Showing posts with label parti Bersatu. Show all posts
Showing posts with label parti Bersatu. Show all posts

Saturday, March 9, 2024

PM: Ramai dah mula hilang keyakinan pada Bersatu

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 9, 2024 6:06 PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semakin ramai orang sudah hilang keyakinan kepada pembangkang terutama Parti Bersatu selepas beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN) menyatakan pendirian menyokong kerajaan.

Mengulas kenyataan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencabar Kerajaan Persekutuan untuk mengisytihar enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri dikosongkan, Anwar berkata perkara itu terpulang kepada Ahli Parlimen serta Adun terbabit.

"Orang sudah hilang keyakinan kepada Bersatu terutamanya," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Polis Diraja Malaysia di Bukit Mertajam hari ini.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Adun yang terbabit pula ialah Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang).

Ketika berucap pada majlis itu, Anwar berkata beliau mahu anggota polis melipatgandakan lagi usaha mereka melindungi rakyat dan negara khususnya dalam membela nasib wanita serta kanak-kanak.

"Semalam kita menyambut Hari Wanita dan golongan wanita masih mengeluh tentang jenayah gangguan seksual.

"Saya akan bertindak tegas tanpa tolak ansur untuk menyelamatkan rakyat dan negara kita ini. Saya minta kerjasama anggota polis supaya lebih tangkas dan jangan jadikan negara ini tempat yang rosak kerana akhlak yang rendah," katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM1 juta yang diluluskan segera bagi kerja-kerja pembinaan kuarters polis di Seberang Jaya yang sedang berjalan dan RM500,000 bagi pembinaan surau di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah sebagai usaha meningkatkan keselesaan serta kebajikan anggota pasukan keselamatan itu.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

- Bernama

Saturday, July 6, 2019

Budaya songsang, LGBT antara sebab Melayu tolak Bersatu - Annuar

News | Diterbitkan Hari ini 11:09 malam


Parti Bersatu bertanggungjawab terhadap penularan budaya songsang seperti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) serta idea liberal, dakwa Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa.

Beliau berkata, itu antara sebab mengapa seruan agar orang Melayu menyertai Bersatu untuk membentuk perpaduan Melayu tidak akan dilayan kaum berkenaan.

"Orang Melayu akan terus menolak Bersatu, kerana parti itu bertanggungjawab memecah-kecilkan orang Melayu semata-mata kerana persengketaan peribadi antara pemimpin tertentu.

"Bersatu juga bertanggungjawab terhadap menularnya budaya songsang, liberal, LGBT dan lain-lain yang semakin bebas," kata Annuar dalam satu kenyataan.

Sebab lain, kata Annuar adalah kerana parti pimpinan Dr Mahathir Mohamad itu menggadaikan kuasa dan kedudukan Melayu kepada DAP termasuk menyerahkan jawatan-jawatan utama dalam kerajaan.

"Bersatu dilihat bertanggung jawab menggadai kuasa dan kedudukan Melayu kepada DAP, terutamanya posisi strategik seperti menteri kewangan, menteri penerangan, peguam negara dan menghakis hak bangsa Melayu," katanya.

Annuar dipercayai merujuk pelawaan Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad agar semua parti politik Melayu termasuk Umno menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.

Mahathir berkata kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.
“Kalau dahulu, cuma ada satu sahaja parti yang mewakili orang Melayu iaitu Umno tetapi kerana tamak untuk mendapatkan tempat, maka hari ini orang Melayu berpecah kepada enam (parti).

“Enam, bukan lagi majoriti 60 peratus tetapi setiap parti 10 peratus sahaja,” kata Mahathir.

'Ahli Bersatu perlu hijrah ke bahtera Umno-PAS'

Annuar berkata, di Sabah dan Sarawak, parti pimpinan perdana menteri itu meneruskan agenda 'divide and rule' (pecah dan perintah) dengan merosakkan perpaduan Melayu dan Bumiputera.

Justeru katanya tiada sebab mengapa Umno perlu menyertai Bersatu kerana perpaduan ahli parti itu kini bersama PAS semakin "padu dan istiqamah".

"Penyatuan Melayu melalui Umno dan PAS bakal membentuk gelombang besar yang akan membersihkan kotoran dan sampah yang ditinggalkan sekutu DAP termasuk Bersatu.

"Orang Melayu tidak akan memaafkan perbuatan Bersatu menggadai hak serta posisi orang Melayu dan Bumiputera kepada DAP," kata Annuar.

Seeloknya tambah Annuar, ahli Bersatu berhijrah meninggalkan DAP ke 'bahtera Umno-PAS' serta bersama menyahut muafakat nasional yang dipimpin gerakan orang Melayu.

"Bersatu bukanlah jawapan kepada cita-cita dan aspirasi perjuangan orang Melayu," katanya.

Tuesday, February 19, 2019

Bersatu jadi Umno 2.0: Mungkin ya, mungkin tidak

Shakira Buang
Diterbitkan Hari ini 10:00 pagi


Kebimbangan Parti Bersatu akan berubah perlahan-lahan menjadi Umno 2.0 kemungkinan besar tidak akan berlaku, kata seorang penganalisis politik.

Menganggap jangkaan itu sebagai tidak tepat, pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Mohd Azizuddin Mohd Sani, Bersatu bukanlah satu-satunya parti yang dianggotai bekas ahli Umno.

Katanya PKR juga ditubuhkan oleh sebahagian daripada bekas pemimpin dan anggota Umno namun terbukti hingga kini ia tidak menjadi Umno 2.0.

"Saya tak fikir Bersatu akan jadi Umno 2.0 walaupun (pemimpin) Bersatu itu asalnya memang daripada Umno, tapi tak semualah.

"Ramai juga orang muda yang bukan daripada Umno masuk Bersatu. Justeru nak cakap (Bersatu) menuju menjadi Umno 2.0 tak tepatlah," katanya kepada Malaysiakini.

Malah menurut Mohd Azizuddin isu itu tidak perlu ditimbulkan.

Katanya jika tindakan Bersatu menerima orang Umno menjadi anggota parti yang mendorong kebimbangan tersebut, hal sama pernah dilakukan PKR.

Azizuddin berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan salah satu parti komponen PH yang dilihat semakin hampir menjadi Umno 2.0.

Nak jadi parti nasional

Kenyataan itu dibuat aktivis masyarakat dan peguam terkemuka, S Ambiga pada 17 Feb lalu berdasarkan dua contoh yang diberikannya.

Pertama kata Ambiga, Mahathir dilihat tidak menunjukkan kebimbangan terhadap beberapa pemimpin Bersatu yang mengemukakan idea-idea kontroversi.

Mahathir juga katanya tidak bertindak ke atas pemimpin parti yang dipertikaikan kelayakan akademik mereka.

"Ada salah seorang naib presiden yang berkata dia percaya kerajaan wajar memberikan mereka kontrak dan beliau (Mahathir) tidak menyanggah kenyataan tersebut dengan segera.

"Pada saya, ia adalah masalah kerana tokoh terbabit sebenarnya menggalakanrasuah (dalam kes tersebut)," katanya merujuk kepada kenyataan bekas pengerusi SPR yang kini menyertai Bersatu, Abdul Rashid Abdul Rahman, pada Dis tahun lalu.
Pensyarah UUM, Mohd Azizuddin
Mengulas lanjut Mohd Azizuddin berkata kebimbangan Ambiga terhadap apa yang dikemukakan oleh Abdul Rashid yang juga naib presiden Bersatu tidak semestinya menunjukkan pertubuhan terbabit akan menjadi seperti Umno.

Katanya rasa bimbang itu juga tidak perlu ada apabila Bersatu mengumumkan untuk melebarkan sayap mereka ke Sabah sekali gus mungkin memberi saingan kepada parti setempat.

"Bersatu kena bertindak begitu kalau mereka mahu menjadi parti nasional. Kalau sekadar menjadi parti semanjung sahaja, susahlah.

"PKR, Amanah dan DAP pun dah masuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Patut di landasan betul

Cuma katanya sekarang Bersatu masih baru dan dipimpin perdana menteri sendiri.

Pada masa sama katanya tetap ada kebarangkalian orang Umno melompat masuk ke parti Bersatu.

"Jadi, itulah yang dilihat Bersatu macam nak jadi Umno 2.0 tapi saya rasa terlampau awal untuk menganggap Bersatu akan jadi Umno 2.0

Bagaimanapun, Prof Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berpandangan apa yang berlaku dalam Bersatu hari ini jelas menunjukkan gaya pentadbiran Umno-BN dan ia sangat mengecewakan.
Jeniri Amir
"Apa yang dilakukan oleh pengerusi Bersatu dan perdana menteri itu bukan sahaja mengecewakan tetapi saya fikir akan menjurus kepada gaya zaman Umno-BN.

"Beliau tidak mengotakan janjinya. Apa yang dikatakan, lain yang dibuatnya.

"Dan di sebalik semua ini saya fikir ialah ketamakan kuasa dan dia (Mahathir) sudah lupa akan semua janjinya untuk meletakkan parti politik dan Malaysia ini berada pada landasan yang betul," katanya.

Menurut Jeniri Mahathir melakukan pusingan U semata-mata untuk memastikan Bersatu menjadi parti yang dominan dalam PH tanpa mempedulikan perasaan parti lain.

Beliau turut memberi amaran, apa yang berlaku itu - jika diteruskan - boleh mencetuskan konflik yang serius dalam PH.

"Kalau Mahathir terus melakukan tindakan itu, bukan sahaja menjejaskan kredibiliti beliau sebagai perdana menteri, malah menyebabkan konflik yang tajam.

"Saya tak fikir rakan kompenan PH, khususnya PKR, senang hati dengan tindakan Mahathir yang seolah-olah mementingkan dirinya sendiri," katanya.

Gali lubang sendiri

Jeniri menambah Bersatu ghairah mahu menguatkan parti itu terutama selepas menyedari kedudukannya yang mungkin melemah apabila Mahathir berundur nanti.

Demi menjamin kekuatan yang ada bertahan, katanya, Bersatu rela menerima bekas pemimpin parti yang menjadi musuh mereka dalam politik sebelum ini.

"Saya amat percaya Mahathir punya motif untuk menguatkan Bersatu sebagai parti kompenan," katanya.

Bahkan, kata Jeneri, kebimbangan Ambiga itu perlu menjadi kebimbangan kepada seluruh rakyat Malaysia apabila ia tidak menunjukkan wajah Malaysia Baru yang diharapkan.

"Di mana Malaysia Barunya?

"Kalau inilah yang dilakukan, ini ialah Malaysia yang kembali kepada zaman Mahathir dulu. Percayalah, ini adalah langkah menggali lubang sendiri yang akan menjerumuskan mereka dalam masalah besar," tegasnya.

Sementara pemimpin PH yang dihubungi Malaysiakini turut menyatakan kebimbangan yang sama, tetapi ia tidak semestinya bersifat negatif secara mutlak.
Siti Mariah 
Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan), Dr Siti Mariah Mahmud, misalnya berkata kebimbangan itu adalah bagus untuk PH.

"Kita tak boleh menafikan perkara (kebimbangan) itu tetapi saya fikir ia bagus kerana ia akan menggalakkan perbincangan dalaman mengenai apa yang wajar dilakukan dalam PH agar tidak bercanggah dengan perjuangan bersama.

"Kita tidaklah terlalu bersangka buruk kerana apabila kita selalu bersangka buruk dengan kawan-kawan, maknanya kita akan mencari kesalahan dan sebagainya. Jadi, kita beri peluang," katanya.
Ong Kian Ming
Anggota Parlimen Bangi daripada DAP, Dr Ong Kian Ming, pula berkata semua rakan kompenan PH perlu berada di landasan yang sama dalam agenda mereka.

"Saya rasa semua parti kompenan dalam PH perlu bersepakat dalam agenda PH.

"Kalau Bersatu memang akhirnya menjadi Umno 2.0 ada kemungkinan besar rakyat akan menolak kami pada PRU ke-15 dan ini perlu dielakkan," tegasnya.

Kenyataan itu turut dikongsi pembangkang. Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pada hakikatnya Bersatu ialah parti serpihan Umno.
Asyraf Wajdi
Selepas Bersatu membentuk kerajaan bersama PH, katanya, ada ramai golongan oportunis dalam Umno mula melompat menjadi tapak baru.

"Mereka inilah (yang keluar Umno dan masuk Bersatu) yang dulunya menjadi duri dalam daging.

"Semasa dalam Umno mereka banyak terlibat dalam perebutan projek-projek kerajaan sehingga membudayanya politik wang dalam parti.

"Apabila Umno hilang kuasa, 'virus-virus’ inilah paling awal meninggalkan parti dan menyertai Bersatu.

"Kini mereka membawa wabak sama dalam parti Bersatu," katanya.

Bagaimanapun, tambah Asyraf, apa yang penting ialah Umno kini sedang melalui proses penyucian dan pembersihan.

"Saya berterima kasih kepada Bersatu kerana membantu Umno menjadi agen penyuci," katanya.

Saturday, February 16, 2019

Lompat parti, Anwar redakan kegusaran

Oleh Eddy Lok


Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan kepada sekutu Pakatan Harapan (PH) dan rakyat, kemasukan bekas anggota Parlimen Umno BN ke dalam Parti Bersatu tidak akan mengugat agenda pembaharuan yang telah disepakati.

Bagaimanapun, Anwar berkata, Bersatu mempunyai hak untuk menerima ahli yang keluar daripada bekas parti pemerintah selagi tidak melanggar peraturan dan bertentangan dengan persetujuan pembaharuan sebelum ini.

Menurut Anwar, Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah memberikan jaminan semasa di mesyuarat PH bahawa beliau tidak melanggar dasar dan agenda seperti yang dijanjikan dengan rakyat.

Anwar berada di Kanada bagi menyampaikan ceramah di Universiti Toronto.

“Apa boleh saya katakan?…agenda pembaharuan tidak akan dirampas (walaupun menerima mereka yang berpaling tadah). Kita berhutang dengan rakyat yang menyokong,” katanya.

Mengikut persetujuan Dr Mahathir akan berkhidmat selama dua tahun sebagai Perdana Menteri dan akan menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas dua tahun.

Mengulas mengenai isu pemilihan parti PKR lewat tahun lalu, Anwar mempertahankan pelantikan Rafizi Ramli sebagai naib presiden, meskipun beliau tewas dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi merebut jawatan Timbalan Presiden.

Menurut Anwar, Rafizi telah memberikan sumbangan yang besar pada pilihan raya umum lalu.

“Tiada siapa yang boleh menafikan peranan Rafizi dan Azmin. Saya tidak melantik Rafizi sebagai timbalan presiden tetapi naib presiden, kenapa (orang) mengutuknya adakah kerana kalah dia perlu diketepikan sepenuhnya? Sebagai parti demokratik kita tidak sepatutnya bertindak sedemikian,” kata Anwar.

Berita penuh
https://malaysiadateline.com/lompat-parti-anwar-redakan-kegusaran/

Sunday, November 12, 2017

Bersatu akan melemahkan Umno?

HASLINA KAMALUDIN
12 NOVEMBER 2017

SHAH ALAM – Kewujudan parti Bersatu dianggap sebagai politik tidak sihat apabila dikatakan menjadi ancaman terbesar buat Umno.

Sejak awal penubuhannya sehingga kini, ada sahaja kontroversi yang terpalit terhadap Bersatu, sama ada daripada ahlinya sendiri atau terdapat unsur-unsur lain.

Timbalan Naib Canselor, Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti Universiti Selangor (Unisel), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, berpendapat, Bersatu merupakan ancaman terbesar Umno dan kerana itu ia akan terus dilanda kontroversi.

“Para pengkaji politik mendapati Bersatu ada kekuatan tersendiri, di mana jika mereka berjaya mencuri 10 peratus ahli Umno, parti ini akan terus kuat.

“Disebabkan menjadi ancaman, pelbagai kaedah yang digunakan untuk memastikan parti ini tidak akan bergerak lurus tetapi diselang-seli dengan liku ranjaunya,” katanya kepada Sinar Online.

Beliau berkata, perkara itu sudah disedari Umno, justeru parti itu menggunakan pelbagai medium termasuk jentera-jentera dalam kerajaan sendiri untuk melemahkan Bersatu.

“Umno juga dilihat turut menggunakan jentera propaganda mereka termasuk media dan sebagainya termasuklah memperbesar-besarkan isu yang kecil untuk menampakkan kelemahan Bersatu,” katanya.

Dalam pada itu, Shaharuddin berkata, kontroversi dan beberapa peristiwa melanda Bersatu sama dengan apa yang berlaku terhadap PKR pada 1998.

“Pada tahun itu juga, PKR bergelut dengan pelbagai kontroversi. Itulah resam parti baharu di mana situasi sebegini akan berlaku.

“Bersatu hanya perlu meneruskan momentum sedia ada dan memastikan semua ahli hingga akar umbi bersama-sama mereka,” katanya.

Terdahulu, Bersatu dihimpit pelbagai kontroversi apabila ahli-ahlinya di beberapa negeri menghantar memorandum kepada Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (ROS) untuk mendesak siasatan dijalankan terhadap parti itu berkenaan Mesyuarat Agong yang diadakan.

Selain itu, beberapa pemimpin tertinggi Bersatu turut menarik diri apabila dikatakan perjuangan parti Bersatu sudah berubah dan wujud tikam belakang dalan kalangan mereka.

Terkini, penggunaan nama Armada untuk sayap pemuda parti itu dikatakan melanggar perlembagaan dan boleh menyebabkan parti itu diharamkan.

Friday, September 16, 2016

Pakatan pembangkang atur rundingan rasmi

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 SEPTEMBER 2016
Keratan akhbar Sinar Harian hari ini.
IPOH - Rundingan kerjasama politik antara parti pembangkang hanya akan berjaya jika Pas komited dengan usaha tersebut.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, ini kerana pihaknya percaya ada dalam kalangan pemimpin Pas yang tidak mahu rundingan itu direalisasikan.

“Saya percaya halangan utama membabitkan sebilangan pemimpin Pas. Bagi Pakatan Harapan, kami tiada masalah begitu juga parti Bersatu.

“Sekiranya mereka tidak mahu berunding, rakyat harus sedar bahawa mereka (pemimpin Pas) tidak lagi bersama dalam agenda reformasi untuk menggantikan Umno dan mungkin mempunyai niat untuk menyelamatkan Umno,” katanya.

Menurutnya, ahli dan penyokong Pas wajar memberikan tekanan kepada pimpinan mereka supaya kembali ke meja rundingan bagi mencerahkan peluang Pas mengekalkan kerusi yang dimenangi pada PRU13.

“Jika tidak saya yakin Pas akan kalah di semua kerusi yang ditandingi di Selangor, Perak dan mungkin tinggal beberapa kerusi sahaja di pantai timur,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: 1 lawan 1: Pas setuju, tapi ‎sejauh mana mampu buat]

Mengulas pertembungan satu lawan satu yang dianggap kaedah terbaik menewaskan BN, Kor Ming berkata, perkara itu diakui selain rakyat perlu sedar bahawa kerajaan yang memerintah gagal menjalankan urus tadbir negara dengan baik.

“Ini sejarah dan ia sudah terbukti. Kami harap rakyat sedar dengan kegagalan yang dicipta BN selain bersama-sama melakukan perubahan dalam PRU14 nanti,” katanya.

Rundingan rasmi diatur

Sementara itu difahamkan satu perjumpaan akan diatur bagi memastikan rundingan secara rasmi bagi konsep satu lawan satu dicapai antara parti-parti pembangkang termasuk Pas.

Tidak menyebut bila rundingan rasmi itu akan diadakan, Setiausaha Kerja Eksekutif Bersatu, Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, pada dasarnya beberapa parti pembangkang telah bersetuju dengan konsep tersebut dalam beberapa siri perbincangan tidak formal (tanpa penyertaan Pas) sebelum ini.

“Sebenarnya dalam perbincangan sebelum ini (tanpa Pas), idea satu lawan satu ini sudah banyak kali disuarakan. Agak mengejutkan kerana konsep ini nampaknya diterima semua parti, tetapi kita lihat ini satu perkembangan sihat dan positif.

“Malah, semua pihak faham dan mengakui hakikat ini (perlunya satu lawan satu). Jika kita berjaya mencapai kesepakatan, kebarangkalian untuk kita menukar kerajaan adalah amat cerah.

"Untuk perbincangan rasmi nanti, kita akan berusaha untuk mendapatkan wakil Pas untuk bersama kita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, parti-parti pembangkang juga telah bersetuju untuk mengutamakan agenda kerjasama berbanding kepentingan parti masing-masing.

“Kita sedar pembangkang akan jadi pembangkang selama-lamanya jika kita tidak dapat duduk dan bersepakat dalam konsep satu lawan satu ini.

“Jadi dalam pertemuan demi pertemuan yang diatur sebelum ini, kita telah bersetuju bahawa sudah sampai masanya pembangkang ambil alih pentadbiran kerajaan. Caranya, kita kena tolak kepentingan parti sendiri dalam menentukan kita sepakat untuk memperjuangkan wadah politik baru di negara ini,” katanya.

Kamarul Azman berkata, beliau yakin konsep ini dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

“Kalau ada halangan pun, mungkin jika ada pihak dari BN mahu pancing parti pembangkang bersama mereka. Tetapi saya rasa perkara itu mustahil.

"Paling penting parti pembangkang kena bertolak ansur serta menerima kekuatan dan kelemahan masing-masing. Pada akhirnya, kita akan ketengahkan resolusi yang terbaik supaya kita berjaya tumbangkan BN dalam PRU14,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-