Showing posts with label ekonomi negara. Show all posts
Showing posts with label ekonomi negara. Show all posts

Thursday, October 10, 2024

Golongan Kaya Dan Miskin: Memahami Ketidakseimbangan Sosial Dan Keperluan Campur Tangan Kerajaan

mediaislam.net
MI October 10, 2024
Di setiap negara, kewujudan jurang ekonomi antara rakyat adalah satu hakikat yang tidak boleh dinafikan.

Struktur sosial dalam sesebuah masyarakat sering kali terdiri daripada tiga kumpulan utama: golongan kaya, golongan miskin, dan golongan pertengahan yang berada di antara keduanya.

Walaupun golongan pertengahan tidak mengalami kemiskinan atau kekayaan yang melampau, perbezaan yang luas antara golongan kaya dan miskin terus menjadi punca konflik dan ketegangan dalam pelbagai negara di seluruh dunia.

Ketidakseimbangan sosial ini bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi ia menjadi semakin ketara dalam era moden, khususnya ketika menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim dan ketidakstabilan ekonomi.

Menurut satu kajian oleh seorang profesor dari Amerika, corak penggunaan antara golongan kaya dan miskin sangat berbeza.

Golongan kaya didapati menggunakan sekitar 32 kali ganda lebih banyak berbanding mereka yang miskin.

Penggunaan berlebihan ini bukan sahaja menonjolkan ketidaksamaan dalam pengagihan sumber, tetapi juga menekankan kesan alam sekitar yang disebabkan oleh golongan kaya, yang menghasilkan sisa buangan lebih banyak berbanding golongan miskin.

Kajian ini juga memperlihatkan jurang yang semakin melebar antara kedua-dua kumpulan, bukan sahaja dari segi kekayaan tetapi juga dalam kesan alam sekitar yang mereka tinggalkan.

Dalam era perubahan iklim ini, ketidakseimbangan tersebut menjadi lebih jelas.

Golongan kaya, dengan sumber yang banyak, lebih mampu menghadapi kesan buruk daripada perubahan iklim.

Mereka boleh mendapatkan teknologi yang boleh mengurangkan kesan bencana alam, akses kepada perkhidmatan kesihatan, dan berpindah ke tempat yang lebih selamat jika perlu.

Sebaliknya, golongan miskin menghadapi kerentanan yang lebih besar dengan pilihan yang terhad untuk mengatasi akibat bencana alam, yang seterusnya memburukkan lagi keadaan ekonomi mereka yang sudah pun lemah.

Ketidakseimbangan ini juga melangkaui isu alam sekitar.

Secara sosial, golongan miskin percaya bahawa mereka berhak mendapat akses yang sama seperti golongan kaya terhadap kemudahan dan perkhidmatan kerajaan.

Mereka juga mengharapkan lebih banyak kelonggaran daripada kerajaan, terutamanya ketika menghadapi kesukaran ekonomi.

Namun begitu, tanpa campur tangan yang secukupnya, jurang antara kaya dan miskin terus melebar.

Terdapat kecenderungan bagi golongan kaya untuk semakin menambah kekayaan, sementara golongan miskin berjuang untuk bertahan.

Apabila golongan kaya terus mengumpul lebih banyak aset dan pengaruh, golongan miskin terpaksa menjual harta benda mereka yang sedikit untuk terus hidup, yang akhirnya menyumbang kepada kejatuhan ekonomi mereka.

Kitaran ini memperlihatkan bagaimana kekayaan terus berpihak kepada golongan kaya di atas kemiskinan golongan yang kurang bernasib baik.

Dr. Mahathir Mohamad dalam pandangannya mengenai isu ini, menyatakan bahawa jika dibiarkan, ketidakseimbangan ini boleh membawa kepada ketegangan sosial.

Apabila ketidaksamaan ini tidak dikawal, ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

Golongan miskin yang semakin tersisih dan merasa tidak berdaya mungkin akan beralih kepada tindakan pemberontakan atau kekacauan, suatu senario yang telah banyak kali berlaku dalam sejarah.

Penyelesaiannya, seperti yang dinyatakan oleh Dr. Mahathir, terletak pada campur tangan kerajaan.

Ketidakseimbangan antara golongan kaya dan miskin tidak boleh dibiarkan berlaku dengan sendirinya.

Kerajaan mesti memainkan peranan yang aktif dalam menangani isu ini dengan melaksanakan dasar yang mampu mengagihkan kekayaan, mewujudkan peluang yang sama rata, dan melindungi golongan yang paling terdedah dalam masyarakat.

Tanpa langkah-langkah sedemikian, kitaran ketidaksamaan ini akan terus melebar dan akhirnya membawa kepada ketidakstabilan.

Campur tangan kerajaan boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk, termasuk cukai progresif, program kebajikan sosial, perkhidmatan kesihatan yang mampu milik, dan pendidikan.

Dengan melabur dalam kesejahteraan golongan miskin dan pertengahan, kerajaan dapat membantu mengurangkan jurang perbezaan dan mempromosikan masyarakat yang lebih inklusif dan stabil.

Pada akhirnya, matlamatnya adalah untuk memperlahankan, jika tidak menghentikan, jurang ekonomi yang semakin membesar ini.

Kesimpulannya, jurang yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin adalah satu isu yang mendesak dengan implikasi yang besar kepada masyarakat.

Walaupun golongan kaya terus mengumpul sumber dan melindungi diri mereka daripada cabaran ekonomi dan alam sekitar, golongan miskin terpaksa menanggung beban ketidaksamaan ini.

Tanpa tindakan yang bermakna daripada kerajaan, trend ini berkemungkinan besar akan membawa kepada ketidakpuasan sosial dan ketidakstabilan.

Pandangan Dr. Mahathir menjadi peringatan yang tepat mengenai keperluan untuk pemerintahan yang proaktif dan penuh belas kasihan dalam menangani cabaran-cabaran ini serta mewujudkan masyarakat yang lebih adil dan saksama untuk semua.

Monday, March 30, 2020

Kerajaan perlu 6 bulan pulih ekonomi selepas krisis Covid-19

Bernama
-March 30, 2020 7:53 AM
Menteri di JPM (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan tempoh pemulihan ekonomi negara memerlukan sekurang-kurangnya 6 bulan selepas krisis Covid-19 berakhir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Menurut beliau, keadaan akan kembali pulih bukanlah dengan kadar segera, maka disebabkan itu sasaran tempoh tersebut dipilih adalah dilihat wajar.

“Disebabkan itu, segala pembayaran, seperti hutang bank, PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) ditangguhkan 6 bulan, jadi itulah jangkaan kita. Kita doakan begitu, maka sudah pasti kita perlu cari strategi lain untuk memulihkan keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam ini.

Beliau berkata pelbagai sektor termasuk sektor pelancongan, perhotelan, peruncitan serta pelaburan negara terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Sektor pelancongan umpamanya, orang tidak akan datang serta-merta ke Malaysia, jadi kita perlu membuat promosi yang agak agresif,” katanya.

Menurut Mustapa, ada sesetengah negara terjejas Covid-19 menjangkakan negara mereka akan mengambil masa sekurang-kurangnya 9 bulan sehingga setahun bagi membangunkan kembali ekonomi masing-masing.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan sedia mengadakan perbincangan dan menerima cadangan daripada sebahagian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro yang mendakwa tercicir daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

“Ia merupakan bilangan yang besar dan sudah pasti ia di luar kemampuan kerajaan. Apapun kerajaan sentiasa terbuka kerana PKS ini peranannya besar iaitu lebih 60% yang bekerja dalam sektor PKS.

“Oleh itu adalah penting kerajaan sentiasa berbincang dalam Majlis Tindakan Ekonomi, InsyaAllah, bagi tingkatkan lagi libat urus dengan pihak-pihak berkenaan,” katanya.

Ketika ini, terdapat kira-kira 907,000 usahawan tempatan di seluruh negara.

Friday, December 27, 2019

Tiba masa potong elaun menteri, pegawai tertinggi, kata penganalisis

Raziatul Hanum
-December 27, 2019 6:48 AM

Penganalisis Awang Azman Awang Pawi berkata, kerajaan tidak seharusnya hanya mengharapkan rakyat berkorban untuk negara. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya kerajaan menilai semula kewajaran elaun yang diberi kepada menteri dan pegawai tertinggi sektor awam dalam keadaan ekonomi negara hari ini.

Penganalisis dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata, mana-mana elaun yang sudah tidak relevan wajar dipotong lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi negara yang tidak mengizinkan pembaziran.

“Selain pemansuhan elaun kritikal, kerajaan sepatutnya memikirkan bagaimana nak potong elaun menteri yang terlalu banyak. Sudah tiba masanya kerajaan menilai sama ada gaji dan elaun mereka sesuai atau tidak dalam keadaan ekonomi sekarang ini.

“Jadilah kerajaan yang mendengar suara rakyat yang sekarang ini mahu elaun menteri dipotong. Banyak lagi elaun lain yang boleh dikaji, yang tiada keperluan,” katanya kepada FMT ketika dihubungi baru-baru ini.

Rabu lepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengesahkan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) kepada bakal penjawat awam baru yang dilantik bermula 1 Jan 2020.

Kenyataan itu menerima reaksi pelbagai pihak, termasuk Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membantah pemansuhan itu.

Malah di media sosial, rata-rata pengguna menuntut kerajaan memotong elaun menteri, bukannya elaun kakitangan awam terlibat.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, elaun pegawai tertinggi kerajaan seperti kategori Jusa dan Turus juga perlu dinilai dan mana-mana elaun yang sudah tidak wajar perlu dimansuhkan.

“Bukan sahaja golongan berpendapatan di bawah gred 54 diberi perhatian, tetapi perlu dilihat dalam kalangan pegawai Turus dan Jusa ini.

“Gaji ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga harus dinilai semula yang dilihat terlalu besar,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan tidak seharusnya hanya mengharapkan rakyat berkorban untuk negara.

“Bukan kerajaan sahaja meminta pengorbanan daripada rakyat, tapi rakyat juga ingin wakil rakyat berkorban daripada segi elaun diterima yang dilihat tidak munasabah. Sama-sama berkorban.

“Apabila berada di tampuk kuasa mereka seharusnya menjadi lebih sedar dan insaf dengan jurang kedudukan rakyat dan kedudukan mereka yang luas,” katanya.

Thursday, August 1, 2019

Dah 14 Bulan Jadi Kerajaan Tapi PH Masih Terkial-kial, Tak Mampu Buat Strategi Kembangkan Ekonomi



“Yang duduk jawatan-jawatan menteri di Malaysia pun orang politik, tapi masih tak mampu buat strategi untuk kembangkan ekonomi sedangkan dah lebih 14 bulan, namun masih lagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) terkial-kial,” bidas Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Katanya, yang menanggung beban ekonomi tak berkembang hari ini adalah rakyat, terutama yang di peringkat strata ekonomi bawahan.

“Kalaupun dasar ekonomi negara nak ditukar kepada ‘shared prosperity’ atau kemewahan yang dikongsi bersama, mahupun nak kononnya beralih sepenuhnya kepada ‘needs based policies’ dan tidak lagi ‘affirmative action’ seperti DEB, ekonomi negara mestilah dulu dikembangkan!

“Kalau ekonomi negara tidak berkembang, tak ada kemewahan tambahan yang boleh dikongsi bersama. Sama juga dengan dasar yang menegaskan kepada ‘needs’ atau keperluan, ekonomi negara mestilah dikembangkan.

“Pendek kata, kalau ekonomi negara bertumbuh dengan baik, apa sahaja dasar dan strategi boleh dirangka ikut selera masing-masing,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya.

Katanya, beliau ada terbaca laporan mengenai ekonomi Hong Kong berkaitan perniagaan dikatakan telah menguncup berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2018 iaitu pada Jun 2019 berbanding Jun 2018, perniagaan Hong Kong kuncup 30% dan bagi Julai 2019, dijangka 40%.


“Bukan kerana Lim Guan Eng! Dia tu di negara kita, tapi ada kaitannya. Perniagaan menguncup di Hong Kong kerana politik, iaitu apa yang media barat panggil sebagai ‘pro-democracy demonstrations’ atau demonstrasi pro-demokrasi.

“Politiklah itu, dan akibatnya ialah tergoncang kuat jugalah keyakinan ekonomi di Hong Kong. Bila politik goncang, goncang jugalah ekonomi.”

Tegas beliau, di Malaysia tak ada pula demonstrasi pro-demokrasi sebesar mana dan berulang kali macam di Hong Kong namun adalah juga disebut-sebutkan oleh menteri mengenai ‘deep state’ dan pengisytiharan perang terhadap orang bukan-Islam.

“Tapi itu semua cakap politik yang tak bawa kepada keyakinan politik. Maknanya politik goncang juga dan kesannya kepada ekonomi negara.”

“Dari perbualan saya dengan ahli-ahli perniagaan, mereka tertanya-tanya terhadap peralihan kuasa dari Tun Mahathir ke Anwar Ibrahim. Jadi ke? Tak jadi ke? Kalau jadi, bila? Kalau jadi, siapa TPM? Takkan Wan Azizah!

“Dan peristiwa video Sandakan – dari cakap awal Tun Mahathir kepada cakap IGP yang akhirnya berubah pula – lagi ahli-ahli perniagaan rasa keliru.”

Ini kerana katanya, ramai yang berniaga sememangnya keliru dengan politik hari ini dan juga politik dalaman PH.

“Rata-rata di JB, mereka berkata business dah down 30%. Dan nampak macam berterusan… Jadi bila saya guna rangkap kata ‘It is the economy, stupid!’, kena juga kita sedar, yang asal cakap tu adalah orang politik ketika bertanding jawatan presiden Amerika Syarikat,” katanya lagi yang juga mantan Pengerusi Felda.

 – MediaUMNO

Tuesday, October 9, 2018

PM: Kerajaan kaji perkenal cukai baru

Alyaa Alhadjri | Diterbitkan 9 Okt 2018, 10:59 pagi


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenal cukai baru sebagai sumber bagi menambah pendapatan.

Beliau berkata langkah itu adalah antara beberapa langkah yang akan diambil bagi mengurangkan hutang negara yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

"Ia adalah satu bentuk cukai yang berbeza tetapi ia (secara tidak langsung) dapat mengurangkan beban rakyat.

"Itulah tujuannya, untuk membayar hutang kerajaan," kata Mahathir kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pembukaannya di forum Malaysia A New Dawn di Kuala Lumpur pagi ini.

Terdahulu, dalam ucapan beliau, Mahathir berkata beberapa langkah lain akan turut diambil kira termasuk kemungkinan menjual tanah kerajaan atau aset lain.

"Kerajaan terdahulu menjual banyak tanah kepada orang asing, saya tidak fikir ini bagus untuk kita.

"Tetapi kita boleh menjual tanah kepada penduduk tempatan," katanya.

Beliau menambah pendapatan tambahan yang dihasilkan akan membantu mengurangkan hutang kerajaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi di masa depan.

Mahathir juga berkata kerajaan perlu mencari sumber pendapatan alternatif kerana ia kini terbeban dengan pelaburan buruk dan tidak dapat dikembalikan semula.

"Sekarang kita tidak tahu di mana wang itu jadi kita perlu mencari sumber dana lain," katanya.

Sementara itu, Mahathir juga menegaskan bahawa kerajaan akan tetap bersikap mesra perniagaan.

"Kerajaan tidak mencipta kekayaan, kerajaan hanya mencukaikan rakyatnya yang kaya.

"Jika kami kelihatan baik kepada kamu itu kerana kami mengenakan 24 peratus (cukai korporat)," katanya.

Individu daripada pelbagai industri berkumpul dalam persidangan sehari yang dianjurkan Kementerian Kewangan hari ini dan berkongsi input mereka mengenai cara meningkatkan ekonomi negara.

Friday, January 23, 2015

Hapus AP, turun tarif elektrik baru ada makna untuk rakyat

KHAIRIL ABDUL RAHIM | 23 Januari 2015.

TEMERLOH: Kerajaan sepatutnya menghapuskan permit import (AP) kereta dan memberikan diskaun kepada caj tarif elektrik selaras dengan penurunan harga minyak global supaya faedahnya dapat dinikmati rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, dengan tindakan sedemikian menyebabkan rakyat boleh berbelanja dan sekali gus dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara ini.

“Harga minyak yang turun pada masa ini sepatutnya memberi banyak faedah kepada rakyat tetapi nampak berkurangan kerana tidak disertai dengan penghapusan AP dan penurunan cukai kereta supaya harganya menjadi lebih murah.

“Bila harga kereta lebih rendah barulah aktiviti ekonomi akan berjalan rancak kerana orang boleh jual kereta lama dan beli kereta baru. Jadi barulah ada makna kepada penurunan harga minyak. Sekarang ini orang tidak boleh tukar kereta baru kerana cukai masih tinggi.

“Jadi kerajaan seharusnya mengkaji balik untuk memastikan aktiviti ekonomi ini dapat bergerak dalam suasana ringgit Malaysia jatuh dan harga minyak turun, duit mesti berputar jadi mesti pastikan harga kereta murah baru ada makna,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata demikian selepas mewakili PAS kawasan berkenaan menyerahkan sumbangan wang tunai dan beras kepada mangsa-mangsa yang terjejas banjir di Pahang terutamanya di daerah ini.

Sumbangan diterima oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh Md Jusoh Darus dalam satu majlis ringkas. Turut hadir AJK PAS Pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Menurut Mahfuz, kerajaan juga mesti menurunkan caj tarif elektrik kerana sumber penjanaannya telah jatuh harga.

“Pengumuman Perdana Menteri bahawa kadar tarif elektrik tak naik pada tahun 2015 tidak memadai. Pada saya paling tidak pengguna mesti diberi diskaun sebanyak 15 peratus sebab harga bahan petroleum dah turun, harga arang batu pun turun ke USD48 per metrik tan sekarang ini.

“Kita tahu untuk menjana kuasa elektrik arang batu dan minyak digunakan, kalau dua-dua sumber penjanaan ini sudah pun turun jadi sepatutnya bagi saya kena diskaun sekurang-kurang 15 peratus baru boleh membantu kepada meringankan beban sara hidup rakyat,” jelasnya lagi.

Mahfuz bagaimanapun tidak bersetuju dengan saranan sesetengah pihak yang mahu projek-projek besar dihentikan kerana akan membuatkan ekonomi lumpuh.

Katanya, projek besar mesti terus berjalan dengan kawalan bagi terus menggerakkan ekonomi dengan penyertaan kontraktor-kontraktor kecil dan mengelakkan pengangguran. 

-HARAKAHDAILY 23/1/2015

Friday, December 12, 2014

Anwar : Krisis ekonomi negara kritikal

Lyn Nasir

PETALING JAYA 12 NOV : Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim berkata keadan ekonomi negara pada masa ini berada pada tahap yang kritikal.

Bagaimanapun kerajaan Umno-BN tidak mempedulikan perkara berkenaan walaupun sebelum ini beliau pada Ogos tahu lalu telah memberi peringatan bahawa krisis kewangan bakal malanda di Malaysia akibat daripada salah urus ekonomi negara.

Namun, tindakan Perdana Menteri untuk membenamkan permasalahan dengan mengambus segala masalah kewangan hari ini membebankan rakyat sekaligus memperjelaskan kegagalan kerajaan untuk mempraktikkan kewangan berhemah, kebertanggungjawab serta ketelusan.

“Di dalam keadaan ini, kita sedang menuju ke suatu krisis ekonomi akibat pengurangan harga minyak mentah di pasaran antarabangsa dan juga penyusutan nilai ringgit kepada paras yang belum pernah dilihat semenjak Krisis Kewangan Asia 1997.

“Ditambah pula dengan penyusutan nilai ringgit berbanting USD kepada hampir 3.5000 (1 USD : RM 3.50), rakyat akan menghadapi masa hadapan yang kelam akibat kenaikan harga barang makanan terutama sekali yang diimport.


“Di mana kepimpinan kita? Tidak pernah satu pun kenyataan daripada Perdana menteri merangkap Menteri Kewangan mengenai ekonomi negara dan permasalahan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.

Tambahnya lagi, sehingga hari ini tiada tindakan yang dilakukan kerajaan berikutan permasalah yang berlaku, sebaliknya hanya terus membuat penafian tanpa sebarang jalan penyelesaian.

“Dengan pendapatan yang semakin berkurangan dan bebanan hutang yang terus membengkak, adakah kita akan terus mebuat satu lagi 1MDB? Ini sudah menjadi ibu segala skandal dan rakyat sudah muak dengan semua ini.

“Negara pastinya akan menghadpai risiko penurunan taraf, pertumbuhan ekonomi akan terjejas dnegan penguncupan aktiviti ekonomi domestik.

“Apa yang lebih menakutkan adalah ekonomi kita tidak dikemudi dengan baik dan nakhodanya juga tidak kelihatan,” ujarnya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-