Showing posts with label Jamal Md Yunos. Show all posts
Showing posts with label Jamal Md Yunos. Show all posts

Sunday, November 13, 2022

Pertarungan sengit di Sungai Besar antara BN, PH dan PN

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Nov 13, 2022 9:30 AM
Sejak kerusi Parlimen Sungai Besar diwujudkan pada 2004, kawasan itu menjadi kubu kuat BN yang sukar untuk ditembusi.

Sehinggalah pada pilihan raya umum 2018, apabila tsunami politik melanda, menyaksikan BN tewas kali pertama dalam PRU dan hilang banyak kerusi parlimen kepada PH.

Meskipun BN berjaya memperoleh sejumlah besar undi di Sungai Besar, calonnya Budiman Zohdi tewas kepada Muslimin Yahaya dari Bersatu dengan majoriti tipis 714 undi.

Daripada 28 Pusat Daerah Mengundi (PDM) kemenangan Muslimin kebanyakannya disumbangkan oleh undi dari 12 PDM.

Pada pilihan raya umum ke-15 kali ini, BN mempertaruhkan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos, seorang ahli politik kontroversi yang terkenal dengan perwatakan yang berwarna-warni.

Persoalannya apakah Jamal mampu merampas semula kerusi parlimen berkenaan daripada Muslimin dan menewaskan dua pencabar lain - Saipolyazan Yusop dari PH dan Asmawar Samat dari Pejuang?

"Saya yakin pengundi akan kembali kepada BN kali ini," kata Jamal ketika ditemui di Sungai Besar baru-baru ini.

“Setelah (Pakatan) Harapan memberikan harapan yang tiada penghujung, pengundi di PDM ini yg menang dengan pelbagai janji dan manifesto mereka tetapi akhirnya tiada satu perubahan dibuat. Wakil rakyat yang menang (Muslimin) melompat kepada PN.

“Ssaya nak ingatkan bahawa kerajaan yang berjanji ketika memerintah 22 bulan dan 17 bulan adalah orang yang sama.

“Semestinya nelayan-nelayan dan pengundi di PDM ini tahu siapa yang mereka akan undi,” katanya.
Jamal sebelum ini merupakan pemimpin gerakan Baju Merah dan pernah mencuri perhatian apabila mengadakan protes berkaitan isu air dengan memakai tuala mandi di pejabat kerajaan negeri Selangor di Shah Alam pada 2016.

Ketika ditemui, ahli politik itu yakin ramai pengundi Cina akan kembali menyokong BN.

Ia mungkin sesuatu yang agak ironi memandangkan Jamal dilihat sebagai seorang pemimpin ‘ultra-Melayu.

Sebagai contoh dia pernah mengetuai perhimpunan balas menentang Bersih serta memecahkan botol bir untuk membantah Better Beer Festival pada 2017.

Pun begitu Jamal berkata imej yang ditonjolkan terhadapnya hanyalah propaganda PH dan dia yakin masyarakat Cina di Sungai Besar lebih mengenali dirinya.
“Saya yakin dan percaya masyarakat dan pengundi di Sungai Besar ini lebih mengenali saya dari orang luar.

“Kalau melihat reputasi PRN Melaka, Johor dan Sarawak, masyakat Cina sudah tahu siapakah yan mereka akan sokong

“Saya percaya pengundi Cina di Sekinchan dan Sungai Besar akan bertambah untuk pilih BN. Saya yakin sekurang-kurangnya bertambah 15 peratus daripada PRU sebelum ini,” katanya.

Undi Cina

Sungai Besar merupakan kawasan pilihan raya di mana 68.97 peratus pengundinya adalah Melayu, diikuti Cina (28.78 peratus), India (1.98 peratus), dan lain-lain (0.27 peratus).

Kawasan parlimen itu terdiri daripada dua DUN - Sungai Panjang yang disandang oleh Adun Umno dan Sekinchan yang sandang oleh DAP.

Tinjauan Malaysiakini mendapati sokongan kepada parti-parti yang bertanding rata-ratanya mengikut garis perkauman.

Ramai pengundi Cina menyatakan sokongan mereka kepada PH disebabkan keyakinan terhadap DAP yang menjadi salah satu parti komponen dalam gabungan itu.

Mereka juga tidak mempunyai keyakinan terhadap BN dan calonnya kerana tidak menjaga kepentingan kesemua kaum.

“Di Sekinchan ini saya ingat merah, Pakatan Harapan (menang). (Pekan) Sungai besar Melayu banyak (sokong) BN," kata seorang penjual ikan di pasar Sekinchan yang hanya dikenali sebagai Ah Loon.

Ditanya mengapa dia tidak menyokong BN atau PN, Loon yang berusia 40 tahun berkata dia tidak kisah jika mana-mana parti menang asalkan mereka boleh bekerja untuk rakyat.

Pun begitu dia menyatakan keraguan terhadap Jamal.

“Dia buat samseng boleh la. Buat kerja tak boleh punya.


“Susah (pengundi Cina mahu sokong). Sebab dia punya otak ingat Melayu saja. Dia tak ada jaga Cina. Kalau dia otak sama (jaga semua orang) dia okay,” tambahnya.

Seorang lagi pengundi, Phua Chun Ping, 30, berkata dia berpendapat rekod prestasi Jamal tidak begitu bagus.
Phua Chun Ping
"Kalau (tanya) saya, tak (undi Jamal). Dia punya sikap, dulu punya pasal la. Saya tak suka dia punya sikap," kata penjual ikan itu.

Sementara itu, pengundi muda dari masyarakat Cina yang akan mengundi kali pertama juga dilihat cenderung menyokong PH seperti mana ahli keluarga dan rakan mereka.

Heng Khai Ping, 22, berkata: "Saya akan undi Pakatan Harapan kali ini, kerana ramai orang Cina sokong".
Heng Khai Ping
Bagaimanapun ia bukanlah bermakna BN hilang sama sekali sokongan daripada kaum Cina.

Segelintir pengundi terutama yang berumur 50 tahun ke atas masih percaya gabungan politik tertua itu dapat menjaga kepentingan mereka.

Seorang penjual ikan berusia 56 tahun, yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, berkata dia menyesal kerana mengundi PH pada pilihan raya umum lalu.

Katanya ini kerana PH gagal mengotakan janji sepanjang 22 bulan berkuasa dan Langkah Sheraton pada 2020, menyaksikan sekumpulan ahli Pprlimen PH melompat parti sehingga menyebabkan kerajaan tumbang.

“Saya ingat tak mahu undi kali ini. Saya sudah 3,4 kali undi. Tidur lagi baik la.

“Banyak orang ini macam cakap. Undi itu roket, tengok terbalik semua. Baru 22 bulan saja (jadi kerajaan), sudah bankrap (tumbang).

"Kalau boleh itu YB lari sini, lari sana. Kira nombor saja siapa menang. Kita lagi baik cari makan. Sekarang cari makan banyak susah.

“Tapi kalau pergi undi, saya bagi BN,” katanya.

Undi Melayu berpecah

Ketika rata-rata orang Cina dilihat menyokong PH, undi Melayu mungkin terpecah antara tiga gabungan utama - BN, PN dan PH.

Walaupun BN masih mempunyai penyokong setia, ada pengundi Melayu yang mahu melihat PN menang di Sungai Besar dan menjadi kerajaan kerana berpendapat gabungan itu lebih baik berbanding parti-parti berteraskan Melayu yang lain.

Mereka berpendapat PN yang diketuai Muhyiddin Yassin tidak membawa bagasi seperti Umno dan mampu membela kepentingan orang Melayu berbanding PH.

“Saya tengok dari segi ekonomi sekarang ni, saya rasa ekonomi sekarang ni teruk. Saya undi mana yang saya rasa saya berkenan je, mana saya rasa PM yang betul, tak ada rasuah.

“Satu lagi untuk tegakkan agama kita sebagai orang Islam, mungkin (saya) pilih PN," kata pengundi kali pertama, Zulkifli Haikal Abdullah, 21, dari Kampung Baru Nelayan.
Zulkifli Haikal Abdullah
Nazri, 56, seorang pengusaha bengkel turut berkongsi sentimen serupa.

Menurutnya, dia pernah menyokong BN tetapi kini berhasrat beralih kepada PN.

“Setakat ini nampak rekod dia (PN) bersih,” katanya sambil menambah Muslimin merupakan ahli parlimen yang baik dan telah berkhidmat dengan bagus di kawasan itu.

Ditanya pendapatnya mengenai PH, Nazri sambil tertawa kecil berkata dia tidak akan menyokong parti pimpinan Anwar Ibrahim itu tetapi enggan menyatakan sebabnya.

Seorang lagi pengundi, Mohd Shukri Abdullah, 56, berkata dia tetap akan memberi undi kepada BN dan percaya Jamal layak menang kerusi parlimen berkenaan.

“Dia (Jamal) banyak tolong orang-orang sini.

"Kali ni pengundi Cina saya rasa akan sokong Barisan. Banyak janji PH tak buat,” ujarnya.
Mohd Yusof Sidek
Begitu juga dengan Mohd Yusof Sidek, 70, seorang penjual sayur yang mengatakan dia tetap menyokong BN meskipun ramai rakan-rakannya menyokong PH pada 2018.

Yusof berkata, dia juga mengenali Jamal secara peribadi dan calon BN itu juga pernah membantunya sebelum ini.

Justeru Yusof percaya BN kini lebih baik berbanding dahulu.

“Dulu pemimpin yang jahat kan, yang tak betul. Tapi sekarang PM baru ni mungkin okay,” katanya.

Dalam pada itu, tiada seorang pun pengundi yang ditemui mengatakan akan mengundi Pejuang, sekali gus menunjukkan parti baru yang ditubuhkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad itu bukan pilihan utama di Sungai Besar.

Pada minggu terakhir sebelum hari mengundi, pertarungan sengit dijangka antara BN, PH dan PN, namun Pejuang mungkin terpaksa bergelut untuk menyelamatkan wang deposit.

Friday, November 4, 2022

Teresa: Jamal belum bayar saman, kelayakannya jadi calon diragui

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 4, 2022 10:40 AM
Penyandang kerusi Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya membatalkan pencalonan Jamal Md Yunos untuk bertanding pada pilihan raya di kerusi Sungai Besar.

Dalam suratnya kepada pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh, Kok berkata dia telah memulakan prosiding kebankrapan ke atas Jamal pada 30 Ogos lalu berdasarkan kepada penghakiman yang diterimanya pada 26 Julai.

"Jamal masih belum menyelesaikan penghakiman tersebut dan prosiding kebankrapan saya terhadap beliau masih sedang berlangsung,” kata Kok kepada Abdul Ghani.

Sehubungan itu, Kok menggesa SPR menolak Jamal daripada menjadi calon semasa proses penamaan calon esok.

Semasa proses penamaan calon, pihak polis dan wakil jabatan insolvensi akan hadir untuk menapis calon.

Menurut Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan, seseorang individu hilang kelayakan untuk menjadi ahli parlimen jika adalah “seorang bankrap belum lepas” atau banduan yang telah menjalani hukuman penjara lebih satu tahun atau didenda lebih RM2,000 dan belum mendapat pengampunan.

Menurut notis kebankrapan Kok, Jamal berhutang RM351,479.45.

Pada 25 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Jamal supaya membayar RM300,000 kepada Kok sebagai ganti rugi berhubung ucapannya pada 2017 yang mendakwa ahli parlimen DAP itu menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Jamal membuat laporan kepada SPRM dengan tuduhan yang sama, sehingga menyaksikan serbuan di pejabat Kok. Tiada pertuduhan dikenakan terhadap Kok.

Thursday, July 5, 2018

Jamal dibawa ke Mahkamah Ampang

Jamal

PUTRAJAYA - Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos tiba dengan menaiki penerbangan MH710 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 2.47 petang tadi.

Beliau kemudian terus dibawa ke Mahkamah Ampang selepas tiba namun, tidak dapat dipastikan sama ada untuk didakwa atau untuk mendapatkan perintah reman.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu, sebelum ini ditahan oleh Polis Negara Republik Indonesia selepas melarikan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri pada 25 Mei lalu.

Jamal didakwa di atas pelbagai pertuduhan termasuk di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana melakukan gangguan awam dan Seksyen 34 Akta Senjata 1960 berkaitan penggunaan senjata api.

Bagaimanapun kira-kira 40 petugas media gagal merakam gambar Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu kerana dibawa keluar oleh polis melalui laluan khas selepas pesawat mendarat untuk segera dibawa ke mahkamah

Turut kelihatan beberapa orang penyokong pemimpin tersebut untuk menyambut ketibaan beliau. 

- K! ONLINE

Wednesday, June 6, 2018

Jamal: Saya masih di Malaysia, tak perlu panggil Interpol

Mohamad Fadli | June 5, 2018

Jamal Yunos berkata meminta campurtangan Interpol untuk kes kesalahan kecil yang membawa denda RM400 hanya membuang masa.

PETALING JAYA: Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata beliau masih di Malaysia dan tidak berada di luar negara seperti yang didakwa.

Beliau berkata tindakan kerajaan meminta campurtangan Interpol untuk mengesannya bagi kes kesalahan kecil yang membawa denda RM400 hanya membuang masa.

“Kesalahan saya bukan jenayah yang boleh mengancam keselamatan. Ianya kesalahan memecahkan botol pejabat di hadapan SUK dengan penukul besi kerana membantah pesta arak. Kesalahan kecil yang dendanya hanya RM400,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata polis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mengesan Jamal yang dipercayai melarikan diri ke repulik itu.

Satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Jamal selepas pemimpin Umno itu didapati hilang selepas 3 pertuduhan dibacakan terhadapnya di Hospital Pakar Ampang Puteri 25 Mei lalu, di mana beliau sedang dirawat.

Jamal nafi melarikan diri dari pihak berkuasa, menegaskan ia cuma salah faham kerana menyangka proses ikat jamin sudah diselesaikan pada hari kejadian.

Jamal berdepan 3 pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hospital, iaitu untuk tuduhan melakukan mudarat dengan mempamerkan senjata api berdasarkan gambar tular di media sosial, melakukan mudarat di kawasan awam apabila memecahkan botol arak menggunakan penukul besi sebagai simbolik bantahan terhadap pesta arak, dan yang ketiga dipercayai kerana menceroboh sebuah pusat judi haram di Ampang.

Beliau mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan pemimpin Umno itu diikat jamin RM3,000 bagi setiap kes.

Polis berkata terdapat baki 6 kes lagi melibatkan Jamal selain daripada 3 kes yang sudah dituduh.

Sunday, June 3, 2018

Jamal 'meriahkan' perebutan jawatan ketua Pemuda Umno


Pemimpin Umno yang kini dikehendaki polis Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos, menawarkan diri menjadi ketua pemuda parti itu dalam pemilihan akan datang.

Pengumuman itu dibuat melalui kemas kini hantara di Facebook Umno dan Jamal sendiri.

Kata Jamal keputusan bertanding bagi jawatan ketua pemuda dibuat ialah untuk membina semula "semangat perjuangan" parti itu yang ditolak majoriti pengundi dalam pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.

"Tujuan saya menawarkan diri adalah untuk membina kembali semangat perjuangan semua ahli Umno seluruh Malaysia, terutama pemuda untuk bersama meneruskan perjuangan ini," katanya.

Selain menjadi ketua Umno Sungai Besar, Jamal dikenali dengan siri aksi pegun yang menarik perhatian ramai. Misalnya bertuala di depan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam semasa sebahagian Selangor berdepan masalah air, serta mengadakan demonstrasi di luar bangunan Malaysiakini.

Terkini Jamal, 48, melarikan diri daripada jaminan ketika dia disiasat berhubung dakwaan kesalahan jenayah. Kali terakhir Jamal membuat kemunculan ialah melalui satu klip video yang dirakam dalam kebun kelapa sawit.

Pada 1 Jun lalu Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan pihak berkuasa kini memiliki waran tangkap untuk menahan Jamal.

Nama-nama calon untuk dipertandingkan dalam pemilihan Umno perlu dikemukakan pada 23 Jun ini.

Baca Rayuan Jamal dari ladang sawit: Jangan zalimi saya, Tan Sri

Sebelum ini jawatan ketua Pemuda Umno turut menarik minat bekas calon BN bagi kerusi parlimen Pasir Puteh Datuk Asyraf Wajdi Dusuki. Seorang lagi tokoh yang mengintai peluang ialah naib ketua sekarang Khairul Azwan Harun.

Penyandang jawatan ialah Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang disebut-sebut bakal menjadi salah seorang calon untuk jawatan naib presiden.

Kata Jamal, keputusan menawarkan diri itu dibuat selepas mendapat pandangan daripada "rakan-rakan seperjuangan".

"Marilah kita bersama-sama bangkit demi semangat perjuangan suci untuk membantu mendapatkan kembali sokongan dan kepercayaan rakyat," katanya.

Untuk rekod sebelum ini pun Jamal pernah menyatakan hasratnya mahu bertanding bagi jawatan ketua Pemuda Umno.

Bagaimanapun pengumuman itu dibuat dalam keadaan yang berbeza, apabila ketika itu Umno belum kehilangan kuasa.

Friday, June 1, 2018

Muhyiddin: Kerjasama dengan polis Indonesia buru Jamal

PDRM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan Datuk Seri Jamal Md Yunos. — Foto oleh Yusof Mat Isa

KAJANG, 1 Jun — Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan Datuk Seri Jamal Md Yunos yang dipercayai telah melarikan diri ke sebuah kepulauan di negara jiran itu.

Akhbar tempatan semalam melaporkan Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar dipercayai sudah meloloskan diri ke Tanjung Balai, Karimun Besar, Indonesia, dua hari selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini, pada Jumaat.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PDRM sedang mempergiatkan usaha bagi mengesan seterusnya membawa Jamal pulang semula ke negara ini.

“Saya meminta Ketua Polis Negara untuk memburu beliau yang katanya dia berada di Indonesia... jadi kita akan minta bekerjasama dengan pihak polis di sana mencari beliau untuk membawa ke sini.


“Apa-apa pun, kalau beliau ada apa-apa kesalahan yang dilakukan saya serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas Program Penerapan Nilai Murni Bulan Ramadan di Masjid Jabatan Penjara Kajang di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat mengesahkan PDRM telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Jamal dan usaha bagi mengesannya diperhebatkan.

Ini selepas Jamal masih gagal memberikan respons sepatutnya walaupun telah diberikan masa yang cukup untuk memberi kerjasama dalam semua siasatan dan prosedur yang sedang dijalankan.

Semalam, Jamal menerusi satu rakaman video berdurasi hampir lapan minit yang diedarkan kepada media mendakwa terdapat usaha terancang oleh pihak-pihak tertentu yang berkuasa mengarahkan pihak polis untuk mengenakan beliau dalam apa jua keadaan walaupun pihak polis memberi jaminan bahawa beliau cuma diperlukan untuk melengkapkan dokumentasi jaminan polis.

Pada Jumaat lepas, Jamal dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri.

Kehilangan Jamal dikatakan disedari oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira 5.30 petang. 

— Bernama

Saturday, October 7, 2017

Rakyat tidak mahu politik longkang, Azmin kecam Jamal

Khairil Ashraf
October 7, 2017

Azmin berkata dalam suasana kerajaan negeri bekerja kuat untuk menolong rakyat, ada pihak yang 'mabuk' menyerang pejabat SUK setiap minggu.

PUCHONG: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengkritik Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang membawa kotak-kotak berisi botol arak dan memecahkannya di pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam kelmarin.

Sehubungan itu, menteri besar Selangor mempersoalkan tindakan-tindakan dibuat oleh Jamal terhadap kerajaan negeri kebekalangan ini.

“Dalam suasana kita bekerja kuat untuk tolong rakyat, ada yang mabuk menyerang pejabat SUK setiap minggu, pecah botol, pakai tuala. Ni apa punya kerja?

“Rakyat susah di bawah, rakyat nak rumah, rakyat nak pekerjaan, rakyat nak ekonomi ditingkatkan. Bukan rakyat nak budaya samseng dan rakyat tidak mahu politik longkang,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Skim Smart Sewa di sini hari ini.

Kelmarin, Jamal membawa sebanyak 10 kotak berisi kira-kira 100 botol minuman keras ke pekarangan SUK Selangor sebagai simbolok bantahan terhadap penganjuran sebarang pesta arak di Selangor.

Bagaimanapun, Jamal dan 7 lagi lelaki lain ditahan polis selepas menerima aduan daripada pengawal keselamatan di Bangunan SUK.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai perhimpunan haram dan juga Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam.

Mengulas lanjut, Azmin berkata rakyat Selangor mahu pemimpin yang dipilih bekerja untuk mereka.

“Dan ini lah janji saya kepada rakyat Selangor, saya akan bekerja kuat untuk membantu ekonomi negeri ini,” katanya.

Menurut Azmin, walaupun Jamal memecahkan sehingga 20 botol arak atau memakai tuala berarak di lebuh raya tetapi Selangor tetap maju.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-