Showing posts with label Puteri UMNO. Show all posts
Showing posts with label Puteri UMNO. Show all posts

Wednesday, September 7, 2022

Cukuplah, ini bukan era Mahathir lagi - Puteri Umno

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 7, 2022 1:43 PM
Ketua Puteri Umno, Zahida Zarikh Khan mengingatkan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad bahawa era politik acuannya telah berakhir.

Sebaliknya menurut Zahida, sekarang adalah era anak muda celik politik yang boleh mengakses maklumat di hujung jari.

"Yang nak disampaikan adalah Umno hanya akan suci sekiranya Tun (Mahathir) sebagai pencatur, Umno ikut telunjuk Tun dan anak-anak Tun selamat berada di pucuk pimpinan Umno sekali gus menjamin anaknya sebagai perdana menteri.

"Cukup-cukuplah Tun, ini zaman kami, zaman anak muda makin celik politik, bukan zaman Tun lagi.

"Bukan zaman sebar surat layang dihimpit dengan batu di masjid ketika solat Jumaat. Bukan zaman video tape (VHS), bukan juga zaman VCD. Segala info dihujung jari," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini, tanpa menghuraikan apa yang tersirat mengenai mesej yang disampaikan itu.
Semalam Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi berkata, pemenjaraan bekas perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak tidak cukup untuk membersihkan parti itu daripada budaya rasuah.

Bekas presiden Umno selama 22 tahun itu berkata, rasuah dalam parti itu telah melata hingga ke peringkat akar umbi.

Oleh itu katanya, Umno perlu ditolak secara keseluruhan dalam PRU ke-15 nanti kerana pemenjaraan Najib tidak membersihkan parti itu.

Sementara itu Zahida berkata, Umno yang dianggap busuk oleh Mahathir telah mengangkatnya di pucak kuasa selama 22 tahun.

"Sebusuk-busuk Umno di mata Tun, parti inilah yang mendokong hingga 22 tahun di tampuk kuasa.

"Sebusuk-busuk Umno di mata Tun, tiada seorang pemimpin Umno yang berjaya mengkayakan anak-anak hingga bergelar 'billionaire'," katanya sinis.

Saturday, June 4, 2022

Tiga Ketua Puteri UMNO negeri digugurkan

TUN CARLOS
JUNE 04, 2022
POLITIK
IPOH - Pemecatan Ketua Puteri UMNO Perak, Suzmaniza Sulaiman secara mengejut menyebabkan gerak kerja sayap UMNO itu sedikit terganggu.

Mengakui perkara itu, Suzmaniza berkata, keputusan menggugurkannya sebagai Ketua Puteri UMNO negeri hanya dimaklumkan pada selepas Mesyuarat Agung Khas UMNO 15 Mei lalu.

Menurutnya, selain Perak, Ketua Puteri UMNO Selangor dan Johor turut menerima nasib sama digugurkan daripada jawatan masing-masing.

"Saya sebenarnya agak terkilan dengan pengguguran ini kerana tidak ada sebarang alasan diberikan malah sehingga kini tiada sebarang surat pemecatan dikeluarkan oleh Puteri UMNO Pusat.

"Tindakan ini sedikit menjejaskan semangat rakan-rakan Puteri UMNO Bahagian kerana kami sudah bergerak bersama-sama dan merancang pelbagai program apatah lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Suzmaniza berkata, beberapa perancangan telah dirancang tidak dapat dilaksanakan kerana kehilangan jawatan secara tiba-tiba antaranya memperkukuhkan jentera pilihan raya Puteri UMNO, selain turun padang ke bahagian-bahagian bagi melihat persiapan jentera Puteri.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan sudah mengemukakan beberapa calon dalam kalangan Puteri UMNO untuk diangkat sebagai calon pada PRU15 nanti.

Katanya, tiga nama sudah dikemukakan kepada UMNO Perak untuk diletakkan sebagai calon di kerusi yang dirasakan sesuai untuk ditandingi wakil Puteri UMNO.

-Sinar

Sunday, March 20, 2022

ULASAN| Perihal 'bola besar' Puteri Umno mencabar PM

malaysiakini.com
A Kadir Jasin
Diterbitkan: Mar 20, 2022 1:05 PM

ULASAN | Apabila Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan berkata, dalam bahasa Inggeris "our balls are bigger than yours” dia tentulah tidak merujuk kepada "balls" (bola) untuk bermain bola sepak, bola keranjang atau bola tampar.

Bola yang dirujukkan itu pastinya anatomi manusia lelaki yang dalam bahasa Inggeris disebut "testicles", iaitu sepasang organ pembiakan yang terkandung dalam organ yang dipanggil skrotum. Dalam bahasa basahan ia sering disebut bola atau telur.

Dalam bahasa Melayu, "testicles" yang digolongkan dalam ilmu biologi itu diterjemahkan sebagai "buah zakar".

Tapi jarang sekali kita dengar istilah itu digunakan. Kamus bahasa Melayu Indonesia pula menyebutnya "buah pelir".

Dalam kamus bahasa Melayu Brunei langsung tidak ada. Namun ini tidak bermakna orang lelaki Brunei tidak ada organ itu.
Kalau tak ada, masakan kadar kelahiran bayi di Brunei masih 1.82 bagi setiap wanita subur?

Inilah masalah bagi sesiapa saja yang menulis dan bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Bahasa Melayu tidak mempunyai istilah asli bagi banyak cabang ilmu khususnya sains, teknologi dan ekonomi.

Jadi terpaksalah ketua Puteri Umno yang nampaknya pakar dalam hal "testicles" atau buah zakar meminjam pakai istilah bola bagi membuktikan keberanian pergerakannya.

Kata orang-orang yang tahu, bola besar yang dirujukkan oleh Zahida Zarik Khan itu bertujuan mencabar Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, supaya mengadakan PRU lebih awal.
Sepanjang saya mengikuti, melapor dan menganalisis Persidangan Agung Umno selama lebih 50 tahun, banyak istilah, ungkapan dan label diwujudkan atau dipopularkan semula pada setiap PAU.

Kali ini, selain Zahida Zarik Khan dengan deklarasi bola besar Puteri Umno, ada satu lagi jenama yang menarik iaitu "Cai".

Istilah ini dirujukkan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dengan disanggah oleh orang senegerinya, Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin kata, Cai ini muncul pada setiap pemilihan parti. Cai atau Macai asalnya daripada dialek Kantonis yang merujuk kepada orang Melayu dalam nada kurang hormat.

Lebih kurang budak kecil yang boleh diperkudakan.
Apapun, kalau bola Puteri Umno lebih besar daripada orang lain, khususnya dalam Umno, eloklah mereka mulakan operasi membersihkan parti itu daripada manusia jenis "Plundering Idiot" yang menyebabkan ia kalah dalam PRU lalu.

Kalau Umno bersih, Puteri Umno pun pasti akan mendapat banyak kekasih.

A KADIR JASIN ialah tokoh wartawan yang pernah bergiat dalam politik melalui Bersatu ketika bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad masih bersama parti itu.

Tulisan ini disiarkan kali pertama di media sosialnya dengan tajuk asal “Perihal Bola Puteri Umno Besar.”

Wednesday, February 24, 2021

Hidup mati Umno bukan di tangan kamu, Zahida bidas kritikan Bersatu

malaysiakini.com
Diterbitkan 24 Feb 2021, 1:55 pm

Hidup mati Umno bukan di tangan Bersatu, kata Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan sebagai membalas kenyataan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Katanya, Umno yang mampunyai tiga juta ahli masih relevan dan kukuh kerana dikuatkan dengan akar umbinya yang setia.

"Hidup mati Umno bukan di tangan kamu. Kamu boleh tanya pada rakyat dan lebih 3 juta ahli Umno, adakah parti ini sudah tidak relevan?

"Alhamdulillah, 'pohon' Umno masih kukuh dikuatkan oleh akar umbinya yang setia," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengingatkan Umno supaya akur bahawa parti itu bukan lagi menjadi kuasa besar dalam politik negara.

Katanya, situasi politik pada masa kini menuntut semua parti bekerjasama memastikan agenda politik parti masing-masing dapat dijayakan.

Menurutnya, sekiranya mereka tidak bekerjasama, semua parti akan rugi dan berkemungkinan kalah nanti.

Dia berkata, Bersatu masih mengharapkan Umno bersama Perikatan Nasional (PN) supaya pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum ke-15 dapat dielakkan.

Wan Ahmad Fahysal berkata, kedegilan Umno untuk tidak bekerjasama dalam PN hanya akan mengakibatkan parti itu termasuk Bersatu dan PAS kalah.

Sebelum ini, Umno yang bermesyuarat di Janda Baik, Pahang, Jumaat lalu dikatakan membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan PN.

Dalam pada itu secara sinis Zahida berkata, di saat pemimpin Pemuda Bersatu itu mengatakan masa Umno telah berakhir, namun bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad masih menyayangi Umno.

"Parti keramat ini akan terus kuat, untuk terus memayungi rakyat dan negara.

"Kamu kata zaman Umno sudah berakhir. Ironinya, bos kamu dahulu Tun Mahathir mengaku masih sayang Umno.Jadi zaman siapa yang sudah berakhir?

"Kami sudah biasa dengan serangan demi serangan, tapi untuk melemahkan parti ini tidaklah mudah, tidak semudah 'mencetak wang'," katanya lagi.

Thursday, December 13, 2018

Bekas ketua Puteri Umno pula masuk Bersatu

Diterbitkan 13 Dis 2018, 12:23 tengah hari


Bekas ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin akhirnya menyertai parti lawannya Bersatu.

Anggota parlimen Masjid Tanah berkata, keputusan itu dibuat demi kepentingan pengundi kawasannya.

“Maka atas dasar inilah, setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk menyertai Bersatu,” katanya.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah kehangatan isu pertemuan pemimpin kanan Umno dengan Mahathir dan penyertaan hampir semua pemimpin Umno Sabah ke dalam Bersatu semalam.

Mas Ermieyati antara anggota parlimen pertama yang keluar Umno pada 1 Julai lalu untuk menjadi wakil bebas.

Penyertaan anggota parlimen itu menjadikan Bersatu kini menambah penguasaan dalam Dewan Rakyat kepada 16 kerusi.

Selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, Bersatu hanya memenangi 13 kerusi.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Mas Ermieyati berkata akan membantu Bersatu sebagai parti komponen kerajaan untuk melaksanakan agenda pemerkasaan wanita nuda.

Beliau juga mengucapkan terima kasi kepada Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan kepimpinan parti kerana menerima kemasukannya.

“Semoga Malaysia baharu ini akan mewujudkan budaya politik lebih matang dan inklusif, di samping meletakkan tadbir urus dan integriti sebagai keutamaan,” katanya.

Sunday, August 23, 2015

Hanya Puteri Umno harus bercirikan Islam.........?

Saranan tutup aurat kena dengan perlembagaan Umno

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
23 OGOS 2015

Foto ahli Puteri Umno ini yang viral.

SHAH ALAM - Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, saranan Puteri Umno Bahagian Sungai Siput agar penampilan atau pemakaian Puteri Umno haruslah bercirikan Islam adalah selaras dengan perlembagaan Umno.

Katanya, secara prinsipnya beliau bersetuju dengan saranan itu kerana dalam perlembagaan Umno sendiri telah menggariskan peruntukan bahawa perjuangan Umno untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.

"Ini bukan sahaja soal etika berpakaian bahkan dari sudut perwatakan, dan saya kira saranan itu bukan bererti hendak menghukum semua Puteri tidak berciri berpakaian muslimah atau tidak saya rasa dia tidak bermaksud sedemikian.

"Cuma sebagai satu nasihat dan muhasabah supaya ia kena dengan perlembagaan Umno itu sendiri, kita hendak membawa perjuangan untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara jadi kita tunjuk contoh kepada masyarakat pada umat Islam kita bukan sahaja memperjuangkan agama bahkan dalam kehidupan kita sendiri kita melaksanakan agama," katanya.

Dalam pada itu, Fathul menggesa agar Puteri Umno menyambut saranan itu dan mengikut saranan tersebut.

"Nasihat yang sangat baik...ia perlu diikut," katanya.

Sebelum ini dalam Mesyuarat Perwakilan Puteri Umno Sungai Siput baru-baru ini, salah seorang ahlinya mencadangkan agar Puteri Umno berpakaian seperti 'seorang muslimah sebenar'.

Terdahulu, gambar seorang ahli Puteri Umno Bahagian Sungai Siput menjadi viral selepas beliau didakwa menyeru ahli Puteri bertudung.
Gambar hiasan

Sunday, July 5, 2015

Puteri UMNO, jangan jadi perkakas lindungi kesalahan pemimpin

PETALING JAYA - Srikandi Keadilan, sayap wanita muda bagi PKR mengutuk Puteri UMNO kerana hanya berperanan sebagai alat dan perkakas bagi melindungi kesilapan pemimpin.

Ketuanya, Senator Siti Aishah Shaik Ismail berkata, sebagai pemimpin muda, Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sepatutnya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab tuduhan bukannya lari daripada kenyataan.

Katanya, tindakan Puteri UMNO membuat laporan polis terhadap Sarawak Report hanyalah menutup kebenaran daripada mendapatkan kebenaran.

“Ini soal aset negara,wang rakyat dengan kata mudahnya apabila ada sesuatu yang didedahkan melibatkan pemimpin utama negera kita harus melihat ia sebagai sesuatu yang perlu diselesaikan.

“Kita bercakap soal penyelewengan, ketirisan serta rasuah yang menyumbang kepada kadar ekonomi negara yang tidak menentu dan ini harus dipandang penting oleh Puteri Umno agar kebajikan rakyat dan hak mereka tidak mudah diseleweng, bukannya dengan bersikap mempertahankan tanpa asas, ” katanya.

Katanya, tindakan Puteri UMNO itu lebih kepada politik ‘wala’ bukannya bersifat prihatin untuk rakyat teramai.

“Ini beza kita orang muda berani bersuara dalam setiap perkara yang melibatkan kepentingan rakyat bukan menjadi alat dan perkakas untuk terus melindungi kesilapan pemimpin.

“Kepada Puteri Umno, bertindaklah sebagai anak muda yang berani bersuara demi kebenaran dan janganlah kerana kepentingan politik membolehkan kita menolak kebenaran,” katanya. - FMT

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=297862:puteri-umno-jangan-jadi-perkakas-lindungi-kesalahan-pemimpin&Itemid=2#ixzz3f1Iwc8Ym
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

Saturday, June 20, 2015

DAP desak mansuh BTN, elak rasisme terus mekar di Malaysia

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dakwa Biro Tatanegara menjadi agen perkauman dan perpecahan di kalangan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 Jun, 2015.

DAP menggesa program Biro Tatanegara (BTN) segera dimansuhkan kerana dakwanya sejak 30 tahun lalu ia menjadi agen menyalakan api perkauman, perpecahan, ketaksuban dan sikap tidak tolak ansur di kalangan rakyat Malaysia.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata sepanjang tempoh itu kerajaan persekutuan sudah membazirkan RM1.1 bilion yang sepatutnya digunakan untuk menyuburkan patriotisme, perpaduan antara kaum dan persefahaman antara agama.

"Saya menggesa Kabinet menjadikan agenda memansuhkan BTN ini sebagai agenda utama dalam mesyuarat akan datang dan semua menteri mesti menyatakan pendirian sama ada mereka menyokong pemansuhan BTN.

"BTN patut dimansuhkan kerana berperwatakan rasis dan anti nasional menyebabkan pembaziran dana awam," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Lim berkata beliau kesal kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih belum mengulas pengkhianatan nasional oleh kakitangan awam dalam BTN.

Katanya, 5 tahun lalu pentadbiran Najib pernah berjanji untuk merombak BTN selepas penceramah program itu cenderung bersifat rasis.

"Pegawai kanan BTN pernah menggunakan istilah 'si mata sepet' dan 'si botol' pada perjumpaan tertutup Puteri Umno yang menggambarkan kaum Cina dan India.

"Tetapi jelas tiada apa yang berubah dan BTN kekal menjadi benteng cuci minda dan perkauman menentang konsep Malaysianisasi secara keseluruhan dan polisi 1Malaysia Najib dalam perkhidmatan awam," katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata peningkatan polarisasi kaum dan agama menunjukkan kegagalan BTN sejak 3 dekad lalu.

Katanya, peruntukan untuk BTN meningkat 10 kali ganda jika dibandingkan RM20 juta pada 1980-an kepada RM200 juta pada 1990-an.

"Tidak curiga lagi RM1.1 bilion yang dibelanjakan BTN sejak 3 dekad lalu boleh digunakan lebih baik untuk mempromosikan perpaduan dan keharmonian.

"RM1.1 bilion itu lebih baik dibelanjakan membantu orang miskin, golongan memerlukan dan kurang bernasib baik tanpa mengira kaum dan agama," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-