Sunday, March 11, 2018

Kerajaan akan ambil tindakan siar berita palsu 1MDB

BERITA

Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terus menyiarkan berita palsu terutamanya berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga menimbulkan fitnah.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Jailani Johari berkata sehubungan itu, kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini sedang memantau perkara berkenaan.

"Dalam usaha kerajaan menangani gejala fitnah dan berita palsu dalam negara, kita dapati beberapa isu turut disemarakkan oleh sumber-sumber dari luar negara.

"Terbaru, dalam usaha mencemar dan menjatuhkan kredibiliti Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kementerian telah mengenal pasti beberapa portal berita dalam talian yang telah menyemarakkan kembali isu 1MDB, susulan rampasan sebuah kapal layar mewah oleh pihak berkuasa negara tetangga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Negaraku: Menghubung Menyatu (CTU) peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda dekat Sik, Kedah hari ini.

-Bernama

Malaysia defisit tanpa GST - Najib

By watan 
on March 11, 2018


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia akan menjadi negara defisit tanpa kutipan hasil RM45 bilion melalui pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Tanpa GST, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata negara tidak mungkin mampu mengutip hasil sebanyak RM45 bilion setahun yang kemudian dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk bantuan pendidikan, bantuan kepada pekebun kecil dan nelayan serta Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Kalau pembangkang hendak menghapuskan GST untuk digantikan dengan SST (cukai jualan dan perkhidmatan), itu tipu. Kalau tidak dapat hasil RM45 bilion, negara akan menjadi negara defisit.

Kita tahu bahawa hutang negara kian menguncup tetapi kalau hasil itu tiada, hutang negara akan meningkat dan menjadi seperti di Greece,” katanya ketika berucap pada Program Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Bersama Siswa di Seri Perdana, Putrajaya sini, pada Ahad.
Najib juga berkata kadar GST Malaysia adalah antara yang terendah di dunia iaitu pada enam peratus, di mana 164 negara lain turut melaksanakan GST dengan yang terbaru di India.

Malaysia mula melaksanakan GST pada 1 April 2015.

Menurut Najib, terdapat 13 juta pekerja di negara ini tetapi hanya dua juta daripadanya yang membayar cukai pendapatan.

“Macam mana nak tampung kalau tiada pendapatan, maka kita terpaksa buat GST.

Kempen nak hapuskan GST tu senang, tapi nak terang teori itu.. tiada,” kata Najib lagi.

Wartawan Watan-Online

Parlimen mungkin dibubar lebih awal

Foto: Bernama
KUALA LUMPUR: Pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijadualkan pada 29 Mac ini diawalkan, sekali gus memungkinkan Parlimen dibubarkan akhir Mac atau awal April bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan.

Sumber berkata, Usul Draf Perintah Perlembagaan dan Laporan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri itu, dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat seawal 19 Mac ini atau selewat-lewatnya pada 26 Mac.

Ia dilakukan sebaik selepas berakhirnya perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, yang sedang berlangsung di Dewan Rakyat sekarang, selesai.

Menurut sumber itu lagi, usul berkenaan mulanya dijadualkan untuk dibentang pada 29 Mac, tetapi diawalkan sebagai persiapan untuk menghadapi PRU-14.

PM dijangka bentang usul kali pertama

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka membentangkan usul itu untuk bacaan kali pertama.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee, berkata usul berkenaan perlu dibahas dan diluluskan dengan undian majoriti mudah iaitu lebih separuh daripada 222 Ahli Parlimen.

"Selepas diluluskan di Dewan Rakyat, Draf Perintah ini tidak akan melalui Dewan Negara dan Perdana Menteri akan membawanya terus kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Baginda," katanya, ketika dihubungi.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, usul persempadanan semula kawasan pilihan raya itu hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan, kerana tidak membabitkan tambahan jumlah kerusi.

Jika membabitkan tambahan jumlah kerusi Parlimen, maka Dewan Rakyat perlu meminda Perkara 46 dalam Perlembagaan Persekutuan, untuk majoriti dua pertiga.

Tiada tempoh ditetapkan untuk dapat perkenan

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, pula ketika dihubungi menjelaskan tiada tempoh ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya hanya akan berkuat kuasa selepas mendapat perkenan dan ditandatangani Yang di-Pertuan Agong.

"Ianya akan dikuat kuasa pada tarikh Seri Paduka Baginda bersetuju dan (terus) diwartakan," katanya.

Mengenai PRU-14 beliau berkata, SPR kini dalam peringkat akhir persiapan dan bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan pilihan raya pada bila-bila masa.

Satu lagi sumber memberitahu, sebaik mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, sempadan bahagian pilihan raya baharu akan berkuat kuasa apabila Dewan dibubarkan pada atau selepas tarikh kuat kuasa Perintah Persempadanan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan penggal keenam Dewan Rakyat dijadual berlangsung selama 20 hari dan akan berakhir 5 April.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada Parlimen akan dibubarkan terus sebaik Dewan Rakyat meluluskan RUU persempadanan semula kawasan pilihan raya.

- BH Online

PRU14: Apa yang sedang ditunggu Najib?

Timmy Say

Gambar AFP.

Selain Invoke Malaysia yang meramalkan Pakatan Harapan (PH) akan menang, kajian-kajian lain menunjukkan Barisan Nasional (BN) akan menang dengan senang di dalam peperangan 3 penjuru antara PH, BN dan PAS.

Akan tetapi, sehingga kini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih berteka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Mengapa?

Pada PRU13, dengan kempen cara ala-presiden Amerika Syarikat berdasarkan kepopularan Najib ketika itu, Umno-BN hanya mampu meraih 132 kerusi Parlimen.

Keputusan itu merupakan satu tamparan kepada Najib kerana prestasinya adalah 8 kerusi kurang daripada prestasi Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008, iaitu 140 kerusi Parlimen.

Ironinya ialah Najib mencapai prestasi lebih buruk walaupun kempennya dibantu Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Pertubuhan Pribumi Perkasa Melaysia (Perkasa).

Ini berbeza dengan Pak Lah yang terpaksa menghadapi serangan Dr Mahathir bertubi-tubi seperti seorang pembangkang pada kempen PRU12.

Jika dilihat daripada sudut sejarah Umno, Najib ialah presiden Umno yang paling malang. Beliau ialah presiden Umno pertama yang terpaksa mentadbir kerajaan pusat tanpa negeri terkaya di bawah kawalannya, iaitu Selangor.

Kerana Dr Mahathir dan ketaksubannya menurunkan Pak Lah, Najib juga merupakan presiden Umno yang terpaksa berdepan jumlah tertinggi pengundi yang pernah merasai perubahan dan tidak lagi takut terhadap perubahan berbanding presiden Umno lain, apabila Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah jatuh ke tangan pembangkang secara mengejut pada 2008.

Jadi apakah sasaran Najib pada PRU14?

Pertama sudah tentunya ialah Umno-BN sekurang-kurangnya dapat mengekalkan jumlah kerusi Parlimen sama pada PRU13, iaitu 132 kerusi.

Kegagalan mengekalkan prestasi PRU13 akan menyebabkan ahli Umno dan parti komponen BN mendesak Najib mengundur diri sebagai presiden dan perdana menteri demi kelangsungan nyawa BN pada PRU15.

Sekiranya Najib berkeras untuk kekal, BN bakal berpecah dan parti di Sabah, terutamanya Sarawak mungkin menjadi parti bebas yang menggoyahkan majoriti BN untuk mengekalkan kuasa di Parlimen. Sudah tentu perkara ini mahu dielakkan Najib.

Oleh itu, sasaran lebih utama buat Najib ialah memberikan BN majoriti 2/3 di Parlimen dengan kemenangan di 148 kerusi Parlimen.

Dengan peperangan 3 penjuru, kajian menunjukkan BN mampu meraih semula majoriti 2/3 di Parlimen, namun tiada jaminan ini dapat dicapai dengan mudah.

Pada PRU11 2004, BN menang 198 kerusi daripada 219 kerusi yang dipertandingkan di bawah Pak Lah.

BN kehilangan 58 kerusi pada 2008 apabila Dr Mahathir bertindak menjadi pengkritik kerajaan BN yang diterajui Pak Lah. Namun, prestasi Pak Lah juga disebabkan tindakan pembangkang yang mampu bersatu menghadapi BN buat kali pertamanya pada 2008.

Kini, pada PRU14, Dr Mahathir bukan sahaja menjadi pengkritik kerajaan BN, malah ketua pembangkang dan presiden PH melawan BN dan Najib.

Sudah tentu faktor ini tidak dipandang remeh Najib, walaupun pembangkang kini kembali berpecah seperti pembangkang di zaman Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Berdepan semua faktor ini, Najib rasanya sedang meneliti cara untuk menjamin kemenangan besar BN pada PRU14.

Dua hari lepas, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata badan itu sudahpun menyerahkan laporan akhir kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya persekutuan dan negeri Tanah Melayu kepada Najib. Apakah usul persempadanan semula ini akan muncul di Parlimen sesi ini?

Sebelum ini, BN memenangi pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan bergaya dalam pertandingan 3 penjuru, meskipun ia diadakan pada bulan puasa. Apakah PRU14 ini akan memecah tradisi dengan diadakan pada bulan puasa?

Umum mengetahui, ceramah susah dilakukan pada bulan puasa dan ini mengurangkan kelebihan kepada pembangkang.

Melihat cara Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe yang menyokong idea ini dengan menyatakan PRU pada bulan puasa akan bebas daripada fitnah, tohmahan dan caci maki, nampaknya kebarangkalian untuk PRU14 diadakan pada bulan puasa juga agak tinggi.

Sekiranya Najib yakin kedua-dua keputusan ini akan memberi jaminan kemenangan kepada BN, maka teka-teki tarikh PRU14 akan berakhir.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Makanan kitar semula

SEORANG lelaki menunjukkan daging yang dikutip dari tempat pembuangan sampah dan dibungkus untuk dijual semula sebagai makanan. - Agensi

Manila:   Kehidupan di kawasan setinggan di Manila sangat sukar dan menyediakan makanan untuk keluarga pada setiap hari adalah cabaran yang besar.

Faktor ini yang menjadikan sejenis hidangan yang dikenali sebagai pagpag sangat popular dalam kalangan penduduk miskin di Filipina.

Pagpag bermaksud lebihan daging yang dikutip daripada tong sampah atau tempat pelupusan sampah sebelum ia dibersihkan dan dimasak untuk dijadikan hidangan yang murah.

Daging itu menjadi makanan ruji penduduk setinggan di Filipina tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini ia menjadi sumber pendapatan lumayan untuk pencari barangan terpakai di tempat pembuangan sampah dan pemilik restoran kecil yang membelinya dengan harga murah sebelum dijadikan pelbagai hidangan.

Pencari barang terpakai yang sebelum ini hanya tertarik pada logam dan plastik untuk dikitar semula kini turut bersaing bersama kucing serta tikus untuk mencari lebihan makanan serta makanan tamat tempoh yang dibuang restoran makanan segera atau pasar raya.

Makanan itu kemudian dibungkus dalam beg plastik sebelum dijual dengan harga murah.

Satu bungkusan pagpag biasanya dijual pada harga 20 peso (RM1.50) dan cukup untuk restoran kecil di kawasan setinggan memasak pelbagai hidangan murah yang dijual pada harga 10 peso (RM0.75).

Sebelum ia dimasak, daging itu dibersihkan daripada kotoran seperti tanah dan tulang dikeluarkan.

“Dengan kehidupan seperti ini, ia sangat membantu. Apabila anda membeli satu bungkusan pagpag dengan harga yang murah ia mampu memberi makan kepada satu keluarga,” kata seorang penduduk setinggan.

Pagpag sebelum ini hanya usaha terakhir penduduk sekiranya tiada apa untuk dimakan tetapi dengan harga makanan yang semakin mahal daging itu kini menjadi makanan harian kebanyakan keluarga.

“Ini sangat memalukan apabila orang miskin memakan makanan lebihan yang dibuang oleh orang kaya.

“Namun, ini satu bentuk ikhtiar hidup untuk mereka yang sangat miskin,” kata seorang pakar pembangunan sosial, Melissa Alipalo.

Janji pembangkang sekadar madu beracun - Najib


MUAR –
Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan janji-janji parti pembangkang sekadar “madu beracun” kerana gagal menunaikan janji kepada rakyat termasuk menyelesaikan krisis air di Selangor.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata janji kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menyelesaikan segala permasalahan rakyat bukan dengan janji palsu tetapi telah terbukti dengan pelbagai pelaksanaan projek untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Jangan lihat hanya pada janji-janji (pembangkang), tuan-tuan. Sebab janji boleh jadi madu beracun. Kita tengok janji Kerajaan Selangor, hari ini apa isu terbesar di Selangor?

“Sekarang ini, dua juta penduduk di Selangor dalam keadaan di mana mereka menghadapi kesukaran, air putus, tekanan rendah dan kualiti air yang buruk.

Sedangkan kerajaan BN sudah melaksanakan pelbagai kemudahan termasuk melaksanakan Aliran Transit Massa (MRT), menyediakan perumahan yang murah dan mampu milik berbanding kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang kebanyakan menyediakan rumah mahal,” kata beliau ketika berucap merasmikan Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri BN, di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara di Pagoh, hari ini.

Masalah air di Selangor yang bermula sejak Selasa lepas menyebabkan 427 kawasan di sekitar Lembah Klang termasuk Shah Alam, Klang, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat telah mengalami gangguan bekalan air .

Ia dijangka berterusan sehingga esok akibat kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) di Bestari Jaya, Kuala Selangor oleh Syarikat Bekalan Air Selangor ( Syabas), yang sepatutnya selesai semalam (9 Mac).

Menyentuh masalah perumahan pula, Najib berkata kerajaan BN lebih banyak menyediakan rumah yang murah dan mampu milik berbanding kerajaan Selangor dan Pulau Pinang, yang mana sebanyak 76 peratus rumah di dua negeri itu berharga lebih RM1 juta.

“Kita (kerajaan BN) buat rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kosnya RM120,000 tapi kita jual RM35,000. Jasa siapa? Jasa BN. Siapa yang buat rumah mewah, lebih utamakan pembinaan terowong, pembangunan lereng bukit?,” kata Najib dengan sinis.

Beliau berkata kerajaan BN telah berjaya menunaikan 97.6 peratus janji daripada kandungan manifesto yang dibentangkan pada pilihan raya umum yang ke-13.

“Kita bukan (tawar) janji kosong. Kita janji dengan bukti, kita telah tepati janji kita. Yang kata 97.6 peratus ini Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) yang cakap. Sebab itu kalau kita ada mandat, Insya-Allah, negara kita semakin hari semakin maju,” kata beliau.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ini juga terbukti dengan kenyataan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini yang menyatakan Malaysia berada di landasan yang betul ke arah menuju ekonomi maju.

“Ini bukan cawangan parti bunga yang cakap (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Mereka tiada mesyuarat Bahagian dan Cawangan, alih-alih mesyuarat nasional. Jadi jangan cakap nak tadbir negara kerana parti sendiri pun tidak boleh tadbir, haru-biru, caca marba, nak tegur orang lain, tapi diri sendiri pun tidak betul,” kata beliau.

Najib turut menyifatkan Pakatan Harapan sebagai “pakatan hipokrit” disebabkan kenyataan lepas beberapa pemimpin pembangkang sebelum ini yang pernah menjadi bekas pemimpin kerajaan BN.

“Kenapa hipokrit? Masa dalam UMNO, kawan yang mereka komplot hari ini, pernah didakwa sebagai parti cauvinis, anti-Melayu anti-Islam. Ini mereka cakap, kita ada rakaman waktu yang mereka cakap, mereka kutuk parti yang hari ini, (sekarang) mereka tidur sebantal,” kata Najib.

 – BERNAMA

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-