Showing posts with label pembubaran Parlimen. Show all posts
Showing posts with label pembubaran Parlimen. Show all posts

Wednesday, October 12, 2022

Perdana Menteri disaman kerana pembubaran Parlimen

hmetro.com.my
Rafidah Mat Ruzki
am@hmetro.com.my
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada perutusan khas pengumuman pembubaran Parlimen.

Putrajaya: Penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago memfailkan saman pemula terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pembubaran Parlimen yang dibuat Perdana Menteri kelmarin.

Saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU).

Berdasarkan salinan saman pemula yang difail dan dilihat BH, Charles menuntut supaya satu deklarasi bahawa kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55(2), Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilaksanakan mengikut Perkara 40(1) dan (1A).

Perkara 55(2) membabitkan Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

Peruntukan Perkara 40(1) pula menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Manakala (1A) adalah sewaktu menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Charles juga menuntut satu deklarasi bahawa permintaan Defendan Pertama kepada Yang di-Pertuan Agong pada 9 Oktober 2022 untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat, atau berdasarkan kuasa am, Jemaah Menteri dan oleh itu terbatal dan tidak sah.

Beliau juga menuntut satu deklarasi bahawa pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Oktober 2022 seperti yang dimaklumkan melalui P.U.(A) 320 tidak mengikut Perkara 55(2) dibaca bersama Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan dan tidak mempunyai kesan undang-undang.

Justeru, Charles menuntut satu deklarasi bahawa defendan ketiga iaitu SPR, tidak mempunyai asas undang-undang untuk mengambil apa-apa langkah mengadakan PRU termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pengeluaran mana-mana writ bawah Seksyen 12, Akta Pilihan Raya 1958 dan pengeluaran sebarang notis bawah Peraturan 3(1), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Beliau juga memohon suatu perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi untuk menghalang defendan ketiga dan ejen, pengkhidmat dan/atau pekerjanya daripada mengambil sebarang langkah untuk mengadakan PRU berdasarkan kepada pembubaran itu termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pengeluaran sebarang writ bawah Seksyen 12, Akta Pilihan Raya 1958 pengeluaran mana-mana notis bawah Peraturan 3(1), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan/atau daripada memberi kesan kepada mana-mana writ atau notis sedemikian jika dikeluarkan.

Beliau turut menyertakan afidavit sokongan yang antara lain menyatakan antara fakta menyokong saman pemula berkenaan termasuk banjir yang melanda pada Disember 2021 serta bantahan parti-parti yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan dalam situasi ketika ini.

Sementara itu, Charles ketika dihubungi mengesahkan tindakan terbabit, sambil memaklumkan akan mengeluarkan satu kenyataan media mengenainya hari ini.

"Salam. Saya akan hantar kenyataan dalam masa terdekat," katanya secara ringkas.

Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen Ke-14.

Ia selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, apabila Yang di-Pertuan Agong bertindak menurut budi bicara baginda untuk memperkenankan permintaan itu.

Disiarkan pada: Oktober 12, 2022 @ 11:50am

Monday, October 10, 2022

PM akan buat pengumuman penting hari ini, kata Zahid

agendaily.com
10/10/2022
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pengumuman penting hari ini, kata Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini (10 Oktober 2022) mengesahkan Naib Presiden partinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mempersembahkan cadangan pembubaran Parlimen kepada yang di-Pertuan Agong.

Presiden UMNO itu yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut memberi petunjuk akan ada pengumuman penting dibuat kerajaan hari ini, kemungkinan berkaitan pembubaran Parlimen.

“Saya pasti bahawa Perdana Menteri yang mempunyai kuasa menasihati Agong sudah melaksanakan tugasnya. Saya fikir bila pun pembubaran itu diumumkan, kami dalam BN sentiasa bersiap siaga.

“Bila pun tarikh yang akan diumumkan, jika pun ia dibubarkan pada hari ini, kami sedia untuk menangkan calon Barisan Nasional. Apa pun yang akan diumumkan personaliti yang berada di luar dari kami ini nanti, tidak akan menenggelamkan (berita) dari kami,” katanya pada sidang media di sini, hari ini menurut BH.

Terdahulu, media melaporkan Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, tengah hari semalam, kali kedua setelah berbuat demikian pada Khamis lalu (6 Oktober).

Media juga melaporkan Perdana Menteri menghadap Agong semalam untuk memohon perkenan baginda berhubung pembubaran Parlimen.

Spekulasi bubar: Dewan Rakyat bersidang seperti biasa esok - speaker

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 10, 2022 12:48 PM
Mesyuarat Dewan Rakyat esok akan diteruskan seperti yang dijadualkan, maklum Speaker Azhar Azizan Harun.

Dia dipetik Berita Harian berkata bahawa Dewan Rakyat dijadual untuk membahaskan Bajet 2023.

"Ya (sidang) diteruskan, macam biasa, kecuali saya dimaklumkan apa-apa, setakat ini tiada sebarang pemakluman, saya tidak tahu benda ini (pembubaran Parlimen) kerana ia adalah kuasa Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

"Esok akan berlangsung waktu pertanyaan menteri (MQT), pertanyaan lisan dan diteruskan dengan pembahasan Bajet 2023," katanya hari ini.
Semalam, New Straits Times melaporkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menghadap Agong petang semalam.

Akhbar itu kemudian mendakwa bahawa Ismail telah mendapatkan perkenan Agong untuk membubarkan parlimen.

Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke London malam tadi.

Baginda berdua mengadakan lawatan khas ke United Kingdom (UK) bermula hari ini hingga 16 Okt ini.
Hari ini, NST turut melaporkan dalam artikel susulannya yang bertajuk, “Dissolution imminent” (Pembubaran pasti berlaku) tetapi tidak mengesahkan sama ada perkenan pembubaran parlimen itu telah ditandatangani atau tidak.

Begitu juga dengan China Press, yang memetik "sumber" yang enggan dinamakan mendakwa Ismail Sabri dijangka mengumumkan pembubaran parlimen pada jam 3 petang hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri dijadualkan menghadiri perhimpunan perwakilan MIC peringkat kebangsaan di Matrade Exhibition and Convention Centre di Kuala Lumpur, pada 2.30 petang hari ini.

Oleh itu, kebarangkalian Ismail Sabri untuk mengumumkan pembubaran parlimen pada jam 3 petang ini adalah rendah.

Dia juga dijadual menghadiri mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno pada jam 8 malam ini.

Thursday, October 6, 2022

Agenda bubar Parlimen dibincang jika berkesempatan - PM

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 6, 2022 3:26 PM
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ‘agenda tambahan’ termasuk berkaitan pembubaran Parlimen mungkin dibincangkan pada majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini jika berkesempatan.

Beliau berkata kebiasaannya pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilakukan setiap minggu, sehari sebelum mesyuarat Kabinet bagi membincangkan perihal berkaitan Kabinet.

Menurutnya, perbincangan itu mungkin mengambil masa yang panjang memandangkan banyak perkara yang akan diterangkan selain beliau menerima pesanan daripada Seri Paduka.

Semasa ditemui selepas meninjau persiapan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan di Kuala Lumpur hari ini, Ismail Sabri yang ditanya sama ada tarikh pembubaran Parlimen akan dibawa pada majlis menghadap hari ini berkata: “Tak pasti lagi nak bawa atau tak. Kalau bincang hal Kabinet panjang sangat, pasal Kabinet sahaja.”

Ditanya lagi sama ada terdapat agenda “tambahan atau khusus” semasa menghadap Agong, Ismail Sabri berkata: “Kita tengok, kalau bincang sampai Maghrib tak sempat nak bincang hal lain”.

Ismail Sabri dijangka menghadap Seri Paduka pada pukul 4 petang ini di Istana Negara.

- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-