Showing posts with label Perlembagaan Persekutuan.. Show all posts
Showing posts with label Perlembagaan Persekutuan.. Show all posts

Thursday, September 21, 2023

Jangan ‘bakar jambatan’ dengan Muda, Hassan beritahu kerajaan perpaduan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
- 21 Sep 2023

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim perlu tahu membezakan pembangkang yang konstruktif dan destruktif.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, perdana menteri, PH dan kerajaan madani semestinya tidak perlu diajar tentang bagaimana menangani pertentangan.

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen PKR meminta kerajaan tidak memutuskan hubungan dengan Muda yang diperlukannya bagi mendapatkan sokongan dua pertiga untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, termasuk berhubung pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim perlu tahu membezakan pembangkang yang konstruktif dan destruktif, apabila Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tegas menyokong usaha Putrajaya melakukan perubahan berkenaan.

“Muda bukannya parti pembangkang kini bersifat destruktif yang membangkang hanya kerana mahu membangkang. Kerana itu PH khususnya jangan membakar jambatan dengan Muda,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Syed Saddiq juga tidak mengikut Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang keluar Dewan beramai-ramai ketika ucapan penggulungan perdana menteri mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) walaupun peruntukannya sebagai Ahli Parlimen Muar ditarik.

“Perdana menteri, PH dan kerajaan madani tentu tidak perlu diajar tentang bagaimana untuk menangani kontradiksi atau pertentangan.

“Kontradiksi antara PH dengan Muda adalah kontradiksi yang bersifat air dicincang tidak akan putus; atau carik-carik bulu ayam, lambat laun bercantum juga.

“Kontradiksi ini adalah kontradiksi non-antagonistik,” katanya.

Pada 10 Sept, Syed Saddiq secara rasmi keluar daripada blok kerajaan untuk “kuasa ketiga” sebagai protes terhadap keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno Zahid Hamidi, yang juga timbalan perdana menteri

Wednesday, August 31, 2016

Pas sedia temu Persatuan Hokkien

ONG BOON TECK
31 OGOS 2016
PERSATUAN Hokkien Malaysia mengesahkan Pas telah menghantar surat jemputan kepada persatuan itu untuk mengadakan perbincangan mengenai isu hudud pada 18 September ini.

Bagaimanapun kata presidennya, Tan Sri Khoo Chai Kaa, beliau masih belum membalas surat jemputan itu kepada Pas.

"Pas menyerahkan kepada persatuan kami untuk memilih tempat mengadakan perbincangan itu. Tetapi kami belum buat apa-apa keputusan lagi," kata Chai Kaa seperti apa yang dilaporkan dalam Sin Chew Jit Poh.

Beliau berkata, dalam sesebuah negara, ia tidak boleh mempunyai dua sistem undang-undang yang berlainan, jika tidak, ramai pelabur asing tidak akan lagi menanam modal di negara kita.

"Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya semata-mata untuk memenuhi keperluan satu agama tertentu. Kalau hukum hudud diluluskan, negara kita akan mempunyai dua sistem undang-undang sehingga boleh mencetuskan pelbagai masalah yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Chai Kaa berpendapat, setelah negara kita mencapai kemerdekaan sejak 1957, semua rakyat berbilang kaum sudah semestinya tidak mahu kehidupan mereka terjejas akibat masalah agama.

"Walaupun Malaysia mempunyai lebih daripada 60 peratus terdiri daripada rakyat yang beragama Islam, tetapi bagi lebih 30 peratus rakyat daripada bukan Islam seharusnya turut dilayan dengan adil.

"Saya tidak faham kenapa Persatuan Hokkien Malaysia boleh dituduh melakukan hasutan kerana sebagai negara yang berdemokrasi, setiap orang mempunyai hak untuk bersuara," kata beliau lagi.

Persatuan Hokkien Malaysia ketika ini melancarkan kempen mengumpul sejuta tandatangan untuk menolak pindaan Akta 355 dan kempen ini bakal ditamatkan pada 20 September depan dan diserahkan kepada semua 222 Ahli Parlimen.

Persatuan ini yakin mereka akan dapat mengumpul sejuta tandatangan daripada rakyat Malaysia bagi menentang rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah, Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1965 (Akta 355) dan Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan).

Pindaan itu dikatakan akan merintis jalan supaya hukum hudud dapat dilaksanakan di negara ini.

Sunday, October 18, 2015

Rakyat keturunan Cina bukan pendatang - PM

FMT Reporters

Mereka telah memainkan peranan dalam pertumbuhan yang menakjubkan di negara ini
SHAH ALAM: Rakyat Malaysia keturunan Cina bukan pendatang tetapi adalah anak watan yang telah menyumbang kepada pembangunan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata masyarakat berkenaan juga memainkan peranan dalam pertumbuhan yang menakjubkan di negara ini.

“Sebab itu anda bukan pendatang. Anda adalah anak watan. Anda dilahirkan di sini, membesar di sini, dan apabila tiba masanya, apabila anda meninggal dunia, anda akan dikebumikan di sini,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan nasional ke-44 Parti Gerakan

“Itulah kenyataannya. Kita berada di sini sebagai rakyat Malaysia,” katanya disambut tepukan 1,618 perwakilan yang menghadiri persidangan itu di Pusat Konvensyen Setia City.

Beliau juga mengulangi bahawa pendidikan Cina di negara ini akan terus wujud, sambil menambah bahawa kewujudannya telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata Malaysia juga satu-satunya negara di luar China dan Taiwan yang membenarkan sekolah-sekolah Cina untuk berkembang.

Najib berkata walaupun terdapat sekolah-sekolah vernakular, adalah penting untuk Malaysia dengan rakyatnya yang berbilang kaum untuk mempunyai rasa perpaduan dan bekerjasama ke arah perpaduan nasional yang padu.

“Kita semua mesti percaya bahawa keharmonian negara, perpaduan nasional dan perpaduan negara adalah idea-idea yang kita semua patut bercita-cita untuk mencapainya.

“Ia akan menjadi cabaran yang besar, ia tidak mudah namun saya percaya kita semua mesti bersatu padu di bawah satu bumbung, “katanya.

Najib berkata dengan bergerak ke hadapan, beliau akan memastikan masa depan Malaysia adalah berdasarkan kepada kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan.

“Malaysia akan terus menjadi sebuah masyarakat berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang budaya berdasarkan prinsip kesederhanaan. Perkara itu menjadi dasar Barisan Nasional,” katanya

– BERNAMA

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-