Showing posts with label Tamil. Show all posts
Showing posts with label Tamil. Show all posts

Wednesday, February 26, 2025

Parlimen kecoh susulan Ahli Parlimen Jelutong cadang berita bahasa Tamil, Cina diperkasakan

bharian.com.my
Oleh Latifah Arifin 
latifah@bh.com.my
Februari 26, 2025 
RSN Rayer (kanan), dan Datuk Rosol Wahid

KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) BERNAMA (Pindaan) 2024 kecoh seketika susulan seorang Ahli Parlimen blok kerajaan mencadangkan supaya laporan berita dalam bahasa Cina dan Tamil diperkasakan.

RSN Rayer (PH-Jelutong) berang susulan mendakwa cadangan dikemukakannya itu dijadikan 'bahan jenaka' oleh Ahli Parlimen blok pembangkang.

"Saya mencadangkan supaya penekanan diberikan kepada media digital dan online (dalam talian) terutama babitkan bahasa Tamil.

"Apa salahnya? Kenapa Hulu Terengganu (Datuk Rosol Wahid) bantah sangat pengunaan bahasa Cina dan Tamil. Ini bukan satu lawak jenaka.

"Adakah itu pendirian Hulu Terengganu, BERSATU, PAS dan PN untuk bantah penggunaan bahasa Cina dan Tamil?" soalnya di Dewan Rakyat, hari ini.

Kekecohan timbul selepas Rosol bangkit memberi pandangan berhubung cadangan Rayer yang mahu bukan sahaja bahasa Melayu tetapi berita dalambahasa Cina dan Tamil turut diberi ruang yang sama.

Menurut Rosol, dia tidak membantah cadangan Rayer, cuma berpandangan keutamaan tetap perlu diberikan kepada bahasa kebangsaan.

"Saya tak bantah, tetapi keutamaan kita adalah bahasa Melayu. Bukanlah pula bermaksud ketepikan bahasa lain. Tetapi kalau orang Cina guna bahasa Mandarin, begitu juga (masyarakat India gunakan bahasa Tamil), bila perpaduan nak wujud?

"Ini bukan kenyataan untuk menyakiti sesiapa, tetapi satu pandangan. Timbalan Speaker (Alice Lau Kiong) pun bersetuju dengan saya," katanya.

Susulan pertikaman lidah itu, Rayer sekali lagi bangkit dengan merujuk peraturan 36 (9c) kerana mendakwa Rosol mengeluarkan pandangan yang boleh menimbulkan permusuhan di antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Bagaimanapun, melihat suasana semakin tidak terkawal, Alice memberikan petua dan mengarahkan Rayer dan Rosol supaya segera duduk.

"Pada saya itu (sekadar) pandangan Hulu Terengganu (Rosol) dan dia tak kata bantah hujah Jelutong (Rayer)," katanya.

Sementara itu, R Yuneswaran (PH-Segamat) yang bangkit mengambil bahagian dalam perbahasan, turut menyentuh isu sama.

Beliau bersetuju dengan saranan Rayer supaya ruang yang sama diberikan bagi laporan berita dalam bahasa Cina dan Tamil.

"Perlu ingat, perkhidmatan laporan BERNAMA ini turut terbitkan kandungan dalam bahasa Cina, Tamil, Sepanyol dan Arab, selain (laporan berita) dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

"Jadi, maknanya semua berita dilaporkan secara adil dalam pelbagai bahasa. Maka saya setuju dengan Jelutong (Rayer) kita akui bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain digunakan secara saksama, di sinilah kita mahu adanya perubahan," katanya.

Thursday, September 12, 2024

Strategi Pemuda PAS dekati bukan Melayu - Belajar Mandarin, bercakap Tamil

malaysiakini.com
Hariz Mohd & N Faizal Ghazali
Diterbitkan: Sep 12, 2024 12:51 PM
MUKTAMAR PAS l Pemuda PAS mahu anggotanya supaya mempelajari bahasa Mandarin dan Tamil bagi membantu parti itu mendekatkan diri dengan masyarakat bukan Melayu.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata kebolehan bertutur dalam bahasa vernakular itu penting untuk menarik sokongan bukan Melayu.
“... usaha untuk menarik sokongan rakan-rakan bukan Melayu atau bukan Islam ini tidak boleh hanya dilonggokkan kepada LPN (lajnah perpaduan nasional PAS) sahaja. LPN hanya lajnah. Kapasitinya dan sumber tenaga manusianya terhad.

“Agenda perpaduan ini adalah agenda PAS, agenda Pemuda PAS. Semua pihak di dalam Pemuda PAS mesti menumpukan usaha bersama bagi menjayakan halatuju ini.

“Jika perlu ada kelas belajar bahasa Mandarin, belajar. Jika perlu bercakap Tamil, silakan.

“(Ini) kerana dengan kita masih bercakap dalam bahasa yang bukan bahasa Melayu, dia boleh menjadi satu alat atau satu mekanisme untuk mendekatkan kita dengan mereka untuk berkomunikasi,” katanya kepada perwakilan Pemuda PAS pada muktamar di Temerloh, Pahang pagi tadi.

Malam semalam, pada sidang media selepas merasmikan muktamar Pemuda PAS, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata halangan bahasa adalah faktor utama yang menyebabkan rakyat berpecah belah.
Katanya apabila “orang Cina cakap Cina, orang Melayu tak faham, jadi akan timbul buruk sangka, kerana mereka tidak memahami bahasa itu.

Dalam ucapan dasar hari ini, Afnan Hamimi yang juga ahli Parlimen Alor Setar turut mengingatkan anggota sayap itu supaya menghapuskan stigma bahawa semua pengundi bukan Melayu menyokong DAP.

Katanya, pemikiran sedemikian adalah salah dan mereka harus sedar terdapat ramai bukan Melayu yang tidak menyokong DAP atau Pakatan Harapan.

“Kita kena hapuskan stigma yang mengatakan, kalau pengundi bukan Melayu, tentu akan sokong DAP, akan sokong PH. Tak betul. Bukan begitu cara kita berfikir.

“Kita kena sedar, ada ramai juga pengundi bukan Melayu yang sebenarnya tidak bersama DAP atau PH. Bahkan, terdapat sebilangan mereka yang berani berterus terang meluahkan ketidakpuasan hati mereka kepada DAP melalui video di dalam Tik Tok. Video itu pula dalam Bahasa Melayu. Ya, Mereka fasih berbahasa Melayu.
“Tak seperti seorang dua menteri di Parlimen yang dia sendiri tak faham apa yang dia cakap. Betul-betul kong kali kong,” katanya.

Monday, December 30, 2019

‘Kebiadaban takkan padam selagi wujud sekolah Cina’

BERITA

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata pergeseran dan kebiadaban antara kaum akan berterusan selagi wujudnya “sekolah vernakular yang tidak berbahasa kebangsaan” di negara ini.

Meskipun tidak merujuk kepada mana-mana pihak, tetapi kenyataannya itu dibuat di tengah-tengah isu pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil yang hangat diperkatakan sehingga membawa kepada bantahan pelbagai pihak.

“Kita melihat kemelut kebiadaban yang tidak putus-putus.

"Selagi sekolah vernakular yang tidak berbahasa kebangsaan tidak dihapuskan dalam negara ini, selagi itulah kemelut pergeseran dan kebiadapan antara kaum tidak akan berhenti.

“Hendaklah kita semua bersatu dan melupakan perbezaan antara kita dalam mengembalikan kekuatan negara dengan kuasa politik yang menjanjikan ketegasan dalam menghadapi kebiadapan ini,” katanya dalam hantaran beliau di Facebook malam semalam.

Kenyataannya itu dibuat selepas berlangsungnya Kongres Kebangsaan Jawi yang dianjurkan oleh Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat), petang semalam.

Kongres itu antaranya menggesa agar pelaksanaan tulisan itu dijadikan sebagai pilihan dan bukannya dimasukkan ke dalam Sukatan Pelajaran Tahun 4 Bahasa Malaysia.

Jumaat lalu, polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang kongres yang dianjurkan oleh Dong Jiao Zong yang sepatutnya diadakan pada 28 Disember.

Kongres yang sepatutnya dijadualkan berlangsung di Kolej New Era, Kajang itu bertujuan bagi membincangkan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular.

Mohd Asri sebelum ini mahu masyarakat di negara ini digembleng untuk menggempur kumpulan pelampau yang menentang pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di sekolah Cina dan Tamil.

Pada 17 Ogos, beliau juga mengajak semua rakyat Malaysia menandatangani petisyen atas talian yang dilancarkan oleh pemuda Bersatu, untuk mengharamkan pertubuhan Dong Zong, yang disifatkannya sebagai pertubuhan yang rasis.

Thursday, October 24, 2019

Peguam fail notis dakwa penubuhan SJKC, SJKT langgar Perlembagaan

Adam Abu Bakar
-October 23, 2019 7:36 PM

Khairul Azam (bertanjak) bersama Shaharudin Ali (dua dari kiri) dan peguam-peguamnya yang lain menunjukkan notis yang difailkan di Mahkamah Persekutuan hari ini.

PUTRAJAYA: Seorang peguam memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kedudukan Sekolah Rendah Jenis Cina (SKJC) dan Sekolah Rendah Jenis Tamil (SKJT), mendakwa ia melanggar Perlembagan Persekutuan.

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz selaku plaintif membuat permohonan menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini.

Peguamnya, Shaharudin Ali mendakwa Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk membuat Seksyen 17 Akta Pendidikan, yang memberi pengecualian bahasa pengantar utama kepada sekolah jenis kebangsaan, dan Seksyen 28 akta sama yang membolehkan menteri menubuhkan sekolah jenis kebangsaan.

Shaharudin mendakwa Parlimen tiada kuasa memberikan kuasa seperti itu kepada menteri pendidikan, kerana Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tidak memperuntukkan kuasa seperti itu kepada menteri pendidikan.

“Teras permohonan ini untuk mendapatkan perintah Mahkamah Persekutuan sama ada Parlimen mempunyai kuasa membuat Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan,” katanya kepada pemberita di Istana Kehakiman hari ini.

Notis itu menamakan menteri pendidikan sebagai defendan pertama dan kerajaan sebagai defendan kedua.

Shaharudin menjadikan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Julai 1982 dalam kes penubuhan Universiti Merdeka sebagai asas dan sandaran permohonan itu, yang mana ia mengatakan Fasal 152 hendaklah digunakan dalam hal-hal bersangkutan pendidikan bagi maksud rasmi.

“Kalau sekolah rendah jenis Melayu tidak wujud, bagaimana sekolah rendah jenis Cina dan Tamil boleh wujud. Jadi itu persoalan undang-undang yang kita akan cuba hujahkan di mahkamah kelak,” katanya.

Sementara itu, Khairul menolak tanggapan tindakannya hari ini menjurus kepada sifat perkauman.

Beliau menarik perhatian pemberita kepada Belanjawan 2020 yang memperuntukkan sejumlah belanjawan yang besar kepada sekolah vernakular.

“Itulah punca pencetusnya…kerana Belanjawan 2020 ini wang pembayar cukai, jadi selaku rakyat yang membayar cukai, kita berhak pastikan kerajaan membelanjakan duit rakyat ke institusi yang dibenarkan Perlembagaan,” katanya.

Friday, October 11, 2019

Tangkap Ramasamy, PAS gesa polis

FMT Reporters
-October 11, 2019 12:14 PM

P Ramasamy dan Mohd Khairuddin Aman Razali.

PETALING JAYA:  Seorang pemimpin PAS menggesa polis juga perlu menahan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy susulan penahanan dua Adun DAP dan lima yang lain, dikaitkan dengan usaha menghidupkan semula kumpulan pengganas Sri Lanka di negara ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa Ramasamy menggunakan kedudukannya sebagai timbalan ketua menteri dan ahli jawatankuasa tertinggi DAP dalam menyuarakan pandangan mengapi-apikan perkauman, yang boleh dibaca seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia.

“Selain siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), Ramasamy juga boleh disiasat di bawah Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan,” kata beliau dalam kenyataannya.

Semalam Ramasamy berkata, beliau percaya penahanan dua Adun DAP dari Negeri Sembilan dan Melaka berkemungkinan dibuat atas desakan penyokong penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik.

Ramasamy mendakwa, Naik dan pengikutnya berusaha habis-habisan merosakkan namanya dengan menggelar sebagai pengganas dan menggunakan semula gambar lamanya sewaktu menyertai misi damai ke Sri Lanka 10 tahun lalu.

Dalam kenyataannya hari ini, Mohd Khairuddin turut menyenaraikan 20 kenyataan dikeluarkan Ramasamy yang menurutnya sebagai cubaan mengapi-apikan kaum Tamil, penganut agama Hindu dan masyarakat bukan Islam di negara dengan menggambarkan hak mereka dinafikan.

“Ramasamy mengapi-apikan kaum Tamil dengan menyebut kaum Tamil di Malaysia dinafikan peluang pekerjaan di kedua-dua sektor awam dan sektor swasta.

“Turut mengapi-apikan kaum Tamil dengan menyebut kaum berkenaan sukar mendirikan tempat ibadat dan disekat mengadakan aktiviti kebudayaan,” katanya.

Malah, Mohd Khairuddin turut memetik beberapa kenyataan Ramasamy yang disiarkan sebuah portal, yang mendakwa Ramasamy mengapi-apikan kaum Tamil dengan menyebut kaum berkenaan dinafikan sekolah menengah kebangsaan Tamil.

“Turut mengapi-apikan penganut agama Hindu dengan menyebut polis tidak ada hak untuk menjaga kuil Hindu. Mengapi-apikan penganut agama bukan Islam dengan menyebut penukaran agama secara senyap-senyap sedang berlaku di Malaysia,” katanya.

Pada sidang media pagi tadi, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata LTTE dikategorikan kumpulan pengganas dan bukannya entiti memperjuangkan hak kaum Tamil di Sri Lanka atau sebagainya.

Kata beliau, pandangan pimpinan DAP yang menganggap LLTE bukan pengganas itu disifatkan sebagai pandangan peribadi dan hak mereka.

Tegasnya, jika mana-mana pihak didapati mempromosi, menyokong dan memberi dana kepada kumpulan LTTE akan diambil tindakan.

Monday, August 12, 2019

'Gempur hingga mereka pulih atau tinggalkan negara ini'

News | Diterbitkan Hari ini 7:36 malam


Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mahu masyarakat di negara ini digemblengkan untuk menggempur kumpulan pelampau yang menentang pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di sekolah Cina dan Tamil.

“Kumpulan pelampau seperti ini sepatutnya disenaraikan di bawah anasir subversif dalam negara. Mereka hendaklah dianggap sebagai satu ancaman kepada negara setaraf dengan ancaman terrorisme.

“Masyarakat Malaysia hendaklah digemblengkan untuk menggempur kumpulan pelampau ini sehingga mereka pulih atau keluar meninggalkan negara ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, tetapi Dr Mohd Asri turut melampirkan keratan berita Malaysiakini yang bertajuk “Dong Zong rasis, tak pernah setuju apa-apa pun, kata Mahathir.”

Bercakap kepada media selepas menghadiri Program Korban di Masjid Al Huda Padang Matsirat, di Langkawi, hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melabelkan badan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong sebagai “rasis” kerana menuduh langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk "Islamisasi".

“Dong Zong ini rasis. (Dahulu) kita buat sekolah satu kampus – Sekolah Wawasan – sekolah Cina, sekolah Tamil, dan sekolah kebangsaan di dalam satu kampus.

“Dia tak mahu (kerana) takut anak dia konon bercampur dengan orang Melayu. Jadi dia (Dong Zong) tak suka orang Melayu.

“Semua dia bantah. Tak pernah setuju dia dengan apa-apa pun (keputusan kerajaan),” kata Mahathir.
Pada Khamis, 8 Ogos lalu, ketika menyampaikan kuliah di Masjid Alwi, Kangar, mufti Perlis itu berkata, polemik tentang tulisan jawi yang timbul adalah disebabkan oleh rasa fobia masyarakat bukan Islam terhadap “apa-apa yang dianggap mempunyai hubungan dengan Islam”.

Katanya, hal itu disebabkan wujud salah faham di kalangan golongan itu bahawa tulisan Jawi dianggap seperti mahu mengislamkan mereka, sedangkan tulisan itu bukanlah berkaitan agama.

“Kita menyatakan dia tak ada hubungan (dengan agama). Macam songkok, di India pakai, nabi (Muhammad SAW) tak pakai songkok. Baju Melayu, samping, bukan mewakili agama. Ia pakaian melayu.

“Tulisan Jawi itu ialah tulisan bangsa Melayu, tapi sebahagian mereka (bukan Islam) anggap seolah-olah cuba mengislamkan mereka. Ini yang salah.

“Dan saya rasa ada macam satu kebencian terhadap perkara yang berhubung dengan agama, sehingga (perkara) yang bukan agama pun diasangkakan agama, dan dibenci,” katanya.
Isu tulisan Jawi menjadi kontroversi bulan lalu apabila cadangan kerajaan memperkenalkan tulisan jawi dalam kurikulum Tahun 4 Bahasa Melayu di sekolah mendapat tentangan akar umbi DAP dan NGO Cina.

Ini kemudian menyaksikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah dilaksanakan secara pilihan dan guru diberi kuasa menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya.

Jumlah muka surat yang melibatkan tulisan Jawi juga dikurangkan berbanding cadangan asal, menjadi hanya tiga muka surat daripada enam.

Monday, August 5, 2019

Jangan laksana dulu seni khat, kata kumpulan pendidikan Cina

Vinodh Pillai
-August 5, 2019 2:18 PM

Presiden Jiao Zong, Ong Chiow Chuen (duduk, bercakap dengan microfon), Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim (duduk sebelah kanan Ong) ketika sidang media bersama, hari ini.

KAJANG: Kumpulan pendidikan Cina Dong Zong dan Jiao Zong hari ini mengulangi pendirian mereka terhadap langkah kerajaan memperkenalkan unit seni khat Melayu-Arab dalam silibus Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular tahun depan dengan meminta penangguhan pelaksanaannya.

Dalam satu kenyataan bersama dengan 10 kumpulan berkepentingan Tamil dan Cina yang lain, mereka berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memberi penjelasan lanjut bahawa murid sekolah tidak akan menjalani ujian berdasarkan kemahiran menulis khat semasa peperiksaan walaupun ia dimasukkan dalam Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP) dan sukatan pelajaran.

Jurucakap mereka, Pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Chuen, mendesak kementerian mendedahkan bahagian mana dalam silibus dan DSKP yang akan dipinda dengan memberi penjelasan lanjut tentang bagaimana khat akan diperkenalkan di sekolah rendah Tamil dan Cina.

“Ini adalah penting untuk mengikis kebimbangan dan keraguan orang ramai, malah juga memastikan pelaksanaan tersebut menepati keperluan murid-murid SJKC dan SJKT.

“Maka, kami berpendapat sebelum KPM memperjelaskan segala perkara tersebut untuk pengetahuan orang ramai, pelaksanaan ini harus ditangguhkan untuk perbincangan semula.”
Ong Chiow Chuen menunjukkan muka surat buku teks Bahasa Melayu Tahun 5 yang memperkenalkan seni khat dan gaya penulisan kaligrafi lain.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim dan wakil daripada 10 kumpulan termasuk Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Yayasan Tamil, Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina dan Merdeka University Bhd.

Kumpulan itu berkata langkah memperkenalkan khat iaitu kaligrafi Jawi tidak akan membantu pelajar sekolah rendah Cina dan Tamil meningkatkan kemahiran bahasa Melayu mereka.

Mereka berkata sebagai salah satu cara untuk menambah keseronokan aktiviti pembelajaran Bahasa Melayu, hanya setakat memperkenalkan tulisan khat sudah memadai.

Kumpulan itu berkata mereka tidak bersikap tidak patriotik atau menolak pembelajaran khat dan Jawi, sambil menambah ada yang ingin mempolitikkan perkara itu.

Namun mereka berkata usaha kementerian untuk mempertingkatkan interaksi antara kaum dan budaya di sekolah akan mengambil kira semua pandangan, dan mencadangkan wakil daripada organisasi Cina dan India turut serta dalam semakan kandungan buku teks.

“Kami akan bertemu Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching esok untuk membincangkan isu ini, jadi kami boleh mengetahui maklumat terkini tentang ini.”

Wednesday, February 27, 2019

Umno jarak diri dari Nazri isu kenyataan sek Cina, Tamil

Diterbitkan Hari ini 8:14 pagi


Kenyataan Setiausaha Agung BN Nazri Abdul Aziz tidak mewakili parti dan cuma pandangan peribadinya, kata Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden Umno Mohamad Hasan.

"Pendirian beliau tersebut adalah pandangan peribadi yang tidak mewakili pendirian dan pandangan Umno.

"Umno, sebagai sebuah parti sangat menghormati dan memahami keperluan sekolah vernakular di Malaysia. Umno berpendirian sekolah jenis ini perlu terus wujud di negara kita.

Malaysiakini memetik Nazri berkata kaum bukan Melayu tidak patut mempertikaikan hak keistimewaan Melayu kerana ia boleh mendorong kaum Melayu mempersoalkan keistimewaan kaum bukan Melayu seperti desakan menutup sekolah aliran Cina dan Tamil.

Selepas dikritik kerana kenyataannya, Nazri menjelaskan beliau tidak menggesa penutupan sekolah aliran Cina dan Tamil mendakwa media salah petik kenyataannya.

Untuk rekod, Malaysiakini tidak melaporkan Nazri menggesa mahu menutup sekolah aliran Cina dan Tamil untuk ditutup.

BERKAITAN: Nazri: AG, CJ, menteri kewangan tak percaya kitab, agama kita

Menurut Mohamad "persefahaman dan keupayaan meraikan kepelbagaian" telah menjadi kelebihan dan kekuatan BN, malah ketika gabungan itu berkuasa dahulu.

"Umno dan BN sebagai sebuah parti politik sentiasa komited dalam mengiktiraf dan meraikan kepelbagaian bangsa dan etnik di Malaysia termasuklah hak untuk beragama dan mendapat pendidikan yang selayaknya. Inilah karakter dan ciri-ciri penting negara kita yang majmuk.

"Semasa menguruskan kerajaan sebelum ini sekalipun, komitmen serta pendirian Umno dan BN berhubung sekolah vernakular dapat dilihat dengan jelas sama ada dalam bentuk sokongan infrastruktur, pengiktirafan dan pemberian peruntukan yang diperlukan," katanya lagi.

Semalam, Ketua Polis Negara Mohamed Fuzi Harun mengesahkan Nazri sedang disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang jika disabitkan pertuduhan, pelaku kesalahan pertama boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali

"Saya dah cakap tadi kita akan siasat bawah Akta Hasutan dan kita perlu lengkapkan (siasatan) secepat mungkin.

"Jadi lengkap nanti kita akan hantar ke DPP (Timbalan Pendakwaraya di Pejabat AG) untuk tindakan lanjut ataupun arahan selanjutnya," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-