Showing posts with label UNHCR. Show all posts
Showing posts with label UNHCR. Show all posts

Saturday, May 28, 2022

Sudah macam 'kilang pengeluar' bayi etnik Rohingnya

hmetro.com.my
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
Antara warga asing yang di tahan ketika Operasi Penguatkuasaan Imigresen bersama Menteri Dalam Negeri di Pasar Besar Meru, Klang. FOTO ASYRAF HAMZAH

Klang: Keadaan di Pasar Besar Meru, di sini, dilihat seolah-olah seperti 'kilang pengeluar' bayi etnik Rohingnya apabila kebanyakan wanita etnik berkenaan mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak.

Suasana hiruk-pikuk dengan tangisan bayi dan kanak-kanak jelas dilihat memenuhi kawasan warga asing yang dikumpul dalam pemeriksaan operasi di pasar berkenaan, semalam.

Dalam serbuan bermula kira-kira 8 malam itu, seramai 704 warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia dan India, berusia antara satu tahun hingga 55 tahun, diperiksa.

Tinjauan wartawan di lokasi terbabit mendapati kebanyakan wanita etnik Rohingnya yang diperiksa dalam operasi itu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak.

Ada antara wanita yang diperiksa dalam operasi itu didapati baru melahirkan anak beberapa hari lalu.

Kebanyakan wanita terbabit dilihat mengendong bayi berusia bawah dua tahun.

Seorang remaja perempuan etnik Rohingnya berusia 15 tahun memaklumkan dia sudah berkahwin dan sedang hamil empat bulan.

"Saya berada di Malaysia sejak berusia sembilan tahun dan berkahwin awal tahun ini dengan suami yang juga (etnik) Rohingnya berusia 27 tahun.

"Saya sedang hamil empat bulan. Saya tidak bekerja, manakala suami pula bekerja di pasar (Pasar Besar Meru)," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, semalam.

Seorang lagi wanita etnik Rohingnya berusia 20 tahun memaklumkan dia terus dikahwinkan dengan lelaki dari etnik sama sebaik tiba di Malaysia dua tahun lalu.

"Saya tiba di negara ini dua tahun lalu dan terus dikahwinkan dengan suami yang berusia 30-an.

"Hasil perkahwinan kami dikurniakan seorang anak lelaki yang berusia satu tahun. Saya tidak bekerja dan suami pula bekerja di pasar ini (Pasar Besar Meru)," katanya.

Sementara itu, perkara berkenaan juga menjadi perhatian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang turun padang dalam operasi terbabit, semalam.

Katanya, beliau melihat tempat tinggal warga asing berkenaan amat menyedihkan sekali gus membuktikan mereka tidak ada jalan lain, selain tinggal di tempat berkenaan angkara beberapa sindiket.

"Mereka sanggup tinggal dan bekerja di tempat sebegini hingga melahirkan anak. Saya perhatikan apabila anak-anak itu dilahirkan, mereka secara automatik diberikan kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

"Situasi itu pastinya akan membebankan kita dalam negara ini," katanya.

KDN persoal tindakan UNHCR beri kad pelarian sewenangnya

ismaweb.net
azrulhakimie

Ia seolah-olah sah untuk mereka tinggal dalam negara ini


KAPAR, 27 Syawal 1443H, Sabtu – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) memberikan kad pengesahan pelarian kepada beberapa individu warga Indonesia.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata menerusi operasi penguatkuasaan, pihaknya berjaya mengesan beberapa warga Indonesia yang didapati mempunyai memiliki kad pelarian yang dikeluarkan UNHCR.

“Macam mana UNCHR mengeluarkan kad sewenang-wenangnya, sehinggakan dengan ada kad ini, seolah-olah sah untuk mereka tinggal dalam negara,” katanya dalam sidang media selepas Operasi Penguatkuasaan Imigresen bersama Menteri Dalam Negeri di Pasar Besar Meru, dekat sini.

Operasi malam tadi menyaksikan daripada 704 warga asing yang diperiksa, 51 pendatang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan imigresen.

Sementara itu mengulas kegagalan sistem di Pejabat Imigresen Kelana Jaya yang dilaporkan sebuah portal hari ini, Hamzah berkata ia bukan sahaja berlaku di pejabat berkenaan tetapi juga di pejabat imigresen di tempat lain.

“Saya nak maklumkan kepada semua sebenarnya kita gunakan ini (dalam talian) adalah sistem yang lama. Maka sudah tentulah sistem lama dah terlampau ramai, dia ada ‘jammed’ sedikit. Sebab itu kita telah pun ‘award’ kepada satu syarikat sistem yang baharu dan mereka sedang jalan (proses itu) dan insya-Allah tahun 2024 siap semuanya, kita boleh guna sistem yang lebih canggih dan bagus,” katanya.

 – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Saturday, April 23, 2022

Pemberian kad UNHCR dikaji semula

 hmetro.com.my

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my

HAMZAH (depan, tengah) ketika sidang media. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Larut: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji secara terperinci pemberian kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan pelarian Rohingya tidak terus masuk dengan bebas ke Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kajian itu perlu disegerakan bagi mengetahui mengapa pelarian ini boleh mendapat kad UNHCR ini dengan mudah dan bebas di negara ini.

"Kita tidak boleh memberi ruang supaya mereka ini dapat kad dengan mudahnya. Orang asing datang masuk negara kita tanpa dokumen, lepas itu terus nak pergi dapatkan kad UNHCR.

"Itu sesuatu yang tak betul dan kita bukan membuka negara kita ini untuk pendaftaran UNHCR dan sebab itu saya ambil satu sikap yang tegas bahawa kad itu bukan bermakna bahawa mereka boleh tinggal dalam negara kita sampai bila-bila," katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Asnaf Parlimen Larut di Dewan Astaka Batu Kurau di sini, hari ini.

Menurutnya, biarpun Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai perikemanusiaan, namun itu tidak bermakna pelarian boleh masuk dan bebas dengan sewenang-wenangnya di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Hamzah menegaskan, depot tahanan yang menempatkan pelarian ini bukanlah penjara.

"Penjara itu bermaksud mereka telah pun didakwa dan dihukum jadi tentu kita akan lebih berhati-hati dengan mempunyai semua alat-alat peralatan mencukupi untuk menahan mereka lari daripada depot.

"Tapi ini adalah tahanan yang kita buat atas sifat keperimanusiaan yang kita berikan satu tempat yang selesa kepada mereka.

"Sepatutnya orang seperti ini kita hantar dia balik tapi kita nak hantar dia balik ke mana? Jadi ini yang menyebabkan kita berikan mereka satu penempatan dan sepatutnya mereka tak larilah," katanya.

Menurutnya lagi, tindakan mereka yang melarikan diri bermakna kumpulan terbabit mahu melakukan satu kesalahan.

"Tindakan mereka melarikan diri seperti mereka mahu bebas di negara ini sedangkan mereka sendiri tidak ada dokumen?

"Apakah kita mahu melihat perkara itu berlaku dan itu yang menyebabkan kita tahan supaya mereka dapat memberitahu kepada rakan-rakan mereka yang belum sampai lagi," katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2022 @ 1:24pm

Friday, May 1, 2020

Malaysia tak iktiraf status pelarian Rohingya

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohd_iskandar@bh.com.my


Kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI). - Foto fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI) yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Ini disebabkan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kerajaan bagaimanapun membenarkan mereka untuk tinggal sementara di negara ini, atas dasar kemanusiaan sebelum ditempatkan di negara ketiga oleh UNHCR.

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil maklum kegusaran orang awam yang timbul berhubung pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya.

"Sehingga Mac lalu, terdapat seramai 179,521 pemegang kad UNHCR yang tinggal secara sementara di Malaysia. Daripada jumlah itu, 56.6 peratus atau 101,584 orang daripada etnik Rohingya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hamzah berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) tidak pernah mendaftarkan ada mana-mana pertubuhan atas nama Rohingya di Malaysia.

Justeru, beliau menegaskan mana-mana pertubuhan yang mewakili etnik Rohingya di Malaysia adalah tidak sah mengikut Akta Pertubuhan 1966.

"Oleh yang demikian, pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya tidak mempunyai sebarang status, hak dan asas untuk mengemuka sebarang tuntutan kepada kerajaan.

"Sebarang tindakan pemegang kad UNHCR yang mengganggu-gugat ketenteraman awam dan bertentangan dengan undang-undang negara, tidak akan terlepas daripada tindakan," katanya.

Mengenai tindakan pihak berkuasa Malaysia tidak membenarkan bot membawa etnik Rohingya memasuki kawasan perairan negara, Hamzah menegaskan langkah itu berlandaskan undang-undang bagi menjaga kedaulatan sempadan negara daripada diceroboh.

Bagaimanapun, beliau berkata, atas dasar kemanusiaan, pihak berkuasa negara mengagihkan bekalan makanan sebelum mengiringi bot terbabit keluar daripada perairan negara.

"Tindakan memperketatkan sempadan termasuk lorong-lorong tikus bagi menghalang pencerobohan PATI, selari dengan langkah kerajaan menutup pintu masuk negara kepada warga asing bagi memutuskan rantaian COVID-19.

"Pada masa sama, PATI yang memegang kad UNHCR di Malaysia diingatkan supaya terus menghormati dan mematuhi undang-undang di negara ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah berkata, polis menerima 19 laporan terhadap pemegang kad UNHCR etnik Rohingya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan empat kertas siasatan sudah dibuka.

Selain itu, dua tekong warga Myanmar akan dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan terbabit dengan sindiket penyeludupan PATI yang memegang kad UNHCR ke negara ini.

Friday, April 24, 2020

Lambakan warga asing di Malaysia bimbangkan rakyat

Kerajaan perlu bertindak segera khuatir masalah makin membarah
24/04/2020

Naib Presiden Isma, Prof Zainur Rashid Zainuddin

BANGI, 1 Ramadan 1441H, Jumaat – Kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan agensi berkaitan seharusnya mendengar keluhan dan kebimbangan rakyat terhadap isu kebanjiran warga asing di negara ini.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, kadar kebocoran di lapangan terbang, laluan darat dan lubang kemasukan menerusi jalan laut sangat membimbangkan.

Apatah lagi, setakat ini dianggarkan seramai 3.3 juta pekerja asing tanpa permit, 180,000 pelarian yang berdaftar serta tidak berdaftar di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan ratusan ribu pelancong asing yang tidak pulang ke negara masing-masing, katanya.

“Kerajaan perlu bertindak tegas dan segera. Ini adalah isu nasional yang melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Masalah yang semakin membarah mesti ditangani dengan serius dan tegas agar rakyat Malaysia tidak semakin terhimpit dan negara ini terjamin kedaulatannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, negara pernah dikejutkan dengan penangkapan 680 warga China yang aktif menjalankan aktiviti sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbesar di Cyberjaya.

Kemudian, 87 lagi ditahan di beberapa unit kondominium di sekitar Setiawalk, Puchong juga menjalankan skim pelaburan dan perjudian dalam talian.

Belum selesai isu lambakan warga China, timbul pula isu berkaitan kemasukan pelarian etnik Rohingya ke negara ini, yang telah menyebabkan pelbagai serangan xenofobia dilakukan netizen terhadap komuniti berkenaan di media sosial.

Saturday, May 16, 2015

Sekat ekonomi Myanmar demi Rohingya

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia dicadangkan untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Myanmar kerana jelas telah melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia masyarakat Rohingya.

Dalam kenyataan bersama ahli jawatankuasa DAPSY Kebangsaan Dyana Sofya Mohd Daud dan Ketua Biro Antarabangsa, Wong Kah Woh, sayap parti itu turut menggesa satu mesyuarat tergempar ASEAN bagi membincangkan krisis tersebut.

“Ini adalah krisis kemanusiaan yang begitu hampir dengan Malaysia dan melibatkan ahli ASEAN sendiri.

“Tambahan dengan itu, kerajaan Malaysia bersama negara-negara ASEAN yang lain untuk membuat kata putus dengan menggesa Myanmar bertanggungjawab dan menghentikan krisis etnik di negara itu.

“Atau kenakan sekatan ekonomi kerana mereka jelas telah melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia,” kenyataan tersebut dipetik.

Ahad lepas, difahamkan seramai 1,158 warga Bangladesh dan etnik Rohingya dari Myanmar tiba dengan bot di Langkawi.

Manakala UNHCR melaporkan, antara 5,000 hingga 6,000 lagi warga Bangladesh dan Rohingya sedang menunggu masa sesuai untuk belayar ke Malaysia.

Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon dalam kenyataannya hari ini melahirkan rasa terkejut atas tindakan beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia menghalau ribuan pelarian Rohingya yang tersadai di antara Laut Andaman dan Selat Melaka itu.

Justeru itu, DAPSY menggesa kerajaan yang mempengerusikan ASEAN Intergovermental Community on Human Rights (AICHR) untuk memulakan inisiatif berkesan dalam menangani isu ini.

“Pelarian sentiasa dilanda ketakutan walaupun sepatutnya dilindungi di bawah status ‘pelarian’ UNHCR.

“Ini kerana Malaysia tidak mengiktiraf status mereka sebagai pelarian, sebaliknya sebagai pendatang tanpa dokumen dan tertakluk dengan Akta Imigresen.

“Mereka sering kali disalah tangkap oleh pihak berkuasa dan dianggap sebagai pendatang tanpa izin walaupun menunjukkan dokumen pelarian sah yang dikeluarkan UN.

“DAPSY menggesa kerajaan menambahbaik layanan terhadap pelarian di Malaysia supaya pergerakan mereka terkawal, hak asasi dihormati dan membanteras penindasan terhadap golongan tidak bernasib baik ini,” tegas kenyataan tersebut. – Roketkini.com

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-