Showing posts with label Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu. Show all posts
Showing posts with label Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu. Show all posts

Tuesday, April 4, 2017

Jangan diperbodohkan dengan polemik RUU355 - Mat Sabu

oleh RoketKini
KUALA LUMPUR, 3 APRIL: “Jika benar-benar kerajaan ikhlas dan yakin bahawa isu RUU 355 sebagai keperluan penting perundangan dan isu substantif, pastinya kerajaan sendiri akan mengambil inisiatif memindanya.”

Demikian kata Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu mengulas keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak minggu lalu bahawa kerajaan tidak akan membentangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Parlimen.

“Motif sebenarnya ialah kepentingan politik maka RUU 355 telah digunakan sebagai umpan untuk menarik PAS keluar dari muafakat Pakatan Rakyat.

“Lalu berlakulah apa yang berlaku sehingga kemudiannya PAS berpecah selepas berlakuknya pembersihan golongan progresif dan pro-PR,” tambah bekas Timbalan Presiden PAS itu.

Menurut beliau Najib dan pimpinan UMNO telah ‘melayani’ kehendak PAS seolah-olah menyokong RUU 355 ini. Namun kini seluruh rakyat telah jelas dengan kedudukan perkara tersebut yang sekadar menjadi perhitungan kepentingan politik UMNO-BN.

Perdana Menteri seusai mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasioanal minggu lalu mengumumkan tidak akan mengambil alih pembentangan usul pindaan terhadap Akta tersebut daripada Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.

Ini setelah berbulan-bulan menjustifikasi keperluan untuk meminda Akta tersebut, hatta membahaskannya dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO hujung tahun lalu, selain menyatakan sokongan kepada perhimpunan ungu di Padang Merbok anjuran PAS.

Polemik hudud dan RUU 355 menyebabkan PAS berpecah dua, yang akhirnya membawa kepada penubuhan Amanah yang kini dipimpin Mohamad Sabu sendiri.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu menegaskan bahawa rakyat perlu segera kembali fokus kepada usaha menolak penguasa politik yang rasuah.

“(Mereka) tidak amanah, tidak kompeten, jenis balun, boros dan bolot kekayaan negara.

“Bebanan kos sara hidup rakyat di segi pemakanan, pengangkutan, kesihatan, pendidikan, perumahan, peluang pekerjaan bagi penganggur khasnya belia dan graduan, kejatuhan nilai ringgit, impak cukai GST dan penarikan pelbagai subsidi untuk rakyat, adalah isu-isu sebenar yang cuba dialih pandang oleh kerajaan Najib,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

“Hentikan dari dipermain dan diperbodohkan dengan polemik RUU 355 ini oleh golongan yang mahu mengekalkan kuasa UMNO-BN dan mereka yang menyokong penguasa politik yang rasuah dan tidak amanah ini,” tegasnya.

Roketkini.com

Monday, May 23, 2016

Mohamad Sabu antara calon AMANAH PRK Sungai Besar

Salahuddin Ayub dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin juga disenaraikan sebagai calon PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu adalah antara nama yang disenaraikan sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Selain itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin juga disenaraikan sebagai calon PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Kita ada banyak lagi nama tetapi belum diputuskan lagi,” kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata kepada Bernama di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam satu sidang media di Parlimen, Khalid berkata Amanah berpendapat sukar bagi PKR bertanding menentang PAS pada kedua-dua PRK itu memandangkan kedua-dua parti pembangkang itu mempunyai hubungan yang baik.

Sehubungan itu, katanya Amanah bersedia mewakili Pakatan Harapan dalam PRK berkenaan.

Menurutnya PKR perlu menerima hakikat bahawa PAS tidak akan menarik diri daripada bertanding.

Oleh itu, tumpuan perlulah diberikan kepada mengukuhkan kedudukan Pakatan Harapan di dua kerusi itu, kata Khalid.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditemui pemberita berkata PKR dan PAS masih boleh berbincang berhubung isu calon bagi memastikan hanya satu calon daripada pembangkang menentang Barisan Nasional (BN) pada kedua-dua pilihan raya kecil itu.

Katanya beliau tidak pernah menemui Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berunding tentang calon bagi kedua-dua PRK itu.

Namun, katanya beliau telah pun bertemu Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengarah Pilihan Raya Pusat PAS Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Politik Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung perkara itu.

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail juga berkata beliau yakin PKR dan PAS dapat berbincang mengenai pilihan raya kecil berkenaan.

“Kami perlulah menanti (kesediaan) PAS untuk bertemu kerana parti itu yang mahu bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan,” katanya semasa ditemui di lobi Parlimen.

Nada berbeza pula dilontarkan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menegaskan parti itu sudah menutup pintunya bagi sebarang perbincangan dengan PAS mengenai kedua-dua PRK itu.

“Kami tidak mahu berbincang dengan PAS. DAP tidak akan adakan sebarang perbincangan dengan PAS,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang juga Anggota Parlimen Bagan.

PRK Kuala Kangsar dan PRK Sungai Besar diadakan berikutan kematian Anggota Parlimen bagi kedua-dua kerusi berkenaan iaitu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, dengan penamaan calon pada 5 Jun.

-BERNAMA

Friday, March 18, 2016

Mengapa orang Islam kurang peduli rasuah? soal Mat Sabu

FMT Reporters | March 18, 2016
Beliau bimbang sikap tidak peduli itu akan membuatkan masyarakat bukan Islam salah faham dengan ajaran Islam.
PETALING JAYA: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu menyifatkan umat Islam termasuk di negara ini, tidak sensitif terhadap rasuah menyebabkan banyak negara Islam ketinggalan dalam pelbagai bidang.

Berucap dalam satu program Pakatan Harapan di Alor Setar, Kedah, beliau meluahkan kekecewaannya itu memandangkan rasuah adalah kesalahan di sisi Islam dan sering dibicarakan dalam kuliah agama.

“Orang Islam kurang sensitif dengan rasuah. Tapi orang Cina yang tak pergi solat Jumaat dan tak dengar hadis pun boleh sensitif.

“Tetapi kenapa orang Islam yang dengar khutbah boleh ketinggalan dalam pelbagai bidang? Sedangkan ia didikan awal Nabi Muhammad SAW. Kalau nak negara maju orang Islam mesti cantik akhlak dan bebas rasuah, Tapi cerita bab RM2.6 bilion pun orang tidak sensitif,” katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

Beliau bimbang sikap tidak peduli itu akan membuatkan masyarakat bukan Islam akan salah faham dengan ajaran Islam.

Menurut laporan itu lagi, Mohamad Sabu turut memberikan contoh Kerajaan Pulau Pinang, yang memiliki jumlah hutang paling sedikit berbanding negeri lain.

“Mengapa bukan Kelantan, negeri yang orang Islam perintah?” soalnya lagi.

Saturday, January 16, 2016

Mat Sabu: Kita bermusuhan dengan sesiapa berkawan dengan BN

Anne Muhammad
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu berkata partinya bermusuh dengan mana-mana parti yang 'berkawan' dengan Barisan Nasional (BN).

"Kita musuh dengan BN dan siapa sahaja yang berkawan dengan BN," katanya kepada pemberita di Retreat DAP di Subang Jaya hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan PAS mengisytiharkan AMANAH sebagai musuh.

Ia kerana AMANAH dijangka akan bertanding sebanyak lapan kerusi di Selangor dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Walaupun Mohamad tidak menyatakan mana-mana parti namun ia dilihat menjurus kepada PAS yang sebelum ini dilihat mahu bekerjasama dengan Umno atas nama Islam.

Sebelum ini isu mengenai kerjasama antara PAS dan Umno berlarutan sejak sekian lama dan timbul semula kebelakangan ini.

Spekulasi itu diperkuatkan lagi dengan pertemuan antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam majlis Multaqa Almuni Al Azhar bulan lalu.

Kedua-dua pemimpin itu bukan sahaja dilihat mesra, bahkan tampil berpakaian sedondon dengan baju Melayu merah jambu.

Najib juga sebelum itu menawarkan kerjasama dengan PAS bagi membentuk hubungan yang lebih rapat semasa berucap di perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

Bagaimanapun, di tengah-tengah kontroversi itu, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan bahawa PAS tidak akan menyertai BN tetapi boleh meneruskan kerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan agama Islam.

Monday, December 14, 2015

Mat Sabu dakwa Umno guna sentimen kaum, agama untuk menang PRU14

OLEH MELATI A. JALIL
Bercakap pada pelancaran Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu berkata, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang rakyat terpaksa memilih antara Umno atau ‘DAP yang anti Islam’ menunjukkan sentimen perkauman akan digunakan secara meluas.Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 13 Disember, 2015.

Sentimen kaum dan agama akan digunakan secara meluas pada pilihan raya umum akan datang, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.

Bercakap pada pelancaran Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang rakyat terpaksa memilih antara Umno atau "DAP yang anti Islam" menunjukkan sentimen perkauman akan digunakan secara meluas.

"Inilah mukadimah awal ke arah pilihan raya akan datang iaitu semangat perkauman dan keagamaan akan dimainkan sehebat-hebatnya," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad turut merujuk kepada ucapan perwakilan Pulau Pinang pada perhimpunan Agung Umno 2015 yang berlangsung baru-baru ini.

"Dalam perhimpunan agung katanya jangan tanya mana presiden dapat duit, dari mana jangan tanya siapa yang beri, yang penting kita dapat duit untuk bergerak. Asalkan boleh bantu Melayu," kata Mohamad yang membidas kenyataan perwakilan Umno mempertahankan derma RM2.6 bilion dimasukkan akaun peribadi perdana menteri.

"Ini ucapan racun, fahaman Asabiyah ialah fahaman yang paling celaka. Pemikiran itu dimunculkan semula," katanya.

Mohamad berkata pandangan Asabiyah itu mudah digunakan kerana ia melibatkan emosi.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan Perwakilan Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir sebagai berkata semasa perhimpunan parti itu baru-baru ini ahli tidak perlu mempersoalkan sumber dana RM 2.6 bilion.

Mohamad turut mengkritik Najib dengan berkata presiden Umno itu mungkin sudah mendapat seorang penulis dengan latar belakang agama untuk menulis ucapan penggulungan beliau pada perhimpunan parti.

"Dalam ucapan penutupnya seolah-olah ada orang dari parti tertentu yang buat ucapannya. Bahasa 'tahaluf siyasi', 'wala' saya rasa saya biasa dengar ucapan ni,"katanya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mat-sabu-dakwa-umno-guna-sentimen-kaum-agama-untuk-menang-pru14#sthash.eb0sSJxX.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-