Showing posts with label PRU ke-14. Show all posts
Showing posts with label PRU ke-14. Show all posts

Tuesday, July 24, 2018

Zuhdi: Jika Cina boleh bersatu, mengapa Melayu tidak?

Dr Mohd Zuhdi Marzuki 
Diterbitkan 24 Jul 2018, 6:50 petang


ULASAN | Umum mengetahui dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, sekurang-kurangnya 95 peratus kaum Cina mengundi Pakatan Harapan (HARAPAN).

Mereka akan memilih mana-mana calon yang mewakili HARAPAN sama ada calon itu Melayu, Cina, India atau lain-lain. Corak pengundian kaum Cina ini di seluruh negara hampir sama, tidak kira di bandar atau di luar bandar.

Begitu juga corak pengundian mereka tidak dibezakan sama ada seseorang itu Buddha, Taoism dan Kristian. Malah yang lebih menarik, diyakini ahli-ahli MCA dan GERAKAN turut mengundi HARAPAN sekali gus menyebabkan parti yang mereka anggotai kalah teruk.

Demikianlah kesatuan kaum Cina untuk mencorakkan politik Malaysia mengikut hasrat yang mereka kehendaki.

Kaum Cina menyedari, komposisi mereka yang tidak sampai 30 peratus tidak memberi apa-apa kesan kepada corak politik Malaysia sekiranya mereka tidak bersatu.

Taburan demografi mereka pula tidak sekata, tertumpu di kawasan-kawasan tertentu khususnya di Kawasan bandar dan Pantai Barat Semenanjung.

Kerusi-kerusi parlimen yang bermajoriti kaum Cina adalah sekitar 33 kerusi, begitu jauh untuk mereka membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Manakala di kerusi-kerusi marginal yang jumlah kaum mereka agak tinggi juga, sekiranya undi mereka berpecah kepada DAP dan MCA atau GERAKAN, berkemungkinan kerusi ini terlepas kepada calon kaum lain. Oleh sebab itu, kesatuan adalah formula yang tidak boleh dielak.

Mustahil undi Melayu

Adalah diyakini, kaum Cina mempunyai mekanisme tersendiri untuk memastikan pada setiap kali PRU, mereka bersatu untuk mengundi mengikut corak tertentu.

Dengan mekanisme itu, pengundi-pengundi dari kalangan kaum Cina tahu parti mana yang mereka perlu pilih sama ada DAP atau MCA atau GERAKAN.

Mereka juga tahu sama ada untuk memilih Barisan Nasional (BN) atau HARAPAN atau PAS (Gagasan Sejahtera). Pada PRU10 tahun 1999 dan PRU11 tahun 2004, mereka bersatu mengundi BN.

Kemudian pada PRU ke-12 tahun 2008 dan PRU ke-13 tahun 2013, mereka bersatu pula menolak BN dan mengundi pembangkang. Jarang sekali kita dapati, kaum Cina mengundi mengikut corak yang tidak sekata dalam PRU-PRU yang lepas.

Persoalannya, adakah sikap kaum Cina ini boleh dianggap rasis atau perkauman? Jawapannya terpulang kepada masing-masing, boleh jadi ada yang menganggapnya perkauman dan ada yang menganggapnya tidak.

Sesetengah pihak menganggapnya rasis kerana mereka hanya mementingkan hasrat yang mereka mahu capai daripada kerajaan yang dipilih bukannya melihat kepada hasrat nasional.

Manakala ada pihak yang lain menganggapnya bukan rasis, kerana memang menjadi sikap semulajadi kaum yang minoriti perlu bersatu untuk memastikan kepentingan mereka tetap terjamin.

Atas sebab itu, hampir mustahil kaum Cina akan mengundi calon Melayu di kawasan bermajoriti Cina seperti Bukit Bintang, Seputih dan lain-lain.

Kemungkinan situasi berbeza

Situasi ini begitu berbeza dengan kaum Melayu-Muslim, sebarang seruan ke arah kesatuan akan dianggap rasis atau perkauman. Mana-mana tokoh atau pihak yang menyeru digembelingkan kesatuan umat Melayu akan terus dilabel rasis termasuk oleh segelintir Melayu-Muslim sendiri.

Kecuali selepas Tragedi 13 Mei 1969, apabila PAS dan Umno bersama membentuk BN sehingga tahun 1978, seruan ke arah kesatuan umat Melayu dianggap satu yang begitu perlu.

Dengan kesatuan tersebut, maka agenda-agenda besar untuk kepentingan kaum Melayu-Muslim dapat dilaksana malah turut membantu mengharmonikan semua kaum. Mungkin hanya ketika situasi ini seruan ke arah kesatuan umat Melayu dilihat tidak rasis.

Di ambang PRU ke-14 yang lalu, umum melihat bahawa kaum Melayu-Muslim berpecah kepada empat golongan iaitu Umno PAS, BERSATU dan PKR serta AMANAH.

Perpecahan itu dari satu sudut dianggap sebagai kelemahan kaum Melayu-Muslim sendiri yang tidak dapat menguruskan perbezaan.

Tetapi dari satu sudut yang lain mungkin juga strategi pihak-pihak tertentu yang melaksanakan amalan ‘pecah dan perintah’. Berdasarkan keputusan PRU14, secara kasarnya boleh dianggarkan Umno memiliki 42% sokongan kaum Melayu-Muslim, PAS pula memiliki 33%, BERSATU memiliki 15% dan PKR/PAN memiliki 10%.

Sekiranya sokongan yang dimiliki oleh Umno dan PAS diselaraskan berkemungkinan situasi pasca PRU ke-14 adalah berbeza.

Sebelum PRU ke-14, usaha-usaha awal cuba dilakukan untuk menarik PPBM untuk tidak pergi kepada PH, sebaliknya bersama dengan PAS dan IKATAN dalam Gagasan Sejahtera (GAGASAN).

Elak BERSATU menang

Sekiranya usaha ini berjaya, diyakini GAGASAN dapat mengimbangi kemenangan BN dan sekaligus menyekat kemaraan DAP yang umum mengetahui mendominasi HARAPAN.

Dengan jumlah sokongan pengundi Melayu-Muslim yang dimiliki oleh PAS dan BERSATU iaitu sekitar 48% (33% + 15%), besar kemungkinan keputusan PRU14 yang dilihat baru-baru ini tidak akan berlaku. Bagaimanapun, usaha-usaha itu gagal sehingga menyebabkan situasi politik tidak menentu berlaku pada ketika ini.

Sekiranya sebelum PRU14 berlaku persefahaman (bukan penggabungan) atau electoral pack antara Umno dan PAS, diyakini situasi politik tidak menentu pada hari ini juga tidak akan berlaku.

Persefahaman kedua-dua parti Melayu-Muslim terbesar ini akan mengumpulkan tidak kurang 75% sokongan kaum Melayu-Muslim. Melalui persefahaman ini, Umno dan PAS tidak perlu bergabung malah terus bertanding antara satu sama lain.

Apa yang perlu dilakukan, kedua-dua parti mengelakkan bertembung di sejumlah kerusi tertentu untuk mengelakkan BERSATU menang.

Sudah pasti persefahaman seperti ini adalah sebuah mimpi ngeri kepada BERSATU justeru mereka terus menyerang usaha ini dengan pelbagai tohmahan.

Memang benar pandangan banyak pihak, kesatuan umat Melayu adalah sesuatu yang cukup mahal untuk dicapai. Kesatuan itu hanya dirindui bila berlaku peristiwa penentangan Malayan Union atau insiden yang seumpamanya.

Persefahaman mula berlaku

Golongan yang cuba memupuk kesatuan umat Melayu akan dituduh dengan pelbagai tohmahan seperti rasis atau perkauman, tiada semangat negara bangsa, berada dalam tempurung, tidak terbuka dan sebagainya.

Meskipun, Islam yang menjadi pegangan kaum Melayu-Muslim adalah sangat menekankan kesatuan berteraskan Ukhuwah Islamiyah, prinsip seumpama itu tidak memberi pengaruh melainkan bila kaum Melayu-Muslim memang merasa rindu dengan kesatuan itu.

Suasana pasca-PRU ke-14 telah memperlihatkan siapa HARAPAN sebenarnya. Mereka bukan sahaja tidak menepati janji manifesto mereka kepada rakyat, tetapi sudah mula bertindak seperti anai-anai mahu meruntuhkan tiang-tiang seri pembinaan negara Malaysia.

Usaha sudah mula dilakukan untuk meletakkan taraf kedudukan Islam di Malaysia sama dengan agama-agama lain. Desakan juga telah dicetuskan untuk mengganggu-gugat institusi raja.

Kedudukan bahasa Melayu pula sudah semakin diperkecilkan dalam urusan rasmi dan dasar pendidikan. Hak istimewa bumiputera semakin dicemburui apabila timbul suara-suara sumbang mempersoalkannya.

Adakah perkembangan-perkembangan ini menggamit rindu kaum Melayu-Muslim bersatu?

Ketika persoalan ini berlegar, berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis. DUN ini mempunyai hampir 73% pengundi Melayu-Muslim, iaitu ini komposisi yang signifikan untuk melihat adakah situasi menggamit rindu ini sudah berlaku?

Dalam konteks PRK ini, ‘persefahaman’ dilihat sudah berlaku, iaitu apabila PAS tidak bertanding. Tindakan seperti ini berkemungkinan dapat mengelakkan pengundi Melayu-Muslim agar tidak lagi menjadi mangsa amalan ‘pecah dan perintah’.

Sekarang terpulang kepada pengundi-pengundi Melayu-Muslim di Sungai Kandis. Merekalah yang yang sewajarnya menjawab soalan ini, jika pengundi Cina boleh bersatu, mengapa pengundi Melayu tidak boleh?

Tuesday, March 27, 2018

Penuntut IPT bebas sertai kempen politik PRU14 - Idris Jusoh

Datuk Seri Idris Jusoh

PETALING JAYA -- Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bebas menyertai kempen politik di luar kampus menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata mereka diberi kelonggaran berpolitik jika mereka berminat dan ini berbeza dengan kepimpinan sebelum ini yang menyekat penglibatan mereka dalam politik negara.

"Mereka berhak berpolitik di luar kawasan kampus. Jika dalam kampus itu tertakluk kepada peraturan universiti. Jika didapati mereka berkempen juga dalam kampus sehingga melanggar peraturan, itu bawah bidang kuasa universiti untuk memutuskan tindakan.

"Saya juga tidak faham kepimpinan terdahulu jelas melarang keras penglibatan pelajar dalam berpolitik, tetapi sekarang beliau pula amat menyokong agar mereka (pelajar) aktif berpolitik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran 'Taylor's Curriculum Framework' (TCF) di sini, hari ini.

Idris berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai had atau larangan penglibatan penuntut IPT menyertai kempen politik menjelang PRU14.

Katanya penglibatan penuntut IPT dalam aktiviti politik tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti yang dipinda pada 2012 yang membenarkan mahasiswa terlibat dalam persatuan, badan atau kumpulan termasuk parti politik ketika di luar kampus.

-- BERNAMA

Sunday, November 26, 2017

Baru mahu kenal Mahathir

ROSLAN SMS
25 NOVEMBER 2017

TUN Dr Mahathir sudah dikatakan begitu. Namun ramai yang masih mahu menaruh kepercayaan pada beliau.

DAP malah terlalu yakin yang Tun kononnya boleh membawa undi Melayu bagi menjamin kemenangan mereka menguasai Putrajaya dalam PRU ke-14 ini.

Begitulah politik matlamat menghalalkan cara. Walau mereka tahu Tun ini jenis "political animal" yang sangat berbahaya dan berbisa namun demi mencapai cita-cita politik masing-masing mereka julang dan usung juga.

Kedurjanaan politik Tun yang paling besar semasa PM selain Tragedi Berdarah di Memali dan Kes Tun Salleh Abas (yang kategori mega) adalah kezaliman terhadapa Dato’ Seri Anwar dan keluarga.

Tun pecat Anwar dari jawatan TPM dan kemudiannya Timbalan Presiden Umno atas alasan Anwar mengamalkan seks songsang dan kemudiannya Anwar didakwa dan akhirnya didapati bersalah dan dipenjara kerananya.

Lenyap karier cemerlang Anwar lantaran tindakan Tun.

Tun ketika itu bukan sekadar mahu menyingkirkan Anwar malah membunuh terus politik Anwar.

Tiadalah aib dan cela paling besar selain PM sendiri terbit dan mendakwa Anwar berperilaku homoseksual dan menggunakan tangannya melepaskan nafsu terhadap seorang lelaki lain terpapar di kaca TV ketika itu.

Peristiwa ini tidak dapat dan tidak boleh dilupakan rakyat.

Ramai menyangka Tun kini sudah berubah. Mungkin beliau insaf dan sedar akan kesilapan lampaunya kerana itu DAP dan PKR sanggup menobatkannya sebagai ketua mereka.

Tetapi Tun tetap Tun.

Terbukti dalam satu majlis forum Rabu baru ini sikap sebenarnya.

Dalam forum dihadiri anak-anak muda itu Tun ditanya berkenaan kes pemecatan Anwar dahulu.
Ramai menyangka Tun akan mengaku kesalahan dan kesilapannya tetapi itu bukan Tun.

Tun menyebut dakwaan pihak polis terhadap Anwar, Tun sebut surat dari Umi Hafilda. Juga beliau sebut laporan terperinci pihak polis berkenaan aktiviti seksual Anwar yang diberikan padanya.

Beliau juga sebut berjumpa semua pihak yang terlibat. Kemudian beliau sebut polis yang memutuskan untuk mendakwa Anwar dan berkenaan jawatannya Umno yang memutuskan untuk memecat Anwar.

Sikit pun Tun tidak sebut beliau silap.

Ringkasnya Anwar dipecat, diseret ke mahkamah dan kemudiannya dihumban ke penjara dan hilang semua jawatan lantaran angkara polis dan Umno, bukan PM dan Presiden Umno.

Boleh percaya?

Bermakna semua yang membantah, protes dan gerakan reformasi dulu silap belaka dan sia-sia tindakan mereka. Bukan Mahathir yang perlu undur dan dipersalahkan tetapi polis dan Umno.

Selamat mengenali kelicikan dan tipu daya Mahathir yang orang PAS sudah terlalu masak dan maklum.

Undur Mahathir undur. 

– HARAKAHDAILY
   25/11/2017

Friday, November 10, 2017

Hadi: PAS tak boleh bersama dalam HARAPAN ada penyangak

Berita Terkini

PAS ketika ini lebih selesa untuk menjadi pihak yang berkecuali dalam mendepani krisis keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan tidak boleh bersama Pakatan Harapan (HARAPAN), kata presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, ini kerana di dalam HARAPAN ada pemimpin penyangak, yang dahulu dan terdahulu bersekongkol dengan punca masalah negara.

Abdul Hadi walau bagaimanapun tidak menyebut pemimpin yang dimaksudkannya itu.

"PAS tidak boleh memberi harapan kepada Pakatan Harapan yang menjadi pendakwa atau yang mengaku menjadi peguam kepada mangsa kezaliman, kerana di dalamnya juga ada para pemimpin penyangak yang dahulu dan terdahulu bersekongkol dengan punca masalah negara.

"Di sana pula ramai kalangan yang tidak boleh menjadi saksi yang adil mengikut perhitungan Islam yang menjadi pegangan PAS," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, PAS juga tidak boleh bersama kerajaan iaitu pihak yang sentiasa dituduh oleh pembangkang, sehinggalah dibuktikan bersihnya atau kesalahannya.

"Kaedah kehakiman Islam yang dipakai oleh barat, menetapkan pihak yang dituduh masih bebas dan tidak boleh dihukum bersalah, selagi tidak dibuktikan kesalahannya oleh mahkamah, bukan oleh media tanpa sempadan.

"PAS juga tidak boleh terus berpihak sebelum dibuktikan bersihnya, khususnya dalam keadaan yang bergelumang dengan salah laku dan kelemahan urus tadbir yang diwarisi sejak pemimpin yang dahulu dan terdahulu," katanya.

Abdul Hadi berkata, PAS percaya bahawa rakyat yang mahu menjadi hakim yang adil melalui pilihan raya itu sedang menghadapi krisis keyakinan bagi menentapkan hukumannya kepada siapa hendak dihukum atau dipersalahkan.

“Dalam keadaan penyakit politik wang yang menimpa rakyat dan menimpa Umno yang sedang memerintah, yang dimulakan oleh pemimpin terdahulu dan selepasnya dan kini tidak mudah untuk diubati, namun tidak ada penyakit yang tidak ada ubat yang wajib dicari selagi belum mati, maka ikhtiar hendaklah diteruskan,” katanya.
Dalam kenyataan itu, Abdul Hadi yang juga adalah ahli parlimen Marang memuji sikap ditunjukkan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

“Beliau bersikap mengikut konsep demokrasi yang sihat dengan menjadi anggota kerajaan yang memberi nasihat, dan masih ada lagi orang sepertinya di dalam kerajaan, namun tidak mahu menjatuhkan kerajaan dengan cara yang tidak bersopan," katanya.

Ahmad Husni, pada 1 November lalu di Dewan Rakyat, berkata, beliau yakin Malaysia akan mencapai tahap rasuah sifar apabila Datuk Seri Najib Razak berundur suatu hari nanti.

Pembangkang bertambah tidak puas hati apabila beliau turut membuat dakwaan bahawa bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang peliwat yang terlibat dengan "anak buahnya."

Mengulas isu itu, Abdul Hadi berkata,PAS yang menjadi pembangkang yang menasihat, namun sama-sama berpegang kepada konsep nasihat.

Menurutnya, ketegasan PAS itu bukannya bersifat fanatik melulu, tetapi berpijak di atas ajaran Islam yang nyata sempurna yang tidak ada dalam ideologi atau teori ciptaan manusia.
"Maka PAS tidak boleh terikut dengan pihak yang lain atau sekadar dipergunakan oleh pihak yang berbeza dasar dan hala tujunya. PAS boleh bekerjasama dan bersefahaman dengan semua pihak yang tidak mengacau dasar Islam dan hala tuju wawasannya yang berkekalan," katanya.

Ahmad Husni ialah menteri kewangan kedua yang melepaskan jawatan kira-kira 15 bulan lalu. Media melaporkan alasan peletakan jawatan itu ialah kerana beliau enggan dipindahkan ke kementerian lain.

Bagaimanapun ia menarik minat ramai kerana berlaku ketika isu skandal 1MDB sedang panas diperkatakan termasuk di kalangan pemimpin Umno.

Thursday, August 24, 2017

Hilang PAS, berganti PPBM - MP Lumut

Oleh: NAJAMUDDIN MOHD NOR


 Selepas William Leong, seorang lagi wakil rakyat PKR mengesa kepimpinan parti menutup terus ruang perbincangan untuk mewujudkan kerjasama dengan PAS dalam pilihanraya umum.

Luahan itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid yang mahu partinya memberi fokus menghadapi PRU ke-14 bersama Pakatan Harapan.

“Tiada gunanya lagi PKR berusaha untuk memujuk PAS menjalinkan kerjasama politik lantaran parti itu tetap berkeras dan tidak menunjukkan minat ke arah itu.

“Buat apa lagi kita menyorongkan pipi kepada orang yang tidak sudi. Usaha ke arah itu hanya membuang masa sahaja,” tegas beliau kepada BNBBC.my portal, Rabu.

Imran memberi reaksi susulan perletakan jawatan Ahli Parlimen Selayang, William Leong yang melepaskan jawatannya dalam Biro Politik PKR tersebut hari ini dipercayai sebagai protes terhadap pucuk pimpinan yang masih tidak berputus asa memujuk parti Islam itu.

“Sudah pasti tindakan Leong itu akibat rasa kurang selesa.

“Kita berada dalam Pakatan Harapan, sudah pasti hubungan dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan perlu dijaga. Usaha itu sudah pasti boleh menjejaskan kerjasama PKR dengan PH serta boleh mengundang persepsi dan polemik politik yang negatif kepada kita,” jelasnya lagi.
Pada masa sama, Imran (foto) juga tidak senada dengan saranan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang mengesa satu tempoh khusus diberikan kepada PAS untuk menyatakan pendirian mereka.

“Saya rasa tak perlu diberi time frame atau dead line kepada PAS lagi,” katanya.

Tambah Imran kepimpinan PKR sepatutnya memandang ke hadapan dalam mengharungi PRU-14 bersama PH.

“Kita hilang PAS, tapi kita ada pengganti iaitu PPBM. Dr Mahathir pun bersama kita dan saya percaya orang Melayu yang sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan akan mengundi kita nanti,” katanya lagi.

Monday, August 14, 2017

Perbincangan tak rasmi HARAPAN, PAS sudah berjalan

Annabelle Lee
Memang ada perbincangan "sangat tidak rasmi" antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan PAS sejak beberapa bulan terakhir ini, kata Datuk Seri Azmin Ali.

Menteri Besar Selangor itu memberitahu, ia perlu dipertingkatkan dan titik pertemuan perlu dicari antara kedua-dua pihak secepat mungkin ketika pilihan raya umum (PRU) semakin hampir.

Menganggap sekarang adalah masa terbaik untuk pembangkang membentuk kerajaan menggantikan BN, Azmin berkata belum ada perbincangan secara rasmi dengan PAS buat masa ini.

"Kami ingin melihat wujud kerjasama dengan meletakkan rangka kerja bersama dalam PRU ke-14 bagi menjatuhkan BN.

"Matlamat utama kami ialah mengetepikan BN. Justeru mana-mana parti politik yang bersedia untuk meletakkan agenda reformasi dan menyelamatkan negara (sebagai keutamaan), kami bersedia untuk berbincang," katanya kepada media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Petaling Jaya, hari ini.

Azmin sebelum itu mengumumkan pembentukan sekretarian pilihan raya HARAPAN bagi memantau persiapan gabungan pembangkang menghadapi PRU ke-14.
Beliau yang baru dilantik sebagai pengarah pilihan raya HARAPAN juga berkata, pihaknya "lebih daripada gembira" dapat berbincang dengan PAS.

Kenyataan Azmin itu dibuat sehari selepas media melaporkan PKR mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur malam kelmarin.

PKR diwakili Azmin yang juga timbalan presiden PKR, serta presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin.

Jamal tak layak


Bagaimanapun, tiada maklumat terpeinci dinyatakan mengenai tujuan dan hasil pertemuan tersebut.

Perkembangan itu berlaku ketika hubungan kerjasama politik antara kedua-dua parti sudah berkubur, dan di peringkat bawahan mereka mula bersaing sesama sendiri, termasuk di kubu penting PKR, Permatang Pauh, yang cuba dirampas PAS.
Menurut Azmin, dinamik setiap parti adalah berbeza dan HARAPAN perlu menghormati serta memahami keadaan yang dihadapi.

Kerjasama, katanya, perlu berdasarkan kepada sikap saling menghormati antara parti.

Kata Azmin, jika nanti ada keperluan perbincangan rasmi diadakan antara HARAPAN dan PAS, pemimpin gabungan itu akan dimaklumkan.

"Ini adalah komitmen kami kepada HARAPAN iaitu berkongsi maklumat dalam majlis (presiden) dan dibincangkan," katanya.

Mengenai pertemuan malam kelmarin, Azmin menegaskan ia cuma ziarah biasa dan tiada perbincangan politik berlangsung.

Untuk rekod Abdul Hadi masih berehat daripada sebarang tugas parti selepas menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara pada Mei lalu.

Sementara itu Azmin berkata, tuduhan Datuk Seri Jamal Md Yunos bahawa BERSATU merancang kekecohan di program Nothing To Hide 2.0 semalam adalah tidak benar.

Kata Azmin, ketua Umno Sungai Besar itu bukanlah orang yang layak bercakap mengenai isu itu.

"Kita sudah nampak apa yang dia buat sebelum ini," katanya.

Azmin juga mendakwa orang yang menimbulkan kekecohan semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan hadirin semalam sebagai pihak yang tidak memahami demokrasi.

"Pada saya mereka sangat terdesak, tak ada pilihan kecuali menghentikan Dr Mahathir daripada bercakap apa yang sebenarnya berlaku.

"Tapi orang ramai sekarang - terutama generasi muda - sudah matang," katanya.

[Baca berita asal]

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/391929#pTvDzXmuwgY6gsrl.99

Friday, July 7, 2017

Perwakilan diingatkan elak bangkit isu remeh

Oleh FAZREEN KAMAL 
Foto RABBANI JAMIAN

7 JULAI: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengingatkan semua perwakilan Bahagian seluruh negara yang akan mula bersidang menggunakan peluang yang ada mendapatkan fakta secukupnya semua usaha yang telah dilakukan kepimpinan negara dalam mengukuhkan ekonomi negara.

Ini kerana jelas Hamzah maklumat tersebut dapat digunakan untuk disalurkan kepada akar umbi bagi menangkis tohmahan pembangkang kononnya UMNO dan Barisan Nasional gagal meningkatkan taraf hidup masyarakat hari ini.
“Saya bersetuju dengan presiden parti (Datuk Seri Najib Razak) untuk kita merapatkan dan mengukuhkan lagi parti. Kita kena sedar bahawa dalam keadaan apa sekalipun pembangkang akan mencuba untuk mencari isu-isu yang boleh menyebabkan kita rasa kurang senang apabila berhadapan dengan rakyat.

“Begitu juga pembangkang akan cuba untuk merosakkan pemikiran rakyat yang ada dalam negara seolah-olah kepimpinan kita hari ini adalah kepimpinan yang tidak boleh menguruskan negara,” katanya kepada media selepas merasmikan World Food Festival di Ibu Negara pada Jumaat.

Tambah Hamzah perwakilan juga perlu elak daripada mencari isu yang remeh sehingga boleh memecah belahkan parti sebaliknya mengemukakan idea-idea yang bernas dalam membantu kepimpinan mengukuhkan saf dalam berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Dalam waktu yang sama jika kita boleh menjelaskan dan bagaimana hendak menjelaskan saya minta mesyuarat perwakilan sepatutnya sudah faham dan tahu dari segi pengurusan ekonomi kita dapat membuktikan dengan fakta-fakta dengan menunjukkan bahawa ia adalah sesuatu yang terbaik kerajaan telah lakukan.

“Maka dengan sebab itu kita boleh menjelaskan bahawa kepimpinan negara dapat memastikan ekonomi negara bertambah baik. Sepatutnya ahli-ahli UMNO jangan mencari kesalahan remeh-temeh dalam bahagian yang boleh memecah belahkan bahagian itu sendiri sehingga ia boleh nanti menjadikan kekuatan kita berkurangan

“Sebab itu saya minta semua lebih faham. Apa yang penting kepada kita adalah untuk mempertahankan parti, untuk mempertahankan kepimpinan daripada untuk kepentingan individu atau kumpulan tertentu,” ujarnya.

Dalam amanat Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri sempena persidangan UMNO peringkat Bahagian yang bermula hari ini menggesa semua perwakilan menguatkan kembali barisan dan saf perjuangan dan bersiap sedia membantu jentera menghadapi PRU ke-14.

Menurut Najib beliau mahu semua perwakilan mencari strategi serta formula berguna untuk kebaikan bersama.

“Jangan ada kelalaian atau kekurangan apabila dipanggil berjuang di barisan hadapan untuk UMNO.

“Insya Allah kita semua akan muncul sebagai pejuang terbaik. Selamat bersidang saya ucapkan,” katanya menerusi laman Facebook, semalam.

Sebelum ini, mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada Januari lalu menetapkan persidangan tahunan cawangan pada 17 Mac hingga 30 April lalu, sementara bahagian bermula pada 7 Julai hingga 26 Ogos depan.

Persidangan berkenaan dibuat lebih awal berbanding tahun sebelumnya berikutan penganjuran Sukan SEA di Kuala Lumpur pada Ogos depan.

Sunday, January 22, 2017

Tempoh berbincang dengan PAS sudah berakhir - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Tempoh untuk berbincang dengan Pas bagi mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan sudah berakhir, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malaysiakini melaporkan Dr Mahathir berkata demikian pada majlis dialog anjuran Parti Amanah Negara (Amanah) Titiwangsa dan Seputeh di Ampang malam tadi.

"Kita telah buat keputusan, masanya sudah tiba dan kita akan putuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU (PPBM) tak lama lagi," kata Mahathir seperti dipetik Malaysiakini.

Dr Mahathir juga dilaporkan berkata penyertaan PPBM dalam Pakatan Harapan bukan lagi berstatus "kemungkinan" sebaliknya ia sudah diputuskan pimpinan tertinggi parti berkenaan.

Menurut bekas perdana menteri itu, PPBM memberi lebih masa kepada Pas bagi membolehkan parti berkenaan memberi pandangan serta berbincang.

Selepas PPBM menyatakan syarat yang dikehendaki, kata Dr Mahathir, Pas pula selepas sekian lama tidak memberi jawapan.

"Hasrat PPBM, jika Pas tak nak sertai Pakatan Harapan, PPBM akan berada dalama Pakatan Harapan. Kalau Pas tak nak, (biar) tak naklah," katanya.

Pada masa sama Dr Mahathir mengulangi pandangan dikongsi hampir semua pembangkang, iaitu BN harus ditentang secara satu lawan satu pada PRU ke-14 nanti.

"Kalau boleh, kita mahu semua lima parti (pembangkang) berada dalam satu pakatan. Tetapi malangnya, Pas mempunyai pendiriannya sekali gus menyukarkan proses penyatuan.

"Pas kata tak akan bersama dalam satu gabungan yang ada DAP dan Amanah. Tapi, tak ada dua parti ini maknanya tak adalah kelima-lima parti yang menentang BN.

"Jadi PPBM sedang cuba untuk meyakinkan Pas supaya dengan adanya Pas dalam gabungan pembangkang, lebih besar kemungkinan untuk menang namun malangnya sampai hari ini tak dapat persetujuan walaupun ada beberapa perbincangan diadakan," katanya.

Menurut beliau, perbincangan sebelum ini diadakan tanpa melibatkan pimpinan tertinggi Pas.

"Perbincangan cuma di peringkat bawahan saja, (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) sama sekali tidak mengambil bahagian dalam sebarang perbincangan, dan hanya diwakili Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden) dan Datuk Mustafa Ali (Pengarah PAS pilihan raya).

"Mereka tidak menolak tapi dalam masa yang sama tidak juga menerima," kata Mahathir.

Sementara itu, bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata, adalah penting untuk memahami sebab di sebalik keengganan PAS menyertai gabungan pembangkang.

"Kita kena faham kenapa PAS bersikap sedemikian. Kalau kita tak faham dia (PAS), kita akan diheret oleh PAS sehingga tarikh pilihan raya dan kita tetap dalam keadaan tidak bersetuju," kata Husam.

Pada Sabtu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, jika terdapat mana-mana parti pembangkang ingin bekerjasama, mereka perlu mengikut 'cara' partinya.

- Astro Awani

Tuesday, December 6, 2016

Umno bakal 'menang besar' PRU14

Ku Seman Ku Hussain

Saya beberapa kali ditanya oleh teman-teman tentang potensi Umno dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Saya dengan penuh yakin memberitahu Umno akan mencapai kemenangan besar sekali gus menyumbang kepada kelestarian BN sebagai parti kerajaan.

Walaupun teman-teman di luar Umno kurang gembira dengan jawapan itu, saya mempunyai beberapa hujah yang menyokong ramalan saya.

Pertama, Umno terbukti sebuah parti yang tidak menghadapi masalah. Memang ada yang tidak setia kerana ingkar arahan ketua. Tetapi semua itu sudah keluar bukan lagi masalah Umno.

Maknanya yang masih ada dalam Umno tidak menimbulkan masalah dari segi kesetiaan. Kesetiaan yang ada dalam Umno jangan diperkecilkan. Ini terbukti daripada luahan kesetiaan pada Perhimpunan Agung Umno yang baru lalu.

Tidak ada satu pun pemimpin yang mempersoalkan kepimpinan tertinggi dalam isu integriti. Ini satu sikap mempertahan ketua yang sangat baik dalam Umno.
Kedua, Umno adalah satu-satunya parti yang melindungi orang Melayu. Siapa sahaja asalkan Melayu. Umno juga menegakkan Islam di negara ini dengan membanteras perbuatan yang bertentangan dengan Islam dalam kalangan pemimpin Umno.

Umno juga mempunyai sekutu bukan Malayu dan bukan Islam, MCA, MIC dan Gerakan, yang kuat menyokong Umno dalam soal memartabatkan Islam di negara ini.

Umno membanteras rasuah hingga ke akar umbi dan tidak seorang pun pemimpin parti itu yang terlepas, kecuali tidak didakwa di mahkamah.

Pendakwaan adalah hak mutlak peguam negara yang arif tentang undang-undang. Ini tidak ada kena mengena dengan Umno.

Ketiga, Umno tidak seperti pembangkang yang mendapat dana politik daripada pihak asing. Setakat ini tidak ada bukti Umno menerima dana asing. Atas nama Umno tidak ada dana asing.

Keempat, semua penganalisis termasuk yang terdiri daripada kalangan ahli akademik, memberikan analisis yang memuaskan tentang potensi Umno menghadapi PRU14.

Tidak ada penganalisis membayangkan Umno dalam bahaya. Ini sesungguhnya membuktikan kekuatan Umno.

Umno adalah satu-satunya parti politik yang tidak berpolitik. Umno semata-mata berkerja dan berkorban untuk rakyat. Ini ditegaskan oleh banyak pemimpin Umno.


Kelima, pemimpin-pemimpin Umno yang ada skandal seks bukan lagi bersama-sama Umno. Yang tinggal dalam Umno semuanya yang bersih sekali gus menjunjung ajaran Islam yang sebenarnya. Umno sangat tegas dalam isu ini.

Keenam, semua parti pembangkang - kecuali PAS - berada dalam keadaan terdesak. Ini disahkan berulang kali oleh pemimpin-pemimpin tinggi Umno dalam banyak ucapan mereka.

Ketujuh dan terakhir, Umno mempunyai sesuatu yang tidak ada pada pembangkang: perdana menteri, menteri, timbalan menteri, penjawat awam, kementerian, agensi kerajaan, Pengerusi JKKK dan Makam Pahlawan di Masjid Negara.

Pejuang kemerdekaan - Pak Sako, A Samad Ismail, Said Zahari malah Mat Kilau tidak disemadikan di Makam Pahlawan kerana mereka bukan Umno.

Disebabkan Umno muncul sebagai parti yang kuat lagi dominan dari pelbagai aspek, Umno tidak perlu berkerja keras untuk menang selesa dan cemerlang dalam PRU14.

Maka Umno tidak perlu membuang masa bercakap mengenai pembangkang. Biarlah apa pun nak jadi dengan pembangkang, itu bukan tanggungjawab Umno.

Tidak perlu memberi publisiti percuma kepada pembangkang dalam media kawalannya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-