Diterbitkan: Feb 26, 2024
Selepas dilabel tidak ikhlas untuk berbaik-baik semula dengan menghidupkan Muafakat Nasional (MN), PAS hari ini membangkitkan isu sama - keikhlasan - di pihak Umno.
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menyenaraikan beberapa isu yang mengaitkan pemimpin tertinggi Umno, Ahmad Zahid Hamidi, dengan isu keikhlasan.
Kata Ahmad Fadhli keikhlasan Ahmad Zahid boleh dipersoalkan apabila presiden Umno itu didakwa mengadakan rundingan sulit dengan Anwar Ibrahim ketika pemimpin PH itu masih menjadi ketua pembangkang.
"Jika ingin bercakap soal keikhlasan, ikhlaskah presiden Umno apabila pada saat Umno sedang berada di dalam kerajaan PN pun sudah ada rundingan secara gelap dengan Anwar sebagai ketua pembangkang pada masa itu untuk menobatkannya menjadi perdana menteri?
"Ramai yang masih ingat helaian kertas A4 yang tidak sempat bertandatangan mengandungi perakuan ini yang tidak pernah dinafikan oleh presiden Umno," katanya dalam kenyataan hari ini.
Gambar fail
Semalam Ahmad Zahid dilaporkan berkata, cadangan PAS untuk menghidupkan semula MN - yang ditubuhkan ketika kedua-dua parti menjadi pembangkang pada 2019 - sebagai tidak ikhlas.
Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, Umno menganggap PAS tidak ikhlas dalam hubungan tersebut kerana meninggalkan MN untuk bersama Bersatu.
"Mereka menikam kami dari belakang, mereka lakukan kerenah melebihi daripada apa yang kita setujukan.
“Saya tidak rasa mereka ikhlas dalam buat tawaran itu,” katanya.
Bukan tawaran baru
Untuk rekod Ahmad Zahid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin tertinggi PAS, Hashim Jasin, yang menegaskan parti itu masih membuka pintu kerjasama dengan parti Melayu Islam.
Kata mursyidul am PAS itu, dia yakin kerjasama antara parti itu dan Umno masih boleh dihidupkan kembali melalui MN.
Ahmad Fadhli berkata keikhlasan presiden Umno itu juga boleh dipersoalkan apabila dia berdegar-degar berjanji tidak akan menyokong Anwar dan DAP semasa dalam perhimpunan agung parti berkenaan.
Namun, katanya, Ahmad Zahid memungkiri janji tersebut selepas PRU ke-15 dan mendakwa Umno mempunyai "pilihan lain" yang boleh diambil.
Ahmad Fadhli yang juga ahli parlimen Pasir Mas juga menegaskan kenyataan Hashim itu bukanlah sesuatu yang baru sebaliknya hasrat PAS yang tidak pernah padam untuk menyatukan ummah.
"Sama ada ia (penyatuan itu) di bawah nama MN atau apa jua nama merupakan perkara yang kedua," katanya lagi.
Pada masa sama secara sinis Ahmad Fadhli berkata, pada hakikatnya ketika ini BN dan PH saling memerlukan antara satu sama lain.
"Tanpa BN, PH tidak boleh menjadi kerajaan; dan tanpa PH, presiden Umno akan merasakan dirinya tidak selamat," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.