Showing posts with label ASEAN. Show all posts
Showing posts with label ASEAN. Show all posts

Wednesday, February 26, 2025

“Saya bukan pergi berjalan, main golf tapi cari pelaburan untuk negara” – Anwar

suara.tv
ByJanatul Firdaus Yaacob
26/02/2025

HANOI – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak yang menasihati beliau supaya “jangan berjalan banyak sangat”, yang disifatkan beliau sebagai tidak mengetahui kerja keras dilakukannya dalam mencari pelaburan untuk negara.

Beliau berkata sebagai sebuah negara dagang, Malaysia memerlukan pelaburan kerana tanpa pelaburan negara tidak boleh menyelesaikan masalah berkaitan pekerjaan atau mewujudkan peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan keupayaan ekonomi negara dan rakyatnya.

“Pelaburan membantu memesatkan pembangunan (negara). Soalnya apakah saya perlu terus berkunjung ke luar negara? Ada yang tegur, ‘kita jangan berjalan banyak sangat’. Dia tak tahu kita datang malam, tak sampai hotel terus ada dua pertemuan kemudian sambung lagi, duta tambah pre-council hingga tengah malam.

“Kemudian pagi-pagi, 7 pagi sudah ada mesyuarat dua hala. Itu tugas kita sampai sekarang dan terus balik bekerja.

“Saya tak ambil satu hari pun untuk bermain golf,” kata beliau kepada media Malaysia selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Masa Depan ASEAN kedua anjuran Kementerian Luar Vietnam dan dihadiri Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon dan Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta.

Ucaptama Perdana Menteri pada forum itu merupakan sebahagian daripada lawatan kerja dua hari beliau ke Vietnam, yang merupakan kali pertama sejak Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini, lapor Bernama di Hanoi.

Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai di Hanoi pada 7.10 malam tadi.

Sebaik tiba di Hanoi, Perdana Menteri terus mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam di ibu pejabat parti berkenaan dan menghabiskan masa kira-kira 30 minit berbincang tentang pelbagai perkara melibatkan kepentingan dua hala.

Selepas itu, Anwar bergegas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ramos-Horta dan meluangkan masa kira-kira satu jam bersama pemimpin itu berbincang tentang isu dua hala Malaysia dan Timor-Leste.

Selepas kunjungan hormat terhadap Ramos-Horta, Perdana Menteri menghabiskan masa pula mempengerusikan mesyuarat pre-council dengan delegasi Malaysia yang turut sama dalam lawatan kerjanya di Vietnam sebelum menamatkan harinya yang sibuk itu.

Seawal 7.30 pagi (waktu tempatan) hari ini, Anwar telah mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat dan bersarapan bersama delegasi Vietnam yang diketuai oleh Pham dengan isu-isu kepentingan bersama menjadi perhatian kedua-dua pihak.

Perdana Menteri kemudian menyampaikan ucaptama pada Forum Masa Depan kedua, sebelum mengadakan sidang media dengan media Malaysia yang mengikuti lawatan kerja dua harinya ke negara Asia Tenggara itu.

Sebelum pulang ke tanah air, Anwar berkesempatan melakukan kunjungan hormat terhadap Presiden Republik Sosialis Vietnam Luong Cuong, sekali gus menamatkan lawatan kerja dua harinya yang padat dengan pelbagai atur cara rasmi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kementerian Luar serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mempunyai peranan yang strategik berbanding pada tahun-tahun sebelumnya.
Beliau berkata Malaysia akan menerima lawatan daripada pemimpin-pemimpin Afrika Selatan bulan depan diikuti China.

“Pada April Presiden China Xi Jinping. Maknanya bila kita tunjukkan persahabatan beliau pun datang, bila datang (ke Malaysia) itu, beliau datang dengan rombongan perniagaan, berpuluh dan beratus orang, memberikan pendedahan kepada peluang-peluang (perniagaan dan perdagangan) di Malaysia,” kata Perdana Menteri.

Semalam Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia telah merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM378.5 bilion pada 2024, yang merupakan paras tertinggi dalam sejarah negara.

Bercakap dalam sidang media tahunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), beliau berkata ia merupakan suatu peningkatan sebanyak 14.9 peratus dari tahun ke tahun dan jumlah pelaburan itu menjangkau 6,700 projek merentas sektor utama.

Tengku Zafrul berkata jumlah pelaburan itu dijangka mewujudkan lebih 207,000 pekerjaan baharu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama.

Walaupun menghadapi cabaran ekonomi global yang berterusan katanya, Malaysia terus menarik pelaburan yang besar dengan pelaburan domestik menyumbang RM208.1 bilion (55.0 peratus) dan pelaburan asing menyumbang RM170.4 bilion (45.0 peratus).

Keyakinan pelabur asing di Malaysia kekal sangat kukuh, dengan pelaburan strategik datang daripada lima negara utama iaitu Amerika Syarikat mendahului dengan RM32.8 bilion, diikuti Jerman (RM32.2 bilion), China (RM28.2 bilion), Singapura (RM27.3 bilion) dan Hong Kong (RM7.4 bilion).

Thursday, January 23, 2025

Anwar beri impak besar pada Forum WEF

Bernama - Januari 23, 2025 @ 11:04am
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sesi Pleno ASEAN sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dan Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi impak besar di Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland, berakhir semalam.

Beliau menyertai perbincangan daripada perbualan santai mengenai kelab bola sepak kegemarannya hingga kepada hubungan antarabangsa yang dinamik dan rumit serta cabaran dan kejayaan integrasi serantau.

Keupayaan Perdana Menteri mengimbangi perbualan menerusi perbincangan mempamerkan kedudukan unik Malaysia dalam diplomasi global, terutama apabila berurusan dengan negara-negara yang mempunyai ideologi politik dan dasar ekonomi berbeza.

Perbincangan pertama Anwar di WEF adalah dengan Pengerusi Bersama Manchester United Football Club (MUFC), Avram Glazer, mengenai matlamat Malaysia untuk sukan pada masa depan.

Anwar mula-mula menjawab bahawa sebagai peminat kelab berusia 147 tahun itu, beliau masih berharap kepada kebangkitan semula Manchester United dan enggan menukar pilihannya walaupun kelab itu berada di bahagian tengah carta liga dan semua 14 cucu beliau adalah penyokong Arsenal.

Menjawab soalan Glazer pada sesi 'Country Strategy Dialogue' di luar Sidang Kemuncak Tahunan WEF 2025, Perdana Menteri menegaskan, kepentingan sukan di negara yang mempunyai pelbagai agama seperti Malaysia dan kepentingan mempromosikannya bukan sahaja sebagai industri tetapi juga menggunakan sukan untuk memupuk perpaduan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut menjawab soalan mengenai penstrukturan semula Malaysia Airlines dan langkah-langkah menambah baik di Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), termasuk menaik taraf aerotrain.

"Saya tidak sabar untuk segala-galanya berjalan lancar (di lapangan terbang) dan (ia) menjadi lebih cekap.

"Tiada alasan untuk lapangan terbang perlu berfungsi seperti sebelumnya walaupun ia baik berbanding lapangan terbang lain yang kurang berdaya saing.

"Bagaimanapun, masih ada ruang untuk penambahbaikan," katanya.

Topik lain yang turut disentuh Anwar termasuk perbincangan mengenai penjagaan kesihatan, Kecerdasan Buatan (AI), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menaik taraf sistem perundangan negara, perjanjian perdagangan bebas (FTA) serta keperluan untuk perjanjian itu merangkumi pendigitalan dan pandangan Malaysia mengenai tenaga nuklear.

Pada hari terakhir lawatan kerja tiga hari ke Davos untuk menghadiri sidang kemuncak WEF, Anwar turut membincangkan isu Myanmar dan bagaimana kegagalan tadbir urus di negara itu menjejaskan keamanan dan keselamatan di ASEAN.

Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia optimis dengan penuh berhati-hati mengenai kemajuan di Myanmar dan akan menyelaraskan usaha ke arah keamanan dan keselamatan bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau berkata demikian pada sesi Plenari ASEAN bertajuk 'Even Stronger Together'.

Keupayaan Perdana Menteri membincangkan pelbagai topik di beberapa platform dengan konsisten turut mempamerkan beliau sebagai pemidato yang hebat.

Pada setiap kesempatan, Anwar menegaskan komitmen Malaysia memperkukuh kerjasama dalam kalangan kuasa besar, sekali gus mengukuhkan peranan ASEAN dalam menangani cabaran ekonomi dan geopolitik yang mendesak.

Dalam kenyataan beliau mengenai isu dihadapi oleh ASEAN dan rantau ini terutama mengenai ketegangan di Laut China Selatan, Perdana Menteri menegaskan, sebarang penyelesaian perlu melalui usaha kerjasama dan bukan sebaliknya, tanpa mengambil kira pandangan dunia Barat mengenainya.

"Kami mempunyai isu yang belum selesai dengan Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei dan Filipina. (Tetapi) kenapa masalah hanya dilihat dengan China?

"Mereka berkata, 'Oh, adakah anda bersikap defensif?' Tidak, itu bukan isunya. Saya hanya menyatakan fakta. Adakah terdapat masalah? Ya, ada (masalah). Tetapi isu ini membabitkan seluruh rantau. Adakah kita akan berperang kerana ini? Tidak," teggasnya.

Pengerusi ASEAN itu menegaskan, perkara tersebut tidak seharusnya ditangani secara defensif tetapi dengan komitmen kukuh untuk berdialog dan Malaysia mengambil langkah proaktif ke arah pendekatan terbabit.

Beliau berkata, Malaysia mengorak langkah besar dalam memperkukuh kedudukan sebagai rakan kongsi dipercayai China, selain mengiktiraf Amerika Syarikat sebagai rakan sama penting memandangkan secara keseluruhan, ia kekal pelabur terbesar di Malaysia.

Anwar turut menyatakan keyakinan mengenai keupayaan Malaysia terus menarik pelaburan dan mengambil setiap peluang mempromosi negara kepada pemimpin kerajaan dan perniagaan serta pegawai masyarakat sivil yang menghadiri WEF di bandar peranginan Pergunungan Alps. 

BERNAMA

Wednesday, February 17, 2021

PAS pertikai laporan Ahli Parlimen ASEAN gesa sidang Parlimen

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi 
bhnews@bh.com.my
- Februari 17, 2021 @ 2:10pm


KUALA LUMPUR: PAS mempertikaikan laporan portal berita kononnya 90 Ahli Parlimen daripada tujuh negara ASEAN menggesa supaya sidang Parlimen negara ini diadakan segera.

Menyifatkan laporan itu sebagai mengelirukan, Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, jumlah 90 Ahli Parlimen yang disebutkan dalam laporan berkenaan adalah salah kerana 25 daripada mereka yang menandatanganinya bukanlah Ahli Parlimen tetapi, bekas Ahli Parlimen.

Selain itu, katanya lapan daripada nama yang disenaraikan adalah Ahli Parlimen Timor Leste yang tidak termasuk dalam negara ASEAN.

"Kenyataan ini juga tidak mewakili pendapat kerajaan negara berkenaan tetapi sekadar mewakili pendapat Ahli Parlimen pembangkang mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kumpulan Ahli Parlimen di bawah ASEAN Parliamentarians for Human Rights (APHR) yang menggesa untuk diadakan sidang Parlimen itu pula dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago.

"Adakah ini juga satu petanda bahawa tindakan Ahli Parlimen pembangkang negara-negara terbabit didorong oleh Ahli Parlimen pembangkang negara kita yang mahu mengkritik dan mencemarkan imej kerajaan saja?" katanya.

Kamaruzaman berkata, pelaksanaan Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah menepati garis panduan darurat yang diperkenalkan oleh Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi hak asasi manusia pada 27 April tahun lalu.

Saturday, March 17, 2018

Najib dapat penghormatan tinggi di Australia

SYDNEY –   Tindakan sesetengah pihak yang mahukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia tidak diberikan sambutan istimewa sewaktu Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2018 di sini tidak mendapat perhatian kerajaan Australia.

Sebaliknya, Najib diberikan penghormatan istimewa terutama apabila menjadi satu-satunya pemimpin dari ASEAN yang dijemput memberi ucapan pada majlis penutupan Persidangan Pencegahan Keganasan yang merupakan sebahagian daripada program sidang kemuncak khas itu di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Sydney.

Seorang pemimpin lagi yang berucap pada majlis penutup tersebut pada Sabtu adalah Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull.

“Alhamdulillah, saya dapat penghormatan yang boleh dikatakan teristimewa. Untuk ucapan (pada majlis penutup persidangan itu), saya seorang sahaja yang dijemput. Pada majlis makan malam pun saya duduk di sebelah Turnbull.
“Kalau ada pihak cuba supaya saya tidak diberikan sambutan, nampaknya (permintaan mereka) ditolak dan gagal. Kerajaan Australia tetap beri penghormatan yang tinggi kepada Kerajaan Malaysia,” kata Najib kepada media Malaysia di sini, hari ini.

Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2018 yang berlangsung pada hujung minggu ini diadakan untuk membincangkan hala tuju masa depan dan kerjasama antara ASEAN dan Australia.

Selain itu, sidang kemuncak khas berkenaan juga diadakan untuk memperingati peningkatan hubungan ASEAN-Australia ke taraf rakan strategik.

Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia melibatkan tiga sesi iaitu Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN-Australia, Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-Australia dan Persidangan Pencegahan Keganasan ASEAN-Australia.

Ini adalah kali pertama Australia menjadi tuan rumah sidang kemuncak bersama semua pemimpin ASEAN.

 – BERNAMA

Tuesday, November 14, 2017

'Kebahagian rakyat meningkat dengan BR1M'


Kerajaan hari ini mengaitkan peningkatan kedudukan negara dalam Laporan Kebahagiaan Sedunia 2017 (World Happiness Report) dengan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Dalam jawapan parlimen bertarikh 6 November, Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata negara menduduki tempat ke-42 daripada 155 negara untuk tahun ini, meningkat lima kedudukan berbanding di tempat ke-47 tahun lalu.

JPM berkata, ini merupakan peningkatan untuk tahun kedua berturut-turut.

"Di kalangan negara ASEAN, negara menduduki tempat ketiga selepas Singapura (26) dan Thailand (32), serta jauh lebih baik berbanding negara ASEAN lain, misalnya Filipina (72) dan Indonesia (81).

"Malah kedudukan negara juga lebih tinggi daripada beberapa negara maju seperti Italy (48), Japun (51), Korea Selatan (56) dan Hong Kong (71)," kata JPM.

JPM berkata, pencapaian itu berpunca daripada peningkatan dalam aspek sokongan sosial, pendapatan per kapita dan kebebasan membuat pilihan.

Kata JPM lagi, pencapaian itu menunjukkan kerajaan sentiasa memastikan tahap kesejahteraan hidup rakyat meningkat selaras dengan pembangunan negara, termasuk melalui Rancangan Malaysia ke-11.

Kerajaan juga memberi penekanan terhadap aspek pembangunan modal insan dan sosial bagi membantu rakyat berhadapan bebanan kos sara hidup yang meningkat.

"Ini termasuklah pemberian BR1M kepada sejumlah tujuh juta isi rumah yang berpendapatan rendah, 334 Klinik 1Malaysia yang menawarkan perkhidmatan dengan bayaran serendah RM1, dan 1,061 Klinik Kesihatan seluruh negara yang mana 242 daripadanya dilengkapi perkhidmatan pakar," kata JPM lagi.

Read more at
https://www.malaysiakini.com/news/401876#3RoMt8qyDWy4fkku.99

Tuesday, October 6, 2015

TPPA Cetus Kebimbangan Orang Ramai

KUALA LUMPUR: Selepas hampir lima tahun rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) diadakan, nampaknya kini rundingan tersebut memasuki fasa terakhir yang mana pada peringkat ini, semua negara TPPA perlu membuat keputusan yang sukar.

Terbaharu, perjanjian tersebut telah pun dipersetujui oleh Malaysia bersama 11 lagi negara lain termasuk Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam dalam satu mesyuarat di Atlanta, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kerajaan dilihat tetap mengambil pendirian tegas dalam rundingan berkenaan dalam usaha memastikan perlembagaan, kedaulatan dan dasar-dasar utama seperti agenda bumiputera terus terpelihara.

Namun, persepsi negatif dan kebimbangan rakyat khususnya terhadap isi kandungan tersebut terus menghantui.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dalam kenyataannya yang dimuat naik di laman Facebook hari ini mengajak orang ramai agar menyuarakan pandangan mereka sebelum rundingan perjanjian TPPA dibentangkan dan dibahas di Parlimen.

“Dua faktor utama yang menyumbang kepada kebimbangan ini. Pertama, risau sekiranya kita akan berada di bawah telunjuk AS.

“Kedua, risau kerana kandungan dokumen TPPA tersebut tidak didedahkan kepada umum terlebih dahulu,” katanya.

Kata Agus, perbincangan mengenai perjanjian tersebut tidak hanya berfokus kepada keburukan, malah ia perlu juga dilihat dari sudut kebaikan sekiranya perjanjian tersebut dipersetujui oleh Malaysia.

“Syarikat Malaysia akan menikmati akses pasaran kepada semua negara ahli, sesuatu yang diperlukan untuk membolehkan syarikat kita berdaya saing.

“Kita mampu menarik pelaburan asing untuk datang melabur di negara kita,” jelasnya.

Selain itu, Agus turut menyenaraikan beberapa implikasi yang mungkin terpaksa dihadapi negara sekiranya gagal menyertai TPPA.

“Hilang kredibiliti sebagai negara pasaran bebas; Ketinggalan kepada Singapura dan Vietnam sebagai negara pilihan pelabur dalam konteks ASEAN; pelaburan yang sedia ada di Malaysia mungkin berpindah ke negara lain.

“Ketiadaan pelabur merugikan peluang pekerjaan yang diperlukan oleh rakyat kita; Syarikat kita yang berdagang di luar negara seperti Petronas, Felda, Sime Darby dan lainnya tidak boleh menikmati faedah TPP; Hasrat untuk menyertainya kemudian akan memakan kos yang tinggi: Hilang pasaran untuk barangan elektronik yang dikeluarkan oleh negara; dan Hilang 50% pasaran ‘glove’ kepada Thailand,” jelasnya.

Saturday, May 16, 2015

Sekat ekonomi Myanmar demi Rohingya

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia dicadangkan untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Myanmar kerana jelas telah melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia masyarakat Rohingya.

Dalam kenyataan bersama ahli jawatankuasa DAPSY Kebangsaan Dyana Sofya Mohd Daud dan Ketua Biro Antarabangsa, Wong Kah Woh, sayap parti itu turut menggesa satu mesyuarat tergempar ASEAN bagi membincangkan krisis tersebut.

“Ini adalah krisis kemanusiaan yang begitu hampir dengan Malaysia dan melibatkan ahli ASEAN sendiri.

“Tambahan dengan itu, kerajaan Malaysia bersama negara-negara ASEAN yang lain untuk membuat kata putus dengan menggesa Myanmar bertanggungjawab dan menghentikan krisis etnik di negara itu.

“Atau kenakan sekatan ekonomi kerana mereka jelas telah melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia,” kenyataan tersebut dipetik.

Ahad lepas, difahamkan seramai 1,158 warga Bangladesh dan etnik Rohingya dari Myanmar tiba dengan bot di Langkawi.

Manakala UNHCR melaporkan, antara 5,000 hingga 6,000 lagi warga Bangladesh dan Rohingya sedang menunggu masa sesuai untuk belayar ke Malaysia.

Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon dalam kenyataannya hari ini melahirkan rasa terkejut atas tindakan beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia menghalau ribuan pelarian Rohingya yang tersadai di antara Laut Andaman dan Selat Melaka itu.

Justeru itu, DAPSY menggesa kerajaan yang mempengerusikan ASEAN Intergovermental Community on Human Rights (AICHR) untuk memulakan inisiatif berkesan dalam menangani isu ini.

“Pelarian sentiasa dilanda ketakutan walaupun sepatutnya dilindungi di bawah status ‘pelarian’ UNHCR.

“Ini kerana Malaysia tidak mengiktiraf status mereka sebagai pelarian, sebaliknya sebagai pendatang tanpa dokumen dan tertakluk dengan Akta Imigresen.

“Mereka sering kali disalah tangkap oleh pihak berkuasa dan dianggap sebagai pendatang tanpa izin walaupun menunjukkan dokumen pelarian sah yang dikeluarkan UN.

“DAPSY menggesa kerajaan menambahbaik layanan terhadap pelarian di Malaysia supaya pergerakan mereka terkawal, hak asasi dihormati dan membanteras penindasan terhadap golongan tidak bernasib baik ini,” tegas kenyataan tersebut. – Roketkini.com

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-