Thursday, February 20, 2025

SOSMA: Dulu PH kata zalim, sekarang mahu perkukuh

harakahdaily.net
February 20, 2025
Datuk Seri Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan terhadap hasrat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menambahbaik Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, dahulu Pakatan Harapan (PH) menganggap SOSMA sebagai sebuah akta yang lebih zalim selain mendesak agar ianya dimansuhkan.

Bagaimanapun kata beliau lagi, nada pimpinan PH juga bukan sahaja semakin lembut mengenai SOSMA setelah menjadi kerajaan di Putrajaya, malah berhasrat memperkukuhkan akta itu.

“Saya ucap terima kasih penerangan menteri semalam mengenai perincian SOSMA semalam, hasrat kerajaan ini saya ingin mendapat penjelasan sejelas-sejelasnya mengenai dasar kerajaan sekarang.

“Saya merujuk kepada kenyataan dikeluarkan pada masa itu Tambun, Ketua Umum PKR, SOSMA lebih teruk berbanding ISA, kerajaan PH 1.0 akan mansuhkan seperti dijanjikan oleh kerajaan PH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Saifudin Nasution pada sesi penggulungan perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sementara itu, Saifudin Nasution dalam jawapannya seolah-olah tidak mahu menjawab soalan itu berkata, kerajaan akan membuat semakan semula terhadap akta tersebut. 

HARAKAHDAILY 20/2/2025

Masyarakat India diseru sertai ‘third force’ bersama PAS

harakahdaily.net
February 20, 2025
KUALA LUMPUR: Masyarakat kaum India di negara ini diseru untuk menyertai kuasa ketiga atau ‘third force’ bersama PAS demi masa depan yang terjamin.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, masyarakat India di Malaysia telah lama menghadapi cabaran sosial dan ekonomi yang sebahagiannya berpunca daripada diskriminasi sesama mereka.

“Sistem kasta yang pernah berakar umbi dalam masyarakat India telah mencipta jurang yang menghalang perpaduan sejati dan kemajuan kolektif. Malah sehingga hari ini, kesan perpecahan ini masih wujud, melemahkan keupayaan masyarakat India untuk maju bersama.

“Melangkah ke hadapan bersama ‘Third Force’, pakatan strategik antara masyarakat India bersama PAS, umat Islam yang berpandukan ajaran Islam, sekali gus menjamin masa depan yang selamat, peluang dan kemakmuran bersama.

“Komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap nilai dan prinsip Islam menegakkan keadilan, integriti, dan perlindungan, menyediakan asas yang kukuh dan boleh menjamin pakatan ini.

“Sejajar dengan ucapan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Parlimen pada 18 Februari 2025 yang memberi jaminan bahawa Islam menjamin keadilan dan kesejahteraan untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, masyarakat India telah berpecah-belah berdekad lamanya disebabkan politik, kesukaran ekonomi dan halangan sosial yang telah memberi ruang kepada pihak lain untuk menentukan nasib mereka.

“Dengan gabungan ‘The Third Force’ bersama PAS, masyarakat India di Malaysia akan mempunyai perwakilan yang lebih kukuh dalam proses membuat keputusan, peluang ekonomi yang lebih besar melalui dasar yang adil.

“Pakatan politik berasaskan hormat dan nilai-nilai bersama serta masa depan yang terjamin di bawah kepimpinan yang benar-benar prihatin. Jalan ke hadapan adalah jelas, bersatu di bawah PAS, kukuhkan komuniti kita, dan bertanggungjawab untuk masa depan kita.

“Saya menyeru seluruh masyarakat India di Malaysia bersama-sama menyertai perjuangan ini, meninggalkan perpecahan, dan maju ke hadapan dengan parti yang terbukti komited terhadap keadilan dan inklusiviti.

“Inilah masanya untuk kita bersatu. Bersama, kita membentuk masa depan yang lebih kukuh bagi masyarakat India!” katanya. 

HARAKAHDAILY 20/2/2025

Akta dikemuka DAP gugat hak istimewa Melayu-Islam

harakahdaily.net
February 20, 2025

KUALA LUMPUR: Perkembangan mengenai Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dan Akta Antidiskriminasi Kaum jelas merupakan ancaman terhadap hak istimewa Melayu-Islam di negara ini.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, kedua-dua akta itu berpotensi digunakan untuk menghakis kuasa, kedudukan istimewa dan hak yang dijamin kepada orang Melayu seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami ingin menegaskan bahawa usaha halus untuk mencabar keistimewaan orang Melayu melalui akta-akta seperti ini mesti dihentikan serta-merta.

“Jangan sesekali cuba mencetuskan provokasi terhadap orang Melayu dengan dalih memperjuangkan kesamarataan yang hakikatnya boleh menggugat keseimbangan sosial dan kestabilan negara.

“DHPP ingin menegaskan bahawa hak Melayu-Islam tidak boleh digugat. URA tidak boleh dijadikan alat untuk memindahkan tanah milik orang Melayu atas nama pembangunan.

“Begitu juga, Akta Antidiskriminasi tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk merombak hak keistimewaan Melayu yang telah lama termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, akta-akta itu juga secara tidak langsung boleh menjejaskan kaum India yang merupakan salah satu kumpulan minoriti yang sering tertindas dalam pelbagai aspek sosioekonomi.

“Akta ini bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah sebenar, malah berisiko memburukkan lagi keadaan bagi golongan yang sudah sedia mengalami ketidaksimbangan dalam peluang pekerjaan, pendidikan dan pemilikan ekonomi,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru pihak kerajaan agar tidak tunduk kepada desakan pihak-pihak tertentu yang mahu menggugat kedudukan Melayu-Islam melalui akta-akta seperti ini.

“Kita telah hidup dalam keamanan dan keharmonian sekian lama, maka jangan ada pihak yang cuba merosakkannya dengan memainkan sentimen perkauman secara halus,” katanya. 

HARAKAHDAILY 20/2/2025

Pembangkang dakwa URA dibuat tergesa-gesa, ada muslihat

malaysiakini.com
Haspaizi Zain & Hariz Mohd & Ili Aqilah
Diterbitkan: Feb 20, 2025
Pembangkang mempersoalkan kegagalan kerajaan untuk menyediakan buku rang undang-undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) meskipun pembentangannya hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Takiyuddin Hassan (PN- Kota Bharu) berkata, perkara itu bukan sahaja menimbulkan persoalan, malah membuktikan RUU tersebut dibuat secara tergesa-gesa dan mempunyai muslihat tertentu.

"Sehingga hari ini blue bill RUU masih belum ada di atas meja ahli parlimen, kita ada lagi lapan hari.

"Kita tak fahamlah kenapa begitu lewat. Sepatutnyaa RUU dapat (dibentang) di awal persidangan, sebahagian daripada RUU sampai ke hari ini masih lagi belum (dapat).

"Jadi, kesimpulannya RUU ini dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan juga mempunyai muslihat yang tertentu," katanya pada sidang media bersama Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin di parlimen, hari ini.

Semalam ahli parlimen pembangkang menyifatkan cadangan akta itu sebagai taktik halus untuk menyingkirkan orang Melayu dan kaum India miskin daripada menetap di kawasan bandar.

Ini kerana melalui akta tersebut, kerajaan menurunkan nilai ambang persetujuan untuk pembangunan semula kawasan perumahan strata.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan mencadangkan agar ambang persetujuan diturunkan kepada 80 peratus untuk bangunan di bawah umur 30 tahun, 75 peratus untuk bangunan berusia lebih 30 tahun, dan 51 peratus untuk hartanah tidak selamat atau terbiar.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyifatkan undang-undang itu sebagai “akta rampas rumah”.

Nga bagaimanapun membidas kenyataan tersebut yang didakwanya berniat jahat serta menafikan URA menindas kaum tertentu.

‘Macam budak sekolah’

Dalam pada itu Hamzah Zainuddin (PN-Larut) menyifatkan parlimen tidak memiliki kebebasan untuk bersuara apabila sering dihalang oleh Speaker Dewan Rakyat daripada membangkitkan sesuatu isu ataupun pertanyaan.
Katanya, parlimen kini bukan lagi tempat untuk pembuat dasar, sebaliknya lebih kepada "sesi persekolahan" yang dipantau oleh "pengetua" yang tegas.

"Bila timbulnya isu-isu gag order dan sebagainya, kita kadang-kadang merasakan Dewan (Rakyat) ini patut bebas kerana kita law maker, hari ni kita bukan lagi jadi law maker, kita jadi budak sekolah.

"Yang ada bukan monitor lagi, yang ada pengetua yang begitu strict, jangan cakap, duduk dalam kelas, jangan tanya. Cikgu hanya ada berapa minit sahaja, kau tengok sahaja, kalau tak reti tak faham, tengok sahaja," katanya.

Hamzah turut menyentuh isu ketiadaan beras tempatan di pasaran yang didakwa berpunca daripada kartel dan masih gagal ditangani kerajaan sehingga kini.

Katanya, dia membuat lawatan ke sebuah pasar raya di Cheras baru-baru ini dan mendapati tiada langsung beras tempatan.

Sebaliiknya, katanya, hanya beras import dijual dengan harga RM48 dan diberi diskaun sebanyak RM15.

"Cuba kita fikir logik, kalau orang buat diskaun sampai RM15, mesti ada kartel...ini kerajaan kena sedar.

"Pengurus (pasar raya) beritahu hanya pada hari minggu beras dijual pada harga RM2.6 sekilogram pada Jualan Rahmah...itu 300 kampit sahaja," katanya lagi.

Larangan berceramah untuk Zakir Naik sudah tiada, kata Saifuddin

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Feb 20, 2025 3:26 PM
PARLIMEN | Tiada lagi sebarang kekangan untuk pendakwah kontroversi dari India, Zakir Naik, menyampaikan ceramah di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata larangan sebelum ini dibuat pihak berkuasa adalah disebabkan siasatan yang dijalankan berhubung dua insiden melibatkan Zakir pada 2019.

Dalam tempoh itu, kata Saifuddin, pihak berkuasa mengenakan larangan berceramah.

"Saya baru semak semula sekarang (dan mendapati) tak ada larangan itu.

"Sebab (larangan tersebut) hanya merujuk kepada tempoh siasatan terhadap dua kenyataan yang dikeluarkan beliau dalam ucapan - kalau tak silap di Kota Bharu dan Perlis," katanya.

Saifuddin berkata demikian sebagai menjawab soalam RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu status terkini larangan ke atas Zakir.

Kata Rayer, dia ingin tahu sama ada larangan berkenaan sudah dibatalkan atau sebaliknya.

Dia juga menegaskan tidak bercadang untuk membantah sesiapa saja menyampaikan ceramah agama kecuali Zakir.

"Bagi menjawab soalan Jelutong (Rayer) apakah sekarang larangan itu masih ada, (jawabnya) larangan itu tidak ada lagi sekarang," katanya.

Nama Zakir kembali menjadi perhatian baru-baru ini apabila dia dilihat menyampaikan ucapan dalam satu majlis di Perlis dan tidak disenangi Rayer.

Bagaimanapun keadaan itu dijelaskan Mohd Asri Zainul Abidin yang memberitahu Zakir dibenarkan berucap selepas mendapat izin daripada Mufti Perlis berkenaan.

PAS perlu henti bodohkan rakyat dengan teori konspirasi dangkal - MP DAP

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 20, 2025 10:04 AM
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, membidas Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berhubung dakwaan bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) ialah satu rancangan halus untuk mengusir komuniti tertentu dan membuka jalan kepada pilihan raya kerajaan tempatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim menuduh PAS ketandusan isu sehingga terpaksa ‘menjaja mitos perkauman murahan untuk menakut-nakutkan rakyat’.

“Hakikatnya, URA diwujudkan untuk memperbaharui kawasan perumahan lama yang usang, tidak selamat dan berisiko tinggi untuk didiami.

“Banyak bangunan mengalami masalah struktur, sistem elektrik dan saliran uzur, selain ketiadaan fasiliti moden. Jika PAS mahu mempertahankan rumah hampir roboh dan membiarkan rakyat hidup dalam keadaan berbahaya, itu pilihan mereka.

“Tetapi kerajaan Madani tidak akan membiarkan rakyat terus terperangkap dalam kemiskinan bandar hanya kerana takut kepada perubahan,” katanya.

Lim menafikan dakwaan bahawa URA ialah “kaedah halus” untuk mengusir orang Melayu dan India dari bandar, dengan menjelaskan bahawa pemilik asal—tanpa mengira kaum—akan diberi keutamaan.

“Mereka tidak diusir, malah ditawarkan kediaman lebih selesa di lokasi yang sama. Jadi, dari mana datangnya dakwaan bahawa URA adalah “kaedah halus” untuk menghalau orang Melayu dan India keluar dari bandar? Atau mungkinkah PAS sebenarnya takut rakyat memahami fakta sebenar dan tidak lagi termakan propaganda mereka?”soalnya.
Dalam pada itu, Lim turut mengecam kenyataan Tuan Ibrahim yang mendakwa undang-undang sedia ada, yang memerlukan persetujuan 100 peratus pemilik sebelum pembangunan semula boleh dijalankan, adalah memadai.

“Logik apa yang PAS guna? Bagaimana mahu mendapatkan persetujuan penuh jika ada pemilik yang sudah meninggal dunia, hilang, atau terbabit dalam pertikaian hak milik? Kalau ikut logik PAS, sampai kiamat pun pembangunan tidak boleh dijalankan. Hanya di Korea Utara setiap keputusan diterima bulat-bulat tanpa sebarang bantahan,” katanya.

Justeru Lim menggesa PAS berhenti mengelirukan orang ramai dengan teori konspirasi.

“PAS peru berhenti memperbodohkan rakyat dengan teori konspirasi dangkal. URA bukan rancangan jahat, tetapi satu usaha kerajaan memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Akta Pembaharuan Bandar— yang masih belum dibentangkan di Parlimen— dikatakan merupakan usaha untuk membangunkan semula perumahan lama di kawasan bandar.

Salah satu perkara yang dicadangkan ialah untuk mengatasi halangan syarat 100 peratus persetujuan pemilik bagi pembangunan semula perumahan strata lama.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dilaporkan mencadangkan agar nilai ambang persetujuan diturunkan kepada 80 peratus bagi bangunan berusia bawah 30 tahun, 75 peratus bagi bangunan berusia lebih 30 tahun, dan 51 peratus bagi hartanah yang tidak selamat atau terbengkalai.

Pada Okt lalu, Nga, sebagai menjawab kritikan PAS mengenai rang undang-undang itu, menafikan bahawa ia akan meminggirkan mana-mana kaum.
Namun, ahli parlimen pembangkang mendakwa akta itu adalah perancangan secara halus untuk mengusir orang Melayu dan India miskin dari kawasan bandar.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, mendesak kerajaan menamakan URA tersebut sebagai akta "rampas rumah" kerana melalui akta tersebut, kerajaan menurunkan nilai ambang persetujuan pembangunan daripada 100 peratus kepada 80 peratus.

Semalam, Nga menafikan dakwaan Syed Saddiq dengan mengatakan bekas menteri itu telah membuat tuduhan jahat yang bersifat fitnah di Dewan Rakyat.

Dia memberi jaminan akta yang akan dibentangkan itu melindungi pemilikan asal hartanah dan tiada pihak akan dapat merampasnya secara paksa, selain menolak kebimbangan pengkritik bahawa ia meminggirkan kaum tertentu.

Jangan normalisasi budaya songsang ke dalam negara

harakahdaily.net
February 20, 2025

Fesyen di karpet merah AJL39
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius terhadap isu lelaki yang berpakaian seperti wanita dalam acara Karpet Merah Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) sehingga menimbulkan keresahan dan menyentuh sensitiviti agama Islam serta budaya di Malaysia.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, berfesyen dibenarkan dalam Islam, namun ianya mestilah selari dengan hukum syarak, menutup aurat, dan mencerminkan adab dan kesopanan.

“Lelaki dan wanita perlu berpakaian serta berperilaku mengikut jantina asal yang ditetapkan Allah SWT. Berpakaian atau berfesyen menyerupai jantina berlawanan adalah haram dan berdosa besar di sisi Islam.

“Malah, Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559),” ujarnya dalam satu kenyataan.

Begitu juga jelasnya, dengan Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan larangan terhadap pemberian kandungan jelik.

Namun begitu katanya, sejauh mana undang-undang tersebut dikuatkuasa untuk membendung anasir-anasir songsang ini yang bertentangan dengan agama dan adat budaya negara kita.

Dalam pada itu beliau berkata, Pemuda PAS Malaysia menyambut baik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memanggil semua individu tersebut untuk mendapatkan penjelasan dan mengadakan sesi perbincangan tertutup bagi memberikan nasihat dan bimbingan.

“Walaupun TV3 telah memohon maaf atas insiden tersebut, Pemuda PAS menegaskan agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi dan menggesa Kementerian Komunikasi dan SKMM mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menormalisasi budaya songsang ini,” katanya. 

HARAKAHDAILY 20/2/2025

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-