Showing posts with label pemimpin UMNO. Show all posts
Showing posts with label pemimpin UMNO. Show all posts

Saturday, September 22, 2018

Kehadiran orang kuat Umno, bekas menteri tanda positif buat AMANAH


Kehadiran bekas dan pemimpin Umno di majlis sambutan ulang tahun ketiga AMANAH di Dewan Tun Razak di Temerloh hari ini memberi petanda positif bahawa parti itu semakin diterima, kata presidennya Mohamad Sabu.

Kata Mohamad kedatangan mereka - termasuk bekas menteri Tan Sri Syed Hamid Albar dan Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee - serta anak-anak bekas pemimpin PAS secara 'mengejut' amat dialu-alukan.

"Kehadiran mereka di sini sudah menunjukkan isyarat yang baik... bahasa tubuh mereka jika dibaca, sudah nampak positif.

"Kita mengalu-alukan kehadiran mereka jika mahu sertai AMANAH, sama ada veteran Umno atau dari parti lama kami (PAS).

“… kehadiran mereka membolehkan mereka sama-sama menyumbang fikiran.

"Kita hargai pandangan mereka kerana boleh membantu supaya kita tidak melakukan kesalahan yang dilakukan parti lama mereka yang membawa kepada kekalahan," katanya pada sidang media kemudiannya.

Mohamad menambah pelawaan itu juga terbuka kepada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang baru-baru ini meninggalkan parti yang disertainya lebih 40 tahun dahulu.

Jumlah anggota kian meningkat

Bagaimanapun, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan mengesahkan setakat ini, beliau masih belum mendengar ura-ura penyertaan Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa, mahupun dihubungi oleh anggota parlimen Jeli itu.

"Kita alu-alukan jika beliau (Mustapa) mahu sertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

"Kalau nak sertai AMANAH pun kita boleh bincang kerana saya tahu beliau seorang yang kuat bekerja sejak dahulu lagi.

"Kehadiran beliau di parlimen juga sangat baik dan sentiasa mengambil perhatian dalam perbahasan, walaupun atas kapasiti sebagai pembangkang," katanya.

Mohamad bagaimanapun menambah perbincangan di peringkat pimpinan nasional akan dilakukan jika terdapat bekas menteri, timbalan menteri atau menteri besar yang menyertai AMANAH perlu diberikan jawatan untuk mengelakkan sebarang isu berbangkit.

Mengulas mengenai keanggotaan AMANAH, parti itu menyasarkan pertambahan jumlah keanggotaan seramai 500,000 orang menjelang pilihan raya umum ke-15 dengan majoriti golongan Melayu dan Bumiputera.

Kata Mohamad, setakat ini AMANAH mempunyai keanggotaan seramai 100,000 orang dan jumlah itu semakin meningkat dengan bilangan edaran borang keanggotaan 'paling rancak' berlaku di Kelantan dan Terengganu.

“Tanda sokongan rakyat kepada AMANAH semakin meningkat sejak berakhirnya pilihan raya apabila pada bulan pertama sahaja parti ini menerima 2,000 keanggotan baharu, 5,000 keanggotaan baru pada bulan kedua, dan 10,000 bulan ketiga.

"Pada bulan keempat pula ia meningkat kepada 12,000 dan saya yakin lebih ramai lagi akan menyertai AMANAH selepas ini, jadi kita desak semua pimpinan untuk mengambil pendekatan proaktif bagi menambah anggota dan cawangan terutama di kawasan majoriti Melayu," katanya.

Mohamad menambah peningkatan keanggotaan itu juga penting kerana kerjasama Umno dan PAS pada beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, memberi petanda Pakatan Harapan berkemungkinan akan berdepan dengan 'Pasmo' (PAS + Umno) pada PRU akan datang.

Beliau berkata AMANAH juga semakin mendapat tempat dalam kalangan kaum lain, mengambil contoh lebih ramai kaum India dan Cina yang menghantar borang keanggotaan di Temerloh pada hari ini.

- Bernama

Sunday, June 3, 2018

Jamal 'meriahkan' perebutan jawatan ketua Pemuda Umno


Pemimpin Umno yang kini dikehendaki polis Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos, menawarkan diri menjadi ketua pemuda parti itu dalam pemilihan akan datang.

Pengumuman itu dibuat melalui kemas kini hantara di Facebook Umno dan Jamal sendiri.

Kata Jamal keputusan bertanding bagi jawatan ketua pemuda dibuat ialah untuk membina semula "semangat perjuangan" parti itu yang ditolak majoriti pengundi dalam pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.

"Tujuan saya menawarkan diri adalah untuk membina kembali semangat perjuangan semua ahli Umno seluruh Malaysia, terutama pemuda untuk bersama meneruskan perjuangan ini," katanya.

Selain menjadi ketua Umno Sungai Besar, Jamal dikenali dengan siri aksi pegun yang menarik perhatian ramai. Misalnya bertuala di depan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam semasa sebahagian Selangor berdepan masalah air, serta mengadakan demonstrasi di luar bangunan Malaysiakini.

Terkini Jamal, 48, melarikan diri daripada jaminan ketika dia disiasat berhubung dakwaan kesalahan jenayah. Kali terakhir Jamal membuat kemunculan ialah melalui satu klip video yang dirakam dalam kebun kelapa sawit.

Pada 1 Jun lalu Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan pihak berkuasa kini memiliki waran tangkap untuk menahan Jamal.

Nama-nama calon untuk dipertandingkan dalam pemilihan Umno perlu dikemukakan pada 23 Jun ini.

Baca Rayuan Jamal dari ladang sawit: Jangan zalimi saya, Tan Sri

Sebelum ini jawatan ketua Pemuda Umno turut menarik minat bekas calon BN bagi kerusi parlimen Pasir Puteh Datuk Asyraf Wajdi Dusuki. Seorang lagi tokoh yang mengintai peluang ialah naib ketua sekarang Khairul Azwan Harun.

Penyandang jawatan ialah Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang disebut-sebut bakal menjadi salah seorang calon untuk jawatan naib presiden.

Kata Jamal, keputusan menawarkan diri itu dibuat selepas mendapat pandangan daripada "rakan-rakan seperjuangan".

"Marilah kita bersama-sama bangkit demi semangat perjuangan suci untuk membantu mendapatkan kembali sokongan dan kepercayaan rakyat," katanya.

Untuk rekod sebelum ini pun Jamal pernah menyatakan hasratnya mahu bertanding bagi jawatan ketua Pemuda Umno.

Bagaimanapun pengumuman itu dibuat dalam keadaan yang berbeza, apabila ketika itu Umno belum kehilangan kuasa.

Saturday, June 25, 2016

Muhyiddin: Selamat tinggal Umno...

Muhyiddin Yassin
Hari ini, 5:46 petang Hari ini, 5:55 petang
Setelah lebih empat dekad saya melalui perit jerih dan suka duka perjuangan di dalam Umno, semalam Majlis Tertinggi membuat keputusan untuk memecat saya daripada parti.

Saya tidak pernah meninggalkan perjuangan parti atau mengkhianati parti. Saya cuma berkata benar kerana itulah prinsip yang saya junjung dalam perjuangan saya.

Malangnya saya dipecat kerana apa yang saya perkatakan selama ini menyentuh skandal moral dan kewangan paling besar dalam sejarah Umno dan negara yang melibatkan perdana menteri.
Sahabat saya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dipecat dan Datuk Seri Shafie Apdal digantung keahlian. Segala-galanya berlaku hanya kerani kami mengambil langkah berani menegur perdana menteri yang sudah jauh tersasar daripada perjuangan Umno yang asal.

Saya berasa kecewa kerana Umno yang ada pada hari ini bukan lagi Umno yang sebenar. Ia telah berubah menjadi sebuah parti yang dikuasai hanya oleh seorang individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup kesalahannya dan menyelamatkan dirinya.

Mereka yang melakukan perbuatan jenayah yang merosakkan imej parti dan integriti tidak menerima hukuman yang setimpal. Sebaliknya, mereka yang berjuang untuk menegakkan kebenaran dan keadilan dipecat daripada parti.

Berakhirlah sejarah panjang
Mereka yang menguasai Umno boleh melakukan apa sahaja terhadap saya, namun saya tidak rela hidup melutut. Bukan prinsip saya untuk tunduk bersekongkol dengan perbuatan jahat seorang pemimpin yang merosakkan bangsa dan negara.

Keputusan pemecatan saya ini telah pun saya duga dari awal. Maka semalam berakhirlah sejarah panjang perjalanan hidup saya yang penuh liku di dalam Umno.

Sejarah ini akan terus terpahat dalam ingatan saya kerana Umno telah sekian lama menjadi sebahagian daripada denyut nadi dan darah daging saya.
Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun hatta diri saya sendiri. Saya tidak pernah mengkhianati Umno. Saya hanya menentang pemimpin Umno yang korup dan menyeleweng.

Namun, jika mereka beranggapan perjuangan saya berkubur di sini, mereka silap. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan. Biarlah mereka memecat saya dan melakukan apa sahaja untuk melunturkan semangat juang saya. Obor perjuangan di dalam jiwa saya akan terus menyala.

Walaupun tindakan terhadap saya daripada penggantungan jawatan sehingga pemecatan saya daripada parti bercanggah dengan proses keadilan dan tidak berperlembagaan, saya tidak akan merayu.

Saya redha dengan ketentuan Allah Taala. Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemimpin Umno dan akan tetap terus melaksanakan tanggungjawab saya kepada agama, bangsa dan negara seperti pejuang-pejuang bangsa kita sebelum ini.

Bangkitlah bangsa Melayu memperjuangkan nilai-nilai moral dan integriti supaya kita tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pemimpin yang rasuah dan tamak haloba.

Semoga tabah, sabar
Kepada para penyokong, saya tahu anda memahami pendirian saya. Teruskanlah perjuangan menegakkan kebenaran dan membela tanah air tercinta walau di mana sahaja anda berada. Insya-Allah kita akan terus bersama dalam perjuangan suci ini.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya yakin anda boleh menilai yang mana benar dan yang mana salah, yang mana baik dan yang mana buruk.

Anda pastinya tidak rela membiarkan negara ini diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pemimpin yang rakus menyalahgunakan kuasa. Sebagai rakyat, anda berhak untuk membuat perhitungan yang terbaik demi masa depan anda, keluarga dan negara.

Saya menganggap pemecatan saya ini adalah satu lagi dugaan Allah Taala terhadap saya dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Saya yakin segala yang berlaku ada hikmahnya.

Saya berdoa semoga sentiasa diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian Allah dan segala urusan kita akan dipermudahkan oleh-Nya.

Allah Taala berfirman dalam Surah at-Taghabun ayat 11 yang bermaksud: "Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku dengan tenang dan sabar), dan ingatlah Allah maha mengetahui akan tiap- tiap sesuatu."

Sempena bulan Ramadan yang mulia dan Syawal yang bakal menjelma, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada seluruh ahli Umno sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang saya lakukan sepanjang saya berada di dalam parti.

Selamat tinggal Umno.

Kepada Allah saya berserah.

Friday, March 25, 2016

Apa dah jadi dengan pemimpin2 UMNO ni.......?

Wak pun hairan juga, sejak kebelakangan ni nampak nye pemimpin2 Umno semakin menyerlahkan ketidak bijaksanaan nye. Boleh dikata ramai juga pemimpin yang berkelakuan sedemikian rupe.

Jika rakyat merungut ayam mahal mereka suruh makan ikan, jika ikan mahal mereka suruh makan sayur....... Hinggakan ada pemimpin yang tergamak menyuruh rakyat keluar dari tanah tumpah darah nye jika tidak suke kerajaan yang memerintah.

Pada pendapat Wak, mungkin pemimpin ni menganggap rakyat yang menyokong nye itu tidak pandai. Atau pun rakyat yang menyokong nye itu tak kesah apa2 tentang pemimpin mereka tu, asalkan mereka tu Umno itu sudah cukup baik.

Cuma satu sahaja yang Wak risaukan, mungkin ada kemungkinan disatu hari nanti penyokong2 yang sangat setia ini termakan 'hasutan' dari musuh2 Umno. Perkara ini tidak mustahil akan berlaku. Ketika itu lah penyokong2 ini akan sedar dam memberontak menentang Umno.

Monday, March 21, 2016

Agak-agaknya ade telo ke pemimpin Umno ni nak sahut cabaran pemimpin Dap ni.......?

Kita selalu dengar kata-kata bahawa orang Umno ni kurang bijak. Perkataan ini juga pernah dikatakan oleh bekas pemimpin Umno nombor 1.

Disini Wak suka beri sedikit contoh ayat-ayat yang kurang bijak dari pemimpin Umno : 'Kalau ayam mahal, jangan makan ayam, makan ikan..... Kalau nak sebut semuanya pasti satu laman ni tak cukup tempat.

Wak sebenarnya bukan nya mahu mempertahankan Ketua Menteri P Pinang ni. Tapi cuma mahu memberi sedikit gambaran tentang sesetengah pemimpin Umno yang kurang bijak.

Sepatutnya pemimpin Umno ni tidak sahaja 'pandai' berhujah dalam parlimen sahaja, sebaliknya dia juga sanggup berhujah mempertahankan hujah2 nya itu di luar parlimen juga.

Di sini nampak kebijaksanaan KM P Pinang yang menjemput pemimpin Umno itu bermuzakarah dengan baik di luar parlimen pula untuk membuktikan kebenarannya.

Malangnya pemimpin Umno ni tidak sanggup berhadapan dengan KM P Pinang di luar parlimen agaknya. Alasan-alasan penolakan beliau juga sangat lemah dan daif.

Sekarang sekali lagi KM P pinang 'mencabar' pemimpin Umno kita ni supaya mengulangi kata-katanya itu di luar parlimen.

Sanggup kah pemimpin Umno ini menerima cabaran kedua dari KM P Pinang ni? Atau pun pemimpin Umno ini akan memberi berbagai alasan untuk menolaknya.

Monday, December 28, 2015

Pemimpin UMNO suka tayang kemewahan

PETALING JAYA: Pemimpin UMNO ditegur kerana mengamalkan gaya hidup mewah dan membelakangkan tuntutan Islam supaya setiap pemimpin mengamalkan kesederhanaan dan ‘low profile’.

Penceramah bebas dan pensyarah, Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, rata-rata pemimpin UMNO hari ini suka menunjuk-nunjuk dengan berkereta mewah dan ‘beristeri mewah’ terutama mereka yang berkahwin dengan artis.

“Susah sangatkah menjadi low profile? Bukankah ini menjadi tuntutan dalam Islam. Jika nak himpun harta, himpunlah tetapi jangan menunjuk. Rakyat sudah muak,” tulisnya di akhbar Sinar Harian.

Ridhuan Tee berkata, berdasarkan pengalamannya yang banyak melawat rumah pemimpin UMNO, jarang sekali berjumpa rumah kecil.

Katanya, kebanyakkan pemimpin UMNO memiliki rumah mewah termasuk dalam kalangan pemimpin UMNO bahagian dan ahli keluarga terdekat mereka.

“Inikan pula yang berjawatan di peringkat negeri dan Pusat. Bukanlah mereka perlu tinggal dalam pondok kecil tetapi berpada-padalah,” katanya.

Katanya, segelintir pemimpin UMNO itu mempunyai tauke atau ‘funder’ yang dipermudahkan kerjanya untuk mendapat peluang bisnes, tanah, kontrak dan tender sehinggakan ada Tanah Rizab Melayu yang tergadai.

Beliau berkata, UMNO perlu berubah jika mahu meneruskan kerjasama dengan Pas terutamanya membanteras politik wang hingga akar umbi dan membersihkan imej parti.

Pas pula katanya, perlu menjadikan akhlak mulia dan keadilan sebagai tunjang utama.

“Jika menang peringkat negeri dan Pusat, Pas dan UMNO mesti raikan bersama (berkongsi) dan jangan sapu semua jawatan seperti yang berlaku di Pulau Pinang. Selain itu, keputusan dibuat perlu menang-menang supaya tidak ada yang ‘terduduk’ dan UMNO perlu mendidik parti komponennya supaya mesra Islam,” katanya.

Wednesday, November 4, 2015

Pencetus 1MDB punca masalah bukan yang bercakap, kata veteran parti

OLEH KC NAZARI DAN NABIHAH HAMID
Bekas menteri besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid percaya kesal kerana Umno melihat beliau dan beberapa individu sebagai punca masalah terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedangkan mereka cuma menyuarakannya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 4 November, 2015.

Mereka yang memulakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mencetuskan semua masalah berkaitan dengannya sebenarnya lebih teruk berbanding yang hanya membincangkan skandal tersebut, kata bekas menteri besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid.

Beliau yang dipercayai termasuk dalam senarai 7 pemimpin Umno yang bakal dikenakan tindakan disiplin berkata orang sepertinya, berani lantang bersuara tidak sepatutnya dijadikan sasaran.

"Jika anda kata mereka yang bercakap tentang isu itu menyebabkan perpecahan, maka orang yang menyebabkan masalah itu timbul adalah lebih teruk berbanding yang bercakap tentangnya.

"Bukan kami penyebab masalah, kami hanya bercakap tentangnya. Pastinya bercakap tentang masalah itu lebih baik berbanding menjadi pencetus masalah," veteran Umno itu berkata kepada The Malaysian Insider ketika diminta mengulas laporan mengatakan beliau antara 7 yang sedang berada dalam pemerhatian parti.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengasaskan 1MDB sebagai firma pelaburan strategik negara dan turut berfungsi sebagai pengerusi lembaga penasihatnya.

Sanusi dikatakan tersenarai sebagai 7 individu yang bakal dikenakan tindakan kerana mengeluarkan "kenyataan tidak masuk akal" terhadap parti.

Beliau hadir pada satu sidang media bersama 5 bekas pemimpin termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi menuntut kerajaan agar tidak menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) terhadap pengkritik parti.

Selain Sanusi, turut dikatakan berada dalam senarai pemerhatian ialah Dr Mahathir, Muhyiddin, Shafie Apdal dan bekas menteri Tan Sri Zainuddin Maidin, yang semuanya secara terbuka mengkritik Najib berhubung 1MDB.

Dua lagi dikatakan sedang diperhatikan ialah Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Mohd Yunus dan Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, kedua-duanya penyokong kepimpinan Najib.

Jamal dikenali sebagai jurucakap utama "perhimpunan baju merah" atau Himpunan Rakyat Bersatu, yang diadakan pada 16 September sebagai tindak balas terhadap perhimpunan anjuran badan reformasi pilihan raya Bersih 2.0.

Bercakap kepada The Malaysian Insider, beliau berkata beliau tidak percaya dirinya antara yang tersenarai dalam 7 pemimpin dalam pemerhatian Umno dan berkemungkinan digantung daripada parti terbesar Melayu itu.

Bagaimanapun, beliau menerima keputusan itu sekiranya ia dibuat Majlis Tertinggi Umno.

"Saya memang tidak percaya (berita senarai 7 pemimpin Umno) berita daripada sumber itu.

"Saya tidak pernah tidak sehaluan (dengan parti) dan (kenyataan saya) selari dengan apa yang diperkatakan dalam parti, kerana saya percaya apa yang diperjuangkan presiden parti berada pada landasannya," kata Jamal.

Beliau yang berjanji akan menghormati dan akur keputusan parti turut menegaskan tidak akan berganjak daripada memperjuangkan Umno.

"Saya tidak ada masalah, perjuangan perlu diteruskan. Saya masih tetap dalam perjuangan Umno. Dalam prinsip saya, pemimpin umno perlu dipertahankan terutamanya presiden parti," katanya.

Sebaliknya, menurut Sanusi, beliau yakin sebenarnya lebih ramai orang sudah hilang kepercayaan terhadap pentadbiran negara dan parti.

Justeru, beliau percaya senarai mereka yang bakal dikenakan tindakan daripada Umno perlu "diperluaskan" lagi.

"Saya teruja dengan perkara ini. Saya rasa kita perlu perluaskan lagi senarai itu dan ada jawatankuasa warga bagi menilai skandal-skandal ini, aktiviti penipuan yang sedang berlangsung," kata bekas ketua penerangan Umno sewaktu Dr Mahathir menjadi presiden parti itu.

Ini kerana, "psike" nasional kini berupa kebencian terhadap pentadbiran negara katanya, sambil menambah orang ramai dahulu takut dengan kerajaan namun skandal demi skandal yang terbongkar merubah ketakutan itu kepada kebencian.

"Melangkaui ketakutan adalah kebencian dan orang kini mula membenci dan belajar membenci. Maka semua elemen ini, personaliti yang berasaskan dengan mencipta ketakutan.

"Mereka boleh mengugut orang, tetapi mereka perlu ingat, dengan mencetuskan ketakutan, mereka memberikan orang keberanian," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu, bekas menteri penerangan Zainuddin berkata, beliau tidak sedih atau tersinggung kerana dikatakan sedang dipantau untuk tindakan disiplin.

"Saya tidak ada isu. Saya tidak ada masalah jika mereka mahu menggantung saya atau putuskan saya.

"Saya tidak mempunyai kepentingan dalam Umno. Saya tidak rugi apa-apa walaupun sekiranya saya keluar," beliau dipetik sebagai berkata oleh portal berita Malaysiakini. – 4 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pencetus-1mdb-punca-masalah-bukan-yang-bercakap-kata-veteran-parti#sthash.vxPIx1os.dpuf

Friday, October 16, 2015

MB Johor: Umno harus didukung pemimpin boleh diteladani

Pemimpin Umno Johor Datuk Seri Khaled Nordin menyeru kembali ke arah pengislahan Umno, melalui pengukuhan pemikiran dengan membuka pintu kepada lebih ramai golongan profesional.

Menteri besar Johor berkata, golongan profesional lazimnya dihormati dan diteladani masyarakat dan kewibawaan golongan terpelajar harus menjadi pemangkin kepercayaan kepada parti.“Justeru, Umno mesti didukung dan dipimpin oleh mereka yang disegani dan boleh diteladani oleh masyarakat.“Akhir sekali, kita memilih untuk mengajak golongan profesional mengambil tanggungjawab dalam pengislahan Umno,” katanya.

Dalam tulisannya hari ini, Khaled berkata, generasi baru harus diwariskan dengan pemimpin yang pemimpin yang berilmu, berintegriti dan mempunyai visi dan jiwa besar.“Sampai bila kita hanya mahu mengungkit-ungkit dan mengingatkan tentang kejayaan masa silam.“Sudah tiba masanya untuk kita pula yang merencana dan mencipta sejarah Umno yang baharu.
“Kesemua ini boleh dilakukan jika semua pihak dalam Umno, terutama sekali golongan profesional, diberikan ruang dan kepercayaan sewajarnya,” katanya sambil menegaskan Umno perlu ramai pemikir.Beliau bagaimanapun berkata, pengislahan Umno wajar diimbangi secara kolektif dengan pengalaman dan ‘kebijaksanaan’ anggota lebih berpengalaman.

Sementara itu, Khaled juga mengumumkan bahawa Umno Johor baru-baru ini melancarkan penubuhan sebuah institut pemikir milik Rumah Amanah.Badan dimiliki sepenuhnya oleh Umno negeri itu akan berperanan menjadi sumber rujukan Umno Johor dalam meneroka dasar-dasar baharu, memperkasa dasar-dasar sedia ada dan menyusun agenda lebih strategik dalam perjuangan orang Melayu.-Mkini

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=346072:mb-johor-umno-harus-didukung-pemimpin-boleh-diteladani&Itemid=2#ixzz3ojUDexfo
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

Wednesday, October 14, 2015

Muhyiddin: Fikir waras, siapa sebenar sabotaj negara?

Muhyiddin Yassin
Saya telah membaca beberapa kenyataan yang dibuat oleh segelintir pihak yang mendakwa bahawa saya telah membantah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 12 Oktober lalu.

Dan ini kononnya bercanggah dengan pendirian saya menyokong SOSMA semasa di dalam kabinet dan ketika rang undang-undang Sosma dibentangkan di parlimen.

Pendirian saya tidak pernah berubah.

Saya menyokong Sosma untuk menangani kesalahan-kesalahan keselamatan yang menggugat keamanan dan ketenteraman awam.

Yang saya tidak bersetuju ialah penyalahgunaan Sosma yang bercanggah dengan tujuan asal akta ini digubal sepertimana yang berlaku dalam kes penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang.

Tindakan mereka membuat laporan mengenai dakwaan salah laku 1MDB kepada pihak-pihak berkuasa dalam dan luar negara tidaklah boleh dikatakan sebagai satu tindakan sabotaj bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, iaitu satu kesalahan keselamatan yang membolehkan penggunaan Sosma.

Bukankah mereka sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara yang prihatin?

Pendirian saya ini adalah selari dengan jaminan kerajaan ketika akta ini digubal bahawa ia tidak akan disalahgunakan untuk tujuan-tujuan lain, terutamanya yang bermotifkan politik.

Moga perjuangan diberkati

Ini termasuk mendiamkan pengkritik dan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara dan memberikan pandangan.

Jaminan ini adalah selaras dengan langkah transformasi politik yang diambil oleh kerajaan.

Adakah 1MDB terlalu kebal sehinggakan pihak yang mengkritik dan membuat laporan terhadapnya didakwa di mahkamah?
Seorang yang berfikiran waras pastinya akan bertanya siapakah yang sebenarnya mensabotaj sistem perbankan dan perkhidmatan kewangan negara?

Orang yang membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya menyiasat dakwaan salah laku 1MDB atau orang yang mengakibatkan berbillion ringgit wang rakyat dalam 1MDB lesap?

Apakah pemimpin Umno harus berdiam diri dalam hal ini dan bersekongkol dengan para petualang?

Janganlah dibiarkan jiwa perjuangan yang mengalir dalam darah setiap pejuang Umno dibeli dengan harga yang murah.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap pejuang Umno untuk bangkit menentang penyelewengan dan perompakan harta negara oleh pihak-pihak tertentu.

Barulah Umno akan disegani dan dihormati oleh rakyat seluruhnya dan diberkati perjuangannya oleh Allah SWT.

TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN timbalan presiden Umno dan bekas timbalan perdana menteri. Kenyataan ini dimuatkan kali pertama di Facebook beliau sebentar tadi.

Thursday, October 8, 2015

Kenapa pemimpin Umno DIAM dengan titah Raja?

Oleh Shahbudin Husin
Apabila Raja-Raja Melayu mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terlibat, sehingga ini belum kedengaran lagi sebarang reaksi daripada pemimpin UMNO mengenainya.

Najib diam, Zahid Hamidi diam, Tengku Adnan (kerabat juga ni??) diam dan Ahmad Maslan juga diam. Pendeknya, semua dalam UMNO seolah-olah tidak melihat saranan Raja-Raja Melayu itu sebagai sesuatu yang penting dan bernas, walhal rasanya inilah pertama kali Raja-Raja Melayu bersuara dalam soal yang melibatkan kerajaan.Apakah pemimpin UMNO tidak menganggap gesaan Raja-Raja Melayu itu sebagai sesuatu yang serius?

Selama ini tidak pernah Raja-Raja Melayu mahu masuk campur dan menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan yang memerintah menyelesaikan sendiri segala kemelut yang mereka hadapi.

Tetapi, pelbagai rentetan dalam 1MDB yang sudah pun berlaku terang-terang di depan mata rakyat, tentulah akhirnya menjadi antara sebab yang menggerakkan hati Raja-Raja Melayu untuk segera melakukan gesaan tersebut.

Rakyat bukan saja menjunjung kasih, bahkan rata-rata lega dengan kenyataan Raja-Raja Melayu itu dan mula menaruh harapan agar segera ada "cahaya di hujung terowong" berkaitan penyiasatan1MDB kerana sejak kebelakangan semua itu seolah-olah bakal berlapuk dalam fail saja.

Hanya pemimpin pembangkang daripada PKR, Pas dan DAP yang pantas memberi reaksi terhadap saranan pihak istana itu.

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali lantas menggesa kerajaan mengambil serius teguran Raja-Raja Melayu itu manakala Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man menuntut segera dihidupkan semula pasukan petugas khas yang telah "dimatikan" sebelum ia benar-benar berperanan sebelum ini.

Lim Kit Siang pula mahukan Parlimen memperuntukan dua hari dalam sidang Parlimen akan datang ini bagi membincang dan membahaskan permintaan Raja-Raja Melayu itu.

Tetapi daripada sekian pemimpin pembangkang yang menyambut baik apa yang dilakukan oleh Raja-Raja Melayu itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Mahfuz Omar terlihat agak berani, berterus terang dan tepat "mengena ke dahi" Perdana Menteri.Namun, apabila meneliti satu persatu ayat yang dikeluarkannya itu, tidak ada rakyat yang bebas dan merdeka yang tidak bersetuju dengannya.
Antara intipati kenyataan Mahfuz Omar ialah:-

- memohon Raja-Raja Melayu bertindak lebih keras dengan segera memecat Perdana Menteri dan Peguam Negara susulan kontorversi 1MDB yang terus berpanjangan.

- Raja-Raja Melayu tidak boleh membiarkan institus Raja-Raja tercalar dan institusi awam yang berdiri atas nama Diraja bertindak berasaskan canpurtangan kuasa politik pemimpin korup yang menerajui negara sekarang.

- menyifatkan pentadbiran negara sekarang tidak ubah seperti perjalanan pentadbiran sebuah kumpulah mafia.

- dalam kumpulan mafia, siapa yang lawan ketua akan ditembak tetapi dalam politik negara siapa yang mengancam Najib akan dicantas, diugut dan sebagainya.

Hakikatnya, sesiapa yang mengenali Mahfuz tentulah tidak hairan dengan kenyataan atau ayat-ayat yang dipilihnya itu.Cumanya, ketika ini adalah musim Najib menyaman orang. Sudah ramai yang disamannya dengan yang terbaru ialah bekas Presiden MCA, Dr Ling Liong Sik.

Apakah ungkapan kata Mahfuz kali ini, terutama berkaitan mafia dan pemimpin korup akan mendorong Najib turut menghantar surat saman kepadanya?Atau barangkali memang Mahfuz mahu disaman oleh Najib supaya banyak lagi pendedahan serta pertanyaan dapat dikemukakan di mahkamah nanti? -BlogSpot

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=342232:kenapa-pemimpin-umno-diam-dengan-titah-raja?&Itemid=2#ixzz3nwcahGcb
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

Monday, September 28, 2015

Pemimpin UMNO punca masalah perkauman -Orang Asal

Mohamad Fadli 

Perbuatan pemimpin UMNO membiarkan Himpunan Baju Merah membuktikan mereka menyokong perkauman dan seolah-olah merestui orang Melayu membenci kaum lain khususnya orang Cina.
PETALING JAYA: Pemimpin UMNO patut dipersalahkan kerana menyebabkan ketegangan kaum di negara ini menjadi semakin memuncak.

Dakwaan itu dibuat oleh Naib Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Yusri Ahon.

Dia berkata, perbuatan pemimpin UMNO membiarkan Himpunan Baju Merah membuktikan mereka menyokong perkauman dan seolah-olah merestui orang Melayu membenci kaum lain khususnya orang Cina.

“Himpunan Baju Merah itu hanya akan menjejaskan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum kerana hanya disertai orang Melayu.

“Tidak seperti Himpunan Bersih 4.0 yang disertai dan disokong pelbagai kaum dan agama.

“Jadi bagi saya, jelas isu perkauman ini dibawa UMNO sendiri yang merupakan tulang belakang kepada Kerajaan pemerintah,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today (FMT).

Yusri yang juga Ahli Jawatankuasa Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOP) berkata, sekiranya pemimpin-pemimpin UMNO yang memperjuangkan perkauman dilantik ke jawatan penting dalam kerajaan, dia membayangkan akan wujud isu perkauman yang lebih dasyat pada masa akan datang.

“Selagi kerajaan tak ubah pendirian dan pendekatan, masalah perkauman akan terus menjadi bahaya. Ini terjadi kerana isu perkauman dibawa oleh pemimpin-pemimpin UMNO itu sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Yusri mendesak kerajaan mengambil pendekatan berbeza untuk menyelesaikan masalah perkauman untuk mengelak ia menjadi semakin buruk sehingga membinasakan negara.

Ditanya adakah pembangkang sengaja memgambil kesempatan di atas isu perkauman, Yusri berkata, pembangkang tidak sepatutnya dipersalahkan kerana menjadi kelaziman pihak lawan untuk menggunakan kelemahan sebagai senjata.

Friday, September 18, 2015

Khairuddin Abu Hassan ditangkap

Zikri Kamarulzaman 
Hari ini, 9:31 pm Hari ini, 11:12 pm
Bekas pemimpin Umno Datuk Khairuddin Abu Hassan telah ditangkap malam ini.

Peguamnya, Matthias Chang memberitahu Malaysiakini bahawa Khairuddin telah dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi dan sedang disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

"Dia ditangkap sekitar jam antara 6 hingga 7 malam ini di kediamannya di Mont Kiara," kata Chang ketika dihubungi.

Ditanya sama ada Khairuddin akan ditahan semalaman, peguam itu menjawab: "Besar kemungkinannya."

Difahamkan Khairuddin ditangkap oleh para pegawai dari Bukit Aman.

Awal hari ini bekas timbalan ketua Umno bahagian Batu Kawan itu mendapati dia dan Matthias telah dilarang daripada meninggalkan negara ini.

Dia sepatutnya pergi ke Bukit Aman pada hari Isnin untuk disoal siasat berhubung dokumen yang dikemukakan kepada pihak berkuasa Switzerland berkaitan skandal 1MDB.

Selain daripada Switzerland, Khairuddin juga telah membuat laporan mengenai 1MDB di London, Singapura dan Hong Kong.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak telah berulang kali menafikan menyalahguna dana 1MDB untuk kepentingan peribadi dan berikrar untuk menyelesaikan kemelut 1MDB tidak lama lagi.

Najib dan beberapa yang lain telah mendakwa wujud konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri dan kerajaan.

Sunday, August 23, 2015

Kalau dah 'fitnah', saman aje le......

Fitnah “DAP dibiayai Yahudi”: DAP mahu polis ambil tindakan terhadap UMNO

BAGAN, 23 OGOS: Pimpinan UMNO sudah hilang akal kerana bersikap “desperado” apabila pemimpinnya seperti Ketua Bahagian UMNO Sri Gading, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, membuat fitnah jahat dan tidak masuk akal kononnya DAP dibiayai Yahudi.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pihak DAP akan membuat laporan polis mendesak tindakan diambil ke atas tuduhan fitnah yang tidak berasas itu.

Katanya, Abdul Aziz yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan sanggup memfitnah semata-mata mahu menutup skandal RM42 bilion 1MDB dan “derma” politik RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun persendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelang pilihan raya umum ke-13 pada 2013.

Ujar beliau, Abdul Aziz mendakwa “derma” RM2.6 bilion diberi kepada Najib untuk membiayai perjuangan melawan DAP “yang dibiayai Yahudi”.

Menurut hujah merepek Abdul Aziz, jika UMNO kalah dalam pilihan raya, DAP yang disokong Yahudi akan berkuasa, dan kalau “kerajaan Islam Malaysia” tumbang, rosak perjuangan Islam seluruh dunia, tambah beliau.

“Tidak waras dan tidak logik langsung bahawa DAP boleh berkuasa bila hanya bertanding dalam 51 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen. Menang semua pun tak mungkin jadi parti terbesar, apatah lagi berkuasa.

“DAP hanya berdepan dengan calon UMNO dalam dua kerusi Parlimen, di mana DAP menang satu dan kalah satu. Tak kan perlu RM2.6 bilion untuk lawan DAP dalam dua kerusi Parlimen?

“Kalau begitu betapa banyak lagi dibelanjakan oleh UMNO dalam pertandingan kerusi-kerusi parlimennya yang lain?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, jelas UMNO sudah hilang idea memerintah dan hanya mahu menutup kerakusan kuasa dan skandal rasuah dalam kerajaan.

Oleh itu, katanya, mereka akan membuat fitnah besar yang bodoh tentang konspirasi Yahudi bersama dengan DAP, yang jelas tidak masuk akal sama sekali.

“Adalah lebih baik jika kerajaan persekutuan BN menjelaskan mengapa mereka berhubung dengan syarikat kewangan besar antarabangsa yang dimiliki oleh Yahudi dalam urusan kewangan 1MDB,” ujarnya.

Minggu lalu Ketua Bahagian UMNO Kuantan, Wan Adnan Wan Mamat, pula mendakwa sumbangan RM2.6 bilion kepada Najib adalah dari Arab Saudi kerana menghargai peranan Perdana Menteri melawan kumpulan militan ISIS, ISIL atau IS (Islamic State).

Hujah itu juga tidak munasabah kerana wang itu diberikan sejurus sebelum PRU13, iaitu pada Mac 2013 sedangkan IS/ISIS/ISIL hanya ditubuhkan sebulan selepas itu, iaitu pada April 2013, sebagai kumpulan serpihan Al-Qaeda.

Malah, lebih setahun selepas itu, Najib pada Jun 2014, dilaporkan memuji perjuangan IS/ISIS/ISIL dengan menggesa UMNO mencontohi perjuangan kumpulan militant tersebut. – Roketkini.com

Tuesday, December 30, 2014

Mengapa bantuan banjir ada gambar pemimpin umno?

ASLANI M | 30 Disember 2014.
KUALA KRAI: Sukarelawan dari luar Kelantan mendakwa bantuan banjir kepada mangsa-mangsa agak lewat tiba di lokasi pemindahan disebabkan kerenah birokrasi.

Mereka mendakwa pihak berkuasa membuat sekatan di kawasan tidak jauh dari sempadan Pahang-Kelantan menanyakan pelbagai soalan kepada kenderaan bantuan banjir.

“Mereka tanya permit bawa bantuan banjir. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana mangsa sedang berdepan dengan kesukaran di tempat pemindahan banjir.

“Banyak kenderaan bantuan dari luar Kelantan terkandas kerana pihak berkuasa seperti cuba melengah-lengahkan perjalanan,” kata seorang sukarelawan dari Selangor.

Mereka juga mendakwa bantuan banjir yang diserah kepada pihak berkuasa di tempat-tempat yang sukar dilalui jalan darat difahamkan dilekat pembungkus berwajah pemimpin Umno.

Kata mereka tindakan melekatkan gambar pemimpin menyebabkan bantuan yang sepatutnya diagih lebih cepat mengambil masa untuk sampai kepada mangsa banjir.

Dakwaan sukarelawan terbabit berasas apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri dilaporkan berkata, apa yang penting sumbangan itu sampai kepada mangsa banjir bagi mengurangkan beban mereka.

“Tak apalah mereka hendak kecam. Yang penting barang-barang daripada kementerian sampai kepada mangsa banjir dan dapat membantu mengurangkan bebanan mereka,” katanya seperti disiar sebuah laman berita. - HARAKAHDAILY 30/12/2014

Monday, September 2, 2013

Macam biase le, pemimpin2 UMNO ni selalu nye akan membodoh2 kan pengikut2 dan pencacai2 nye..............

Wak tak heran kalu pemimpin UMNO ni kate kenaikan petrol dan disel tidak membebankan rakyat kerane orang kampung takde kerete. Pade pendapat Wak kenyatean ni adelah satu penghinean kepade orang2 kampung. Penghinean bukan ney kerane tidak memiliki kerete, tetapi penghinean terhadap tahap daye pemikiran orang kampung.

Pemimpin UMNO ni masih anggap orang kampung ni masih tolol dan dungu ape bile menyatekan kenaik kan petrol dan disel tidak melibatkan orang miskin di kampung. Sebenar nye di saat ini pun orang miskin di kampung sedang bergelut dengan kenaikan harge barang2 keperluan harian yang terus meningkat setiap hari.

Dengan kenaik kan harge petrol dan disel yang terbaharu ni pasti ianye akan memberikan impak yang lebih dahshat terhadap kenaikan harge barang2 keperluan harian. BR1M sebenarnye tidak banyak membantu kehidupan rakyat miskin di kampung2 kerane ianye diberi kan setahun sekali. BR1M sudah tidak bermakne lagi jike harge barang2 keperluan harian sudah naik melambung tinggi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-