Showing posts with label Gagasan Sejahtera. Show all posts
Showing posts with label Gagasan Sejahtera. Show all posts

Sunday, May 6, 2018

Gagasan Sejahtera yakin potensi menang 112 kerusi

FUAD AHMAD
05 MAY 2018

KUALA LUMPUR: Gagasan Sejahtera melahirkan keyakinan awal untuk memenangi 112 kerusi Parlimen sekali gus mampu menerajui negara dengan simple majority.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, PAS yakin untuk memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata demikian semasa sidang media khas di Pejabat Agung PAS, di Jalan Raja Laut sebentar tadi.

Beliau yang juga jurucakap rasmi Gagasan Sejahtera memaklumkan bahawa perkembangan positif daripada 196 pusat kempen di seluruh negara meyakinkan PAS untuk mencapai sasaran untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Kata beliau, keyakinan PAS ini didorong oleh jentera PAS yang menjalankan kempen dengan kaedah turun padang untuk bertemu pengundi secara langsung.

Gagasan Sejahtera yang dianggotai oleh PAS meletakkan 158 calon untuk bertanding kerusi Parlimen di seluruh negara.

PAS memerlukan sekurang-kurang 112 kerusi untuk mencapai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan tanpa bergabung dengan mana-mana parti politik lain.

Tawar calon berkaliber

Beliau juga memaklumkan bahawa calon-calon Gagasan Sejahtera terdiri daripada kalangan profesional, tokoh-tokoh agama dan mantan pegawai kanan kerajaan yang sesuai untuk mengemudi kerajaan pasca PRU14.

Katanya, menurut seorang penganalisis Astro Awani, Gagasan Sejahtera memiliki calon PhD paling ramai di kalangan parti politik yang bertanding pada PRU14

PAS telah meletakkan 17 calon yang memiliki PhD dengan 9 calon bagi kerusi Parlimen dan 8 calon bagi kerusi Dun di seluruh negara.

PAS juga seperti yang dilaporkan oleh laman web Malaysia Sejahtera telah menghantar seramai 60 peratus calon yang dikira sebagai profesional.

 – HARAKAHDAILY
    5/5/2018

Friday, April 13, 2018

PAS sasar perintah Malaysia

FUAD AHMAD
 13 APRIL 2018

KUALA LUMPUR: PAS mensasarkan untuk memerintah Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.

“Sasaran kita adalah kita nak memerintah Malaysia.

“Berapa kerusi, tunggu dan lihat kerana kita bertanding pada PRU kali ini kalau dulu kita isytiharkan 130, tunggulah pada 19 April ini kita akan isytiharkan berapa kerusi kita akan bertanding bukan hanya oleh PAS tapi oleh rakan-rakan dalam gabungan Gagasan Sejahtera,” tegas Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali At-Takiri dalam temuramah beliau bersama Hijau.fm, semalam.

Menurutnya, kerusi-kerusi yang ingin ditandingi oleh PAS adalah kerusi-kerusi majoriti Melayu Islam yang mana pertembungannya adalah antara PAS dengan Umno.

“Siapa yang dapat menguasai undi Melayu Islam maka dia boleh jadi raja. Kalau Umno menang sebelum ini 80 kerusi boleh jadi raja, maka tidak pelik PAS boleh menjadi raja menggantikan Umno jika menang sekurang-kurangnya 88 kerusi seperti Umno sekarang,” ujar beliau menerangkan peluang PAS dalam PRU14.

Beliau sebelum itu menyatakan bahawa PAS mensasarkan sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen untuk dimenangi pada PRU14.

“Kita meletakkan sasaran 40 kerusi paling minima maknanya minima itu kalau tak ada satu parti boleh bentuk kerajaan,” kata beliau lagi.

"Tentu dia akan mengalami satu keadaan akan datang dipanggil ‘hungparliament’, parlimen yang tergantung memerlukan kerjasama semua pihak dan kerjasama semua pihak untuk bentuk negara adalah sesuatu yang baik, dia akan meredakan pertembungan dan dia akan bawa kebaikan kepada rakyat,” ujar beliau menerangkan kemungkinan keadaan kerusi parlimen selepas PRU14. 

HARAKAHDAILY 
   13/4/2018

Tuesday, March 20, 2018

Disindir 'mana hudud' dalam manifesto, ini jawab Pas'

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
20 MAC 2018

Nik Abduh Nik Abdul Aziz

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan pengkritik manifesto Gagasan Sejahtera (Gagasan) sebagai ‘berotak sempit’.

Beliau yang juga merupakan pemimpin kanan Pas, menegaskan manifesto yang baharu dilancarkan gabungan parti itu baru-baru ini, cukup ‘rencah’ Islam dan sempurna.

“Apabila Gagasan melancarkan Manifesto Malaysia sejahteranya (Peringkat Pertama), kamu (baca Amanah) segera melancang, mana hudud? Pas bohong, penunggang ugama!.

“Fahamilah manifesto itu dengan teliti. Kamu akan temui semua sekali daripada ajaran Islam. Islam yang sempurna, menyeluruh dan bersifat sejahtera dan sederhana,” katanya dalam satu perkongsian di Facebooknya hari ini.

Pas yang menerajui Gagasan Sejahtera (Berjasa, Ikatan) pada Ahad lalu melancarkan manifesto mereka di Cyberjaya.

Namun selepas dilancarkan, beberapa pihak kemudiannya menimbulkan persoalan mengenai kedudukan hudud di dalam manifesto mereka.

Antara pihak yang membangkitkan ialah Pengarah Syariah Amanah, Zolkharnain Abidin berkata, tiada kenyataan khusus berkaitan pelaksanaan syariah khususnya hukum hudud dalam tawaran Gagasan Sejahtera.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan, ‘semuanya ada dalam manifesto mereka’.

“Akidah yang benar, ibadah yang sahih, akhlak yang luhur, undang-undang Islam yang adil, pemerintahan yang bersih berintegriti dan kehidupan rakyat yang makmur sejahtera.

“Manifesto Malaysia Sejahtera adalah manifestasi sebahagian gagasan Islam sempurna yang ditawarkan oleh Pas demi Malaysia yang lebih baik selepas PRU14 nanti,” katanya.

Katanya lagi, malang, akal sesempit tempurung otak. Tempurung untuk otak, bukan untuk akal. Akal biarlah luas seluas Islam.

“Berpuluh tahun Pas berjuang menerang dan menerangi, anda masih di kelas peralihan, tak naik naik. Lebih tak ‘menahan’, Amanah, terus jatuh kelas.

"Daripada faham bertahun-tahun, tiba-tiba jadi tak faham. Gejala DAP apakah ini? Kan haru guru menggaru?,” sinisnya.

Monday, March 19, 2018

Manifesto: PAS tawar lupus GST juga


PAS bersama Gagasan Sejahtera melancarkan manifestonya pada malam ini dengan menyenarikan sembilan teras serta 20 tawaran utama.

Pelancaran manifesto yang disempurnakan oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu turut dihadiri wakil daripada Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), dan BERJASA

Semasa pelancaran manifesto berkenaan di sebuah hotel di Cyberjaya, terdapat juga gimik yang dilakukan iaitu sepuluh orang pemuda memasuki dewan tempat berlangsungnya acara itu dengan membawa 10 bendera Malaysia.

Antara perkara menarik yang ditawarkan PAS dan Gagasan Sejahtera itu ialah menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan sistem percukaian yang lebih adil.

Antara yang dicadangkan PAS ialah pelaksanaan Cukai Atas Simpanan Korporat dan Cukai Saham di Bursa Saham Malaysia

Gagasan Sejahtera juga berjanji untuk melupuskan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi meringkan bebanan anak muda.

Melalui langkah itu kata PAS ia menjadi inisiatif permulaan ke arah pelansakaan pendidikan percuma.

Seperti Pakatan Harapan (HARAPAN) PAS juga mencadangkan pengecualian duti eksais bagi pembeli kenderaan pertama bagi enjin di bawah 1.3cc.

Namun berbeza dengan HARAPAN, PAS menawarkan skim pinjaman tanpa faedah (qardul hasan) bagi pembeli kenderaan pertama.

Tidak pula dinyatakan sama ada skim berkenaan disediakan oleh bank atau kerajaan.

Patut makin lama makin turun

Sementara itu, semasa sidang media pula, ketika ditanya sama ada PAS akan turut menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran di sekolah vernakular, Abdul Hadi tidak menjawab soalan itu dengan jelas.

Sebaliknya, kata Abdul Hadi, berdasarkan kajian yang dibuat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) menunjukkan sekiranya pendidikan dibuat dalam bahasa ibunda, kemajuan akan lebih mudah dicapai.
"Semua negara yang pendidkan (menggunakan) bahasa ibunda mencapai kemajuan. Jerman, Jepun, China, Korea.

"Negara yang mengguna bahasa asing dalam pendidikannya memakan masa yang panjang, merugikan masa, tak boleh melahirkan ilmuan yang mencukupi kerana memakan masa," katanya.

Anggota parlimen Marang itu menambah pendirian itu bukan bermakna PAS mahu menghapuskan "bahasa asing".

BacaPilih PAS masalah kos sara hidup boleh selesai

"Bahasa asing penting untuk menimba ilmu dari pelbagai pihak. tetapi untuk mengilmukan rakyat sebanyak-banyaknya mestilah dengan bahasa ibunda.

"Bahasa ibunda ini disamping bahasa kebangsaan termasuklah bahasa yang digunakan bangsa di Malaysia ini (iaitu) Cina, Tamil, Iban," katanya.

Ditanya pula mengenai hasrat PAS untuk menstruktur semula kadar bayaran tol, Abdul Hadi berkata perkata itu akan dibuat kajian terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.

"(Menstruktur semula) kadar tol, mesti dikaji semula perundingan antara kerajaan dan pihak yang kenakan tol.

"Sepatutnya tol makin lama makin turun (harga), bila selesai (ia) dihapuskan bukan makin lama (harga) makin naik. Itu kita akan lakukan insya-Allah," kata Hadi.

Monday, March 12, 2018

'Malaysia Sejahtera': Manifesto Gagasan Sejahtera

Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Gagasan Sejahtera, pakatan pembangkang yang diterajui PAS, akan melancarkan manifesto dengan sembilan teras bertemakan ‘Malaysia Sejahtera’ pada Ahad ini.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata walaupun terma ‘negara Islam’ tidak digunakan secara langsung dalam manifesto itu, kandungannya adalah selaras dengan perlembagaan PAS yang mahu mewujudkan sebuah masyarakat harmoni, aman dan mematuhi perintah Tuhan.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat bulanan PAS Pusat, di sini hari ini, beliau berkata antara teras manifesto ialah pembentukan sebuah kerajaan yang berintegriti, beramanah serta bebas korupsi; penambahan pendapatan boleh guna dan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat; dan pemberdayaan (pemerkasaan) rakyat untuk meredakan peningkatan inflasi dan kenaikan kos sara hidup.

Turut terkandung pengurangan jurang agihan pendapatan dan kekayaan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar; peningkatan kualiti pendidikan ke arah pembinaan modal insan cemerlang; pengharmonian sistem perundangan dan tadbir urus negara selaras kehendak syariah; dan pengukuhan semula konsep federalisme dengan mengembalikan hak-hak tertentu kerajaan negeri.

Teras lain ialah pemerkasaan suara rakyat selaras dengan tuntutan syura dan amalan demokrasi; dan penambahbaikan keberkesanan sistem sokongan sosial untuk golongan memerlukan.

Tuan Ibrahim berkata manifesto itu dirangka hasil perbincangan dan persetujuan komponen Gagasan iaitu PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan Barisan Jemaah Isamiah Se-Malaysia.

Mengulas perkembangan berkaitan, Tuan Ibrahim berkata pembahagian kerusi pakatan itu telah selesai 70 peratus dan setakat ini mereka masih kekal untuk bertanding di sekurang-kurangnya 130 kerusi parlimen.

Mengenai sumpah baiah calon PAS, beliau berkata perkara tersebut akan dimuktamadkan oleh Majlis Syura parti dan setakat ini mereka tidak menerima sebarang cadangan untuk melaksanakan lafaz baiah talak tiga daripada mana-mana PAS negeri termasuk Kelantan.

-BERNAMA

Wednesday, January 17, 2018

PAS Perak yakin tambah 10 kerusi

Khairil Anwar Mohd Amin
17 Januari 2018

Abu Bakar (dua kanan) mengetuai bacaan doa sewaktu mengadakan lawatan ziarah rumah penduduk sekitar Dun Titi Serong.

PARIT BUNTAR -  Pas Perak berkeyakinan tinggi bakal memenangi tambahan sepuluh kerusi Dun di samping mengekalkan lima kerusi Dun disandang parti itu ketika ini, termasuk satu kerusi Dun 'dilarikan' Amanah.

Timbalan Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Parit Buntar, Abu Bakar Hussain berkata, meskipun Pas didakwa bersendirian dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), jangkaan penambahan kerusi Dun itu dibuat secara realistik berdasarkan senario politik semasa.

Menurutnya, ketika ini, Pas Perak menyandang kerusi Dun Titi Serong, Sungai Rapat, Gunung Semanggol dan Selinsing manakala Dun Changkat Jering dimenangi bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin kini sudah menjadi milik Amanah.

"Sememangnya Pas Perak menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi Dun bagi membentuk kerajaan, dengan jangkaan bakal bertanding di semua kerusi majoriti pengundi orang Melayu.

"Sasaran kemenangan paling realistik adalah melibatkan sepuluh kerusi Dun di mana kerusi-kerusi terbabit adalah berasaskan majoriti pengundi melayu di samping merupakan kerusi tradisi parti seperti Dun Alor Pongsu," katanya sewaktu ditemui pada program Jelajah Rakyat Dun Titi Serong di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Parit Buntar, Abdul Bahrin Md Desa dan Penyelaras Parlimen Parit Buntar, Ahmad Azhar Shahrin.

Abu Bakar yang juga Adun Titi Serong turut menolak dakwaan pengundi bukan melayu bakal meminggirkan Pas dan parti itu bersendirian dalam menghadapi PRU14.

Menurutnya, Pas sentiasa bersama dengan Gagasan Sejahtera dan sentiasa didukung oleh lebih 300 NGO dalam memastikan kemenangan parti itu nanti.

"Walaupun dakwaan pengundi cina menolak Pas, tetapi saya yakin sekurang-kurangnya 7 hingga 10 peratus antara mereka masih menerima kami.

"Hal ini disebabkan mereka melihat Pas konsisten memperjuangkan perlaksanaan kerajaan yang adil dan saksama, di samping menjadi opsyen terbaik berbanding Pakatan Harapan (Harapan) dan BN," katanya.

Saturday, January 13, 2018

Tsunami Melayu di Selangor

NOR AZURA SAHRIL & SITI ZUBAIDAH MAT ISA
13 JANUARI 2018
Abdul Hadi Awang

TSUNAMI Melayu pada PRU14 ini bakal meranapkan impian Pakatan Harapan (Harapan) kekal di Selangor, sekali gus memberi kelebihan buat Pas mentadbir negeri.

Malah, pertemuan tiga penjuru yang dijangka berlaku di setiap Dun dan parlimen, sama sekali tidak menggugat peluang parti Islam itu menang meskipun tanpa PKR dan DAP.

Menurut Yang Dipertua Pas kawasan Puchong, Mohd Soffiean Ismail, Pas yakin strategi dan gerak kerja yang diatur di setiap Dun dan parlimen berupaya menambah baik kedudukan parti itu berbanding pada PRU13.

“Pilihan raya kali ini, pengundi teras kepada Pas adalah kalangan kaum Melayu dan kita rasa sudah ada syarat untuk berlaku satu perubahan besar.

“Jika PRU13 berlaku tsunami Cina tetapi pilihan raya kali ini kemungkinan berlaku tsunami Melayu berikutan perkembangan semasa yang berlaku dalam Harapan,” katanya.

Beliau menambah, soal calon di setiap Dun dan parlimen juga telah dimuktamadkan, dan jentera Pas Selangor kini bersiap sedia sepenuhnya, hanya menunggu masa pembubaran berlaku.
Tandingi semula kerusi Pas

Bagi Pas kawasan Kapar pula, kesemua kerusi akan ditandingi termasuk Dun dan parlimen yang sebelum ini diwakili oleh Pakatan Rakyat.

Yang Dipertua Pas Kapar, Noor Najhan Mohd Salleh berkata, ia bagi memastikan hasrat Pas mentadbir Selangor pada PRU14 menjadi realiti.

“Kalau PRU13 lalu, Parlimen Kapar dan dua Dun di Sementa serta Sungai Pinang adalah milik PKR dan DAP.

“Tetapi kali ini, Pas akan bertanding semua kawasan Dun Kapar atas dasar tiada tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP. Maka, kita akan bertanding semua kerusi di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, kali terakhir Pas bertanding bagi kerusi Kapar adalah pada 1999 dan kemudian diserahkan kepada PKR.

Menurutnya, matlamat Pas adalah kemenangan, maka jentera parti bergerak ke arah itu.

“Matlamat perjuangan kita tetap sama dan isu menang kalah itu telah kita lalui. Pastinya kita turun untuk menang, jadi jentera kita menggambarkan ke arah itu,” ujarnya.

Tambah Noor Najhan lagi, Pas Selangor akan pastikan sokongan padu rakyat terhadap Pas, termasuk pengundi bukan Melayu.

“Pastinya Pas tetap akan menjadi sebahagian daripada kerajaan. Kita dalam pilihan raya nak kuasa bagi membawa rakyat ke arah kebaikan.

“Akan datang kita akan mempertahankan kemenangan Gagasan Sejahtera, bukan Pakatan Harapan, bukan BN. Kita berdiri atas tiket kita sendiri,” tegasnya.
Ada kawan atau tidak, lawan tetap lawan

Pas yakin dapat mengekalkan kemenangan di Selangor walaupun bersendirian dan tidak lagi bersama parti pembangkang.

PRU13 menyaksikan Pas ketika bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, menang 15 kerusi Dun di Selangor, PKR 13 dan DAP 14 kerusi.

Kedudukan ini, menurut Yang Dipertua Pas Kawasan Sungai Besar, Mohd Fadzin Taslimin, Pas positif dapat mengekalkan kedudukan di Selangor.

“Ada kawan atau tidak, siapa pun lawan kita, tidak timbul isu. Pas tidak ada masalah. Ya, matlamat kita mahukan kemenangan dan kita berusaha ke arah itu walaupun bersendirian.

“Kerana itu, Pas meletakkan akan bertanding hampir di kesemua kerusi di Selangor walaupun berlaku pertembungan tiga kerusi,” katanya.

Katanya, perubahan politik di Selangor menunjukkan Pas mempunyai kekuatan sendiri.

“Bahkan Pas akan terus mendapatkan sokongan rakyat dan pengundi termasuk NGO di Sungai Besar.

“Ini menunjukkan rakyat mulai faham dengan matlamat dan perjuangan parti ini, dan Pas tidak perlu terlalu bergantung kepada isu semasa semata-mata," katanya.

Optimis kemenangan menjadi milik parti itu, Mohd Fadzin mendakwa undi Pas tidak pernah merosot malah bertambah walaupun Pas sudah berusia 60 tahun.
Tetap pertahankan Selangor walau badai melanda

Tidak dinafikan pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan dalam mana-mana pilihan raya.

Namun, tiga atau empat penjuru sekalipun, Pas mempunyai potensi menang besar di Selangor, meskipun tanpa Harapan.

Yang Dipertua Pas Kawasan Sepang, Ir Mohd Haslin Hassan berkata, pilihan raya adalah proses demokrasi dan sesiapa sahaja boleh bertanding.

“Tetapi ia bergantung kepada kekuatan parti masing-masing, dan apabila tiba masa mengundi rakyat menilainya.

“Bagi Pas, secara tradisi mana-mana kerusi yang diletakkan calon, kita akan hadapi sesiapa juga yang akan bertanding. Pas tetap lawan sesiapa sahaja, dan tidak mustahil Pas akan menang lebih banyak kerusi,” katanya.

Dalam usaha mengekalkan kerajaan negeri, Pas akan pastikan musuh politik iaitu BN dan parti lain tidak boleh menguasai Selangor.

“Pas akan pastikan Selangor tidak akan jatuh ke tangan musuh. Kita mahu pertahankan kerajaan sedia ada,” katanya.
Kerjasama tetap diteruskan

Sementara itu, kerjasama Pas dan Kerajaan Selangor tetap diteruskan walaupun Pas tidak bersama dalam Pakatan Harapan.

Perbezaan matlamat dan perjuangan tidak bermaksud Pas perlu mengetepikan amanah rakyat untuk menerajui Selangor.

Sejak 2008, katanya Pas memberikan sumbangan besar kepada kerajaan negeri.

Yang Dipertua Pas Kawasan Ampang, Khasim Aziz berkata, tekad Pas untuk mengekalkan kerajaan negeri, sekali gus menolak tohmahan bahawa Pas tidak pernah membuat sebarang perjanjian dengan Umno.

“Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersatu di atas pentas sama, kerjasama ini demi kebajikan rakyat dan atas matlamat sama, bukan kerana politik atau ada perjanjian dengan Umno.

“Dakwaan itu hanya cubaan mencipta persepsi negatif dan propaganda buruk yang tidak selayaknya dan hanya mengelirukan rakyat” katanya.

Saturday, December 23, 2017

PAS kemuka 10% calon bukan Islam di Pahang

Bernama 
December 23, 2017

PAS Pahang yakin menawan kawasan majoriti Melayu walau tanpa kerjasama dengan pembangkang lain.
TEMERLOH:   PAS akan meletakkan 10% calon bukan Islam untuk bertanding di kerusi parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar.

Menurutnya, calon akan dipilih dari kalangan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

“Untuk peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) pula, bergantung pada keadaan semasa,” katanya selepas Mesyuarat PAS Pahang di di sini.

Beliau berkata PAS Pahang juga memutuskan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 38 DUN dan 13 kerusi parlimen pada PRU14 nanti.

“Kita telah mengenal pasti calon yang bakal bertanding dengan pelbagai latar belakang termasuk aktivis masyarakat, profesional dan golongan agamawan. Sebanyak 40% merupakan golongan muda dan 10% lagi merupakan calon muslimat,” katanya.

Rosli berkata pihaknya yakin menawan kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu meskipun tanpa kerjasama parti pembangkang lain bersandarkan sokongan 200 badan bukan kerajaan di bawah gabungannya, Gagasan Sejahtera.

PAS kini menyandang 2 kerusi DUN di Pahang, iaitu Tanjung Lumpur dan Beserah, serta satu kawasan Parlimen iaitu Temerloh.

Satu lagi kerusi DUN dimenangi pada PRU13 iaitu Kuala Semantan kini berubah kepada Amanah selepas penyandangnya Syed Hamid Syed Mohamed keluar PAS.

Thursday, November 2, 2017

Politik 'solo' Pas rugikan rakyat

ATIRAH HASLI
Mahfuz Omar
KUALA LUMPUR - Politik 'solo' dimainkan Pas didakwa akan mendatangkan kerugian kepada rakyat negara ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Pas sangat kuat namun tidak mampu mempengaruhi lonjakan undi.

"Apabila Pas tidak bersama dengan Pakatan Harapan, mereka telah membina persepsi bahawa merekalah sebenarnya yang memencilkan diri sendiri dan bukannya dipencilkan.

"Pas sekarang dilihat menjauhkan diri daripada arus politik pembangkang," katanya kepada Sinar Online.

Beliau berkata, kerjasama politik diadakan Pas sekarang tidak cukup kuat untuk mengalihkan kuasa kerajaan pada PRU akan datang.

"Memang sekarang ini Pas mempunyai kerjasama politik yang dipanggil Gagasan Sejahtera, namun gagasan tersebut tidak cukup kuat jika dibandingkan dengan kekuatan gabungan parti dalam Pakatan Harapan.

"Pas tidak bersedia untuk berada dalam kalangan parti pembangkang dan perkara itu sebenarnya merugikan rakyat," katanya.

Thursday, October 12, 2017

PAS tolak kerjasama pilihan raya Umno

Minderjeet Kaur
October 12, 2017

Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan berkata jawatankuasa pusat PAS memutuskan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti politik.

PETALING JAYA: PAS menolak cadangan membentuk kerjasama pilihan raya dengan Umno untuk pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan berkata PAS akan kekal bebas dan menjadi kuasa ketiga kepada kerajaan dan pembangkang.

“Umno ketika ini bukan pilihan untuk bekerjasama pada pilihan raya nanti,” katanya, dan menambah begitu juga parti politik lain.

“Kita berjuang bukan untuk kuasa semata-mata tetapi juga untuk meneruskan prinsip dan perjuangan menurut Islam,” katanya kepada FMT.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa yang berkata Umno memberikan mandat kepada presiden mereka, Datuk Seri Najib Razak untuk berunding mengenai kerjasama pilihan raya dengan PAS.

Annuar dilaporkan berkata keadaan buat ketika ini nampak positif dan kerjasama seperti itu pasti disokong ramai orang Melayu yang khuatir mengenai perpaduan orang Melayu.

Takiyuddin bagaimanapun berkata jawatankuasa pusat PAS tahun ini memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti politik.

“Keputusan ini dibuat selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP. Kita semua terikat dengan keputusan itu. Terpulang kepada Umno atau parti lain untuk bekerjasama dengan kita, tetapi kita terikat dengan keputusan itu,” kata ahli Parlimen Kota Bharu.

Beliau menambah PAS tidak berhasrat untuk berunding mengenai pembentukan suatu pakatan, atau bekerjasama dengan parti politik lain.

“Oleh kerana kita terikat dengan keputusan itu, kita tidak boleh memulakan apa jua pakatan,” tambahnya.

Beliau berkata parti itu sedar Gagasan Sejahtera yang diterajui PAS, yang menganggap gabungan tu sebagai blok politik ke-3, masih lemah ketika ini.

Beliau bagaimanapun yakin sokongan dan misi PAS pada PRU14, yang mesti diadakan pada pertengahan tahun depan.

Sejak lebih sedekad lalu, politik Malaysia menyaksikan pertarungan antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, yang dianggotai PAS.

PAS bagaimanapun meninggalkan gabungan itu kerana perbalahan dasar, terutamanya dengan DAP. Keadaan itu membawa pembentukan gabungan baharu, Pakatan Harapan, yang terdiri daripada DAP, PKR, PPBM dan Amanah.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-