Showing posts with label Hashim Jasin. Show all posts
Showing posts with label Hashim Jasin. Show all posts

Tuesday, August 27, 2024

PAS kaji buruk baik jika bersama kerajaan perpaduan - Mursyidul Am

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 27, 2024 6:08 PM
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin mengakui terdapat usaha daripada pihak tertentu yang mempelawa parti itu untuk bersama dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Malah, katanya, perkara itu juga ada dibangkitkan pada Majlis Syura Ulama, namun secara sepintas lalu dan belum ada sebarang keputusan muktamad.

“Kita perlu kaji dan tengok baik buruk mengenainya dan adakah dalam kerjasama di dalam kerajaan itu ada DAP dan sebagainya. Perkara itu akan diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Ya, memang ada usaha daripada pihak tertentu yang mengajak kita bersama di dalam kerajaan perpaduan dan kita belum buat apa-apa keputusan lagi,” kata Hashim yang dipetik Utusan Malaysia, dan disiarkan hari ini.

Menurut musyidul am PAS itu, sebagai parti tunggal yang mempunyai kerusi terbanyak di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu sudah pastinya, kerjasama itu boleh membantu memperkuatkan kedudukan kerajaan.

Namun, untuk bersama di dalam kerajaan perpaduan, Hashim berkata PAS memerlukan kajian dan perbincangan lebih menyeluruh.

“Ada baik dan buruknya perkara tersebut dengan PAS masih tidak membuat sebarang keputusan muktamad mengenainya”, katanya lagi.

Pada Februari lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan partinya tetap beristiqamah bersama "Islam yang berkuasa" dan bukan sebaliknya dengan "Islam sekular yang tidak berkuasa".

Kata Presiden PAS itu "Islam sekular" tersebut dicacatkan oleh penjajah dengan meninggalkan petunjuk Allah, seterusnya membawa akibat buruk yang dapat disaksikan sekarang.

Mengulas mengenai aspek perpaduan yang kini menjadi perbincangan, Abdul Hadi berkata, perkara itu dilihat penting sehingga menjadikan semua menguar-uarkan perpaduan.

Pada Jun lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil tidak mengesahkan mahupun menafikan khabar angin kononnya PAS mungkin menyertai kerajaan perpaduan tetapi dia menegaskan terdapat perbincangan antara kerajaan dan pembangkang, khususnya membabitkan pemimpin negeri.

Bagaimanapun, Fahmi tidak menyatakan secara jelas sama ada perbincangan itu termasuk dialog eksklusif antara kerajaan pusat dan PAS.

Perkara itu sekali lagi dinafikan oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengesahkan parti itu tidak bercadang untuk menyertai kerajaan gabungan pimpinan Pakatan Harapan-BN.

Thursday, September 15, 2022

PAS anjur solat hajat minta ‘dibukakan hati’ malam esok

freemalaysiatoday.com
Anne Muhammad
-September 14, 2022 11:54 PM
Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata solat hajat itu diadakan untuk memohon dibukakan hati golongan menolak perpaduan dan,dihindari musibah banjir.

PETALING JAYA: PAS akan menganjurkan solat hajat bagi membuka hati pihak yang tidak mahu perpaduan ummah malam esok, kata mursyidul amnya Hashim Jasin.

Hashim berkata, seruan solat hajat itu dibuat kepada semua ahli PAS termasuk Umno, Bersatu dan parti lain yang inginkan perpaduan ummah terlaksana di negara ini.

“Kita tak putus harap, kita masih ajak untuk kita bersatu kerana ia adalah perintah Tuhan, jadi kita dah usaha ajak.

“Jadi sekarang ni yang boleh ubah hati adalah Allah maka kita ajak lah ahli-ahli kita doa pada Allah supaya diubah hati-hati orang yang tak mahu agenda perpaduan ummah supaya mereka kembali dan bersetuju dengan usaha suci yang kita sedang jalankan,” katanya kepada FMT.

Menerusi siaran akhbar Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahya, solat hajat itu akan diadakan pada esok (khamis malam Jumaat) bersempena sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan 16 Sept setiap tahun.

“Mesej utama penganjuran solat hajat dan munajat ini adalah gesaan penyatuan ummah dapat direalisasikan dalam negara,” kata Ahmad sambil menambah penganjurannya turut bagi memohon dihindarkan negara ini dari musibah termasuk banjir besar Nov akan datang.

Mengulas lanjut, Hashim berkata solat hajat itu akan diadakan di semua cawangan parti seluruh negara.

Ditanya adakah pihaknya memanjangkan jemputan itu kepada Umno, Hashim menjawab:

“Kita terbuka. Kalau dia nak hadir boleh kerana bukan semua orang umno tolak perpaduan ummah, jadi siapa yang nak perpaduan ni mari kita sembahyang hajat, lembutkan hati orang yang tak mahu,” katanya.

Wednesday, September 7, 2022

‘Rundingan gelap’: PAS-Umno bincang 1 lawan 1 dengan PH, dedah Hashim

freemalaysiatoday.com
Anne Muhammad
-September 7, 2022 9:00 AM
PAS mahu menyedarkan Umno bahawa musuh sebenar yang perlu dilihat pada PRU15 adalah PH dan bukannya Bersatu, kata Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin mendedahkan ‘rundingan gelap’ Muafakat Nasional (MN) antara partinya dan pemimpin tertentu Umno menyentuh keperluan satu lawan satu di antara mereka dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, PAS mahu menyedarkan Umno bahawa musuh sebenar yang perlu dilihat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) adalah PH dan bukannya Bersatu.

“Nak bagi Umno sedar siapa kita nak lawan. Dia bukan Umno lawan PAS, lawan Bersatu, bukan begitu. Kalau boleh berpakat, kita berpakat,” katanya kepada FMT ketika ditanya rundingan MN antara dua parti itu seperti yang disahkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, 4 Sept lalu.

Sebelum ini Takiyuddin ketika mengesahkan perkara tersebut enggan mendedahkan siapa dan di peringkat mana dalam Umno perbincangan itu berlaku, namun pemimpin terlibat “mempunyai jawatan” dan berkeupayaan “mempengaruhi keputusan” pucuk pimpinan Umno.

Mengulas lanjut, Hashim mendakwa akar umbi Umno mahukan penyatuan MN namun ditolak “pemimpin atasan mereka”.

“Yang ada seorang kita kenal (tak mahu MN), dia yang sebut begitu. Adakah…(suara) majoriti atau akar umbi dalam Umno sama dengan apa yang dicakapkan tu.

“Sekarang ni kita merasai akar umbi Umno nak kepada perpaduan tu, terpulang kepada pemimpin dia,” katanya.

Pada 3 Sept lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengingatkan pemimpinnya supaya tidak mengadakan “rundingan dalam gelap” susulan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa kedua-dua parti sedang berunding melibatkan pimpinan parti hingga ke peringkat akar umbi.

Katanya, beliau sendiri tidak mengetahui siapakah individu dari Umno seperti dimaksudkan Hadi yang sedang menjalankan rundingan dengan partinya.

Dua parti Melayu terbesar itu membentuk pakatan berkenaan pada September 2019 sebagai persefahaman pilihan raya dengan matlamat utama menyatukan undi Melayu-Islam. Namun, pada Disember tahun lalu, PAS menolak gagasan MN jika Umno enggan menerima Bersatu dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai gagasan itu.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika itu berkata, berdasarkan piagam MN, kedua-dua parti sedia menerima parti lain termasuk Bersatu dan NGO.

Friday, March 1, 2019

Mursyidul am PAS hadir ke SPRM

MyMetro
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my

HASHIM tiba di Pejabat SPRM Perlis. 
FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

MURSYIDUL Am PAS, Datuk Hashim Jasin tiba di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh UMNO.

Hashim tiba di perkarangan Bangunan Persekutuan Kangar dengan menaiki Proton Saga warna putih ditemani isterinya, serta tiga anggota Jabatan Amal PAS.

Beliau yang tiba dengan memakai baju Melayu berwarna hijau, berseluar kelabu dan berkopiah putih masuk melalui pintu parkir belakang bangunan.

Selain Hashim, Exco PAS, Nasir Daud turut dipanggil bagi memberi keterangan membantu siasatan SPRM di Kelantan.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dipanggil memberi keterangan kepada SPRM yang juga difahamkan berhubung dakwaan parti itu menerima RM90 juta dana 1MDB diberi UMNO.

Sementara, 8 Februari lalu, bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa turut hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi kes sama.

Pada 25 Februari lalu, SPRM mengesahkan siasatan pihaknya setakat ini tidak menemui sebarang kemasukan wang RM90 juta yang didakwa daripada 1MDB ke dalam akaun PAS.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull namun beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan.

Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya yang diterbitkan portal berkenaan, sebelum ini mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta untuk mendorong parti itu bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Isu terbabit timbul semula apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1 Februari lalu membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel mengandungi tuduhan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 10:30 AM

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-