Tuesday, September 5, 2023

Zahid lepas: Mahkamah tiada pilihan, henti bodohkan rakyat - Latheefa

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 5, 2023 2:37 PM
Peguam Latheefa Koya menggesa pihak kerajaan berhenti mengatakan bahawa keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sebagai keputusan mahkamah.

Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata mahkamah terikat mengikut perlembagaan untuk memenuhi permintaan pendakwa raya.

“Berhenti cuba perbodohkan rakyat dengan mengulangi tanpa henti bahawa DNAA Zahid adalah keputusan mahkamah.

“Perkara 145(3) jelas, mahkamah tiada pilihan dalam perkara itu. Jadi jangan salahkan mahkamah.

"Itu tidak jujur ​​dan menghina hakim yang bekerja keras. Kerajaan tidak boleh mengalihkan tanggungjawab ini kepada pihak lain," tulisnya di Twitter.

Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa: Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

Pihak pendakwaan semalam memohon DNAA bagi kesemua 47 pertuduhan terhadap Zahid atas dakwaan rasuah membabitkan Yayasan Akalbudi.
Keputusan itu dibuat walaupun Hakim Collin Lawrence Sequerah mendapati pihak pendakwaan telah mewujudkan prima facie terhadap presiden Umno itu, yang telah diarah untuk membela diri.

Pihak pendakwaan berkata, permintaan DNAA itu adalah atas beberapa sebab, termasuk membolehkan SPRM menjalankan siasatan lanjut; melihat kemungkinan terdapat pendakwaan terpilih; dan menunggu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat buku yang ditulis bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Sequerah membenarkan permintaan itu selaras dengan Perkara 145(3), tetapi mengingatkan masa mahkamah yang berharga dan wang pembayar cukai akan dibazirkan jika pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes Zahid selepas DNAA.

Pemimpin PH, termasuk Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, mempertahankan keputusan itu dengan mengatakan ia adalah keputusan mahkamah.

Saifuddin semalam berkata keputusan mahkamah memberikan DNAA kepada Zahid adalah sama seperti keputusan mahkamah membebaskan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin daripada empat tuduhan salah guna kuasa dalam kes Jana Wibawa.

Peguam Lim Wei Jiet bagaimanapun semalam berkata perbandingan tersebut adalah tidak benar.

"Tolonglah, Datuk Seri (Saifuddin). Anda tahu ini tidak benar," katanya.

Dia berkata dalam kes mahkamah membabitkan Muhyiddin, tertuduh memohon untuk membatalkan pertuduhan, manakala dalam kes Zahid, pihak pendakwaan yang berbuat demikian.

"Hakim secara efektif tidak mempunyai pilihan selain memberikan DNAA atau pembebasan penuh," kata Lim.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-