Showing posts with label Enakmen Jenayah Syariah. Show all posts
Showing posts with label Enakmen Jenayah Syariah. Show all posts

Thursday, March 19, 2015

Apakah rang undang-undang hudud Kelantan akan membunuh Pakatan?

oleh Alyaa Alhadjri

RANGKUMAN BERITA: Masa depan Pakatan Rakyat kini dalam pertaruhan selepas DAP mengambil keputusan untuk mengkaji semula kedudukannya di dalam pakatan pembangkang itu.

Sesetengah pihak mungkin berhujah ianya terlalu awal untuk membuat sebarang jangkaan tetapi ada juga yang merasa bahawa telah terlambat untuk melakukan apa-apa usaha memperbaiki keadaan.

Sejak hari pertama DAP bekerjasama dengan PAS dan PKR dalam kerangka Pakatan Rakyat selepas Pilihanraya Umum ke-12 pada tahun 2008, DAP sentiasa menegaskan bahawa pelaksanaan hudud bukan dan tidak akan menjadi agenda bersama dalam gabungan itu.

Walau bagaimanapun, selama ini, persetujuan kedua-dua parti dalam perkara itu adalah berdasarkan prinsip “setuju untuk tidak bersetuju” dan PAS Kelantan hari ini (18 Mac) akhirnya membentangkan pindaan Enakmen Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II (1993).

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke dalam satu kenyataan berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) akan bermesyuarat pada 23 Mac ini bagi membincang dan memutuskan halatuju partibersama Pakatan Rakyat.
Beliau turut mendakwa bahawa DAP telah “ditikam dari belakang” oleh PAS Kelantan.

“DAP ingin menegaskan bahawa kami membantah sekeras-kerasnya tindakan PAS Kelantan yang mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 12 Mac 2015 dan (ia) merupakan satu tindakan provokasi untuk memecahkan Pakatan Rakyat,” kata Loke.

Loke turut mengulang dakwaan berlakunya percubaan oleh golongan konservatif di dalam PAS, yang dilihat sebagai penyokong pelaksanaan undang-undang Syariah, untuk merintis ‘perpaduan’ bersama Umno dan meninggalkan Pakatan Rakyat.

“Pakatan Rakyat tidak akan berjaya menumbangkan Barisan Nasional selagi ada ‘musuh dalam selimut’ yang sentiasa membelakangkan konsensus bersama dan bertindak mengikut rentak yang dimainkan oleh Umno,” katanya.

Majlis Presiden Pakatan Rakyat dalam mesyuaratnya minggu lalu telah mengarahkan dua wakil kerajaan Kelantan - yang hadir untuk menerangkan pindaan hari ini – untuk meminta kerajaan Negeri menimbang untuk merangka semula enakmen itu, yang dirangka pertama kali pada 1993 namun tidak pernah dibahaskan di DUN.

Dalam satu kenyataan berasingan, ketua pemuda DAP Teo Kok Seong berkata bahawa sayap parti itu akan turut mengadakan mesyuarat untuk mengkaji semula kerjasama dengan sekutunya dalam Pemuda PAS.

Senada dengan Loke, Teo berkata beliau turut percaya bahawa pembentangan pindaan hari ini adalah tidak lebih dari “permainan politik” golongan konservatif PAS, bukannya untuk kepentingan rakyat mahupun demi menegakkan ajaran Islam yang syumul.

Merujuk kenyataan Loke dan pimpinan DAP, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar menegaskan bahawa pembentangan pindaan hari ini merupakan sebahagian daripada proses demokrasi yang harus dihormati oleh semua pihak.

“Tidaklah timbul isu ‘Unity Government’ sekiranya ada Adun UMNO yang menyokong pindaan enakmen tersebut kerana itu adalah hak ahli dewan untuk menyokong dan membantah sesuatu perkara.

“PAS tidak pernah memaksa DAP untuk menyokong pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan tetapi kami berharap sekurang-kurangnya DAP menghormati proses demokrasi yang sedang dilaksanakan,” kata Mahfuz.
Ahli parlimen Pokok Sena itu menegaskan bahawa aspirasi dan kehendak rakyat yang telah memberikan amanah kepada PAS untuk mentadbir Negeri Kelantan sejak tahun 1990 sehingga genap 25 tahun pada 2015 ini juga perlu dihormati.

Mahfuz juga mengulang pendirian PAS bahawa peruntukan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah II hanya akan dikuatkuasakan keatas mereka yang beragama Islam di Kelantan.

Sementara itu, ketua penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri turut mengingatkan DAP tentang kenyataan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 28 September, 2011, yang mengiktiraf bahawa pindaan undang-undang di Kelantan dan juga Enakmen Kanun Jenayah Syariah Terengganu (2003) telah wujud sebelum pembentukan kerjasama mereka, dan PKR serta PAS menghormati pendirian DAP yang berbeza dalam isu itu.

“Sekali lagi saya tegaskan bahawa kunci keutuhan PR itu adalah pada sikap hormat-menghormati sesama kita,” kata Mohd Khairuddin dalam satu kenyataan.

“Malangnya, DAP tidak bersikap demikian. Maka, jika lemahlah PR, ia adalah berpunca daripada sikap tidak hormat DAP terhadap PAS sendiri. Bukan kerana PAS bertegas mahu laksanakan Undang-undang Jenayah Islam,” tambah beliau.

Sementara itu, Biro Politik PKR telah pun mengadakan mesyuarat pada 18 Mac lalu untuk membincangkan isu ini. Namun begitu, Setiausaha Agungnya Rafizi Ramli berkata parti hanya akan mengeluarkan kenyataan selepas pindaan tersebut diluluskan.

DUN Kelantan yang mempunyai 45 kerusi kini sedang membahaskan pindaan yang akan diluluskan esok (19 Mac), apabila PAS yang mempunyai 31 wakil dilaporkan telah mendapat sokongan sebulat suara daripada kesemua 12 Adun Umno.

Kerusi DUN Chempaka kini kekosongan berikutan kematian Murshidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sementara itu, PKR hanya mempunyai seorang wakil, iaitu Adun Guchil Mohd Roslan Puteh.

Sebaik sahaja pindaan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri, PAS boleh meneruskan dengan membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen, mendapatkan sokongan untuk meminda undang-undang perseketuan yang akan memberi laluan kepada kerajaan negeri untuk menguatkuasakan hudud di Kelantan.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional Tan Sri Shahrir Samad hari ini dipetik berkata, Ahli Parlimen BN akan memecahkan tradisi mematuhi ketua whip parti dan sebaliknya “mengundi berdasarkan suara hati” ke atas rang undang-undang itu nanti.

Berhubung masa depan Pakatan, kelihatan amat semberono bagi DAP untuk membuat apa-apa keputusan memandangkan PAS sendiri kemungkinan mengalami perubahan kepimpinan pada muktamar pemilihan Jun ini.

Apa-apa keputusan untuk meninggalkan Pakatan atau memutuskan kerjasama dengan PAS adalah tindakan yang terburu-buru, apatah lagi jika kumpulan profesonal berjaya merampas kepimpinan daripada kumpulan ulama’ yang konservatif, seterusnya mengubah haluan parti daripada jalan “memusnahkan diri” pada masa ini.

Walaupun seperti yang dikatakan sesetengah pihak, DAP patut memutuskan sahaja hubungan dengan PAS sekarang kerana kedua-dua parti itu selamanya tidak akan bersetuju dalam soal hudud dan negara Islam.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Apakah-rang-undang-undang-hudud-Kelantan-akan-membunuh-Pakatan#sthash.rBKDL4zJ.dpuf

Wednesday, March 18, 2015

Hudud: DAPSY akan kaji semula kerjasama dengan Dewan Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Pemuda DAP (DAPSY) hari ini menyatakan kekesalan dengan tindakan puak konservatif dalam PAS yang membelakangi semangat dan setiakawan dalam Pakatan Rakyat (PR) apabila tetap berdegil mahu hudud dilaksanakan di Kelantan.

Ketua DAPSY Teo Kok Seong berkata, beliau amat kecewa dengan tindakan tersebut yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa sebarang usaha untuk menyelesaikan perbezaan pendapat secara kolektif dalam pimpinan PR.

“DAPSY yakin pembentangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang dibentangkan di sidang DUN Kelantan hari ini adalah permainan politik semata-mata, bukannya untuk keperluan dan kepentingan rakyat mahupun penekanan ajaran islam yang bijak serta syumul.

“Kami kekal dengan pendirian bahawa pelaksanaan hudud adalah bertentangan dengan asas-asas pembinaan negara yang digariskan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“DAPSY juga akan mengadakan mesyuarat Majlis Eksekutif dalam waktu terdekat untuk mengkaji semula kerjasama antara kami dan Dewan Pemuda PAS Pusat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah menyatakan, tindakan sombong dan angkuh PAS juga secara tidak langsung telah mencemari hari ulangtahun ke-49 DAP hari ini.

Justeru Teo turut mencabar UMNO dan semua parti komponen BN untuk menyokong pelaksanaan hudud oleh puak konservatif dalam PAS.

“Kami yakin bahawa parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain dari Sabah serta Sarawak tidak akan sanggup membantahnya kerana telah tunduk kepada kumpulan ekstremis yang sedang menguasai UMNO,” tegasnya. – Roketkini.com

Friday, March 13, 2015

Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 tetap dibentang - Nik Mohd Amar

Kerajaan negeri telah berbincang dengan penasihat undang-undang negeri dan mendapati tidak terdapat sebarang masalah untuk rang-rang undang-undang hudud itu dibentangkan, kata Nik Mohd Amar. - Foto arkib TRP

KOTA BAHARU, 13 Mac:

Kerajaan negeri PAS Kelantan tetap akan membentangkan rang undang-undang bagi pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN), 18 Mac ini, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurut Nik MMohd Amar, kerajaan negeri telah berbincang dengan penasihat undang-undang negeri dan mendapati tidak terdapat sebarang masalah untuk rang-rang undang-undang itu dibentangkan pada persidangan DUN walaupun Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo meminta PAS mempertimbangkan semula pindaan itu.

“Kita sudah bincang (berkaitan pindaan itu) dan tidak ada sebarang masalah untuk kita bentangkan pada 18 Mac ini.

“Ini dipersetujui oleh penasihat undang-undang negeri,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bulanan PAS Pusat yang diadakan di sini hari ini.

Mohd Amar berkata dari segi format rang undang-undang itu kelihatan seperti sesuatu yang baharu tetapi sebenarnya ia pindaan kepada enakmen berkenaan yang telah diluluskan DUN Kelantan pada 1993.

Semalam, kerajaan negeri Kelantan mengadakan taklimat berhubung pindaan enakmen berkenaan kepada kepimpinan pakatan pembangkang di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur dan Gobind dilaporkan meminta PAS mengkaji semula pindaan tersebut, dan membentangkannya semula kepada Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, sebelum dibentangkan di DUN.

Persidangan khas DUN Kelantan bagi membentangkan rang undang-undang itu dijadualkan mulai 16 hingga 19 Mac ini.

Sidang khas itu sepatutnya diadakan pada 29 Dis tahun lepas namun ditangguhkan berikutan banjir besar yang melanda negeri ini.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/03/13/pindaan-enakmen-kanun-jenayah-syariah-ii-1993-tetap-dibentang-nik-mohd-amar/#ixzz3UHKBEiuQ

Monday, February 2, 2015

Bebaskan umat Islam dari najis arak

HARAKAHDAILY | 02 Februari 2015.
TAHNIAH kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana akan menguatkuasakan pengharaman penjualan minuman keras (arak) di kedai serbaneka mengikut taburan populasi masyarakat setempat. Ini satu tindakan yang wajar dan harus dicontohi oleh kerajaan-kerajaan negeri yang lain.

Polisi yang diambil oleh Kerajaan Negeri Melaka ini pernah dilakukan oleh bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali pada tahun 2009. Tindakan tersebut adalah berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Kita menghargai usaha untuk menjaga kesucian Islam dan membantu umat Islam daripada terjebak dalam industri yang diharamkan dalam agama. Ini secara tidak langsung membantu individu-individu yang terbabit mendapatkan sumber rezeki yang halal.

Sebagai individu Islam, penjualan arak adalah ditegah menurut Syariat. Ia termasuk dalam 10 golongan yang dilaknat oleh Allah dan Rasulullah SAW dalam urusan pemprosesan serta penyediaan arak.

Merujuk perkembangan yang sama, Parlimen Singapura telah meluluskan satu Rang Undang-Undang Liquor Control (Supply and Consumption) pada 30 Januari lalu. Rang tersebut melarang orang ramai daripada minum di kawasan awam dan menjualnya pada waktu tertentu kerana berlaku peningkatan jenayah.

Ini jelas menunjukkan bawah arak memberikan dampak kepada masyarakat. Apatah lagi, penjualan arak di Malaysia khususnya di kawasan bandar amat mudah didapati di kedai-kedai serbaneka dan tiada tindakan tegas boleh diambil.

Oleh yang demikian, kami menggesa agar polisi kerajaan negeri berkaitan arak dapat diselaraskan di seluruh negara. Malah, setiap usaha untuk membebaskan umat Islam daripada industri arak wajib disokong bersama.

Sekian, terima kasih.

Nasrudin bin Hasan
Ahli Parlimen Temerloh | AJK PAS Pusat

Datuk Dr. Khairuddin bin Aman Razali At-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus | AJK PAS Pusat

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Ahli Parlimen Pasir Mas | AJK PAS Pusat

2 Februari 2015 | 12 Rabi'ul Akhir 1436

Monday, November 10, 2014

Jangan undang bala dalam isu lelaki berpakaian perempuan

HARAKAHDAILY | 09 November 2014.

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyatakan rasa terkejut dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 sebagai tidak sah dengan alasan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana mendiskriminasi golongan minoriti.

Beliau meyatakan demikian di hadapan kira-kira 100 orang peserta yang menghadiri Seminar Penulisan Berita dan Kenyataan Akhbar peringkat Wilayah Persekutuan di bangunan Kohilal, di sini petang tadi.

Tegas beliau lagi keputusan itu jelas bertentangan dengan batas syariat yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan Sunnah seperti mana yang terkandung di dalam ajaran Islam.

Beliau memetik mafhum hadis Rasulullah s.a.w. yang melaknat mereka yang menyerupai wanita dari kalangan lelaki dan juga sebaliknya.

Menurut beliau lagi, sekiranya maksiat dan mungkar itu berterusan, sudah pasti akan mengundang bala dari Allah SWT.

"Menjadi tanggungjawab umat untuk terus memperjuangkan undang-undang Islam di negara ini supaya kita diselamatkan daripada bala Allah Taala," ujar beliau lagi. - HARAKAHDAILY 9/11/2014

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-