Showing posts with label MP. Show all posts
Showing posts with label MP. Show all posts

Wednesday, November 8, 2023

Lagi Ahli Parlimen Bersatu isytihar sokong Anwar

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
07 Nov 2023, 10:56pm

Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim menyokong Anwar Ibrahim bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela.
Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim menegaskan setia kepada Bersatu.

PETALING JAYA: Seorang lagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, membuat pengumuman menyokong Anwar bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela dan mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Pengumuman Azizi menyusuli tindakan sama diambil Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman, juga daripada Bersatu.

Azizi bagaimanapun menegaskan kekal setia kepada parti.

“Sejujurnya, saya tidak berniat untuk keluar atau mengkhianati Bersatu, tetapi demi memastikan Parlimen saya Gua Musang seiring dengan pemerintahan persekutuan, adalah wajar untuk saya bersama dalam saf kepimpinan Putrajaya yang diketua oleh Anwar,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin mengumumkan parti itu menggantung keahlian Iskandar selama empat tahun, manakala Suhaili digantung enam tahun kerana menyokong Anwar.

Sunday, January 1, 2023

Kerajaan PH-BN sekat peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang

agendaily.com
01/01/2023
Data dipetik daripada laporan laman sesawang dapmalaysia.org/peruntukan/

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menghentikan peruntukan kepada ahli Parlimen (MP) pembangkang yang pernah diberikan oleh kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini.

Sambil menyifatkan tindakan itu tidak adil kepada rakyat yang memberi sokongan kepada Perikatan Nasional, beliau bagaimanapun berkata MP pembangkang akan memastikan isu berkaitan peruntukan itu dapat diselesaikan.

“Di Parlimen, (kita memang) lain. Walaupun nama Kerajaan Perpaduan, tetapi kami ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional tidak dapat peruntukan, manakala Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan dapat peruntukan.

“Itu sudah ‘sesuatu’, bak kata (Allahyarham) P. Ramlee: ‘ini tidak adil!’ Bagaimanapun kita akan bincang perkara ini berterusan dan dapat manfaatkan semua pihak,” kata Shahidan pada sidang media selepas pelancaran Pertubuhan Perpaduan Ummah di Pusat Khidmat Parlimen Arau, Kubang Gajah semalam (31 Disember 2022) menurut Awani.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan diterajui sama ada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional terus memberi peruntukan kepada MP pembangkang untuk projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, amalan itu disekat ketika kali pertama PH memerintah pada 2018 apabila MP pembangkang hanya menerima RM100,000 untuk Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen, berbanding RM500,000 dan RM200,000 diterima MP yang menyokong kerajaan.

Ketika Perikatan Nasional diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih Kerajaan Persekutuan, peruntukan kepada MP pembangkang ditambah. Ini terbukti dengan laporan penggunaan peruntukan setiap MP DAP untuk kepentingan rakyat, terutamanya di kawasan yang mereka berkhidmat.

Menurut laporan dikeluarkan DAP bagi 2021 dan 2022, elaun dan peruntukan sama rata diberikan kepada MP kerajaan dan pembangkang.

Setiap ahli Parlimen diperuntukkan sejumlah tertentu (RM500,000 untuk ‘Outright Grant’ dan RM1 juta untuk Projek Mesra Rakyat) oleh Kerajaan Persekutuan, yang akan dibelanjakan untuk memperbaiki kawasan pilihan raya mereka sendiri, termasuk tujuan pembangunan atau untuk diberikan sebagai geran atau derma kepada NGO atau persatuan lain dalam kawasan mereka.

Antara lain, bagi Projek Mesra Rakyat (PMR), MP DAP telah membelanjakan peruntukan tersebut untuk 324 buah projek. Sejumlah RM11,192,753 dibelanjakan bagi sekolah dan bidang pendidikan, termasuk membaiki/ menaik taraf kemudahan asas, membeli bekalan untuk mengajar dan sebagainya.

Awal Disember lalu, Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khiruddin menyatakan bahawa kerjasama baik antara kerajaan dan pembangkang boleh dilaksanakan sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mengutamakan pemberian peruntukan Ahli Parlimen dengan sama rata.

Ahli Parlimen Jerantut itu menerusi satu kenyataan di Facebooknya berkata, perkara berkenaan merupakan antara janji termaktub dalam manifesto PH, yang kini menerajui Kerajaan Persekutuan.

Tuesday, March 19, 2019

Umno tetap akan saman semua wakil rakyat lompat parti

B Nantha Kumar


Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa hari ini mengesahkan akan meneruskan saman terhadap bekas wakil rakyatnya yang keluar parti selepas gabungan BN ditumpaskan pada PRU14.

Mengulas lanjut laporan bahawa Umno kemungkinan tidak akan meneruskan saman terhadap bekas wakil rakyatnya, Annuar berkata laporan tersebut sebagai tidak tepat.

“Laporan itu tidak tepat. Saya baca di Malaysiakini tulis sesuatu pasal Umno tidak saman.

“Saya ingin mengesahkan adalah tidak benar laporan Umno menarik balik saman terhadap bekas wakil rakyat parti tersebut kerana kos yang tinggi,” katanya menjawab soalan pemberita di lobi parlimen.
Annuar Musa
Malaysiakini semalam memetik laporan The Malaysian Insight yang menyatakan sumber Umno memberitahu bahawa parti itu tidak akan meneruskan saman terhadap bekas wakil rakyatnya.

Memetik sumber, portal itu melaporkan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dilapor berpendapat adalah lebih baik parti itu menumpukan usaha untuk mengukuhkan parti, selain faktor kos menjadi pertimbangan.

Sementara itu, Annuar yang juga MP kawasan parlimen Ketereh berkata Umno akan menyaman kesemua ADUN dan MP yang bertindak keluar daripada Umno.

“Saya boleh pastikan hari ini kesemua ADUN dan MP yang meninggalkan parti akan disaman.

“Lebih kurang 30 daripadanya, 20 dari Sabah dan lagi 10 ADUN dan MP dari semenanjung masing dua ADUN di Johor dan Perak serta satu di Kedah akan diheret,” jelasnya.

“Jadi tiada sesiapa tertinggal,” katanya sambil menambah bahawa partinya tidak akan berkongsi maklumat kos guaman kepada awam.

Tambahnya, beliau telah berbincang dengan Mohamad dan bendahari Umno dan juga peguam yang mengendalikan kes ini bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan.

Tuesday, October 23, 2018

MP HARAPAN tak setuju cadangan larang terima pingat Datuk

Alyaa Alhadjri dan Geraldine Tong | Diterbitkan 23 Okt 2018, 8:10 pagi


Beberapa orang anggota parlimen HARAPAN menyuarakan rasa tidak bersetuju mengenai cadangan wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin supaya gabungan parti pemerintah itu membuat peraturan melarang wakil rakyatnya daripada menerima kurniaan darjah kebesaran Datuk semasa dalam perkhidmatan.

Bagaimanapun, MP Sungai Buloh Sivarasa Rasiah berkata masanya belum sesuai untuk membuat larangan berkenaan kerana terdapat perbezaan pendapat di antara empat parti komponen HARAPAN berhubung isu menerima pingat Datuk.

"Pakatan Harapan ada empat parti dan cukup jelas dalam isu ini terdapat perbezaan pandangan yang menyebabkan berlakunya amalan yang tidak sama.

"Pada peringkat ini, saya tidak fikir ia suatu yang dapat dilaksanakan (viable untuk larangan itu) kerana jelas terdapat berbagai pendapat dalam perkara itu," MP dari PKR itu memberitahu Malaysiakini.

Selanjutnya Sivarasa berkata gabungan parti-parti gabungan itu telah memerintah di beberapa negeri sepanjang 10 tahun yang lalu sehinggalah kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 lalu.

"Ia bukan sahaja berlaku sekarang, ia juga telah berlaku sepanjang 10 tahun lalu," jelas Sivarasa merujuk pengurniaan darjah kebesaran kepada pemimpin HARAPAN.

Disabotaj kejahilan, tamak kuasa

Menurutnya lagi isu ini agak rumit tetapi perlu dibincangkan kesemua parti dalam gabungan itu.

"Apa yang telah terjadi pada masa lalu... jadi jika seseorang menerima pingat lima tahun dulu dari Pulau Pinang, Selangor atau Kedah ia juga mencerminkan pendirian kamu tentang isu ini.

Kadir dalam tulisan di blognya berkata kerajaan bukan sahaja disabotaj oleh penjawat awam tertentu yang masih pekat dengan budaya BN tetapi menteri HARAPAN juga turut berbuat demikian.

"Bahaya kerajaan baru Pakatan Harapan (HARAPAN) disabotaj tidak dapat ditolak begitu sahaja dan terdapat dua sumber utama kepada ancaman ini.

"Pertama, pemimpin HARAPAN – termasuk anggota kabinet – mensabotaj kerajaan mereka sendiri kerana kejahilan, tamak kuasa dan ketiadaan fokus.

"Kedua, sabotaj oleh kakitangan awam dan eksekutif GLC/ GLIC kerana ketidakcekapan, pengaruh ideologi dan korupsi," kata Kadir (gambar) yang menulis dalam kapisiti peribadi memandangkan beliau ialah Penasihat Media dan Komunikasi di Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Md Akin berkata larangan sedemikian tidak dapat dilaksanakan tanpa mengambil pertimbangan kuasa Raja-Raja dan Yang DiPertua Negeri untuk mengurniakan pingat dan darjah kebesaran.

"Jika kamu mengatakan perlu dikeluarkan larangan, maka ia perlu dibincangkan dan disampaikan kepada ketua negeri-negeri (Raja-Raja dan Yang DiPertua Negeri).

"Kalau terdapat keperluan membuat larangan berkenaan maka ia perlu disampaikan dengan bijak kepada ketua negeri-negeri kerana mereka yang mengurniakan pingat dan darjah kebesaran," maklum beliau.

Shamsul mengakui isu ini agak sukar diselesaikan.

"Untuk saya, sangat sukar. Misalnya terdapat gesaan untuk memulangkan semula pingat Datuk yang diterima.

"Bagi saya cukup susah. Dalam hal ini apabila Tuan Yang Terutama (Yang DiPertua Negeri) Melaka menawarkan pengurniaan pingat, sudah tentu terdapat cara untuk menolaknya dan kami tidak ada pengalaman itu," katanya.

Bersempena dengan ulang tahun ke-80 Yang DiPertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob pada 13 Oktober lalu, lima menteri telah menerima anugerah Darjah Gemilang Seri Melaka yang membawa gelaran "Datuk Seri".

Mereka ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Rina Harun, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa.

Baru lima bulan berkhidmat sudah dapat Datuk

Memandangkan mereka baru berkhidmat selama lima bulan, para pengkritik mempersoalkan jika mereka layak mendapat penghormatan darjah kebesaran negeri itu.

Diminta mengulas hal ini, Naib Presiden AMANAH, Hasanuddin Mohd Yunus memaklumkan kedua-dua penerima pingat Datuk Seri itu, Dzulkefly dan Mujahid pernah membuat sumbangan semasa menjadi anggota parti pembangkang.

"Kami tidak meletakkan satu garis panduan yang jelas dalam perkara ini sebab kami serahkan kepada ahli-ahli kami untuk menghormati siapa yang ingin menghargai mereka.

"Dan apabila mereka hendak menerima anugerah, mereka perlu periksa diri mereka sendiri apakah sumbangan yang telah diberikan, apakah mereka benar-benar layak untuk menerimanya?

"Saya percaya mereka yang menerima Datuk-shipmemang telah memberikan sumbangan yang besar kepada negara samaada ketika bersama dengan kerajaan atau sebelum. So dari segi AMANAH tak ada apa yang kami pertikaikan antara satu-sama lain," kata MP Hulu Langat itu.

Antara parti-parti HARAPAN, DAP mempunyai dasar kurniaan pingat dan darjah kebesaran hanya boleh diterima selepas bersara daripada perkhidmatan.

[Baca berita penuh]

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-