Showing posts with label Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. Show all posts
Showing posts with label Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. Show all posts

Monday, February 17, 2025

'Waktu sekolah sama pada Ramadan ini, tak perlu balik awal...' - Fadhlina

bharian.com.my
Oleh Fahmy A Rosli 
fahmy.azril@bh.com.my
 Februari 17, 2025 @ 12:15pm
Fadhlina pada sidang media hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 di SK Taman Pelangi Semenyih. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

SEMENYIH: Sesi persekolahan dan kantin sekolah akan beroperasi seperti biasa sepanjang Ramadan ini, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Sehubungan itu, beliau memohon semua pihak merujuk dan mematuhi garis panduan yang diterbitkan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Sekolah dan kantin sama (beroperasi seperti biasa). Ramadan tetap macam biasa, nak balik awal pun bukan boleh buka puasa awal," katanya sambil berseloroh selepas meninjau hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih di sini, pagi tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Dr Jafri Abu.

Ramadan bakal disambut di negara ini selepas hampir dua minggu sesi persekolahan bermula bagi tahun ini.

Fadhlina berkata, KPM mempunyai garis panduan persekolahan termasuk bagi sepanjang bulan puasa yang boleh dijadikan rujukan semua pihak.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya mengambil maklum jika ada keperluan khas bagi isu tertentu yang perlu dilakukan.

Saturday, July 27, 2024

DAP tunjukkan mereka ‘abang besar’ dalam PH

harakahdaily.com
July 27, 2024
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR: “DAP sememangnya sentiasa menunjukkan bahawa mereka adalah ‘abang besar’ dalam Pakatan Harapan (PH).

“Tidak mengejutkan apabila Pengerusi DAP, YB Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan berupa amaran agar YB Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tidak berpendirian seiring dengan PAS dan Pemuda Umno dalam isu kutipan dana pendidikan Cina dengan mengatakan bahawa Fadhlina bukan ‘Menteri Pendidikan PAS’.

Itu penegasan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan menerusi Facebooknya mengulas laporan portal berita, Malaysiakini yang pada hari ini mengenai Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang telah mengingatkan Fadhlina agar tidak berpendirian seiring dengan PAS dan Pemuda Umno dalam isu kutipan dana pendidikan Cina dan menegaskan, Fadhlina bukan ‘menteri pendidikan PAS’.

Menurut Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, segala kenyataan dan dasar yang ditetapkan oleh DAP seolah menjadi dasar yang harus diikuti oleh Kerajaan PH-BN.

Malahan kenyataan Guan Eng itu, tambah beliau, seakan terbukti kebenarannya apabila kabinet membuat keputusan yang senada dengan kenyataan-kenyataan DAP berhubung isu larangan institusi pendidikan menerima sumbangan daripada hasil arak.

“Ia bertentangan dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018 yang jelas melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

“Adakah Guan Eng ingin mengajar YB Menteri Pendidikan bahawa mempromosikan arak diperkarangan sekolah itu adalah baik buat murid walaupun kepada murid yang bukan Islam?

“Adakah Guan Eng mahu anak-anak ini dinormalisasikan dengan arak diperkarangan sekolah?” soal Tuan Ibrahim.

Beliau menyataan, sepatutnya Guan Eng menyokong Menteri Pendidikan yang cuba menjauhkan arak dalam kalangan pelajar sekolah.

“Guan Eng tidak perlu mengajar YB Menteri Pendidikan cara bekerja, sedangkan ketika beliau menjadi Menteri pun gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik.

“Kepada pemimpin Umno yang masih berada dalam Kerajaan, adakah budaya seperti ini yang akan terus disokong?” katanya. 

Friday, July 26, 2024

Jangan kurang ajar, Akmal selar Guan Eng, pertahan Fadhlina

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
26 Jul 2024, 10:35 PM

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, Fadhlina Sidek sepatutnya menjadi menteri pendidikan untuk kerajaan perpaduan dan rakyat, bukannya ‘menteri pendidikan PAS’.
Dr Akmal Saleh mengingatkan Lim Guan Eng bahawa polisi berhubung penyaluran sumbangan sekolah mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh mempertahankan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan menyelar Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berhubung garis panduan kutipan dana sekolah vernakular.

Adun Merlimau itu mengingatkan Lim bahawa polisi berhubung penyaluran sumbangan sekolah mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk.

“Saya nak ingatkan Lim Guan Eng dan DAP yang negara ini agama Islam adalah agama persekutuan dan majoriti penduduk berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“Fadhlina bercakap atas kapasiti menteri yang menjaga undang-undang ditetapkan dan sebagai menteri Melayu-Islam.

Polisi yang diwujudkan adalah untuk menjaga sensitiviti agama dan bangsa di negara ini… nasihat saya kepada kamu, tolong jangan kurang ajar, katanya di Facebook.

Terdahulu, Lim mengingatkan Fadhlina bahawa kenyataannya berhubung garis panduan kutipan dana sekolah agak keras.

Lim dilaporkan berkata, Fadhlina sepatutnya menjadi menteri pendidikan untuk kerajaan perpaduan dan rakyat, bukannya ‘menteri pendidikan PAS’.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.

Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam.

Menurutnya, Jemaah Menteri akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan,
seperti diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.

Isu sumbangan tercetus susulan tular gambar Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu, menghadiri suatu majlis kutipan dana di sebuah sekolah di Sepang. Wakil rakyat Amanah itu menjelaskan beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program, yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.

Syarikat minuman keras di sebalik kontroversi itu menjelaskan ia tidak membuat sebarang sumbangan kepada sekolah, dan peranannya hanya melibatkan persembahan artis dalam program Chinese Education Charity Concert.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Wednesday, July 24, 2024

Akmal bidas DAP - 'Sukan pun tak dibenar terima dana syarikat arak, apa lagi sekolah'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 24, 2024 11:28 AM
Pemuda Umno menyatakan sokongan penuh kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk mempertahankan polisi tidak membenarkan syarikat arak, rokok dan judi memberikan sumbangkan kepada sekolah.

Ketuanya Dr Akmal Saleh berkata, dalam sukan bola sepak pun sumbangan oleh pihak berkenaan tidak dibenarkan apa lagi kepada pihak sekolah.

"Sokongan sepenuhnya kepada YB menteri pendidikan untuk mempertahankan polisi tidak dibenarkan sumbangan dari syarikat arak, rokok dan judi diberikan kepada pihak sekolah.

"Jika liga bola sepak negara pun tidak dibenarkan syarikat sebegini untuk menyumbang apa lagi untuk sekolah di dalam negara ini.

"Dan saya mohon agar pihak kerajaan untuk mempertahankan polisi yang sedia ada ini walaupun diasak oleh mana-mana menteri untuk mengubahnya," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam Fadhlina dilaporkan menolak pengecualian untuk pematuhan garis panduan yang melarang sekolah menerima dana yang dijana daripada penjualan produk tembakau dan minuman beralkohol.

Dia berkata walaupun semua sumbangan dialu-alukan, namun ia mesti mengikut garis panduan kementerian.

"Jadi nasihat saya, patuhi garis panduan tersebut.

"Dan juga sekolah mesti memastikan bahawa tanggungjawab itu berada di peringkat pentadbir untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar," katanya.
Terdahulu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menyiasat dakwaan sebuah sekolah Cina di Sepang menerima sumbangan daripada sebuah syarikat pengeluar minuman beralkohol.

Kementerian juga mengingatkan pentadbir sekolah supaya mengikut garis panduan sedia ada.

Mengulas siasatan itu, Fadhlina menyifatkan ia lebih sebagai "memberi panduan" bagi memastikan garis panduan itu telah dipatuhi.

Pekeliling itu berkuat kuasa pada Mac 2018 apabila BN menjadi kerajaan. Sekolah Cina telah menerima pembiayaan daripada pelbagai sumber, termasuk kilang bir, selama beberapa dekad.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pula berkata isu membabitkan sumbangan syarikat arak kepada sekolah Cina bagi mengumpul dana sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu.

Justeru dia menegaskan akan memberi penjelasan kepada jemaah menteri berhubung perkara itu, hari ini.

Bagaimanapun Akmal turut membidas Loke dengan menegaskan bahawa negara ini mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi.

"Ini negara yang ada peraturan yang perlu dipatuh, bukan negara yang mengikut aturan kamu Anthony Loke Siew Fook.

"Pemuda Umno menyokong penuh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengenai isu ini, bebaskan anak-anak kita dari anasir yang tidak baik," katanya.

Sunday, March 31, 2024

Fadhlina minta maaf tapi tiada kompromi pada pemfitnah

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 31, 2024 11:10 AM
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini membuat permohonan maaf susulan tularnya klip video pendek memaparkannya kononnya dia menolak penggunaan perkataan "kafir".

Menurut Fadhlina selain klip video yang ringkas itu, turut disebarkan ialah rekaan poster menunjukkan seolah-olah dia menafikan ungkapan yang memang ada dalam Islam.

Dakwaan tersebut, katanya, dibuat di luar konteks sebenar dan menyimpang daripada apa yang dimaksudkannya.

“Saya ingin memohon maaf sekiranya ada mengguris perasaan mana-mana pihak atas kesalahfahaman, keterlanjuran kata dan khilaf yang datang daripada kelemahan diri saya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Fadhlina, pandangan yang diberikannya itu dibuat dalam majlis tertutup ketika dia menyentuh kemelut penyebaran sentimen kebencian, sikap ghuluw (melampau) dan gejala takfiri dalam kalangan segelintir masyarakat.

Katanya sentimen jahat tersebut menular sehingga kepada anak-anak di sekolah dan ia tercetus hasil interaksi mereka dengan orang lebih dewasa yang mengambil pendekatan ekstrem.

"⁠Saya sebutkan bahawa saya tidak membenarkan anak-anak saya menyebut istilah 'kafir' yang mempunyai konotasi kebencian terhadap warga non-Muslim yang hidup bersama-sama dalam negara tercinta," jelasnya.

Pada masa sama ahli parlimen Nibong Tebal itu juga mengingatkan dia tidak akan berkompromi dengan siapa atau mana-mana pihak yang terlibat dalam fitnah terhadapnya.

“Saya tidak kompromi soal fitnah dan tuduhan jahat, serta kesengajaan penyelewengan konteks, lebih-lebih lagi ancaman keselamatan terhadap diri saya dan keluarga.

“Hakikatnya, ia adalah suatu salah faham dan kesengajaan penyelewengan konteks sebagaimana dinyatakan sebelum ini,” katanya.

Sejak semalam tular dakwaan Fadhlina "mengharamkan" penggunaan kalimah kafir termasuk di rumah dan dalam kalangan anak-anaknya.

Pengkritik kemudian mengecam dan menyindir menteri terbabit. Semalam juga Fadhlina dilaporkan menerima ugutan melalui alam maya susulan isu berkenaan.

Justeru dia sudah membuat aduan kepada polis sebagai langkah keselamatan, selain agar membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Ujar Fadhlina, isu sebutan kafir atau non-Muslim bukanlah bermakna dia melarang penggunaan perkataan yang memang dalam al-Quran itu.

Sebaliknya, Fadhlina berkata, ia adalah isu memilih panggilan bersesuaian dalam kehidupan seharian.

Saturday, March 30, 2024

Video diedit larang sebut kafir - Fadhlina terima ugutan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 30, 2024 9:03 PM
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menerima ugutan di alam maya susulan perkongsian video dan imej yang telah diedit pada hantaran di Facebook dan tular di media sosial.

Hantaran yang tular itu menuduh Fadhlina menyebut "perkataan kafir pun saya haramkan di rumah" dan "perkataan kafir pun saya haramkan di rumah saya."

Lantaran itu, Fadhlina berkata pihaknya telah melaporkan kepada pihak berkuasa dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.

"Ujaran kebencian, tuduhan tidak benar, malah ancaman keselamatan diterima di alam maya.

"Laporan polis telahpun dibuat, atas faktor keselamatan.

"Manakala atas nasihat pasukan peguam, kesemua bukti daripada hantaran, komentar, dan mesej peribadi di media sosial yang pelbagai sedang dikumpulkan dan tindakan undang-undang akan diambil.

"Mungkin ada yang memang bertindak dengan sengaja, ada pula bertindak melulu atas kejahilan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan setiausaha politik kepada menteri pendidikan Atiqah Syairah Shaharuddin telah membuat laporan polis susulan hantaran tular itu.

Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Atiqah berkata hantaran tersebut telah menyebabkan Fadhlina menerima pelbagai reaksi negatif daripada netizen.

"Saya bimbang keselamatan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kerana isu ini akan menjadi isu 3R (kaum, agama dan raja-raja)," katanya pada laporan itu.

Tuesday, March 12, 2024

‘Arahan kantin sekolah mesti dibuka sepanjang Ramadan keterlaluan’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 12, 2024 12:22 PM

PAS beranggapan arahan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek supaya kantin sekolah mesti beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan sebagai keterlaluan.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad Yahaya berkata tindakan menteri berkenaan seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan dan sengaja mencetuskan polemik.
“Mereka (pelajar bukan Islam) boleh hadir ke sekolah dengan bekal makanan dan makan di ruangan yang dibenarkan. Itu sudah memadai tanpa perlu arahan agar kantin dibuka yang dilihat agak keterlaluan.

“Ironinya, Dewan Ulama PAS Pusat melihat menteri sendiri gopoh dalam mengeluarkan arahan sedemikian seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan dan para pelajar Muslim yang harus diasuh untuk berpuasa sejak daripada kecil.

“Perkara sebegini hanyalah mencetuskan polemik tidak perlu dan membuang masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad berkata perkara itu boleh berlaku secara harmoni tanpa perlu ada arahan supaya kantin dibuka sepanjang bulan Ramadan.

“Bukan bermaksud kita menghalang pelajar bukan Islam untuk makan di siang hari, cuma ia juga satu bentuk didikan supaya mereka menghormati bulan Ramadan sejak di alam persekolahan,” katanya lagi.
Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan
Semalam, Fadhlina dilaporkan berkata, adalah penting proses untuk memahamkan pelajar bukan Islam mengenai ibadah puasa yang dijalani rakan beragama Islam agar mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain.

"Kantin mesti dibuka. Kedua mesti ada dari segi pendidikan berkaitan dengan ke arah dan hormat khususnya sekolah-sekolah yang mempunyai anak-anak yang bukan Islam.

"Jadi proses pendidikan untuk memahamkan dan menghormati antara satu sama lain sangat penting,” kata menteri itu.

Sebelum ini, agensi berita nasional Bernama melaporkan Fadhlina menasihatkan pengusaha kantin sekolah untuk terus meneruskan operasi sepanjang bulan Ramadan walaupun sekolah berkenaan mempunyai kurang daripada 10 peratus pelajar bukan Islam.

Dia berkata ini kerana tidak semua kanak-kanak Islam diwajibkan berpuasa terutama pada usia awal selain menghormati orang bukan Islam pada Ramadan.
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga adalah ahli Parlimen Pokok Sena berkata, PAS berpandangan bahawa perkara itu telah menjadi uruf setempat dan kebiasaan rakyat di negara ini untuk menghormati umat Islam yang sedang berpuasa termasuk pelajar sekolah.

“Seharusnya kita memulakan langkah dengan memberikan pendidikan terhadap kepentingan berpuasa khusus kepada pelajar yang beragama Islam.

“Golongan pelajar bukan Islam juga akan turut menghayati kepentingan berpuasa walaupun tidak ada paksaan terhadap mereka,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-