Showing posts with label PRK DUN Sungai Bakap. Show all posts
Showing posts with label PRK DUN Sungai Bakap. Show all posts

Sunday, July 7, 2024

Kekalahan di Sungai Bakap bukan penamat gabungan Kerajaan Perpaduan - Ahmad Zahid

bharian.com.my
Julai 7, 2024 @ 7:05pm

Ahmad Zahid (tengah) beramah mesra bersama perwakilan semasa Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Melaka di Telok Mas hari ini. - Foto BERNAMA

MELAKA: Kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Pulau Pinang bukanlah penamat kepada gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya UMNO untuk menghadapi PRK seterusnya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti-parti komponen berkenaan akan terus berusaha dan berazam membawa kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK akan datang.

"Kita terima. Itu keputusan rakyat. Ini bukan penghujung, jalan terakhir PRK bagi mana-mana calon dalam parti komponen Kerajaan Perpaduan," katanya selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Melaka di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka yang juga EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Perikatan Nasional (PN) mengekalkan status quo di Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi setelah menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan ahli UMNO agar melakukan perubahan dalam memenangi hati pengundi.

"Kita harus ingat politik sekarang bukan politik pembangunan. Politik sekarang ialah politik isu dan sentimen.

"Berapa orang dalam kalangan kita yang (berani) jawab dan pertahankan ketua kita bila dihentam? Kita hanya pandai tularkan dengan kawan-kawan. Dalam situasi ini, kita harus bangkit dan sedar dari sekarang," katanya.

 - BERNAMA

Kalah PRK Sg Bakap, rakyat kurang percaya kerajaan, kata Puad

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
07 Jul 2024, 12:21 PM

Ahli MKT Umno itu meminta gabungan perpaduan agar tidak memberi sebarang ‘alasan’ pada kala rakyat sedang tidak berpuas hati.

Ahli MKT Umno Puad Zarkashi mengingatkan kerajaan perpaduan agar tidak cepat lupa daratan susulan kemenangan pada PRK Kuala Kubu Baharu Mei lepas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan mula merosot seperti yang terlihat menerusi kekalahan gabungan perpaduan pada PRK Sungai Bakap semalam, kata seorang ahli MKT Umno.

Puad Zarkashi berkata, gabungan itu harus menerima kekalahan tersebut tanpa memberikan sebarang ‘alasan dan formula’ kerana rakyat sedang tidak berpuas hati.

“Kejayaan di Kuala Kubu Baharu (KKB) tidak bertahan lama. Beberapa keputusan dan tindak tanduk kerajaan selepas PRK KKB jadi bola tanggung lawan.

“Jangan cepat lupa daratan selepas menang di KKB. Jangan cepat buat kejutan, jangan abaikan kekhuatiran rakyat, gugur saja mereka yang tidak berprestasi,” katanya di Facebook.

Semalam, calon Perikatan Nasional (PN) daripada PAS Abidin Ismail menang pada PRK Sungai Bakap dengan 14,489 undi, memperoleh majoriti 4,267 undi berbanding lawannya, calon PH daripada PKR Joohari Ariffin, yang memperoleh 10,222 undi.

Kerusi Sungai Bakap disandang PKR selama tiga penggal dari 2008 sebelum Pengerusi PAS Nibong Tebal Nor Zamri Latiff menang pada PRN tahun lepas menewaskan Nurhidayah Che Rose (PKR) dengan majoriti 1,563 undi.

Kerusi itu kosong apabila Zamri meninggal dunia pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Awal hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan gabungan perpaduan menghormati dan menerima kekalahan calon PH pada PRK yang berlangsung semalam itu.

Katanya, kerajaan Madani menginsafi keputusan tersebut dan berazam menggiatkan usaha melaksanakan dasar dan inisiatif yang tepat untuk rakyat.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Saturday, July 6, 2024

PH tewas kerana tak puas hati dengan dasar kerajaan, kata Chow

freemalaysiatoday.com
Predeep Nambiar
-06 Jul 2024, 10:11 PM

Pengerusi PH Pulau Pinang berkata isu subsidi, peningkatan kos, dan kegagalan menjelaskan isu mungkin telah pengaruhi pengundi.
Penyokong PN meraikan kemenangan gabungan itu malam tadi, apabila Abidin Ismail terpilih sebagai wakil rakyat Sungai Bakap. (Gambar Bernama)

NIBONG TEBAL: Tidak puas hati dengan peningkatan kos dan dasar kerajaan seperti berkait subsidi dipercayai antara faktor di sebalik kekalahan Pakatan Harapan pada PRK DUN Sungai Bakap, menurut pengerusi PH Pulau Pinang.

“Kekalahan ini mungkin disebabkan kegagalan dalam menjelaskan secara berkesan perkara ini kepada pengundi,” katanya Chow Kon Yeow, yang juga ketua menteri, pada sidang akhbar.

Pada pilihan raya kali ini, PH gagal menawan kembali Sungai Bakap daripada Perikatan Nasional, menurut kiraan tidak rasmi.

Keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya melaporkan calon PN, Abidin Ismail, meraih 14,489 undi berbanding 10,222 undi yang diperoleh calon PH, Joohari Ariffin, untuk menang dengan majoriti 4,267 undi.

Chow berkata terdapat pengurangan ketara dalam peratusan keluar mengundi, terutama dalam kalangan pengundi Cina, yang menyumbang kepada kekalahan PH.

Beliau berkata peratusan keluar mengundi pengundi Cina dianggarkan 49%, iaitu penurunan sebanyak 13% daripada angka pada PRN lepas.

Peratusan keluar mengundi pengundi India dikatakan tidak berubah.

Secara keseluruhan, peratusan keluar mengundi adalah 63% daripada 39,279 orang yang layak mengundi.

Terdahulu, Chow berkata PH gagal meyakinkan pengundi dalam isu-isu yang penting bagi mereka.

Antara ketidakpuasan hati yang berbangkit adalah dasar berkaitan diesel, yang mana penyasaran subsidi menyaksikan golongan yang layak menerima subsidi.

Penyasaran itu dikritik pembangkang, serta Pemuda Umno yang mahu penyasaran subsidi diesel dibuat secara berkala.

PKR mewakili Sungai Bakap selama tiga penggal sejak 2008, sebelum ia dimenangi oleh PAS pada PRN tahun lalu, dengan majoriti 1,563 undi.

Kerusi itu kosong susulan kematian Zamri pada Mei.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-