Friday, September 15, 2017

Seorang pelajar ditahan bantu siasatan

Anggota polis mengiringi pelajar (kiri) yang menghilangkan diri sebelum berlaku kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
Kalidevi Mogan Kumarappa dan Norizuan Shamsuddin dan Mazizul Dani
am@hmetro.com.my


SEORANG pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifiqayah yang menyelinap keluar dari asrama beberapa jam sebelum kejadian kebakaran ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Sumber berkata, remaja berkenaan dibawa ke lokasi kejadian semalam untuk proses mengumpul bukti.

Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati remaja berjaket hitam itu dibawa dalam keadaan tidak bergari sebaliknya diiringi dua pegawai polis dipercayai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Selain memeriksa petunjuk terbaru iaitu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tumpuan siasatan polis adalah pagar di bahagian tepi dan belakang pusat tahfiz.

Pagar kawat yang memisahkan bahagian belakang pusat tahfiz dan Taman Tasik Datuk Keramat, ini didapati mempunyai kesan potong serta sudah diregangkan.

Sumber berkata, polis yang menjalankan siasatan sedang berusaha mengumpulkan segala maklumat bagi mengenalpasti punca sebenar kebakaran.

"Sejak pagi semalam, beberapa pegawai dan anggota meninjau keadaan pagar kawat yang dipercayai boleh menjadi laluan keluar dan masuk oleh penceroboh ke dalam pusat tahfiz ini.

"Malah, faktor pelajar cuba menyelinap keluar pada waktu malam dan awal pagi juga turut diambil kira sebagai membantu melengkapkan siasatan," katanya.

Katanya, segala bentuk siasatan kes berkenaan akan turut dirujuk berdasarkan hasil siasatan Unit Forensik Polis dan Bomba.

Difahamkan pada masa ini semua bentuk siasatan diambil kira selepas wujudnya pelbagai persoalan berhubung punca kejadian yang berlaku selepas pihak polis menafikan punca kebakaran adalah masalah litar pintas.

Orang ramai yang mengunjungi pusat rekreasi Taman Tasik Datuk Keramat juga turut menghampiri pagar berkenaan dengan harapan ingin mendapatkan kepastian adakah benar berlakunya pencerobohan.

Bayaran pengangkutan lori bakal naik

ONG BOON TECK
15 SEPTEMBER 2017
AKIBAT kenaikan harga diesel, pengusaha lori kini tiada pilihan lain kecuali kemungkinan menaikkan bayaran pengangkutan lori demi mengelak daripada terus mengalami kerugian.

Presiden Persatuan Pengusaha Lori Malaysia, Anthony Tan Boon Siong berkata, buat masa ini, pihak pengusaha lori masih mengambil sikap tunggu dan lihat, namun sekiranya harga diesel terus melonjak naik, mereka terpaksa mengenakan bayaran lebih tinggi ke atas pengguna.

"Ahli-ahli saya (pengusaha lori) tidak pernah mengadu kepada saya, tetapi saya percaya mereka dalam keadaan tertekan.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, masalah kemelesetan ekonomi dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) memberi impak teruk kepada pengusaha lori," katanya kepada China Press.

Menurut Boon Siong, sejak beberapa minggu lalu, harga diesel menunjukkan kenaikan dan kelmarin, kadar kenaikannya mencecah sehingga sembilan sen seliter iaitu pada harga RM2.14 sen seliter.

"Persatuan kami akan mengadakan mesyuarat minggu depan untuk berbincang mengenai masalah kenaikan harga diesel dan mengemas kini kos operasi kami.

"Kami juga berharap, kerajaan mengumumkan mekanisme pengiraan harga petrol dan diesel yang dijalankan secara mingguan ini agar rakyat dapat mengetahui dengan jelas," katanya.
Tidak ingin runding dengan Pas lagi

Pakatan Harapan telah mengambil keputusan tidak lagi mengadakan rundingan dengan Pas bagi menghadapi PRU14.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, masa yang diberikan kepada Pas sudah cukup dan Harapan tidak mempunyai ruang untuk terus menunggu jawapan daripada parti itu.

"PRU14 boleh diadakan bila-bila masa dari sekarang, yang penting perlu dilakukan Harapan ialah memperkasakan seluruh jentera, dah tiada masa lagi untuk memikirkan sama ada Pas mahu sertai kami atau tidak.

"Kami sudah memberikan masa yang panjang kepada Pas. Saya pun rasa letih. PKR adalah parti yang sabar, tetapi kami kini sudah tidak ada masa lagi," katanya kepada Sin Chew Daily.

Menurut Nurul Izzah, Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail membuat ketetapan tersebut tanpa menerima nasihat daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 29 Ogos lalu, Harapan melalui mesyuarat yang diadakan turut mencapai kata sepakat iaitu tidak akan bekerjasama dengan Pas pada PRU14, dan bersiap sedia mengatur strategi untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru.

Kata Nurul Izzah, walaupun Pas telah meninggalkan pakatan pembangkang, namun Harapan masih mampu menerima sokongan undi daripada ahli dan penyokong Pas.

"Pada PRU lalu, Pakatan Rakyat menerima sokongan padu daripada ahli Pas. Saya ingat pesanan Anwar iaitu beliau mahu Harapan terus mengekalkan hubungan dengan akar umbi Pas," katanya.
Dasar kerajaan jejas perniagaan

Penguatkuasaan dasar kerajaan didakwa menjadi punca utama kemerosotan prestasi perniagaan sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Demikian rumusan diperoleh dalam kaji selidik oleh Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia (ACCCIM) mengenai keadaan ekonomi negara pada tempoh tersebut.

Sebanyak 39 peratus jawapan diterima mendakwa, kenaikan kos dihadapi peniaga mempunyai kaitan rapat dengan beberapa dasar kerajaan yang dikuatkuasakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Dasar-dasar kerajaan dimaksudkan ialah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan, Akta Persaingan 2010, penetapan gaji minimum, levi pekerja asing dan GST.

"Semua dasar kerajaan ini menyebabkan peniaga makin terbeban apabila terpaksa menaikkan kos dan prestasi perniagaan turut tertekan dengan kejatuhan ringgit," jelas laporan kaji selidik itu yang disiarkan dalam China Press.

Selain pelaksanaan dasar kerajaan, faktor lain yang menjejaskan keuntungan syarikat-syarikat perniagaan tempatan ialah kenaikan kos pengurusan dan harga bahan, persaingan antara syarikat tempatan serta masalah kekurangan tenaga kerja.

Jika bertanding, Langkawi atau Putrajaya pilihan Dr M

Wartawan Malaysiakini 
EKSKLUSIF  Beliau mengakuinya beberapa kali. Usia yang sudah lanjut dan terlalu lama bergelumang dalam politik.

Menjadi perdana menteri saja Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menghabiskan masa selama 22 tahun. Itu belum mengambil kira pembabitannya sebelum itu yang bermula dari bawah.

Namun ketika bahang pilihan raya umum (PRU) semakin dirasai, cakap-cakap bahawa Dr Mahathir akan kembali ke Dewan Rakyat kembali diperkatakan.

Dalam pertemuan eksklusif dengan Malaysiakini semalam, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu menyatakan keterbukaannya terhadap sebarang kemungkinan, termasuk menjadi calon Pakatan Harapan (HARAPAN).

Itu pun dengan beberapa syarat.

"Saya dah tua, saya tak mau bertanding lagi, tapi kalau terdesak sangat, kalau semua parti bersetuju, saya bertandinglah.

"Tapi kalau ada parti dalam HARAPAN yang tak bersetuju, saya tak akan bertandinglah," katanya.

Ditanya lebih lanjut jika HARAPAN bertegas mahukan beliau menjadi calon semula, ahli politik berusia 92 tahun itu menjelaskan - buat kali pertama - kerusi yang mungkin menjadi taruhannya.

"Buat masa ini saya menjadi ketua bahagian BERSATU Langkawi.

"Saya fikir saya boleh (bertanding) ke situ, atau di Putrajaya," katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam.

Untuk rekod kedua-dua kawasan berkenaan memang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan Dr Mahathir.

Semasa menjadi perdana menteri, Langkawi banyak menerima pembangunan daripada kerajaan, manakala Putrajaya dibangunkan oleh Dr Mahathir daripada sebuah kawasan luar bandar menjadi petempatan yang tersusun ketika ini.

Bagaimanapun semasa menjadi perdana menteri kerusi yang diwakili Dr Mahathir ialah Kubang Pasu, Kedah.

Di sebalik kenyataan terbuka itu ketajaman sifat sinisnya tetap menyerlah.

"Tetapi saya tidak akan pergi ke kawasan Najib, sebab ia sebuah kawasan yang sangat pelik.

"Suatu ketika dulu, dia menang dengan majoriti hanya (241) undi dan jumlah pengundi di situ cuma 35,000 orang.

"Pilihan raya berikutnya dia menang dengan 22,000 undi dan jumlah pengund (kemudian) menjadi 80,000," katanya merujuk kepada keputusan PRU sebelum ini.

Pekan menjadi kerusi yang dimiliki Datuk Seri Najib Razak sejak 1976. Malah pada kali pertama dipertandingkan Najib memenangi kerusi berkenaan tanpa dicabar sesiapa.

Bagaimanapun pada PRU ke-10 (pada tahun 1999) undi majoriti yang diperolehi Najib turun mendadak iaitu 241 undi. Bagaimanapun pada PRU selepas itu Najib menguasai Pekan dengan majoriti besar.

Pada PRU ke-13 lalu Najib mempertahankan kerusi berkenaan dengan memperoleh 51,278 undi berbanding lawannya, Fariz Musa (PKR) yang mendapat 15,665 undi.

"Dari mana semua orang ini datang? Saya tak tahu.

"Adalah jelas berlaku banyak penipuan dan saya fikir Najib akan menggunakan penipuan untuk menang nanti," katanya.

Sementara itu dengan nada yang lebih sederhana Dr Mahathir berkata, andai dia tidak bertanding pun, ada satu permintaan daripadanya jika HARAPAN berjaya membentuk kerajaan melaui PRU ke-14 nanti.
"Saya harap diberi peluang untuk memberi sedikit pendapat kepada kerajaan kerana saya berpendapat, saya menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

"Pengalaman saya banyak dan saya terpaksa tangani banyak masalah dan berjaya menyelesaikannya.

"Justeru mungkin sebahagian nasihat saya berguna untuk kerajaan baru itu nanti," katanya.

Temu bual ini dikendalikan bersama oleh Al-Abror Mohd Yusuf, Andrew Ong, Zikri Kamarulzaman dan Annabelle Lee.

Kebakaran maahad tahfiz ke-212 bagi tempoh 2015 - 2017

 MALAYSIA DATELINE14 September 2017
Tragedi kebakaran di sekolah-sekolah agama dan tahfiz yang sering berulang perlu diatasi segera memandangkan rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat menunjukkan sejumlah 211 kebakaran membabitkan pusat pengajian tahfiz berlaku di seluruh negara di antara tahun 2015-2017.

Malah kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah adalah kes kebakaran yang ke-212 dengan meragut 25 nyawa.

Sehubungan itu, Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan media mengalu-alukan kesediaan Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi bantuan menguruskan jenazah mangsa yang terlibat serta kaunseling kepada keluarga mangsa dan para pelajar yang terselamat.

Beliau turut menyambut baik kesediaan Kerajaan Negeri Selangor untuk memeriksa kesemua pusat-pusat pengajian tahfiz dan sekolah-sekolah agama di Selangor demi memastikan piawaian 'amalan terbaik' keselamatan dan kesihatan dipatuhi.

"Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur yang meragut nyawa 23 pelajar dan 2 orang warden adalah sebuah tragedi yang amat memilukan dan menyayat hati. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa dan warga Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

"Saya telah mengunjungi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan diberi taklimat oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Dr. Asyraf Wajdi," ujarnya.

Dr Wan Azizah menambah, kini bukanlah masa untuk menuding jari mencari salah dan silap malah setiap pihak perlu bersama menghulurkan tangan memberi bantuan dan sokongan kepada waris mangsa serta para pelajar yang terselamat.

"Kita harus bersama-sama mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi memastikan tragedi seumpama ini tidak akan berulang kembali di negara ini.

"Marilah kita bersama-sama berdoa agar keluarga mangsa dan warga Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi musibah ini. Semoga roh para pelajar dan warden yang terkorban diberi keampunan, kerahmatan dan kesejahteraan oleh Allah SWT," ujarnya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-