Athirah Huda Zalhe
'Bapa reformasi' laksana apa yang ditentang selama ini
BANGI, 19 Rejab 1444H, Jumaat – Apa sahaja penafian Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pelantikan anaknya, Nurul Izzah tidak akan mengubah makna sebenar amalan nepotisme dalam pemerintahannya itu.
Nurul Izzah dilantik sebagai Penasihat Kanan bagi Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, namun lantikan itu mendapat kritikan pelbagai pihak.
Bagi Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim berkata, pelantikan Naib Presiden PKR itu sememangnya nepotisme, meskipun Anwar mendakwa jawatan itu diberikan tanpa gaji.
Sama ada bergaji atau tidak, beliau menegaskan, Anwar tidak boleh mengubah definisi nepotisme yang bermaksud mengutamakan kaum keluarga untuk pelantikan sesuatu jawatan.
“Dibayar gaji atau tidak, itu bab lain. Jadi, Datuk Seri Anwar jangan lari daripada definisi itu.
“Selama ini (amalan nepotisme) yang PKR perjuangkan dan bising di luar sana, tetapi bila sampai masanya Datuk Seri Anwar melantik anaknya sendiri,” katanya.
Zamani berkata, nepotisme bukan tertakluk kepada gaji, tetapi merujuk amalan mengutamakan keturunan dan kaum kerabat untuk lantikan jawatan tertentu.
“Apa reformasi yang nak dibuat? Dia (Anwar) sebagai ‘bapa reformasi’ dan dia pula melaksanakan apa yang ditentang selama ini.
“Negara kita sebenarnya bukan miskin dengan pakar ekonomi, ramai. Kenapa pakar-pakar yang memang bergelumang kewangan ini tak mampu ditempatkan memegang jawatan itu,” soalnya.
Terdahulu, Nurul Izzah mengesahkan pelantikannya itu dan memulakan perkhidmatan berkuat kuasa pada 3 Januari lalu.
Anwar memberitahu Nurul Izzah dilantik berdasarkan kelayakan kerana anaknya itu mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan.
Bahkan, katanya, Izzah turut memiliki ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat selain bertujuan membantu beliau di Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Kementerian Kewangan (MOF).
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.