Saturday, February 24, 2024

PN mampu tawan Selangor jika Melayu kekal sokongan, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin 
24 Feb 2024

Penganalisis berkata walaupun PN mempunyai peluang ia bukan bermakna PH-BN mudah ditewaskan jika kepimpinan negeri menunjukkan prestasi maksimum.
Penganalisis berkata jika PAS dan PN mahu memenangi hati rakyat Selangor mereka tidak boleh hanya ‘bermain’ dengan sentimen kaum dan agama sebaliknya perlu kreatif memperjuangkan isu rakyat.

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mampu menawan Selangor pada pilihan raya akan datang jika pengundi Melayu kekal menyokong gabungan itu, kata penganalisis.

Zaireeni Azmi dari Universiti Sains Malaysia berkata, faktor lain boleh menyumbang kemenangan PN ialah peratusan keluar mengundi Melayu tinggi selain pengundi asal Kelantan, Terengganu dan negeri utara yang sinonim dengan PAS menukar alamat mengundi di Selangor.

“Selain itu, isu ekonomi dan kenaikan harga barang tidak boleh diremehkan kerajaan sebab ia akan mempengaruhi pertimbangan pengundi tidak kira Melayu atau bukan Melayu,” katanya kepada FMT.

Pada 18 Feb lalu Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad, berkata partinya yakin akan memimpin negeri itu pada PRU16 sekali gus menjadikan ia lebih berdaya saing.

Zurk berkata, pihaknya akan melancarkan projek khas dengan slogan “PAS for All” dalam usaha menawan Selangor.

Bagaimanapun, cita-cita PAS untuk merampas kuasa di negeri itu ditolak Menteri Besar Amirudin Shari, sambil memetik cubaan Barisan Nasional (BN) yang gagal dulu.
Zaireeni Azmi.
Zaireeni berkata, walaupun PN mempunyai peluang menang ia bukan bermakna Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mudah ditewaskan jika kepimpinan negeri ketika ini menunjukkan prestasi maksimum dalam menjuarai kebajikan rakyat.

“Selangor antara negeri yang banyak memberi bantuan kepada B40. Kalau semua aktiviti bantuan disebar luas sampai kepada kumpulan sasar, ini boleh menguatkan keyakinan rakyat kepada kerajaan PH-BN, sekali gus mampu mengekalkan kuasa selepas PRU16,” katanya.

Beliau berkata, PH-BN juga berisiko hilang pentadbiran negeri jika gagal mencari pendekatan menarik pengundi Melayu kerana jumlah kerusi membezakan antara kerajaan dan pembangkang di Selangor hanya tujuh DUN.

“Sukar untuk PH-BN menepis tanggapan mereka tidak mewakili pengundi Melayu jika sentimen itu dimainkan dalam PRU akan datang kerana Adun Melayu lebih ramai dalam pembangkang.

“Imej PN mewakili golongan majoriti Melayu lebih besar berbanding PH-BN, jadi ia menjadi harapan pengundi Melayu. Perubahan boleh berlaku…PRU14 PH menang besar di Selangor, PAS menang satu dan BN empat kerusi tapi PRN lalu kerusi pembangkang melonjak kepada 22,” katanya.

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya yang senada dengan Zaireeni berkata PH-BN tidak boleh memandang mudah usaha lawan kerana jumlah perbezaan kerusi di Selangor tidak besar.
Awang Azman Pawi.
Katanya, bagaimanapun jika PAS dan PN mahu memenangi hati rakyat Selangor mereka tidak boleh hanya “bermain” dengan sentimen kaum dan agama sebaliknya perlu kreatif memperjuangkan isu rakyat.

“Isu ringgit tak menentu, harga barang…PAS dan PN tidak memberi solusi kepada permasalahan itu, dengan tempoh pilihan raya masih panjang saya kira PH-BN dapat baiki dan menangani perkara berbangkit,” katanya.

Baginya, PH-BN masih mempunyai kelebihan dan jika mahu kekal berkuasa mereka perlu menyantuni rakyat. Sekiranya itu dapat dilakukan rakyat akan lihat gabungan tersebut mampu menyelesaikan masalah mereka berbanding PAS dan PN yang lebih kepada memainkan isu kaum dan agama.

“PN pula kalau nak rakyat nampak mereka berfungsi, mereka perlu adakan Kabinet bayangan dan setiap Kabinet bayangan berfungsi memberi solusi terbaik dalam setiap isu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-