Monday, August 16, 2021

Agong panggil PH menghadap berkait kerajaan baharu

freemalaysiatoday.com
Predeep Nambiar
-August 16, 2021 8:13 PM

Seorang pemimpin PH berkata, pemimpin PKR, DAP dan Amanah hari ini dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong memanggil mereka untuk menghadap.

GEORGE TOWN: Yang di-Pertuan Agong sudah memanggil pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk mendengar pandangan mereka berhubung siapa yang patut menerajui kerajaan baharu selepas kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional hari ini.

Seorang daripada pemimpin pembangkang yang enggan dinamakan berkata, pemimpin PH dari PKR, DAP dan Amanah hari ini dimaklumkan mengenai pertemuan itu.

Pemimpin itu berkata, ia mungkin sama dengan temubual yang dilakukan Agong ketika Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan perdana menteri pada Februari 2020.

Pemimpin itu bagaimanapun enggan memberitahu bila mereka dijadualkan menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan perdana menteri dengan Kabinetnya hari ini seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, selepas mendapati beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Mahathir mengejutkan negara dengan meletak jawatan nombor satu itu pada Februari 2020, susulan spekulasi perebutan kuasa membabitkan Bersatu yang diasaskannya, puak PKR yang diketuai Azmin Ali dan beberapa parti pembangkang.

Selepas peletakan jawatan Mahathir, Agong menemubual semua Ahli Parlimen mengenai siapa yang mereka mahu sebagai perdana menteri dan kemudiannya memilih Muhyiddin.

Seorang penganalisis politik meramalkan Timbalan Muhyiddin dalam Kabinet, iaitu Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, mempunyai peluang untuk mengambil alih jawatan itu, manakala veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah turut dikatakan mempunyai peluang.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim juga dikatakan berpeluang, tetapi perlu menjalin kerjasama dengan Mahathir dan Presiden Warisan, Shafie Apdal untuk berbuat demikian.

Seorang lagi penganalisis berkata, perdana menteri berikutnya perlu diuji apabila Parlimen bersidang semula bulan depan melalui undi percaya.

4 nama calon PM pilihan UMNO, termasuk Zahid dan Najib

agendaily.com
16/8/2021

Najib Razak dan Zahid Hamidi calon PM UMNO yang akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Empat nama tersenarai sebagai calon UMNO untuk dilantik sebagai Perdana Menteri (PM) baharu yang diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik parti itu yang berlangsung hari ini, menurut sumber dalaman.

Nama yang berada dalam senarai tersebut adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas PM, Datuk Seri Najib Razak serta dua lagi nama iaitu, Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Empat nama disenarai sebagai calon PM UMNO yang akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan dipersetujui dalam mesyuarat petang tadi,” kata sumber dalaman UMNO kepada Agenda Daily.

Keputusan tersebut bagaimanapun harus melalui parti dengan semua surat akuan (SD) tidak boleh dikumpul berasingan.

Jelas sumber lagi, apabila nama tersebut dihantar semua Ahli Parlimen (MP) UMNO dan Barisan Nasional wajib sokong penuh.

Untuk rekod, UMNO dan BN memiliki 42 MP dan kini terpecah kepada dua kumpulan besar yang menyokong Zahid dan Ismail Sabri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan surat peletakan jawatannya hari ini kepada Yang di-Pertuan Agong kini terserah kepada Seri Paduka untuk melantik PM baharu.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kini juga sedang merayu supaya semua parti-parti dalam blok tersebut menyokongnya sebagai calon PM baharu, namun majoriti dimilikinya menjadi pertikaian.

Ketika ini, masih samar-samar individu yang memiliki majoriti terbesar untuk dilantik sebagai PM baharu.

Muhyiddin letak jawatan buka ruang perubahan negara - Anwar

malaysiakini.com
Diterbitkan 16 Aug 2021, 5:50 pm
Dikemaskini 6:01 pm

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim menyambut baik keputusan Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri hari ini.

Pada masa sama, dia menggesa semua pihak untuk bertenang dan berdoa negara "kembali bangkit" dalam menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

"Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan hari ini disambut baik serta akan membuka ruang ke arah perubahan buat negara.

"Saya ucap terima kasih atas khidmat beliau pada negara," katanya dalam satu hantaran ringkas di Facebook.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian susulan peletakan jawatan Muhyiddin yang menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini.

Agong juga bertitah supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri ‘caretaker’ atau sementara sehingga perdana menteri baru dilantik.

Dalam pada itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu menggesa ahli parlimen yang menang dengan tiket PH pada PRU lalu untuk kembali bersama gabungan itu agar mandat rakyat dapat kembali dilaksanakan.

"Apa yang telah berlaku sebelum ini biarkan ia berlalu dan kita cipta sejarah untuk bina semula negara tercinta ini.

"Dalam menghadapi situasi getir seperti ini, jiwa besar amat diperlukan kerana tidak ada yang benar-benar diharapkan oleh rakyat melainkan kesihatan dan ekonomi rakyat kembali pulih.

Apabila mandat rakyat dalam PRU lalu dikembalikan dan institusi parlimen dihidupkan, maka tidak ada sesiapa yang ketinggalan kerana peranan dan pandangan pembangkang akan turut diambil kira dalam menguruskan Malaysia untuk keluar daripada kemelut kesihatan kembali membina semula ekonomi negara," katanya dalam kenyataan.

Pada Februari tahun lalu, Bersatu bertindak keluar daripada PH untuk menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama BN, PAS, GPS, Parti Bersatu Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star).

Bagaimanapun enam ahli parlimen parti itu tidak menyertai gabungan itu.

Selain itu, PN juga merangkumi sejumlah ahli parlimen PKR yang sama ada keluar daripada parti itu atau dipecat.
Lim Guan Eng
Di pihak DAP pula, setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata Muhyiddin mengambil langkah yang betul berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

"Selama 17 bulan berkuasa, Muhyiddin ada berusaha tetapi tidak mampu menangani krisis tiga serangkai iaitu wabak Covid-19, kemelesetan ekonomi dan ketidakstabilan politik.

"Perdana menteri yang baru menghadapi cabaran besar dan perlu melakukan tugas yang jauh lebih baik untuk menangani krisis ini, terutama demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian yang terjejas teruk," katanya dalam kenyataan.

Selain mempercepat program vaksinasi, Lim berkata satu pelan 'reset' diperlukan bagi peralihan perangkaan dasar daripada pembendungan wabak kepada mitigasi, dalam persediaan ke arah keperluan untuk "hidup bersama" virus tersebut.

Agong perkenan surat peletakan jawatan PM, Muhyiddin jadi ‘caretaker’, kata Istana Negara

FMT Reporters
-August 16, 2021 3:04 PM


PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menerima surat peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada sesi menghadap pagi tadi di Istana Negara.

Menurut kenyataan Istana Negara, susulan daripada peletakan jawatan itu, Yang di-Pertuan Agong turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri “caretaker” sehingga perdana menteri baharu dilantik.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Agong hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti.

Katanya, pada hemat Yang di-Pertuan Agong, pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke -15 bukan satu pilihan terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah maklum daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa sehingga 10 0gos lalu, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri, 484 kawasan (79%) adalah Zon Merah Covid-19,” menurut kenyataan.

Tambah kenyataan itu, pada masa sama Agong turut mengambil maklum fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

Fadil berkata, Agong turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan barisan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Mac tahun lalu, khususnya dalam memerangi pandemik Covid-19.

Agong perkenan peletakan jawatan Muhyiddin

malaysiakini.com
Diterbitkan 16 Aug 2021, 3:00 pm
Dikemaskini 3:22 pm

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan jawatan seluruh jemaah menteri dengan serta-merta berkuatkuasa hari ini.

Susulan itu, Seri Paduka juga berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri ‘caretaker’ sehingga perdana menteri baru dilantik.

"Pada sesi mengghadap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, yang berlangsung selama 30 minit bermula jam 12.30 tengah hari, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima surat peletakan jawatan Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhiaddin bin Md Yasin sebagai perdana menteri dan jawatan seluruh jemaah menteri dengan serta merta berkuat kuasa pada hari ini.

"Susulan daripada peletakan jawatan ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan supaya YAB Tan Sri Muhiaddin bin Md Yasin menjalankan tugas sebagai caretaker perdana menteri sehingga perdana menteri baru dilantik," kata kenyataan yang dikeluarkan Istana sebentar tadi.

[Berita penuh menyusul]

Perutusan terakhir Muhyiddin petang ini

agendadaily.com
16/8/2021

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menyampaikan perutusan terakhir sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelapan kira-kira jam 3.30 petang ini.

Beliau dimaklumkan telah meletak jawatan dan diterima oleh Yang di-Pertuan Agong selepas menghadap baginda di Istana Negara tengah hari tadi.

Pada masa sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin turut mengesahkan semua menteri dan timbalan menteri telah meletak jawatan.

Muhyiddin mengambil keputusan meletak jawatan setelah dikatakan tidak mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen (MP) di Dewan Rakyat susulan tindakan 15 MP UMNO diketuai Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap beliau dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan PM pada 1 Mac tahun lalu, menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu dipimpin Dr Mahathir Mohamad.

Kabinet sudah hantar surat letak jawatan - KJ

malaysiakini.com
Diterbitkan 16 Aug 2021, 1:19 pm
Dikemaskini 1:41 pm

Dikemas kini dengan laporan penuh.


Anggota kabinet telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu diumumkan menteri Umno Khairy Jamaluddin di media sosial sebentar tadi.

“Terima kasih atas peluang untuk, sekali lagi, berkhidmat untuk negara.

"Semoga Allah merahmati Malaysia,” tulis Khairy.

Bagaimanapun, setakat ini, masih belum ada sebarang makluman daripada Istana Negara atau ketua setiausaha kerajaan.

LANGSUNG l Muhyiddin selesai menghadap Agong

malaysiakini.com
Diterbitkan 16 Aug 2021, 11:20 am
Dikemaskini 1:31 pm

LANGSUNG l Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masuk ke pejabatnya pagi ini dengan ada yang menganggap ia sebagai tindakan terakhirnya sebelum meletakkan jawatan hari ini

Dia sedang mempengerusikan mesyuarat kabinet khas di pejabatnya di Putrajaya dan dijadualkan akan ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Peletakan jawatannya dijangka berlaku tidak lama kemudian. Ikuti Malaysiakini untuk kemas kini secara langsung.

1.20 tengah hari: Anggota kabinet telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu diumumkan menteri Umno Khairy Jamaluddin di media sosial sebentar tadi.

“Terima kasih atas peluang untuk, sekali lagi, berkhidmat untuk negara.

Semoga Allah merahmati Malaysia,” tulis Khairy.

Bagaimanapun, setakat ini, masih belum ada sebarang makluman daripada Istana Negara atau ketua setiausaha kerajaan.

1 tengah hari: Muhyiddin tinggalkan istana selepas menghadap Agong kira-kira 40 minit.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa melalui catatan di Facebooknya memohon maaf atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangannya sepanjang berkhidmat.

"Kita kekal tenang dan berlapang dada. Semua keputusan secara bersama. Yang penting kita sentiasa menghormati dan mematuhi undang-undang dan perlembagaan negara. Asas pertimbangan paling utama adalah kesejahteraan rakyat. Kepada rakyat kita berkhidmat hingga ke garis penamat.

"Saya insan biasa yang tentunya tidak sunyi dari kesilapan. Oleh itu saya memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangan saya selama berkhidmat," katanya yang turut hadir dalam mesyuarat kabinet, hari ini.

'Terima kasih atas khidmat anda' - Wan Fayhsal

12.35 tengah hari: Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memuat-naik satu lagi mesej perpisahan di Facebook.

"Kami berdiri teguh dan bangga dengan kamu Tan Sri Presiden. Terima kasih atas jasa dan kepimpinan anda. Kami akan kembali dengan lebih kuat, Insya-Allah," kata Wan Fayhsal, yang juga timbalan menteri belia dan sukan dalam pentadbiran Muhyiddin.

'Mesyuarat Kabinet terakhir PN selesai'

12:25 tengah hari: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd. Khairuddin Aman Razali dalam catatannya di Facebook menyebut mesyuarat kabinet terakhir kerajaan Perikatan Nasional selesai pagi ini.

“Alhamdulillah. Selesai mesyuarat kabinet terakhir kerajaan Perikatan Nasional pagi ini. YAB Perdana Menteri akan bergerak untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong.

“ Tawakal kepada Allah selepas bertekad seusai mesyuarat,” tulisnya.


UMNO kembali pujuk MP dalam PN untuk angkat Zahid jadi PM

agendadaily.com
16/8/2021

Kem Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lebih banyak jumlahnya daripada kem Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

UMNO dilihat kembali memujuk Ahli Parlimen (MP) yang masih kekal menyokong dan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk kembali kepada parti itu yang kemungkinan bakal mencalonkan Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri (PM).

Tindakan melobi MP UMNO di dalam PN itu dibuat setelah parti itu gagal mencari jalan keluar bagi memilih calon PM untuk dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Selain tidak memiliki majoriti sokongan MP di Dewan Rakyat, kumpulan UMNO diketuai Zahid seramai 15 orang tidak mendapat dukungan 23 lagi MP UMNO yang bersama Naib Presiden yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin kini mengaku bahawa keputusan parti itu menarik sokongan dan keluar daripada PN menyebabkan parti itu juga berdepan pelbagai cabaran.

“Saya mengakui keputusan UMNO menarik sokongan dan keluar dari Perikatan Nasional (PN), bukan sahaja memberi kesan langsung kepada PN sebagai sebuah Kerajaan dan keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri, tetapi UMNO sendiri berhadapan dengan pelbagai cabaran kesan keputusan ini,” katanya.

Menjadikan alasan untuk menjaga kekuatan Melayu beliau menjanjikan ruang dan tempat buat MP UMNO di dalam PN masih ada di dalam parti itu.

Sambil menyatakan gigi dan lidah pun kadang-kala tergigit, Khaled menyatakan:

“Perjalanan kita semua dalam UMNO telah sama-sama mendewasakan. Persahabatan mesti kekal dan abadi. Kita jangan sampai berkerat rotan berpatah arang. Mereka yang berbeza pandangan dengan kita bukan musuh. Ingat gigi dengan lidah, ada masa tergigit jua.”

Kemelut politik negara kucar-kacir gara-gara tindakan 15 MP UMNO diketuai kem Zahid bersama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menarik sokongan terhadap Kerajaan PN dan Muhyiddin.

Namun kem Ismail Sabri termasuk pemimpin-pemimpin UMNO yang lebih berwibawa, kekal di dalam gabungan PN yang turut dianggotai PAS.

LANGSUNG l Muhyiddin tiba di Istana

malaysiakini.com
Diterbitkan 16 Aug 2021, 11:20 am
Dikemaskini 12:34 pm


LANGSUNG l Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masuk ke pejabatnya pagi ini dengan ada yang menganggap ia sebagai tindakan terakhirnya sebelum meletakkan jawatan hari ini

Dia sedang mempengerusikan mesyuarat kabinet khas di pejabatnya di Putrajaya dan dijadualkan akan ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Peletakan jawatannya dijangka berlaku tidak lama kemudian. Ikuti Malaysiakini untuk kemas kini secara langsung.

PM tiba di Istana Negara

12.23 tengahari: Kenderaan yang membawa Muhyiddin tiba di Istana Negara. Perdana Menteri difahamkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas kabinet yang berlangsung kira-kira tiga jam.

Muhyiddin dalam perjalanan ke Istana

12:00 tengahari: Muhyiddin meninggalkan Pejabat Perdana Menteri di bangunan Putra Perdana di Putrajaya setelah mempengerusikan mesyuarat khas kabinet. Dia dipercayai menuju ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Dia sempat membuka tingkap kenderaannya dan melambaikan tangan kepada pengamal media yang berada di luar pintu protokol tetapi tidak memberi sebarang ulasan.

Selain Muhyiddin, turut mula meninggalkan bangunan berkenaan adalah menteri-menteri kabinet.

AG, Pengerusi SPR keluar Istana

11.54 pagi: Idrus dan Abdul Ghani meninggalkan istana setelah menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Idrus selesai menghadap Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas hampir sejam memasuki Istana Negara.

Kenderaan rasmi yang membawa Abdul Ghani juga sudah meninggalkan Istana Negara melalui pintu satu.

Kedua-dua mereka tidak memberhenti kenderaan atau memberi sebarang ulasan mengenai pertemuan yang berlangsung.

Istana hidang makanan dan minuman untuk media

11.41 pagi: Wartawan dan jurugambar dibekalkan dengan makanan dan minuman di luar pintu pagar Istana Negara.

Mereka telah berkumpul sejak awal pagi ini untuk memberi maklumat terkini mengenai perkembangan politik negara.

11:26 pagi: Kenderaan rasmi membawa Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Lazim dilihat tiba di pekarangan Istana Negara. Dia yang diiringi sepasukan polis tiba dan masuk melalui Pintu 2 Istana Negara.
IGP tiba di Istana

11.17 pagi: Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani pula tiba di Istana Negara.

Dia juga pada pagi tadi menghadiri mesyuarat kabinet khas dengan Muhyiddin di Putrajaya. Bagaimanapun, Idrus yang tiba pada 10.47 pagi tadi, belum kelihatan keluar dari Istana Negara.
AG tiba di Istana Negara

10.47 pagi: Peguam Negara Idris Harun dilihat memasuki pintu utama Istana Negara. Dia dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Idris sebelum itu menghadiri mesyuarat di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pagi tadi.
Malaysiakini juga difahamkan, terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh telahpun tiba di Istana Negara kira-kira jam jam 10 pagi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM tiba di Istana Negara

9.55 pagi: Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilihat memasuki Istana Negara.

Media berkampung di luar Istana

9 pagi: Sekitar 30 petugas media dari pelbagai agensi telah mula berkumpul di luar Istana Negara sejak pukul 8 pagi, walaupun majlis menghadap Muhyiddin dengan Yang di-Pertuan Agong dijadualkan akan hanya berlangsung pada sebelah tengahari.
Anggota polis turut meningkatkan kawalan di pintu-pintu masuk Istana Negara selain meletakkan kon penghadang bagi memastikan petugas media yang membuat liputan menjaga penjarakan fizikal dan mematuhi prosedur operasi standard.

Muhyiddin tiba di JPM

8.07 pagi: Berita Harian melaporkan Muhyiddin tiba di pejabatnya diikuti tidak lama kemudian oleh Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani. Mereka akan menghadiri mesyuarat kabinet khas yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri sekitar jam 10 pagi.
Muhyiddin akan mempengerusikan mesyuarat tersebut sebelum berangkat ke Istana Negara.

Bapa Guan Eng pula merayu bagi Anwar jadi PM selepas tiada majoriti

agendadaily.com
16/8/2021

Anwar Ibrahim sejak 1980-an lagi sudah berangan-angan menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia.

Pemimpin senior DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa kepada Lim Guan Eng membuat rayuan terakhir bagi memastikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri (PM) baharu, ia selepas difahamkan blok pembangkang tidak memiliki majoriti yang mencukupi.

Kit Siang sama seperti anaknya yang juga Setiausaha Agung DAP merayu agar Anwar dipilih sebagai PM baharu dan bukan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sudah memiliki majoriti tertinggi dikalangan calon PM lain yang ingin dipersembahkan nama kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Malaysia memerlukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu untuk membawa masuk pasukan dan dasar-dasar baharu yang boleh menghentikan kemusnahan akibat Covid-19 dan juga menyalakan semangat untuk Impian Malaysia.

“Bukannya Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri, yang telah menjadi muka awam kerajaan yang gagal menguruskan wabak Covid-19 sehinggalah negara kita menyaksikan lebih daripada 12,500 kematian dan lebih daripada 1.4 juta kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Kit Siang tersebut sekaligus mengesahkan kebimbangan blok pembangkang selepas nama Ismail Sabri dipersetujui sebagai calon Perikatan Nasional (PN) untuk jawatan PM, ia disahkan Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz semalam.

Kit Siang juga mendakwa pelantikan Ismail Sabri hanya akan menyebabkan Malaysia kekal menjadi sebuah negara gagal.

“Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri hanya akan meneruskan dasar kakistokrasi dan kleptokrasi sedia ada ini yang hanya akan menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara gagal,” katanya lagi.

Anwar kini terpaksa merayu sokongan daripada parti Pejuang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad dan Warisan yang dipimpin Datuk Seri Shafie Apdal selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan untuk tidak menyokongnya sebagai calon PM.

Zahid bersama beberapa MP lain yang berada dalam kemnya memilih Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon PM mereka, ia sekaligus mengurangkan jumlah sokongan yang dimiliki Anwar.

‘Tiada siapa cukup majoriti, MT Umno cadang kerajaan perpaduan’

malaysiakini.com
Diterbitkan 16 Aug 2021, 12:00 pm
Dikemaskini 12:01 pm

Ketika negara menjangkakan pengunduran Muhyiddin Yassin, ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno Johari Abdul Ghani berkata tiada calon perdana menteri yang layak berikutan jumlah sokongan majoriti yang belum cukup.

Bimbang dengan keadaan ekonomi dan kesihatan negara, dia mencadangkan parti-parti politik menubuhkan kerajaan perpaduan dikendalikan oleh ahli parlimen yang diterima oleh semua.

“Realitinya, tiada gabungan politik mempunyai majoriti kerusi yang mencukupi dan tiada siapa pun yang boleh mengumumkan pilihan raya umum diadakan pada masa ini.

“Oleh itu, tiada calon perdana menteri yang jelas ketika ini,” ciapnya di Twitter semalam.

Sebelum ini, Muhyiddin dikatakan hilang majoriti selepas 15 ahli parlimen Umno menarik sokongan.

Dalam usaha untuk mendapatkan semula majoriti, Muhyiddin menawarkan pelbagai cadangan reformasi untuk mendapatkan sokongan ahli parlimen pembangkang tetapi ditolak.

Tawarannya termasuk dana yang sama untuk ahli parlimen pembangkang dan reformasi yang telah lama dilobi oleh pembangkang, seperti had jangka waktu untuk perdana menteri, undang-undang antilompat parti, dan komposisi jawatankuasa pilihan parlimen yang lebih inklusif.

Mengulas lanjut mengenai cadangannya itu, Johari berkata parti-parti politik dalam kerajaan perpaduan itu perlu mencapai kata sepakat berhubung tempoh dan objektif penubuhan kerajaan tersebut.

Bekas menteri kewangan II itu membahagikan kepada empat aspek utama iaitu pandemik Covid-19, kebajikan rakyat, pengurusan kewangan kerajaan dan pemulihan ekonomi.

“Keutamaan haruslah mengeluarkan negara daripada pandemik Covid-19 dengan mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi yang cepat.

“Kerajaan baru juga perlu memastikan ketelusan pengurusan dan pengagihan vaksin.

“Pada masa sama, kerajaan baru juga perlu memberikan keutamaan kepada kebajikan rakyat yang sedang menderita sewaktu pandemik susulan daripada salah urus tadbir,” katanya.

Tambahnya, dari segi ekonomi pula perniagaan perlu dibenarkan beroperasi semula secepat mungkin dengan garis panduan yang sangat ketat.

“Kita tidak mampu untuk mengulangi kesilapan 17 bulan lalu, yang menyaksikan kita semua kehilangan kelebihan dari segi ekonomi yang menyebabkan tiada daya saing dan ketidakstabilan berikutan tindakan kerajaan PN,” katanya.

Muhyiddin tiba di Pejabat Perdana Menteri, akan pengerusikan mesyuarat kabinet 10 pagi

gerakmalaysia.com
 by Editor Desk
August 16, 2021


PUTRAJAYA, Ogos 16: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Kompleks Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 8.07 pagi ini.

Beliau tiba diiringi polis pengiring sebelum memasuki Pintu Protokol, malah sempat menurunkan tingkap dan melambai kepada pengamal media.

Difahamkan, Muhyiddin akan mempengerusikan satu mesyuarat khas Kabinet dengan ahli Jemaah Menteri yang dijadualkan pukul 10 pagi ini.

Semalam, media melaporkan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof memaklumkan, Muhyiddin akan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Dalam pada itu, turut dilihat memasuki Kompleks Bangunan Perdana Putra adalah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Maaf rakyat tidak boleh terpedaya lagi, kata Zahid

malaysiakini.com
Diterbitkan 16 Aug 2021, 8:49 am

KATA MP l Nada mereka mula berubah. Mula bertutur dalam nada sedih lagi pilu gara-gara sedang terdesak.

Harap maaf rakyat tidak boleh terpedaya lagi. Rakyat tahu ini cuma satu lagi permainan persepsi.

Hakikatnya rakyat lebih sedihkan berpuluh ribu mereka yang telah kehilangan orang tersayang angkara kerajaan gagal.

Saban hari ada rakyat kematian ibu, ayah, anak, isteri, suami, adik, abang, kakak akibat pandemik. Ini yang pilu.
Rakyat lebih sedihkan ramai yang kini hidup dalam kemiskinan, penderitaan dan kesengsaraan. Disebabkan oleh dasar dan polisi menguruskan pandemik yang bias serta beragendakan kepentingan politik.

Rakyat desak laksanakan "total lockdown", tetapi mereka laksanakan "total lockdown" suam-suam kuku.

Rakyat suruh tutup kilang bukan "essential", mereka tutup perniagaan-perniagaan kecil yang kurang berisiko.

Rakyat minta benarkan keluar wang KWSP, Menteri Kewangan kata KWSP bukan bank. Rakyat minta moratorium 2.0, kerajaan kata itu adalah mustahil.

Selepas diasak bertalu-talu baru mereka benarkan. Itupun selepas Institusi Diraja mula bersuara.

Ordinan Darurat pula seolah-olah diperkudakan untuk menggantung demokrasi.
Jauh berbeza seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong iaitu Ordinan Darurat untuk membendung penularan Covid-19.

Sepanjang pelaksanaan Ordinan Darurat jangkitan wabak malah semakin memburuk.

Semasa Ordinan Darurat bermula kes jangkitan harian sekitar 3,000 dan selepas lapan bulan pelaksanaannya cecah 21,000.

Kelihatan Ordinan Darurat lebih bermanfaat politik berbanding menyelamatkan rakyat dan negara.

Rakyat desak percepatkan pemberian vaksin macam-macam alasan diberi sehingga negara Eropah pun dijadikan kambing hitam.

Selepas kedudukan dan jawatan sudah tergugat baru kelam kabut dipercepatkan. Baru mempertimbangkan keluhan peniaga.

Bahaya kerajaan seperti ini. Kaki "spin". Jika mahu dirungkai satu persatu kegagalan panjang senarainya.
Maka rakyat sukar terpengaruh dengan cerita sedih mereka kerana rakyat ada masalah kepercayaan yang besar terhadap kerajaan PN.

Dan sebab itu juga Umno sebagai sebuah parti politik perlu bertindak demi memastikan nyawa rakyat dan nasib negara tidak terus dipertaruhkan.

Kepada Allah jua kita berserah.

AHMAD ZAHID HAMIDI adalah presiden Umno dan bekas timbalan perdana menteri.

Tulisan ini pertama kli dimuatnaikkan di Facebooknya dan ia adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

'MT Umno akan putuskan 3 calon PM untuk dihantar ke Istana'

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan 16 Aug 2021, 8:28 am

Biro politik dan Majlis Tertinggi (MT) Umno - yang mana majoriti ahlinya adalah penyokong presiden Ahmad Zahid Hamidi - dijangka mengadakan mesyuarat untuk memutuskan calon perdana menteri daripada parti itu.

Ia di saat naib presiden parti itu, Ismail Sabri dilaporkan berusaha mendapatkan sokongan untuk menggantikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang dijangka letak jawatan hari ini.

"Umno akan mengadakan mesyuarat biro politik dan MT hari ini untuk memilih calon perdana menteri interim.

"Ini untuk memastikan bahawa tiada pihak daripada parti bertindak secara sendirian atau membelakangi parti dalam krisis politik semasa," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Muhyiddin hilang majoriti selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan 14 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan mereka.

Pada masa sama, 23 lagi ahli parlimen Umno termasuk naib presiden Ismail Sabri terus menyokong Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ismail mengadakan sejumlah pertemuan semalam dalam usahanya mendapatkan sokongan ahli parlimen Perikatan Nasional yang sebelum ini menyokong Muhyiddin.
Menurut sumber itu lagi, Umno mungkin akan menghantar tiga nama kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai calon perdana menteri.

"Setakat pengetahuan saya, selain presiden (Zahid), Ismail Sabri, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Hishammuddin Hussein juga berada dalam senarai.

"Kemungkinan tiga daripada empat nama ini akan dipilih untuk dihantar ke Istana Negara," katanya.

Dalam pada itu, dia juga mengesahkan yang Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan Zahid petang semalam.

"Perjumpaan ini berkaitan gerakan surat akuan bersumpah (SD) sedang dikumpul bagi pihak Ismail.

"Saya tidak boleh memberitahu intipati perjumpaan antara Zahid dan Ismail. Tapi, yang pasti tindakan Ismail mengumpul SD tidak disenangi akar umbi.

"Sebarang keputusan mesti daripada parti. Perlu ada sokongan semua pihak. Ini paling penting," katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan surat akuan sedang dikumpul dalam kalangan ahli-ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) untuk menyokong Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri baru gabungan itu.

Ahli Parlimen Padang Rengas dari Umno, Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan dia antara yang sudah menandatanganinya.

Muhyiddin tinggalkan kediaman ke Putrajaya

bharian.com
Nor Azizah Mokhtar - Ogos 16, 2021 @ 8:05am
bhnews@bh.com.my

Kenderaan membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar dari kediamannya di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara pagi ini. 
- Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan kediamannya di Bukit Damansara di sini dipercayai menuju ke pejabatnya di Putrajaya, sebentar tadi.

Kenderaan Toyota Vellfire dinaiki beliau diiringi polis dan pengiring dilihat keluar dari kawasan kediaman pada jam 7.42 pagi.

Ahli Parlimen Pagoh itu dikatakan akan ke pejabat beliau di Perdana Putra, Putrajaya dan difahamkan bagi mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ke Istana Negara tengah hari ini.

Muhyiddin yang memakai sut hitam menurunkan tingkap kenderaannya dan sempat melambai ke arah kumpulan pengamal media yang menunggu di luar kediaman beliau sejak jam 6.30 pagi.

Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin dijangka membuat satu pemakluman penting berkaitan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya, hari ini.

Muhyiddin juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang serta pegawai kanan kerajaan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-