Md Jusoh Darus dalam satu majlis ringkas. Turut hadir AJK PAS Pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Menurut Mahfuz, kerajaan juga mesti menurunkan caj tarif elektrik kerana sumber penjanaannya telah jatuh harga.

“Pengumuman Perdana Menteri bahawa kadar tarif elektrik tak naik pada tahun 2015 tidak memadai. Pada saya paling tidak pengguna mesti diberi diskaun sebanyak 15 peratus sebab harga bahan petroleum dah turun, harga arang batu pun turun ke USD48 per metrik tan sekarang ini.

“Kita tahu untuk menjana kuasa elektrik arang batu dan minyak digunakan, kalau dua-dua sumber penjanaan ini sudah pun turun jadi sepatutnya bagi saya kena diskaun sekurang-kurang 15 peratus baru boleh membantu kepada meringankan beban sara hidup rakyat,” jelasnya lagi.

Mahfuz bagaimanapun tidak bersetuju dengan saranan sesetengah pihak yang mahu projek-projek besar dihentikan kerana akan membuatkan ekonomi lumpuh.

Katanya, projek besar mesti terus berjalan dengan kawalan bagi terus menggerakkan ekonomi dengan penyertaan kontraktor-kontraktor kecil dan mengelakkan pengangguran. 

-HARAKAHDAILY 23/1/2015

PR mungkin gagal teruskan survival kerana krisis dalaman - Tun Daim

Daim menyifatkan PR terlalu meraikan kejayaan, sehingga nampak terlalu dramatik dalam menonjolkan kekuasaannya.

KUALA LUMPUR, 23 Januari:

Perpecahan dalam Pakatan Rakyat (PR) mungkin menyebabkan pakatan pembangkang itu gagal meneruskan survival.

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkata, apa sahaja boleh berlaku dalam politik dan tiada sesiapa dapat menjamin Pakatan Rakyat yang ada hari ini, akan kekal wujud pada pilihan raya akan datang.

“Siapa yakin bahawa pasukan Pakatan Rakyat akan kekal atau sama ada BN (Barisan Nasional) akan bertarung secara berpasukan nanti?

“Sekiranya kedua-dua belah berjaya mengekalkan pengaruh sedia ada, maka hasil (pilihan raya) juga perlu ditentukan oleh pemimpinnya,” katanya ketika ditanya berhubung jangkaannya pada Pilihan Raya Umum akan datang, dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Cina.

Menurutnya, PR terlalu meraikan kejayaan, sehingga nampak terlalu dramatik dalam menonjolkan kekuasaan.

“Pakatan Rakyat terlalu meraikan kejayaan sehingga nampak terlalu dramatik dalam menonjolkan kekuasaannya, dengan melontarkan kenyataan bahawa warga Bangladesh mengundi dan berlaku gangguan elektrik.

“Mereka juga mungkin terlalu fokus kepada memenuhi cita-cita sempit individu dan ahli keluarga,” katanya.

Malah, beliau juga yakin, BN boleh mengekalkan kuasa pemerintahan, terutamanya jika pengundi Sabah dan Sarawak terus memberi sokongan.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/23/pr-mungkin-gagal-teruskan-survival-kerana-krisis-dalaman-tun-daim/#ixzz3Pb94yDdd

Najib-Anwar: Burung Sebulu Terbang Beregu?

Oleh A Kadir Jasin


BANYAK pihak bertanya saya mengenai tulisan (Tan Sri) Zainuddin Maidin aka Zam dalam blognya pada 19 Januari lepas bertajuk “salam terakhir Zam pada penulisan politik semasa.”

Zam sudah beri penjelasan dan saya pun sudah berpuisi dalam blog beliau. Apa pun saya terpaksa hormati keputusan beliau walaupun saya berkata kepada beliau yang beliau perlu terus berjuang.

[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]

Nampaknya Zam kecewa dan begitu tersentuh apabila teguran beliau terhadap pemerintah, khususnya kepada kawan lamanya Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak, dianggap persekongkolan dengan (Tun) Dr Mahathir Mohamad dan (Tun) Daim Zainuddin.

Zam kata beliau bukan penulis upahan dan tidak pernah menjadi penulis upahan. Bagi saya itu hujah teknikal. Saya adalah penulis upahan. Saya katakan begitu kerana memang saya diupah menulis oleh syarikat saya dan saya juga diberi upah oleh akhbar dan majalah yang menyiarkan karya saya. Perdana Menteri pun diupah untuk memerintah negara. Makan upah halal tidak salah.

Cuma dalam menulis blog ini saja tidak diupah atau ditaja oleh sesiapa. Sebaliknya saya keluarkan duit sendiri dan guna masa sendiri.

Awal dan akhir, saya adalah wartawan. Saya tidak pernah merajuk, tidak pernah mogok seni dan tidak pernah tutup blog saya.

Saya menulis sejak di bangku sekolah lagi dan menjadi wartawan tanpa putus-putus sejak tahun 1969. Tahun ini masuk tahun ke-46 saya jadi wartawan dan bulan hadapan genaplah sembilan tahun blog ini.

Tidak seperti Zam dan beberapa orang wartawan lain, saya tidak tergoda dengan politik dan tidak “bercuti” daripada kewartawanan untuk menjadi Yang Berhormat atau menteri. Jadi tidak adalah apa-apa yang boleh menyebabkan saya dalam dilema, serba salah dan gusar apabila menulis mengenai politik dan orang politik.

Zam dan beberapa orang wartawan-politikus memilih untuk menjadi makhluk dua alam yang melompat antara dunia kewartawanan dan politik. Itu hak dan pilihan mereka. Saya memilih untuk kekal sebagai seorang wartawan.

Anwar dan Mohd Najib ceria menikmati "a cuppa"

Berkenaan perang media yang menyebabkan Zam turut terseret dan terpalit, pendapat saya adalah seperti berikut:

1. Perdana Menteri tidak menyangka bahawa dua orang penjaga (guardians) politiknya - Dr Mahathir dan Daim – boleh menjadi begitu kritikal terhadap beliau sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, suami dan presiden parti.

2. Pada mulanya beliau menggunakan taktik berdiam diri ala "elegant silence" (Tun) Abdullah Ahmad Badawi, disusuli dengan berjumpa sendiri dengan Dr Mahathir dan Daim. Tetapi tindakan susulan beliau tidak meyakinkan kedua-dua orang lama itu dan mereka terus bersuara.

3. Daripada taktik pertahan diri, Mohd Najib dan pakar-pakar perang sarafnya berpindah kepada taktik serangan dengan melantik Ketua Pembangkang, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, sebagai protagonis utama.

4. Premis mereka adalah ancaman terdekat terhadap Mohd Najib ialah Dr Mahathir dan Daim. Dalam masa terdekat dua orang veteran itu boleh menggugat kedudukan Mohd Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno.

5. Jadi keutamaan Mohd Najib adalah mengatasi cabaran yang berpunca daripada Dr Mahathir dan Daim. Maka menjatuhkan imej dan kewibawaan mereka adalah pilihan utama dan terbaik bagi Mohd Najib.

6. Anwar juga ancaman kepada beliau tetapi tidak segera seperti ancaman Dr Mahathir dan Daim. Ancaman Anwar adalah apabila pilihan raya umum diadakan tiga atau empat tahun dari sekarang. Dalam tempoh itu mungkin Anwar bukan ancaman lagi!

7. Tindakan Mohd Najib dan jentera diayahnya menyerang Daim melalui media arus perdana (MAP) kawalan Umno adalah strategi luar biasa yang boleh menjadi senjata makan tuan. Ia mengalih fokus Anwar daripada kerajaan kepada Daim dan Dr Mahathir. Mohd Najib tentu tahu bahawa Dr Mahathir, Daim dan Anwar adalah trio yang sangat berpengaruh ketika Anwar dalam Umno dan kerajaan sedangkan beliau sendiri sekadar pelakon tambahan. Jadi melaga-lagakan bekas "tiga sahabat" itu adalah strategi bijak. Hatta Anwar sendiri tidak sedar dan termasuk perangkap perang saraf Mohd Najib.

8. Selain isu kredibiliti dan audiens, MAP tidak rugi apa-apa dengan memberi pentas kepada Anwar kerana apabila (atau sekiranya) Dr Mahathir dan Daim berjaya difitnah dan dilenyapkan, tinggallah Anwar sebagai musuh tunggal yang mudah diuruskan.

Zaman dolu-dolu: Birds of a feather stick together

9. Daripada tindak-tanduk MAP menggunakan Anwar sebagai jurucakap timbullah gambaran bahawa Anwar masih mempunyai simpatisan (simpathizers) di kalangan eksekutif, pengarang dan wartawan MAP.

10. Kemungkinan wujud hasrat tersirat dan persefahaman belakang tabir berbentuk quit pro quo di antara Mohd Najib dan Anwar memandangkan kedua-dua mereka mempunyai “isu-isu” yang mungkin boleh dirungkaikan atau, setidak-tidaknya pun, dikurangkan impaknya kalau mereka saling bantu membantu. Kata ungkapan Inggeris “birds of a feather stick together.”

11. Akhir sekali, dalam politik tidak ada musuh yang kekal. Yang kekal hanyalah kepentingan bersama. Kalau Anwar boleh berkasih-kasihan dengan Dr Mahathir selama 16 tahun dalam Umno dan kerajaan, tidaklah mustahil. - http://kadirjasin.blogspot.com/

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=238772:najib-anwar-burung-sebulu-terbang-beregu?&Itemid=2#ixzz3PZYVmzpm
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

Pekebun dihukum gantung kerana edar ganja

Tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah dan mahkamah tiada pilihan, kecuali menjatuhkan hukuman mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu gantung sampai mati.

MUAR, 22 Januari:

Mahkamah Tinggi Muar menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang pekebun yang didapati bersalah mengedar ganja, lima tahun lalu.

Tertuduh, Tan Toh Teng, 45, disabitkan atas pertuduhan itu yang dilakukannya di Kampung Paya Redan, Batu 19, Pagoh, dekat sini, kira-kira jam 9.05 malam 13 Disember 2011.

Tan kelihatan tersenyum, ketika Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Shamsudin Hassan menjatuhkan hukuman itu, selepas keputusan dialih bahasa oleh jurubahasa, sebelum dia dibawa ke lokap.

Shamsudin berkata, keputusan yang dibuat, selepas mahkamah meneliti kenyataan tertuduh yang memberi keterangan membela dirinya.

Katanya, beliau mendapati tertuduh hanya menafikan memiliki dan mengedarkan dadah, sedangkan semua perkara itu sudah dijelaskan anggota pihak berkuasa pada peringkat awal pendakwaan.

Jelasnya, tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah dan mahkamah tiada pilihan, kecuali menjatuhkan hukuman mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu gantung sampai mati.

“Untuk kesalahan kedua, iaitu memiliki dadah jenis Nimetazepam, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 6 bulan yang berkuat kuasa dari tarikh dia ditahan, mengikut Seksyen 12 (3) akta sama,” katanya.

Tan yang belum berkahwin, didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, kerana memiliki 593.46 gram ganja.

Selain itu, Tan didakwa mengikut Seksyen 12 (2) akta sama dan dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 12 (3), kerana memiliki 1.79 gram dadah jenis Nimetazepam.

Dia yang sebelum ini memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan narkotik, ditahan dalam serbuan dan pemeriksaan membawa kepada penemuan dua jenis dadah berkenaan di satu rak, di dapur rumahnya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/22/pekebun-dihukum-gantung-kerana-edar-ganja/#ixzz3PZEPwleA

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-