Showing posts with label Yusoff Rawther. Show all posts
Showing posts with label Yusoff Rawther. Show all posts

Friday, September 30, 2022

Yusoff Rawther fail rayuan kes serangan seksual kaitkan Anwar

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Sep 30, 2022 10:38 AM

Bekas pembantu penyelidik kepada Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas presiden PKR itu.

Peguam Mahajoth Singh, yang mewakili Muhammed Yusoff berkata pihaknya telah memfailkan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Rayuan pada 28 Sept.

"Kes ditetapkan untuk pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) pada 27 Dis ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Muhammed Yusoff memfailkan notis rayuan itu berikutan tidak berpuas hati dengan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee yang menolak permohonannya pada 9 Sept lepas.

Permohonan itu adalah berhubung saman dikemukakan Muhammed Yusoff pada 14 Julai 2021 mengenai dakwaan berlaku serangan seksual terhadapnya di kediaman ahli politik tersebut empat tahun lepas.

Anwar selaku defendan kemudian memfailkan saman balas terhadap saman dikemukakan Muhammed Yusoff.

Dalam pernyataan tuntutannya, Muhammed Yusoff selaku plaintif mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Okt 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila dia diminta oleh setiausaha sulit Anwar iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-150 Mahatma Gandhi anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India kepada defendan.

Muhammed Yusoff, yang meletak jawatan pada 24 Jun 2019, berkata satu laporan polis telah dibuat terhadap Anwar pada 7 Dis 2019

Jabatan Peguam Negara kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa Anwar.

Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, dia dituduh berkomplot untuk menjatuh dan merosakkan karier politik defendan selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin yang menyokong Anwar serta orang awam.

-Bernama

Tuesday, January 14, 2020

Kurang bukti kes salah laku seks - AGC tidak akan dakwa Anwar

BERITA

Jabatan Peguam Negara tidak akan mendakwa Anwar Ibrahim atas dakwaan serangan seksual terhadap Muhammed Yusoff Rawther kerana kekurangan bukti.

Dalam satu kenyataan hari ini, Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek berkata terdapat percanggahan-percanggahan fakta yang material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana orang di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah Kanun yang sama.

“Kami juga mendapati tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan-laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan-keterangan yang ada dalam kertas siasatan.

“Dalam hal keadaan yang demikian, kami bersetuju dengan saranan PDRM supaya kes ini ditutup,” katanya sambil menambah penyiasatan boleh dibuka semula sekiranya dan apabila terdapat keterangan baru.

Muhammed Yusoff Rawther dalam akuan bersumpah mendakwa kejadian itu berlaku di kediaman Presiden PKR tersebut di Segambut pada 2 Oktober tahun lalu.
Dia kemudian membuat laporan polis pada 7 Disember bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan berkenaan. Dia juga sudah melakukan ujian poligraf di Bukit Aman pada 17 Disember tahun lalu.

Anwar walau bagaimanapun menafikan dakwaan salah laku seks yang dilemparkan terhadapnya dan berkata pada tarikh berkenaan beliau sedang sibuk berkempen sempena Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Kenyataan Engku Nor Faizah tidak menyebut nama pengadu atau tertuduh, mahupun perbuatan yang dikatakan satu kesalahan itu.

Sementara itu, Engku Nor Faizah menjelaskan bahawa Peguam Negara Tommy Thomas tidak terlibat dalam kes itu kerana pernah dikaitkan dengan Anwar.

"(Peguam Negara) telah menarik diri daripada membuat apa-apa pertimbangan berhubung kes itu.

“Satu pasukan timbalan pendakwa raya di bawah pengawasan saya telah diamanahkan untuk mengkaji keterangan dan selanjutnya membuat keputusan mengenainya,” katanya.

[Baca berita penuh]

Thursday, January 9, 2020

Khairuddin serang Anwar isu poligraf, cabar dedah dalang

FMT Reporters
-January 9, 2020 9:03 AM
Khairuddin Abu Hassan cabar Anwar Ibrahim saman malu terhadap Yusoff Rawther.

PETALING JAYA: Pengikut setia Dr Mahathir Mohamad, Khairuddin Abu Hassan, menyerang Anwar Ibrahim kerana mempersoalkan desakan menjalani ujian poligraf dalam siasatan terhadapnya melibatkan aduan dibuat bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.

Khairuddin berkata beliau hairan hujah presiden PKR itu yang tiada asas baginya menjalani ujian poligraf.

“Bagi membuktikan dia bercakap benar dalam penafiannya, lebih baik Anwar buktikan kepada rakyat bahawa dia pun berani menjalani ujian poligraf secara sukarela sepertimana yang dilakukan Yusoff,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Anwar berkata beliau tidak perlu menjalani ujian poligraf kerana tidak ada keterangan saksi dan lokasi untuk menyokong aduan serangan seks dibuat Yusoff terhadapnya.

Anwar turut berkata beliau tahu dalang di sebalik dakwaan itu tetapi menyerahkan kepada polis menanganinya.

Khairuddin berkata Anwar perlu mendedahkan nama dalang tersebut.

“Ini bukan soal politik tetapi ini soal akidah agama.

“Lihat saja sehingga kini semua orang minta Anwar sumpah laknat bahawa dia tidak pernah meliwat, sekalipun dia tidak pernah menyahut seruan dan nasihat tersebut ke arah membersihkan namanya dari 1998 sehingga kini,” katanya.

Beliau mengingatkan Anwar yang Yusoff membuat tuduhan itu di bawah akuan bersumpah.

“Andai kata itu fitnah, Anwar harus saman malu terhadap Yusoff atau Anwar sendiri harus buat laporan polis terhadap bekas ‘research officer’ dia.”

Yusoff menjalani ujian poligraf pada 17 Dis lalu, sebahagian daripada siasatan polis di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Polis baru-baru ini memberitahu keputusan ujian itu akan dikongsi bersama Peguam Negara, Tommy Thomas, tetapi tidak akan didedahkan kepada umum.

Khairuddin percaya Yusoff telah “lulus” ujian poligraf itu.

Ini membuktikan Yusoff mengambil sikap berani kerana benar.”

Anwar berkata sehingga kini tiada permintaan polis untuk beliau melakukan ujian poligraf, tetapi berjanji memberi kerjasama dalam siasatan kes itu.

Wednesday, January 8, 2020

Tiada asas untuk saya ambil ujian poligraf, kata Anwar

Adam Abu Bakar
-January 8, 2020

Anwar Ibrahim berkata, beliau tahu dalang di sebalik dakwaan serangan seksual terhadapnya.

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, tiada asas untuk beliau menjalani ujian poligraf dalam siasatan polis ke atas laporan salah laku seks terhadapnya yang dibuat bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.

“Mesti ada asas, bukti dan keperluan. Jika tidak ada asas, tidak ada keterangan dan saksi, tempat dan semuanya tidak betul, maka hendak buat ujian apa?” soalnya selepas satu persidangan antarabangsa di sini hari ini.

Pada 17 Dis lalu, polis memanggil Yusoff yang mendakwa Anwar melakukan serangan seksual terhadapnya pada Oktober 2018, untuk menjalani ujian poligraf di Bukit Aman.

Sehingga kini, polis belum mengumumkan hasil ujian itu, tetapi kertas siasatan kes berkenaan sudah dirujuk kepada Peguam Negara, Tommy Thomas.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman melancarkan siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan seseorang, berdasarkan laporan polis Yusoff pada 7 Dis lalu.

Anwar berkata, sehingga kini tiada arahan polis untuk beliau melakukan ujian poligraf, tetapi beliau berjanji memberi kerjasama dalam siasatan kes itu.

“Mereka tidak ada minta, jadi kenapa timbulkan isu. Anda perlu faham prinsip undang-undang dan keadilan, sebarang tuduhan jika tidak ada asas, anda tidak boleh jadikan seseorang itu defensif dalam isu ini.”

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau tahu dalang di sebalik dakwaan serangan seksual membabitkannya.

“Saya tahu permainannya. Saya tahu sesetengah pemain menggunakan orang-orang ini. Biar polis tanganinya.

“Tidak seperti banyak kes lain, saya menawarkan diri (kepada polis) untuk selesaikannya cepat, jemput mereka ke rumah dan saya pergi kepada mereka di ibu pejabat polis.”

Tuesday, January 7, 2020

Peguam negara perlu tarik diri kes Yusoff Rawther, kata Haniff

FMT Reporters
-January 7, 2020 7:39 AM

Haniff Khatri Abdulla mewakili Muhammad Yusoff Rawther dalam kes salah laku seksual membabitkan Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Peguam Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Muhammed Yusoff Rawther, lelaki disebalik dakwaan serangan seksual terhadap Anwar Ibrahim, menggesa Peguam Negara Tommy Thomas menarik diri daripada kes itu kerana menyokong presiden PKR itu berhubung kes liwatnya sebelum ini.

Haniff mengalu-alukan perkembangan terbaru siasatan polis ke atas dakwaan-dakwaan itu, namun akan timbul persoalan mengenai percanggahan kepentingan dan keadilan asasi sekiranya Thomas terlibat dalam sebarang keputusan mengenai kes itu.

Beliau menarik perhatian kepada satu artikel ditulis Thomas pada 2012 yang disiarkan Aliran selepas Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes liwat melibatkan Saiful Bukhari Azlan, di mana Thomas menulis “kes itu mengenai politik, dan hanya politik”.

“Dengan pendapat seperti itu, bukankah Thomas jelas dan nyata mempunyai kepentingan yang membatalkan haknya untuk membuat mana-mana keputusan ke atas kertas siasatan yang dilengkapkan polis berhubung aduan Yusoff berhubung dakwaan salahlaku jenayah seksual terhadap Anwar itu,” kata Haniff.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed dilaporkan berkata satu perjumpaan akan diadakan dengan peguam negara berhubung kes tersebut.

“Polis dan Jabatan Peguam Negara akan memberikan kenyataan berhubung siasatan kes video seks itu dalam masa terdekat,” Huzir dipetik sebagai berkata.

Haniff berkata Thomas wajib mengecualikan diri daripada apa-apa peranan dalam pengendalian kertas siasatan itu.

“Thomas juga wajib membuat satu kenyataan rasmi berhubung perkara yang sama pada kadar segera, agar tidak ada mana-mana persepsi dalam kalangan masyarakat bahawa prinsip keadilan asasi dan kedaulatan undang-undang telah dan akan dicemari.”

Laporan polis Yusoff terhadap Anwar pada awal Disember membawa kepada siasatan bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.

Anwar menafikan dakwaan-dakwaan itu, dan polis sudah merakam keterangan daripada mereka.

Wednesday, December 18, 2019

Ujian poligraf untuk Anwar

December 18, 2019


KENYATAANNYA telah dirakam dua kali oleh pihak Polis. Bersungguh mahu menegakkan kesnya semalam Muhammed Yusoff Rawther ke Bukit Aman lagi.

Kali ini untuk secara sukarela menjalani ujian poligraf atau ‘lie detector’ iaitu satu alat yang dikendalikan pakar boleh mengesan sama ada seseorang itu berbohong atau tidak dan kenyataannya itu direkodkan.

Demi memperkukuhkan dakwaannya Yusoff berada di Bukit Aman selama 5 jam semalam untuk menjalani ujian ini ditemani peguamnya.

Bukit Aman sedang siasat kes ini di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 354 Kanun Keseksaan adalah mengenai kesalahan ‘menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada mana-mana orang, dengan maksud hendak mencabul atau dengan mengetahui mungkin bahawa dia akan dengan jalan demikian itu mencabul kehormatan orang itu’.

Jika disabitkan kesalahan hukumannya berbunyi: ‘hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu’.

Yusoff mendakwa Presiden PKR, Anwar Ibrahim (bakal PM 8) yang melakukan jenayah berkenaan terhadapnya.

Ia satu pertuduhan serius namun setakat ini Yusoff kelihatan bersungguh dan memberi kerjasama penuh pada pihak Polis untuk menyiasat dan membongkarnya.

Moga Anwar pun sanggup melalui ujian poligraf yang sama. Kini Anwar bakal PM dan bukan lagi anggota pembangkang tetapi memimpin parti pemerintah. Sudah pasti tidak siapa berani berpakat mengenakannya.

Jika segala ini fitnah terhadap Anwar dan usaha mahu gagalkan impiannya menjadi PM 8 maka Anwar perlu berani untuk menjalani ujian ini demi keadilan! Jangan beri alasan lagi kerana rakyat Malaysia perlu tahu kredibiliti bakal PM nya. 

HARAKAHDAILY 
   18/12/2019

Wednesday, December 11, 2019

Bukit Aman akan panggil Anwar bantu siasatan tuduhan salah laku seksual

BERITA
News | Diterbitkan Hari ini 8:49 pagi

Polis akan memanggil Anwar Ibrahim dan saksi lain untuk membantu siasatan melibatkan tuduhan salah laku seksual yang dibuat oleh bekas pegawai penyelidik Yusoff Rawther, kata Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed mengesahkan hal ini, berkata suatu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang meliputi serangan atau penggunaan kekerasan terhadap seseorang dengan niat jahat.

"Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

"Rakaman percakapan Muhammed Yusuff Rawther (pengadu) telah diambil di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman pada 9 Disember 2019.

"Percakapan Anwar Ibrahim serta beberapa saksi lain yang berkaitan akan diambil setelah mendapat tarikh temu janji yang sesuai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Huzir (gambar, atas) berkata bahawa Anwar dan individu lain akan datang selepas mendapat tarikh yang sesuai.

Huzir juga menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai siasatan yang masih berterusan ini.

Sehari sebelum Kongres Nasional PKR pada 6 Disember lalu, Yusoff menuduh Anwar melakukan salah laku seksual dan mendedahkan dia telah membuat akuan bersumpah mengenai perkara itu.

Bekas pegawai penyelidik Anwar itu mendakwa kejadian tersebut berlaku pada hari keempat kempen pilihan raya kecil Port Dickson pada Oktober tahun lepas.

Anwar, yang juga MP Port Dickson, telah menafikan dakwaan itu dan mengarahkan peguamnya untuk mengeluarkan notis tuntutan kepada Yusoff supaya menarik semula tuduhannya dan jika gagal berbuat demikian maka tindakan saman akan dibuat.

Sabtu lalu, Yusoff membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Sentul yang meminta siasatan terhadap akuan bersumpah beliau.

Isnin lalu, polis menyoal Yusoff selama hampir lapan jam di ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Polis memanggilnya semula petang semalam. Kenyataan juga direkodkan daripada saksi lain, yang identitinya belum disahkan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-