Showing posts with label PPSMI. Show all posts
Showing posts with label PPSMI. Show all posts

Saturday, February 1, 2020

PKR akan bincang PPSMI - Saifuddin Nasution

BERITA

PKR akan membincangkan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dalam mesyuarat parti itu, kata Setiausaha Agong PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata PKR setakat ini belum ada pendirian berhubung PPSMI kerana perkara itu baru diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

"PKR bermesyuarat setiap minggu jadi kami akan membincangkan perkara ini segera.

"Perkara ini baru sahaja diumumkan oleh perdana menteri," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PKR peringkat Kebangsaan di Padang Kota Lama, di George Town malam ini.

Majlis itu turut dihadiri Presiden PKR Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan barisan pemimpin parti-parti dalam Pakatan Harapan.

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan Dr Mahathir yang mahu mengembalikan semula PPSMI sedangkan PKR satu ketika dahulu membantah serta menggesa memansuhkan PPSMI.
Sementara itu, Anwar ketika ditanya soalan yang sama berkata beliau menyerahkan cadangan pelaksanaan semula PPSMI kepada kabinet untuk membincangkannya.

"Biar depa (mereka) bincangkan (PPSMI) di kabinet," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Perdana menteri semasa mesyuarat khas bersama Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya semalam menekankan tentang perlunya menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.

Dr Mahathir, yang juga pemangku Menteri Pendidikan, berkata ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dan penguasaan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara.

Dasar PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 telah digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat mulai 2010.

- Bernama

Friday, January 31, 2020

PPSMI: Batalkan atau hadapi kebangkitan rakyat


KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad didesak membatalkan hasrat untuk mengembalikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) atau berhadapan semula dengan gelombang kebangkitan rakyat.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa menegaskan, ramai pihak telah menzahirkan penolakan terhadap hasrat pelaksanaan semula PPSMI.

“UMMAH menyokong Tun Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri dan juga pemangku Menteri Pendidikan bukan untuk mengembalikan semula PPSMI dalam sistem pendidikan negara.

“Keputusan melaksanakannya semula sangat malang, mengecewakan dan akan menggelapkan semula masa depan dunia pendidikan anak bangsa negara,” kata Mohd Zai dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

UMMAH yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO) dianggotai dan disokong oleh sejumlah ratusan NGO Melayu dan Islam serta NGI bertekad tidak teragak-agak akan menggerakkan rakyat untuk berhimpun sekali lagi bagi menentang PPSMI.

Mohd Zai tidak menolak kemungkinan Tun Mahathir akan kehilangan jawatannya sebagai Perdana Menteri jika perhimpunan seperti itu digerakkan sekali lagi.

“PPSMI telah pun berlalu pada 2002-2010, dan telah banyak meninggalkan kesan buruk kepada kemerosotan kepada para pelajar.

“Kajian yang dibuat oleh UPSI pada 2009 merekodkan kemerosotan sehingga 80 peratus di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah sehingga program ini dibatalkan pada 2010.

“UMMAH bertegas agar Tun Mahathir membatalkan hasrat tersebut atau akan berhadapan semula dengan gelombang himpunan rakyat menolak PPSMI yang telah pun berlaku sebelum ini,” tegas Mohd Zai.

Isu PPSMI timbul semula ekoran baru-baru ini, satu video mesyuarat tertutup di Putrajaya telah dimuat naik di laman sosial rasmi Perdana Menteri.

Dalam video tersebut Perdana Menteri berkata kepada Pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan bahawa beliau mempunyai beberapa idea untuk dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara walaupun sedar tidak mudah hasratnya itu dipersetujui oleh ramai pihak. 

– HARAKAHDAILY 
   31/1/2020

Thursday, April 11, 2019

Penyokong NGO, PH bergelut di Rantau

B Nantha Kumar
Diterbitkan Hari ini 7:11 malam


PRK RANTAU | Tindakan sebuah NGO melakukan demonstrasi di Pekan Rantau berakhir dengan insiden pergelutan antara ahli NGO terbabit dan penyokong Pakatan Harapan (PH).

Kejadian itu berlaku selepas kira-kira 10 ahli Gabungan Anti DLP (Program Dwi Bahasa) berdemo bagi menolak pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Mereka turut membawa kain rentang tertulis "Mahathir kambing hitamkan sekolah Tamil, Kami bantah PPSMI, Tok Mat sokong bahasa ibunda dan Streram kata sangat sibuk".

Selain itu turut meminta pengundi Rantau agar tidak mengundi calon PH, Dr S Streram pada 13 April ini.

Susulan tindakan itu, penyokong PH berkumpul di lokasi berkenaan sehingga berlaku pertengkaran dan tolak menolak antara mereka.

Namun pergelutan tersebut dihentikan apabila pihak polis tiba dan menenangkan keadaan kira-kira 10 minit selepas itu.

Menurut Theeyagu Loganaden yang mengetuai NGO terbabit, mereka kecewa dengan Streram kerana enggan menjelaskan pendirian mengenai cadangan pelaksanaan semula PPSMI.

"Kami ke Rantau untuk ingin tahu pendirian calon-calon di PRK ini berkenaan pelaksanaan semula PPSMI.

"Ketika kami jumpa (calon BN) Mohamad Hasan beliau beritahu kami menyokong bahasa ibunda.

"Namun, Streram tidak layan kami, katanya sangat sibuk dengan kempen PRK. Maka, kami berceramah hari ini untuk menolak Streram pada PRK ini," jelasnya kepada Malaysiakini.

Selain Mohamad, beliau menjelaskan turut berkempen untuk calon bebas R Malar pada PRK itu.

Bagaimanapun, bekas setiausaha agung PKR, P Janapala mendakwa tindakan NGO tersebut merupakan provokasi dan mempunyai agenda tertentu.

"Ketika saya tanya kepada mereka apa kena-mengena dengan PPSMI dengan Streram yang belum lagi menang dalam PRK ini? Mereka tidak jawab sebaliknya berkata ini hak mereka untuk berkempen.

"Saya hormati hak mereka untuk berdemo. Tapi, demo itu kena logik sikit. Isu PPSMI ini isu kerajaan pusat. Kalau nak tanya, pergilah kepada Perdana Menteri, Menteri Pendidikan atau menteri-menteri India yang ada di kabinet. Apa kena-mengena dengan Streram?

"Bukannya dia diangkat sebagai menteri di kabinet pun selepas menang di Rantau," jelasnya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-