Showing posts with label undi tidak percaya. Show all posts
Showing posts with label undi tidak percaya. Show all posts

Thursday, May 7, 2020

Tun M dah hantar notis usul tak percaya terhadap PM'

B Nantha Kumar
Diterbitkan Hari ini 1:55 pm

Bekas PM Tun Dr Mahatahir Mohamad telah menghantar notis usul kepada Speaker Dewan Rakyat mengenai undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Menurut sumber yang boleh dipercayai kepada Malaysiakini, ini berbeza dengan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang- undang) Eddin Syazlee Shith bahawa Dewan Rakyat setakat ini tidak menerima sebarang usul berkenaan.

"Surat kepada speaker telah dihantar tentang usul. Ini timbalan menteri bercakap dalam perkara yang dia tidak tahu.

"Dia komen perkara yang dalam ruang lingkup kuasa speaker. Sepatutnya speaker yang beri ulasan jika perkara menyentuh usul sebab suatu usul itu perlu diserahkan kepada speaker," kata sumber itu yang enggan namanya disiarkan.

Menurut peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, anggota parlimen dibenarkan memfailkan notis usul dalam tempoh 14 hari sebelum sidang diadakan dan kemudian akan dimasukkan dalam aturan mesyuarat pada hari persidangan.

Jika tempoh masa 14 hari itu tidak dipenuhi, anggota parlimen masih boleh memfailkan usul tergempar dalam soal membabitkan kepentingan awam, sekurang-kurangnya 24 jam sebelum sidang.

Malaysiakini telah menghubungi sekretariat PH untuk mendapatkan ulasan.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai usul tersebut, sumber itu yang merupakan seorang pemimpin kanan dalam PH berkata adalah menjadi tanggungjawab Muhyiddin untuk membuktikan beliau mendapat majoriti mudah di parlimen.

Kerajaan PN boleh kecewakan usul pembangkang

Katanya, usul berkenaan dimasukkan di bawah aturan 26(1) dan dibaca bersekali dengan 27(3) Peraturan Mesyuarat.

"Sesuatu usul di bawah aturan 26(1) tidak boleh ditolak oleh speaker.

"Namun, pada hari tersebut jika kerajaan PN memasukkan usul dari pihak kerajaan maka peraturan mesyuarat menyebut bahawa usul kerajaan hendaklah didahulukan.

"Dalam kata lain kerajaan PN boleh "frustrate" usul pembangkang hanya dengan memasukkan urusan kerajaan. Usul pembangkang itu akan kekal dalam 'order paper' tapi tidak berpeluang untuk dibahas dan diundi," katanya lagi.

Sidang parlimen yang akan datang hanya akan diadakan sehari iaitu pada 18 Mei bagi membahaskan rang undang-undang kerajaan.

Bagaimanapun, pembangkang menggesa sidang itu diadakan selama dua minggu memandangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) telah pun dilonggarkan.

Parlimen tempat uji sokongan terhadap Muhyiddin

Sambil mengakui PH mengambl maklum dan amat prihatin mengenai masalah dihadapi rakyat akibat Covid-19, sumber menegaskan usul terhadap Muhyiddin perlu dilakukan bagi membuktikan tahap sokongan terhadapnya.

"Ia adalah tentang keseimbangan antara legitimasi sebuah kerajaan dengan tanggungjawab bersama membantu rakyat dalam menghadapi krisis Covid-19.

"Penting untuk membuktikan Muhyiddin mendapat sokongan majoriti setelah pada Februari, Yang Dipertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ) melantik beliau sebagai perdana menteri yang pada kepercayaan baginda bahawa Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti.

"Parlimen adalah tempat untuk menguji sokongan itu. Ini soal legitimasi sesebuah kerajaan dan parlimen adalah saluran yang sah," katanya.

Sementara itu, PH juga telah menghantar cadangan nama ketua pembangkang kepada Yang Dipertua Mohamad Ariff Md Yusoff.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan siapakah calon PH sebagai ketua pembangkang.

"Pembangkang juga akan bersedia mencadangkan nama pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) jika kerajaan masih memperuntukkannya kepada ahli parlimen pembangkang," jelasnya..

Selain itu, PH juga akan berbincang mengenai susunan tempat duduk parlimen, katanya lagi.

Sebelum ini dilaporkan bahawa tempat duduk anggota parlimen akan disusun semula untuk memastikan penjarakan sosial semasa dewan bersidang.

Timbalan Speaker Mohd RashidHasson dipetik sebagai berkata, pengerusi baru PAC akan dilantik bagi mengisi kekosongan ditinggalkan penyandangnya Dr Noraini Ahmad.

Wednesday, May 6, 2020

Dewan Rakyat belum terima usul undi tak percaya terhadap PM

Kow Gah Chie
Diterbitkan Hari ini 8:10 pm

Dewan Rakyat setakat ini tidak menerima sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin daripada anggota parlimen pembangkang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Eddin Syazlee Shith.

"Setakat ini tak ada (yang menghantar usul itu)," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, anggota parlimen dibenarkan memfailkan notis usul dalam tempoh 14 hari sebelum sidang diadakan. Usul itu kemudian akan dimasukkan dalam aturan mesyuarat pada hari persidangan.

Jika tempoh masa 14 hari itu tidak dipenuhi, anggota parlimen masih boleh memfailkan usul tergempar dalam soal membabitkan kepentingan awam, sekurang-kurangnya 24 jam sebelum sidang.

Pembangkang pernah berusaha mengadakan undi tidak percaya terhadap Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak, masing-masing pada 2008 dan 2015, dalam bentuk usul tergempar, tetapi kedua-duanya ditolak Dewan Rakyat.

Sebelum ini, PH membayangkan ia akan membawa usul itu terhadap Muhyiddin Yassin susulan kejatuhan pentadbiran PH pada Februari.

Bagaimanapun Pada 13 Mac lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata gabungan itu sebaliknya akan memberi tumpuan kepada pandemik Covid-19 dan kemerosotan ekonomi.

Dalam sepucuk surat bertarikh 17 April, setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat berkata sidang parlimen yang akan diadakan sehari, iaitu pada 18 Mei, hanya akan membahaskan rang undang-undang kerajaan.

Pembangkang menggesa sidang diadakan selama dua minggu memandangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) telah pun dilonggarkan.

Anwar dijangka ketua pembangkang

Sementara itu, Eddin berkata pembangkang belum menghantar calon untuk menjadi ketua pembangkang di Parlimen.

"Ura-ura menyebut Anwar akan jadi ketua pembangkang."

Beliau berkata kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan untuk bacaan pertama pada hari tersebut.

"Bacaan kedua dan ketiga akan dibentang ketika sidang seterusnya, pada Julai," katanya.
Eddin Syazlee
Beliau juga berkata rancangan kerajaan untuk membuat usul menggantikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming mungkin tidak akan diteruskan pada sidang 18 Mei.

"Tak sempat untuk bawa usul itu," katanya.

Ditanya jika Anggota Parlimen Pengerang Azalina Othman Said akan menggantikan Nga, Eddin berkata beliau merupakan antara calon untuk jawatan itu.

Berkenaan kedudukan Yang Dipertua Mohamad Ariff Md Yusoff, beliau berkata kerajaan masih belum membuat keputusan dan tiada cadangan untuk menggantikannya setakat ini.

Sejumlah pihak dalam Perikatan Nasional merasakan Ariff patut dikekalkan memandangkan beliau menjalankan tugas secara profesional.

Pada sidang 18 Mei, Eddin berkata sebahagian anggota parlimen kerajaan akan duduk di galeri awam di tingkat dua bagi menjaga aspek penjarakan sosial.

Ditanya berkenaan kedudukan anggota Parlimen Bersatu di Dewan Rakyat, yang berada di pihak kerajaan dan juga pembangkang, beliau berkata: "Kalau anda ada idea, kongsilah.

"Kita sedang fikirkannya...BIla tiba masa, kita akan buat susunan sewajarnya," katanya lagi.

Wednesday, November 20, 2019

Dr M tak gentar khabar angin undi tak percaya di Parlimen

Adam Abu Bakar
-November 20, 2019 7:29 PM

Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad tidak takut terhadap khabar angin untuk menjatuhkannya sebagai perdana menteri melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

“Hendak buat apa pun bebas, kita negara demokratik. Boleh buat gerakan undi tidak percaya dan gerakan undi percaya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PPBM di ibu pejabat parti itu hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang berjanji tidak akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap Mahathir, susulan spekulasi mendakwa beliau menemui Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.

Anwar bagaimanapun menolak spekulasi itu.

“Terima kasih,” kata pengerusi PH dan PPBM kepada Anwar.

Sementara itu, Mahathir menafikan beliau ialah dalang di sebalik pertemuan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dengan kira-kira 30 ahli Parlimen BN pada malam Isnin.

“Mungkin saya seorang diktator, tetapi saya tidak arahkan kali ini.”

Wednesday, October 21, 2015

Speaker mahu lihat senarai sokongan sebelum benarkan undi tak percaya dibahas

OLEH DIYANA IBRAHIM
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bercakap kepada media di lobi Parlimen, hari ini. Beliau memaklumkan, sesiapa sahaja boleh membawa usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri tetapi perlu mengikut peraturan mesyuarat 26 dan 27 dan ia memerlukan notis. Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 21 Oktober, 2015.

Pihak pembangkang sepatutnya menghantar senarai ahli Parlimen yang menyokong undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Razak sebagai salah satu cara untuk meluluskan usul tersebut di Dewan Rakyat, kata Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Speaker Dewan Rakyat itu berkata, sekiranya pihak pembangkang menghantar senarai tersebut, beliau boleh mempertimbangkan kemungkinan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri dibahaskan.

"Siapa sahaja boleh membawa usul tersebut, namun perlu ikut peraturan mesyuarat 26 dan 27 dan ia perlu notis.

"Kalau itu dipenuhi, maka kita boleh letak dalam peraturan mesyuarat tetapi tidak semestinya setiap usul, terutama yang dibawa bukan kerajaan akan dapat dibahas.

"Kerana kita kena lihat peraturan mesyuarat 15," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Pandikar berkata Parlimen tidak mempunyai masalah untuk meluluskan usul itu sekiranya segala peraturan Dewan dipenuhi.

Bagaimanapun beliau berkata, tidak semestinya usul undi tidak percaya itu perlu dibawa ke Dewan untuk diundi dengan memberi contoh apa yang berlaku di Sabah.

"Setakat ini saya masih menunggu senarai pembangkang di atas meja saya kerana saya tahu mereka ada 89 sahaja.

"Apabila senarai mereka yang mungkin mencecah 90 atau 100 mungkin saya boleh tekan kepada kerajaan untuk bahas," katanya.

Semalam Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya akan tetap memfailkan usul tersebut, tidak kira sama ada diterima atau ditolak speaker.

Menurut Pandikar, melalui peraturan mesyuarat, mana-mana usul yang ingin dibawa ke dalam perbahasan di Dewan Rakyat perlu dikemukakan 14 hari sebelum Parlimen bersidang.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/speaker-mahu-lihat-senarai-sokongan-sebelum-benar-undi-tak-percaya-dibahas#sthash.vHO8hZ5y.dpuf

Monday, October 19, 2015

Sistem berparlimen Westminster: Undi tidak percaya mesti didahulukan

KUALA LUMPUR 19 OKT: Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bakal dibawa Ahli Parlimen pembangkang pada sidang Dewan Rakyat hari ini, mesti didahulukan berbanding usul lain.

Justeru, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong membantah perbuatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletakkan usul itu di tempat ke-25 daripada keseluruhan 28 usul.

Menggariskan tiga sebab kukuh kepentingan usul itu, beliau berkata, ia selaras dengan sistem berparlimen Westminster amalan Malaysia yang meletakkan kesahihan sesebuah kerajaan bergantung kepada mandat dari Parlimen.
“Jika pentadbiran sedia ada gagal untuk mengekalkan mandat dari Ahli Parlimen, sesebuah kerajaan itu hendaklah sama ada meletak jawatan atau membubar Parlimen.

“Sidang itu tidak boleh berlangsung seperti biasa. Satu-satunya cara untuk menguji sama ada mandat itu wujud, sama ada sesebuah kerajaan itu sahih, ia mendahulukan usul undi tidak percaya seawal mungkin,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Kata Steven, tiga sebab itu ialah pertikaian kesahihan belanjawan, sesebuah kerajaan yang tiada mandat tidak boleh membuat keputusan penting dan ketetapan sebelum ini menunjukkan usul undi tidak percaya didahulukan berbanding usul lain.

“Jika usul tidak percaya itu tidak dibenarkan, saya menyeru semua Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak – pembangkang atau kerajaan menolak semua usul yang dibawa sebagai tanda menolak pentadbiran Najib.

“Sidang kali ini menguji integriti semua Ahli Parlimen terhadap tanggungjawab kita kepada rakyat dan negara. Kita tidak boleh mengecewakan rakyat yang menderita akibat pentadbiran rejim ini,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian memberi notis kepada parlimen untuk membentang usul tidak percaya terhadap Najib dan ia sudah disenarai dalam kertas aturan mesyuarat pada susunan ke-25 tetapi wujud kemungkinan ia tidak sempat dibentang pada sidang kali ini.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-