Friday, February 16, 2024

Berbulan-bulan susah nak jumpa beras tempatan, alih-alih keluar Beras Madani

ismaweb.net
Ainul Illia
Kenapa RM30 untuk 10kg? Siapa pengilang Beras Putih Malaysia Madani?

BANGI, 6 Syabaan 1445H, Jumaat – Keputusan kerajaan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini, tidak diterima baik oleh rakyat.

Beras itu yang bakal menjadi kategori tunggal bagi beras putih menimbulkan pelbagai persoalan terutama daripada pihak pemain industri dan juga pembeli.

Hairan dengan isu ini, orang awam mula mempersoalkan ke mana perginya beras tempatan selama beberapa bulan lalu, sehingga menyebabkan mereka terpaksa membeli beras import pada harga yang lebih tinggi.

Lebih menambahkan persoalan, kerajaan membuat ‘kejutan’ dengan memperkenalkan Beras Putih Madani Malaysia dengan harga siling baharu.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. berkata, harga siling baharu bagi beras putih ditetapkan pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg).

Ia akan mula berkuatkuasa pada Isnin (19 Februari) dan beras ini akan berada di pasaran pada 1 Mac.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, penetapan harga siling Beras Putih Malaysia Madani itu juga muncul sebagai mekanisme menoktahkan tindakan pemanipulasian bekalan beras putih tempatan.

Ini kerana, katanya, segelintir pengeluar sebelum ini dikenal pasti mencampurkan beras putih tempatan dengan kampit beras putih import, bertujuan meraih keuntungan lebih.

Membidas kenyataan itu, salah seorang pengguna Facebook, Baba Panjang mempersoalkan harga siling baharu yang ditetapkan kerajaan campuran ini.

“Kenapa RM30? Kenapa tak RM28 ke, RM20 ke? Rasa macam idea kedai 1Malaysia. Dulu pun ada barang-barang 1Malaysia. Ishhh siapa lah pengilang beras madani ni.. Mesti kaya sangat,” katanya.

Shukrie Rieey yang turut tidak berpuas hati dengan pelaksanaan harga siling baharu ini berkata,” Puluhan tahun tak ada isu pun beras tempatan hilang di pasaran. Bila Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan menyusahkan rakyat.”

Manakala pengguna Facebook dengan nama Razaly Othman mempersoalkan ke mana perginya beras tempatan selama beberapa bulan ini.

“Yang hairannya mana perginya berss tempatan? Harga barang naik.. Ingat semakin turun…. Tunaikanlah janji janji semasa berkempen dulu,” katanya.

Sementara itu, Shafiq Hamzah berpandangan bahawa tidak logik beras import yang bernilai RM3,200 bagi setiap per tan metrik perlu dicampurkan dengan beras tempatan yang dikatakan hilang untuk mendapatkan harga jualan RM30 bagi 10kg.

“Kilang beras mana yang nak jual harga macam itu sedangkan mereka nikmati untung daripada harga beras import RM3,200/tan dan dijual pada harga rm40/10kg,” soalnya.

Rahimi Osman pula bimbang akan kesan-kesan yang bakal timbul jika semua beras dijual selaras dengan Harga Beras Putih Malaysia Madani, termasuk beras import.

“Saya risau pengeluar beras import tidak lagi mahu jual beras kerana tidak sepadan. Tinggal beras tempatan sahaja dalam pasaran dan akan timbul masalah lebih besar, tidak cukup beras langsung dalam negara. Rakyat kategori T20, M40 dan B40 akan berebut beli beras.

“Yang berduit boleh simpan bekalan beras banyak-banyak. Yang tiada duit mula tanam ubi kentang balik macam zaman Jepun,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Kerajaan gagal: Beras Madani lagi mahal dari beras SST

harakahdaily
February 16, 2024
Ir Ts Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR: PAS sangat terkilan dan bersimpati dengan nasib rakyat apabila harga siling beras 10 kilogram (kg) dinaikkan sebanyak 15 peratus daripada RM26 kepada RM30 tanpa memikirkan nasib golongan B40.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, Kerajaan Madani gagal dalam menangani isu ketiadaan beras Super Spesial Tempatan (SST) yang dimanipulasi oleh kartel beras.

“Sehingga menyebabkan kekurangan bekalan beras apabila berlakunya penukaran gred atau percampuran beras tempatan menjadi import sekali gus mengaut lebih keuntungan,” ujar beliau di dalam satu kenyataan pada hari ini.

Menurut beliau, kelemahan penguatkuasaan oleh Kerajaan Madani menurut melalui KPDNHEP dan KPKM dilihat gagal menyekat aktiviti yang bertujuan meraih keuntungan berlebihan iaitu mencampurkan beras putih tempatan dengan kampit beras putih import.

PAS tambah beliau, kesal dengan solusi mudah yang diambil Kerajaan Madani untuk menjenamakan SST kepada Beras Madani seterusnya menaikkan harga.

“Pengguna dan rakyat menjadi mangsa kerana terpaksa membeli Beras Madani pada harga yang lebih tinggi RM3.50 sekilogram berbanding harga kawalan maksimum beras Super Spesial Tempatan 5 peratus (SST5) di peringkat runcit iaitu RM2.60 sekilogram sebelum ini, seperti termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

“Ini bertentangan dengan janji Perdana Menteri pada 19 September 2023 yang menjamin harga beras tempatan tidak naik, di kala pengguna menghadapi segala bentuk kenaikan kos hidup yang lain,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Jerantut.

Kerajaan tegas beliau, sepatutnya berada di pihak pengguna dengan membanteras aktiviti pemain industri beras yang mencampurkan beras putih tempatan dan beras putih import ini, bukan dengan merestui tindakan ini dan menjualnya dengan harga lebih tinggi.

“Pengumuman ini juga menimbulkan kekeliruan kepada pengguna sama ada selepas ini adakah jualan beras Super Spesial Tempatan dan Super Spesial Import akan diberhentikan sepenuhnya dan hanya ada beras putih Malaysia Madani yang boleh dijual pasaran?

“PAS juga melihat kecelaruan yang berlaku dalam Kerajaan Madani apabila berlakunya pertembungan kepentingan di antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Pengerusi Task Force Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL).

“Kerana mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, perkara berkaitan harga dan kawalan beras hanya boleh dibuat oleh Menteri bertanggungjawab.

“Janganlah hanya kerana hendak menunjukkan kebolehan sendiri selepas dilantik oleh Perdana Menteri, tatacara, bidang kuasa serta urus tadbir negara ini menjadi cacamerba,” ujar beliau. 

HARAKAHDAILY 16/2/2024

SUMBER   Oleh ZAID ADHAR

Anwar: Kalau orang tua rompak, rogol boleh?

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 16, 2024 4:42 PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengulangi ketegasan untuk tidak akan bertolak ansur dengan isu rasuah dan penyelewengan.

Malah, kata Anwar, usia dan pangkat tidak sepatutnya dijadikan alasan, untuk tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat rasuah.

Dia turut membidas ahli Parlimen yang menyokong golongan seumpama itu dengan alasan kasihan melihat mereka diheret atau dihadapkan mahkamah.
“Dia orang tua, jadi kalau orang tua rompak boleh? Kalau orang tua rogol boleh?

“Ini hang (kamu) belajar dari mana?” katanya ketika berucap pada Program Jualan Termurah Madani - Barangan Basah dan Kering di Lembah Makanan, Bandar Perda, di Permatang Pauh, hari ini.

Mengulangi pendiriannya bahawa dirinya tidak akan berkompromi dan mencampuri urusan mana- mana pihak berkuasa, termasuk SPRM, Anwar berkata usaha memerangi rasuah dilakukan secara menyeluruh.

Sambil menggesa pihak berkuasa supaya tidak perlu takut untuk bertindak terhadap mereka yang terlibat rasuah, perdana menteri menegaskan pangkat dan peringkat umur tidak boleh dijadikan sebagai alasan.

“Kalau orang itu (amalkan) rasuah, dia patut bimbang... kalau tak rasuah dia tak perlu takut.

“Ini orang yang rasuah berpuluh billion tak berani sentuh, kalau polis sarjan kena (terima rasuah) kes RM200 orang marah habis. Saya tak kata betul (terima rasuah), kalau salah... salahlah.

“Tapi orang yang ambil RM10 billion tak berani sentuh, sebab ada kuasa tak berani sentuh.

“Ini kata dendam, kes lama, kalau ambil RM200 ringgit saya maafkan, tapi kes lama ambil RM20 billion ringgit, itu bukan duit aku, duit hang, tapi itu duit rakyat...” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.


Sebelum ini, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan isterinya Na'imah Abdul Khalid mengingatkan perdana menteri bahawa kuasa itu singkat dan perhitungan menunggu mereka yang menyalahgunakannya apabila SPRM melancarkan siasatan terhadap kekayaan mereka.

Pada 23 Jan lalu, Naimah, 68, didakwa gagal mengisytiharkan hartanya.

Daim pula didakwa pada 29 Jan lalu atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan harta merangkumi 38 syarikat, 25 unit hartanah, tujuh kenderaan mewah, serta dua akaun dana pelaburan.

SPRM juga telah mengarahkan anak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Mirzan dan Mokhzani, untuk mengisytiharkan harta mereka.

Ketua bahagian Umno tak puas hati rombakan exco Johor

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
16 Feb 2024, 9:30am

Ketua-ketua bahagian mendesak pentadbiran negeri agar menggugurkan exco yang tiada jawatan pada peringkat bahagian, menurut sumber.
Hanya tiga ketua bahagian Umno tersenarai dalam barisan baharu exco Johor, iaitu (dari kiri) Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi (Simpang Renggam); Zahari Sarip (Segamat) dan Jafni Shukor (Kulai).

PETALING JAYA: Beberapa ketua bahagian Umno di Johor tidak senang dengan rombakan portfolio exco negeri baru-baru ini, kerana menurut mereka, pemimpin-pemimpin lain yang lebih layak tidak mendapat tempat dalam barisan pentadbiran negeri.

Seorang ketua bahagian, yang enggan namanya disiarkan berkata, rombakan itu sepatutnya melibatkan lebih ramai ketua bahagian.

Rombakan yang diumumkan pada Selasa menyaksikan hanya tiga ketua bahagian Umno terlibat, iaitu Ketua Umno Simpang Renggam Onn Hafiz Ghazi, yang juga menteri besar Johor; Ketua Umno Segamat, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Zahari Sarip; dan Ketua Umno Kulai, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Jafni Shukor.

Sumber itu berkata, ketua-ketua bahagian mendesak agar pentadbiran negeri menggugurkan exco yang tidak memegang jawatan pada peringkat bahagian.

“Bagaimanapun, apabila barisan (exco) baharu diumumkan, itu tidak berlaku,” katanya.

Majoriti barisan 10 exco pilihan Onn Hafiz terdiri daripada Adun yang tidak memegang sebarang jawatan pada peringkat bahagian, kata sumber itu.

“Ramai Adun lain yang juga ketua bahagian lebih layak, dan sepatutnya dipertimbangkan (sebagai exco),” katanya.

Sementara itu seorang lagi ketua bahagian yang juga enggan namanya disiarkan bersetuju bahawa jawatan exco sepatutnya diserahkan kepada ketua-ketua bahagian.

“Mereka juga mampu memikul tugas itu, jadi saya tidak nampak apa salahnya beri mereka jawatan itu,” katanya.

Tambahnya, langkah melantik ketua bahagian dalam barisan exco juga menunjukkan bahawa kepimpinan parti percaya kepada ahlinya.

“Ini akan mendorong ketua bahagian yang juga exco bekerja lebih keras untuk parti, yang akan membantu parti mencapai prestasi lebih baik pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, Pemuda Umno Johor berpuas hati dengan rombakan tersebut, menurut ketuanya, Noor Azleen Ambros.

Pelantikan itu diputuskan oleh menteri besar dan mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, katanya.

Antara yang dilantik sebagai exco ialah Aznan Tamin, yang belum pun berusia 40 tahun. Beliau ditugaskan portfolio pendidikan dan penerangan.

Sumber itu berkata, pelantikan Aznan melengkapi semangat Pemangku Sultan dan menteri besar, yang masing-masing berusia 39 tahun dan 44 tahun.

Dalam rombakan exco pada Selasa lepas, hanya Norliza Noh digugurkan, dengan portfolionya diambil alih Aznan, sementara portfolio beberapa exco lain ditukar.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-