Showing posts with label Bahasa Cina. Show all posts
Showing posts with label Bahasa Cina. Show all posts

Wednesday, February 26, 2025

Parlimen kecoh susulan Ahli Parlimen Jelutong cadang berita bahasa Tamil, Cina diperkasakan

bharian.com.my
Oleh Latifah Arifin 
latifah@bh.com.my
Februari 26, 2025 
RSN Rayer (kanan), dan Datuk Rosol Wahid

KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) BERNAMA (Pindaan) 2024 kecoh seketika susulan seorang Ahli Parlimen blok kerajaan mencadangkan supaya laporan berita dalam bahasa Cina dan Tamil diperkasakan.

RSN Rayer (PH-Jelutong) berang susulan mendakwa cadangan dikemukakannya itu dijadikan 'bahan jenaka' oleh Ahli Parlimen blok pembangkang.

"Saya mencadangkan supaya penekanan diberikan kepada media digital dan online (dalam talian) terutama babitkan bahasa Tamil.

"Apa salahnya? Kenapa Hulu Terengganu (Datuk Rosol Wahid) bantah sangat pengunaan bahasa Cina dan Tamil. Ini bukan satu lawak jenaka.

"Adakah itu pendirian Hulu Terengganu, BERSATU, PAS dan PN untuk bantah penggunaan bahasa Cina dan Tamil?" soalnya di Dewan Rakyat, hari ini.

Kekecohan timbul selepas Rosol bangkit memberi pandangan berhubung cadangan Rayer yang mahu bukan sahaja bahasa Melayu tetapi berita dalambahasa Cina dan Tamil turut diberi ruang yang sama.

Menurut Rosol, dia tidak membantah cadangan Rayer, cuma berpandangan keutamaan tetap perlu diberikan kepada bahasa kebangsaan.

"Saya tak bantah, tetapi keutamaan kita adalah bahasa Melayu. Bukanlah pula bermaksud ketepikan bahasa lain. Tetapi kalau orang Cina guna bahasa Mandarin, begitu juga (masyarakat India gunakan bahasa Tamil), bila perpaduan nak wujud?

"Ini bukan kenyataan untuk menyakiti sesiapa, tetapi satu pandangan. Timbalan Speaker (Alice Lau Kiong) pun bersetuju dengan saya," katanya.

Susulan pertikaman lidah itu, Rayer sekali lagi bangkit dengan merujuk peraturan 36 (9c) kerana mendakwa Rosol mengeluarkan pandangan yang boleh menimbulkan permusuhan di antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Bagaimanapun, melihat suasana semakin tidak terkawal, Alice memberikan petua dan mengarahkan Rayer dan Rosol supaya segera duduk.

"Pada saya itu (sekadar) pandangan Hulu Terengganu (Rosol) dan dia tak kata bantah hujah Jelutong (Rayer)," katanya.

Sementara itu, R Yuneswaran (PH-Segamat) yang bangkit mengambil bahagian dalam perbahasan, turut menyentuh isu sama.

Beliau bersetuju dengan saranan Rayer supaya ruang yang sama diberikan bagi laporan berita dalam bahasa Cina dan Tamil.

"Perlu ingat, perkhidmatan laporan BERNAMA ini turut terbitkan kandungan dalam bahasa Cina, Tamil, Sepanyol dan Arab, selain (laporan berita) dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

"Jadi, maknanya semua berita dilaporkan secara adil dalam pelbagai bahasa. Maka saya setuju dengan Jelutong (Rayer) kita akui bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain digunakan secara saksama, di sinilah kita mahu adanya perubahan," katanya.

Tuesday, September 25, 2018

Sultan Johor Murka Ahli MBIP Guna Bahasa Cina Dalam Urusan Surat Rasmi

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan
September 25, 2018
Abdul Mursyid


KUALA LUMPUR — Sultan Johor murka terhadap seorang ahli Majlis Bandar Raya Iskandar Puteri (MBIP) yang menggunakan bahasa Cina dalam urusan surat rasmi.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah sebarang surat-menyurat rasmi melibatkan kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu seharusnya ditulis dalam bahasa Melayu.

“Apa sahaja urusan surat-menyurat membabitkan kerajaan negeri atau ahli majlis PBT semuanya mesti dalam Bahasa Melayu,” titah baginda dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

“[Ini] kerana ia menggunakan kepala surat rasmi kerajaan negeri walaupun ia berkaitan pemakluman mesyuarat. Bila masa dalam negeri Johor surat rasmi ditulis dalam dua bahasa.”

Baginda mengulas tindakan seorang ahli MBIP menggunakan bahasa Cina dalam urusan surat rasmi PBT, yang tersebar di media sosial, berhubung makluman mengenai satu majlis dialog.

Sultan Ibrahim juga bertitah semua pihak harus menghormati penggunaan Bahasa Melayu dalam sebarang urusan surat rasmi dan amalan itu diguna pakai sejak dahulu di Johor.

“Saya sarankan kepada ahli majlis, jika tidak tahu buat kerja baik letak jawatan sahaja. Ini amaran saya, jangan pisang berbuah dua kali,” titah baginda. 

– MalayMail

Thursday, September 6, 2018

Melayu dulu berani, kini penakut

RIDAUDDIN DAUD
6 SEPTEMBER 2018

Hanif ketika menjawab soalan daripada pemberita selepas konvensyen selesai.

SHAH ALAM - “Melayu yang begitu berani dulunya kini dah jadi penakut.”demikian kenyataan ‘pedas’ daripada bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar yang beranggapan orang Melayu kini tidak berani mempertahankan hak mereka.

Mengambil contoh siaran akhbar berbahasa Cina daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Hanif menegaskan tindakan berkenaan harus diprotes kerana ia merupakan satu kesalahan.

“Bila Guan Eng buat kenyataan rasmi dalam bahasa Cina, saya kena protes sebab dalam undang-undang memang tak boleh. Tun (Tun Dr Mahathir Mohamad) tegur, kata ini satu kesilapan.

“Tapi dia (Guan Eng) kata ini Malaysia Baru, mana boleh, saya kena protes. Tua-tua saya pun, saya kena protes sebab undang-undang yang kata begini.

“Kalau nak guna bahasa lain, kami kena nyatakan keperluannya dan kepada siapa kenyataan itu ditujukan. Kalau nak beritahu orang Cina, mereka orang sini (Malaysia) dan bahasanya adalah Melayu,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menjadi panelis dalam program Konvensyen Karamah Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hanif mendedahkan tanah rizab Melayu kini hanya tinggal 12 peratus berbanding 50 peratus selepas negara merdeka.

Menurutnya, beliau dan beberapa pemimpin akan berjumpa dengan kerajaan tidak lama lagi dalam usaha membincangkan langkah penyelesaian untuk isu tersebut.

“Bila kita tahu itu hak kita, kita mesti pertahankan. Tiada siapa nak pertahankan selain kita. Kita asyik beralah, beralah, sanggup ke asyik beralah.

“Itulah masalah orang Melayu sampai dia takut nak mengaku Melayu sebab dicop rasis tapi dalam perlembagaan siapa yang disebut?

“(Yang disebut) Melayu, Bumiputera, Sabah, Sarawak. Orang Cina tiada, Orang India tiada, disebut sebagai lain-lain kaum,” ujarnya.

Friday, July 27, 2018

MCA: Kenapa kenyataan Maszlee dalam bahasa Cina sahaja?

ULASAN

Wee Ka Siong | Diterbitkan 27 Jul 2018, 11:30 pagi

Kenapa “kenyataan media” Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik hanya dalam Bahasa Cina? Bukankah bahasa kebangsaan perlu dimartabatkan?

Menurut rakan-rakan media, menteri pendidikan hanya mengeluarkan kenyataan media yang menyentuh isu “peruntukan kerajaan untuk sekolan persendirian Cina” dalam Bahasa Cina sahaja, sebagai tambahan kepada jawapan bertulis pertanyaan lisan saya di Dewan Rakyat. Keadaan ini sangat menakjubkan!

BACA : Kini Maszlee kata SMPC boleh dapat peruntukan

Sebagai seorang menteri, Maszlee tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan media berbahasa Cina sahaja memandangkan ianya bersangkut-paut dengan urusan parlimen.

Kenapa perlu berbuat demikian? Ini adalah perkara serius yang merupakan penjelasan kepada jawapan asal di parlimen di mana penjelasannya membawa maksud yang bercanggah dengan jawapan asal yang dibentangkan.

Bahasa Malaysia bahasa rasmi

Tindakan sebegini tidak selaras dengan polisi untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, malahan ianya juga disifatkan sebagai tidak menghormati bahasa Malaysia yang merupakan bahasa rasmi kerajaan.

Yang peliknya kenapa menteri pendidikan tidak berani membuat kenyataan rasmi dalam Bahasa Malaysia atau memperbetulkan jawapan di parlimen melalui kaedah terbaik iaitu mengemukakan Pernyataan Menteri “Minister’s Statement” dalam bahasa Malaysia di Dewan Rakyat?

Maszlee harus faham bahawa Sekolah Persendirian Cina tidak terhad kepada pelajar kaum Cina sahaja. Ini menunjukkan beliau berfikiran sempit perkauman.

Selain itu, sebagai menteri pendidikan, beliau sepatutnya mengamalkan sikap terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan tidak mengamalkan favouritism dalam menangani isu-isu pendidikan.

Sehubungan itu, tindakan Maszlee yang hanya mengeluarkan kenyataan media dalam bahasa Cina berhubung isu “peruntukan kerajaan untuk sekolan persendirian Cina” juga amat mencurigakan, memandangkan kandungan kenyataan media tersebut adalah jawapan tambahan kepada pertanyaan lisan saya di Dewan Rakyat.

Pencerahan rakyat berbilang kaum

Maka, sewajarnya beliau mengeluarkan kenyataan tersebut dalam bahasa Malaysia supaya ia turut dapat memberi pencerahan kepada semua rakyat berbilang kaum.

Pendek kata, Maszlee tidak patut mengeluarkan kenyataan yang sedap didengar masyarakat Cina tetapi bercakap lain di masyarakat kaum bukan Cina.

Sekiranya beliau ikhlas dalam mempertingkatkan mutu sistem pendidikan pelbagai aliran di negara ini, termasuklah pendidikan aliran Cina, beliau perlu bersikap terbuka dan telus dalam menggalas tanggungjawab sebagai seorang menteri pendidikan yang mewakili semua rakyat Malaysia.

(Dikemaskini. Terima kasih atas cadangan pembetulan yang dikemukakan oleh media)

DATUK SERI WEE KA SIONG ialah Timbalan Presiden MCA dan Anggota Parlimen Ayer Hitam.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-