Thursday, February 13, 2020

Polis buru ‘Kelvin Cao’ kerana hina Islam, perkauman


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memburu pemilik akaun Facebook dikenali sebagai ‘Kelvin Cao’ kerana dipercayai menghina agama Islam dan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Risikan dan Operasi), Datuk Mohd Roze Shaari, berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman telah memulakan siasatan terhadap pemilik akaun berkenaan.

Beliau berkata siasatan dibuat sejak Isnin lepas, di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Usaha memburu suspek sedang dipergiatkan untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Baru-baru ini, satu akaun Facebook menggunakan nama ‘Kelvin Cao’ dengan kenyataan menghina Islam dan berbaur perkauman tular di media sosial.

Kenyataan itu turut diselitkan dengan ayat berbaur lucah sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, sebelum ini, mengingatkan bahawa tiada lagi amaran dikeluarkan terhadap pihak yang cuba membangkitkan sensitiviti perkauman, bangsa dan agama, sebaliknya mereka yang terbabit akan disiasat dan ditangkap serta merta.

 – BERNAMA

Pemandu mabuk bakal dipenjara 20 tahun



Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Liew Vui Keong berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu di Dewan Saksama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri hari ini.
KERAJAAN akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi meningkatkan hukuman lebih berat kepada individu yang memandu secara berbahaya dan mabuk hingga menyebabkan kematian.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong berkata, pindaan undang-undang itu membabitkan denda lebih tinggi termasuk hukuman penjara sehingga 20 tahun terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut beliau, kerajaan menyerahkan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk mengubal akta berkenaan kerana ia di bawah kementeriannya dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Secara prinsipnya Kerajaan bersetuju dengan penggubalan akta itu kerana pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian perlu menerima hukuman yang setimpal,” katanya Sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) di Putrajaya tadi.

Turut hadir, Timbalan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed HanipaMaidin.

Pada sidang media 29 Januari lalu, Anthony Loke memaklumkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dipinda untuk memberi hukuman lebih berat dan setimpal kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut beliau, cadangan yang mendapat persetujuan kabinet itu akan dibincangkan bersama Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) bagi membincangkannya dari sudut perundangan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada seisi kedua pada Jun atau Julai ini.

Vui Keong berkata, pada masa ini pesalah jalan raya yang memandu secara berbahaya dan di bawah pengaruh alkohol dikenakan hukuman mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Menurut beliau, akta sedia ada tidak mencukupi dan pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan kematian perlu menerima hukuman lebih setimpal.

Menjawab pertanyaan berhubung cadangan pakar kriminologi supaya pemandu mabuk yang membabitkan kemalangan maut didakwa mengikut 304 Kanun Keseksaan (membunuh tanpa niat) beliau berkata, kesalahan jalan raya adalah tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut beliau, pihak mahkamah akan memutuskan setiap kesalahan dilakukan pemandu termasuk menetapkan tindakan undang-undang kepada pesalah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 7:59 PM

Ada muslihat licik tapi Dr M tak terlibat, kata Anwar

BERITA

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak terlibat dengan usaha memujuk anggota parlimen menyediakan akuan berkanun (SD) bagi menyokong kepimpinannya sehingga habis penggal, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR, yang dijanjikan sebagai perdana menteri kelapan, berkata demikian selepas bertemu dengan Mahathir bagi membincangkan isu mengenai peralihan kuasa.

“Saya bangkitkan isu tersebut kerana ada usaha daripada PAS, sekumpulan dari Umno dan sebilangan kecil dari PKR sendiri yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Dr Mahathir sehingga akhir penggal.

“Perdana menteri tidak terlibat dalam usaha tersebut malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan,” katanya.

Sarawak Report minggu ini mendakwa anggota parlimen Umno, PAS, Bersatu dan PKR yang memihak kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali digesa datang ke Kuala Lumpur bagi menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong kepimpinan Mahathir sehingga habis penggal.

Memetik sumber, laman pembocor maklumat itu melaporkan mereka diminta berbuat demikian dalam tempoh 48 jam.

Sarawak Report juga memetik "khabar angin" bahawa ia akan dibawa untuk sokongan Yang di-Pertuan Agong jika berjaya memperoleh bilangan cukup.

Dalam kenyataan petang ini, Anwar berkata beliau cenderung agar Mahathir terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) hujung tahun ini.

“Namun perkara ini akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari ini,” katanya.

Anwar juga berkata beliau memaklumkan kepada Mahathir terdapat “muslihat licik” dan pimpinan PH mempertahahan perjanjian menyokong Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh dan beliau sebagai perdana menteri kelapan.

“Saya juga ingatkan bahawa selama hampir dua tahun usia PH, muafakat yang termeterai tersebut tidak pernah digugat oleh mana-mana parti bersekutu – PKR, DAP, Amanah dan Bersatu,” katanya.

‘Saya hanya dedah pengkhianatan presiden Umno’

Diterbitkan Hari ini 12:31 tengahari 

BERITA

Lokman Noor Adam mempertahankan tindakannya mendedahkan audio perbualan Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa cuba meyakinkan kerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Anggot Majlis Tertinggi (MT) Umno, berkata dia tidak melakukan sebarang tindakan ataupun perbuatan yang mendedahkan rahsia parti kepada umum.

“Saya dedah kepada umum adalah perlakuan presiden yang cuba mengkhianati parti dengan memaksa 3.7 juta ahli Umno untuk menerima Tun Dr Mahathir (Mohamad) sebagai pengerusi Pakatan Nasional yang baru.

"Di mana Umno adalah satu daripada parti komponennya,” katanya dalam satu sidang media yang disiarkan di Facebooknya.

Spekulasi berhubung Pakatan Nasional ataupun kerjasama bagi membentuk kerajaan campuran itu dikemukakan Lokman 3 Feb lalu.
Zahid Hamidi
Lokman mengkritik Zahid sebagai lemah kerana ingin bekerjasama dengan Mahathir bagi membentuk kerajaan campuran.

Dalam rakaman video yang ditularkan kepada media, Lokman turut mengepilkan ucapan Zahid.

Beliau mendedahkan, perkara itu dimaklumkan Zahid ketika mesyuarat jawatankuasa perhimpunan Muafakat Nasional dengan memberikan empat sebab kena kerjasama itu perlu diadakan.

Pada 7 Feb lalu, Majlis Tertinggi Umno memecat Lokman kerana kritikannya terhadap pucuk pimpinan parti.

Bagaimanapun dakwa Lokman cadangan penubuhan Pakatan Nasional itu kini sudah terbatal selepas ia mencetuskan kontroversi.

Namun katanya usaha kini sedang giat dilakukan untuk membentuk satu kerjasama dalam Muafakat Nasional bagi menyokong perdana menteri.

“Sebaik selesai mesyuarat memecat saya, Zahid sudah melobi beberapa individu untuk mendapatkan akaun bersumpah (SD) menyokong Mahathir,” kata Lokman lagi.

Sudah terima surat

Sementara itu, Lokman mengesahkan yang dia sudah menerima surat pemecatannya sebagai ahli Umno.

Pemakluman mengenai perkara itu diterimanya menerusi satu surat daripada ibu pejabat Umno yang bertarikh 10 Februari lalu.

Katanya, dia daripada keahlian Umno berkuat kuasa serta merta mengikut Fasal 10.6 Perlembagaan Umno kerana melanggar Fasal 20.8 (a)(b)(d)(e)(f) dan (g).

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa sebelum ini berkata Lokman bukan dipecat daripada jawatan MT Umno tetapi dibuang daripada parti.

Usul undi percaya Pas: Komponen PH juga perlu sokong Mahathir, kata Penganalisis

SITI NUR ZAWANI MISCON
February 13, 2020 7:00 am


Pengisytiharan Pas yang akan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui usul undi percaya di Dewan Rakyat, wajar dilihat sebagai ‘peringatan’ agar kesemua anggota dewan untuk terus menyokong pentadbiran beliau.

Malah, dikala konflik peralihan kuasa terus memuncak sehingga mencetuskan perang dingin antara pemimpin PH, usul dikemukakan pihak pembangkang itu menggambarkan pentadbiran Mahathir itu berjaya mengamalkan demokrasi sepanjang perjalanan politiknya.
Md Shukri Shuib
Perkara tersebut ditegaskan penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib yang berkata, usul tersebut juga antara lain jelas memaparkan peranan pemangku menteri pendidikan itu sebagai seorang negarawan yang dihormati semua pihak termasuk parti lawan.

“Pertama kali dalam sejarah negara di mana sebuah parti pembangkang menjadi pendokong kepada Institusi Perdana Menteri biarpun wujudnya perbezaan politik kepartian.

“Dr Mahathir kini sebagai satu institusi tersendiri yang mampu memainkan peranan sebagai institusi pengimbang diantara blok kerajaan dan pembangkang.

“Ini dinamakan Mahathirokrasi iaitu peranan Dr Mahathir yang dapat menyaksikan perjalanan politik demokrasi Malaysia tidak pernah berpisah,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline

Tambah Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa itu lagi, langkah yang dibuat Pas perlu diakui sebagai langkah berani dan berbeza yang menyaksikan kematangan parti itu dalam berpolitik.

Jelasnya, ia juga harus dipuji oleh kerana usaha tersebut tidak dibawa ke jalanan oleh Pas dan parti lawan lainnya.

Namun ia dijalankan secara rasmi di dalam Dewan Rakyat secara sah.

“Ini adalah satu langkah demokrasi profesional yang perlu dikaji dan dilihat, di mana menurutnya adalah satu perkiraan luar biasa biarpun semestinya dia mempunyai motif tersendiri.

“Ia adalah langkah bertamadun dalam sebuah negara demokrasi dan dilakukan secara profesional, ini adalah satu kematangan politik yang jelas,” ujarnya.

Pada 8 Februari lalu Presien Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu akan membawa usul percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang dewan rakyat yang akan berlangsung pada Mac depan.

Ia bagi menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir. sebagai satu usaha untuk meredakan ketidakstabilan politik negara hari ini yang dilihat mengganggu Perdana Menteri menjalankan tugasnya.

Pas dijangka akan menghantar Usul percaya lebih awal untuk diteliti oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/usul-undi-percaya-pas-komponen-ph-juga-perlu-sokong-mahathir-kata-penganalisis/

Undi Percaya Hentikan Perebutan Kuasa

Undi Percaya Hentikan Perebutan Kuasa


1. Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) bersetuju sekiranya Usul Undi Percaya dibawa dalam sidang parlimen oleh mana-mana ahli parlimen bagi memberi signal jelas kepada rakyat sejauh manakah sokongan yang diperolehi oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

2. Umum mengetahui tentang hasrat menggantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dengan Dato’ Sri Anwar Ibrahim sebelum habis penggal pemerintahan Pakatan Harapan, namun belum pun tiba tempoh dua atau tiga tahun seperti didakwa, rakyat disajikan dengan pertelingkahan terbuka pimpinan kerajaan sama ada di media cetak mahupun media sosial. Situasi ini semestinya merimaskan rakyat di saat pelbagai manifesto belum nampak sinar untuk ditunaikan, ekonomi negara yang tidak menentu serta kos sara hidup semakin menekan.

3. Pertelingkahan terbuka pimpinan PH yang memegang teraju kepimpinan negara menimbulkan persoalan, “Adakah Perdana Menteri sekarang ini benar-benar mendapat sokongan majoriti ahli-ahli parlimen sepertimana yang ditetapkan oleh Perlembagaan?”

4. Undi Percaya adalah selari dengan Perlembagaan sepertimana juga Undi Tidak Percaya. Undi Percaya bagi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri pernah dilakukan pada tahun 1976 untuk menyokong kepimpinan Tun Hussein Onn melalui ahli parlimen Datuk Senu bin Abdul Rahman, malah pernah dilakukan semasa zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2003 melalui ahli parlimen Dato Ir Mohd Zin bin Mohamed.

5. Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) berpandangan adalah tidak wajar pertukaran Perdana Menteri dibuat sewenangnya-wenangnya sebagaimana yang telah menjadi amalan PKR yang menukar wakil rakyatnya sesuka hati sebelum tamat penggal dengan alasan ‘strategi politik’, kerana kali ini melibatkan jawatan paling utama negara dan pastinya ada bantahan daripada pelbagai pihak.

6. Pakatan Harapan sewajarnya membuktikan Perdana Menteri daripada gabungan pakatan mereka mendapat sokongan majoriti ahli dewan rakyat dalam parlimen tidak kira sama ada usul ini dibawa oleh ahli parlimen dari blok kerajaan atau pembangkang. Sikap melatah dan kepanasan hanya menunjukkan ada sesuatu yang disembunyikan.

Dr Najihatussalehah binti Ahmad
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia
12 Februari 2020 bersamaan 18 Jamadilakhir 1441

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-